31 October 2008

Pilihan raya UMNO

Isu politik wang dalam pemilihan UMNO semakin kuat dijeritkan oleh sebahagian (kecil) pemimpinnya. Paling lantang Rais Yatim yang baru dapat 9 pencalonan untuk kerusi Naib Presiden (kuota 20) dan Mukhriz yang dah jauh tinggalkan lawan2 lain untuk pencalonan Ketua Pemuda.

Walaupun dah berbuih mulut melarang amalan politik wang, tetapi bahana ini masih lagi diteruskan malah dah merebak sehingga ke peringkat bahagian dan cawangan. Rais Yatim cadangkan jawatan tertinggi parti ditenderkan saja supaya siapa letak harga tinggi boleh jadi Presiden, Timbalan atau Naib Presiden.

Tetapi peliknya tak ramai calon2 yang bertanding kali ini yang lantang bersuara memberi komen tentang gejala ini melainkan Pak Lah dan Najib. Itupun sekadar nasihat...

Apakah bermakna semua calon yang bertanding menggunakan wang untuk meraih undi dan hanya Rais Yatim dan Mukhriz sahaja yang tidak guna wang? Atau mungkin "pemberiannya" tidak setimpal berbanding calon2 lain?

Entah... aku sendiri tidak boleh menjawabnya sebab aku bukan perwakilan pun. Apa lagi nak berebut jadi wakil G7 atau G2, tidak. Jadi aku tidak tahu. Cuma aku tahu memang wujud sogokan bak kata pepatah orang UMNO, "Beri salah, tak beri kalah".

Jadi di sini, sebagai "orang luar" kalaulah aku boleh cadangkan supaya pemilihan pucuk pimpinan pusat baik Presiden, Timbalan, Naib, MT, Pemuda, Wanita, Puteri dan sekalian ahli jawatankuasanya dibuat oleh ahli2 UMNO di peringkat akar umbi. Maknanya semua jawatan itu dibuat secara konsensus ala pilihan raya di mana semua ahli boleh berduyun2 turun membuang undi untuk pilih pemimpin parti.

Huh.. Dah jadi macam pilihan raya umum pulak. Atau boleh panggil PILIHAN RAYA UMNO?

Mungkin idea aku ini melampau sebab nak pilih Presiden UMNO macam nak pilih Presiden Amerika Syarikat. Tetapi aku rasa cara tersebut ada baiknya. Dan kalau mereka nak sogok dengan wang, berapa banyak mereka nak keluarkan? Takkan nak sogok semua 3.3 juta ahli UMNO? Kalau nak sogok juga waima dengan RM1 seorang, dah capai RM3.3 juta. Huh..! Cari pasal.

Jadi, kalau amalan memilih pemimpin UMNO, Pemuda, Wanita dan Puteri dibuat seumpama ini aku percaya bukan sahaja politik wang dapat dihapuskan malah ahli2 politik yang tidak berjiwa rakyat juga akan pupus. Siapa tu?

Razak Baginda bebas... Ah! Konspirasi...

Abdul Razak Baginda bebas dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu. Itulah tajuk berita dalam beberapa media online hari ini termasuk yang disiarkan oleh Bernama Online seperti dipetik di bawah:

SHAH ALAM, Oct 31 (Bernama) -- The High Court today acquitted political analyst Abdul Razak Abdullah Baginda and called for the defence of Chief Inspector Azilah Hadri and Corporal Sirul Azhar Umar in the murder trial of Mongolian woman, Altantuya Shaariibuu. - Bernama Online.

+ Tunggu komen Anwar

KOMEN ANWAR (Terkini!)
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibicarakan atas tuduhan liwat di Mahkamah Sesyen di sini sempat mengucapkan selamat kepada penanalisis politik Abdul Razak Baginda yang dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Saya ucapkan kepada beliau selamat kembali kepangkuan keluarga. Beliau memang layak untuk mendapat keputusan (pembebasan) itu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.

Menurut Anwar, keputusan itu memang telah dijangka.

30 October 2008

Antara debat dan "the bugs" Khairy

Isu debat yang dicetuskan oleh salah seorang calon Ketua Pemuda, Khairy nampaknya semakin hangat dan hangit. Apa tidaknya, ia mendapat respon yang berbelah bahagi di kalangan pemimpin UMNO. Ada yang bersetuju dan ada juga yang menentang. Khir Toyo sedia berdebat tetapi Mukhriz menolak.

Apapun yang menjadi perhatian apabila Hishammuddin yang statusnya masih lagi sebagai Ketua Pemuda melenting dengan isu ini sebab jolokan untuk mengadakan debat di kalangan calon2 pemimpin Pemuda tidak dirujuk kepada beliau terlebih dahulu. Ibaratnya, sultan belum mangkat sudah ada yang tepuk bantal nak duduk atas takhta...

Khabarnya Hishammuddin tidak puas hati cadangan debat tidak dibawa berunding alih-alih terpacul dari mulut Khairy walhal soal ini perlu dibincang di peringkat jawatankuasa. Itulah reaksi Hishammuddin yang disiarkan dalam akhbar2 arus perdana hari ini.

Nampaknya Khairy sudah membelakangkan bos ketika mencabar calon Ketua Pemuda untuk berdebat sedangkan bos sedia ada masih lagi wujud! Ahaks...

Dalam orang duk bercerita tentang debat yang diajukan cadangan oleh Khairy, tup-tup tersebar gambar Khairy bersama seorang rakan (?) ditemani dua wanita dalam satu tempat (?) dengan longgokan botol2 wiski (?) di atas meja yang disiarkan dalam blog Husin Lempoyang yang kemudiannya (tanpa sebarang arahan) tersebar dengan pantas ke blog2 lain.

Hem... nampaknya Khairy yang ajak berdebat kini sudah ada "bug" yang boleh menjejaskan undinya untuk menjadi Ketua Pemuda Malaysia Mac ini dan seterusnya PM sebelum berumur 40 tahun. Dalam hal ini aku tidak berani nak komen apa2 cuma menunggu kenyataan dari pihak Khairy. Nak nafi ke, nak spin ke atau nak berterus terang....

Inilah nasib Khairy... dalam duk ajak orang ber-DEBAT alih-alih sendiri kini kena THE BUGS!

Catatan:
* Bugs = kutu tetapi dalam istilah IT ia adalah kelemahan pada skrip pengaturcaraan yang boleh menjejaskan keseluruhan atau sebahagian sistem.

28 October 2008

Kereta mewah mula ditempah!

Mesyuarat bahagian kini telah memasuki separuh jalan dan ada kira-kira sebahagian lagi yang belum bermesyuarat. Ini bermakna keputusan memilih 7 wakil (G7) untuk ke pemilihan agung UMNO Mac (atau lebih awal??) ini telah diketahui.

Dan kini mereka bolehlah bersenang lenang. Begitu juga dengan mereka yang terpilih untuk G2 bagi Pemuda bolehlah mula memasang angan2 untuk memiliki Harrier, CLK, CLS atau waima kapal terbang sekalipun. Almaklum, sekejap lagi rezeki untuk mereka mencurah-curah datang!

Al-maklum, merekalah penentu calon-calon yang layak bertanding untuk menduduki kerusi/jawatan yang dikehendaki (selain tiga/dua jawatan tertinggi bahagian). Setakat ini jawatan yang paling hebat persaingan ialah Timbalan Presiden (walaupun Ali Rustam dan Muhd. Taib belum mencapai kuota), Naib Presiden dan MT atau untuk jawatan Ketua & Naib Ketua Pemuda serta Ketua dan Naib Ketua Puteri.

Tapi rasalah paling untung ialah G2 dari Pemuda sebab ada antara calon yang layak bertanding Ketua dan Naib Ketua tergolong sebagai "jutawan muda".

Jadi sekarang ini tauke-tauke dan pengedar kereta mewah bolehlah menghantar flyer/brosher atau kalau perlu rajin2 lah berkunjung ke rumah kumpulan terbabit kerana selepas ini mereka bakal menjadi jutawan segera!

Maklum, selepas ini mereka boleh "demand" dengan mana-mana calon yang mahu mendapatkan undi mereka. Siapa paling tinggi letak harga, dialah yang dipilih. Jadi, para calon kenalah faham. "No money no vote!"

Tambah pula dengan masa kempen kira-kira 4 bulan sehingga Mac tahun depan, sudah pasti berderet para pelobi calon yang berebut2 untuk bertamu di rumah mereka dan tidak segan silu untuk menghulur wang ringgit supaya pada pemilihan nanti kumpulan ini mencalonkan bos-bos mereka.

Nah! para perwakilan... tunggu apa lagi. Mulai sekarang bolehlah rajin2 menjenguk showroom kereta-kereta mewah dan kalau yakin bolehlah buat tempahan sekarang kerana selepas pemilihan UMNO nanti, anda mampu memilikinya!

Terima kasih II

Sekali lagi aku nak ucapkan terima kasih. Kali ini kepada para bloggers yang telah menyenaraikan Mesin Taip Buruk di blog masing-masing. Dan yang paling aku terharu apabila ada blogger mapan seperti "Another Brick In The Wall" yang turut memberi komen mengenai blog aku.

Terima kasih atas sokongan kalian!

27 October 2008

Debat... Khairy terhimpit?

Masa aku sekolah dahulu, aku selalu terpilih untuk mewakili kelas dan sekolah dalam pertandingan debat sehinggalah ke peringkat daerah. Walaupun tak pernah sampai ke peringkat negeri atau kebangsaan, tetapi pengalaman berdebat sangat berguna bagi aku khususnya ketika aku di universiti dan alam pekerjaan.

Debat bukan sahaja melatih aku bercakap di khalayak, mempertahankan hujah dan melontarkan idea secara spontan tentang sesuatu isu, debat juga membuatkan aku popular di sekolah termasuk di kalangan budak-budak perempuan di sekolah aku.

Lalu apabila bakal salah seorang calon Ketua Pemuda, Khairy melontarkan cadangan supaya diadakan debat terbuka di kalangan tiga calon jawatan tertinggi Pemuda iaitu beliau sendiri, Mukhriz Tun Mahathir dan Dr. Mohd. Khir Toyo maka terlintas difikiran aku apa tujuan debat dicadangkan.

Harus diingat bahawa cadangan diadakan debat ini dilontarkan sejurus Khairy menerima pencalonan yang mencukupi iaitu 40 sokongan dari bahagian UMNO dan ketika itu calon favorite, Mukhriz sudah meninggalkan jauh kedua2 calon terbabit. Mukhriz telah menerima lebih 60 pencalonan manakala Dr. Khir pula belum mencapai kuota yang ditetapkan.

(Utusan Online: Sehingga 12.01 tengah malam, 27 Okt. 2008, Mukhriz - 67, Dr. Khir - 47, Khairy - 46 dan Zahidi - 1)

Berdasarkan daripada jumlah pencalonan calon2 Ketua Pemuda, nyata Khairy merasakan bahawa beliau kini semakin terhimpit apabila pencalonan yang diterima dari Pemuda2 bahagian yang bersidang jauh ketinggalan berbanding Mukhriz. Justeru, cara terbaik untuk memulihkan reputasinya selaku calon lulusan Oxford dan menantu Presiden UMNO, maka debat adalah jalan terbaik.

Walaupun debat itu dicadang sebagai mengemukakan hujah berhubung perjuangan masing-masing tetapi sebaliknya yang kelihatan ialah cadangan itu bagi meningkatkan populariti Khairy sendiri khususnya di kalangan perwakilan Pemuda pada pemilihan UMNO tahun depan. Andai cadangan itu datangnya dari Mukhriz atau orang luar, sudah pasti ia tidak menjadi persoalan tetapi sebaliknya ia terpacul dari mulut calon yang kini jauh ketinggalan walaupun telah mencapai kuota.

Dan andainya trend ini berterusan sehingga pemilihan akan datang, nescaya Mukhriz dengan mudah menduduki kerusi yang ditinggalkan oleh Hishammuddin itu Mac ini. Tetapi sudah pasti dua lagi calon, khususnya Khairy yang mempunyai cita2 untuk menjadi PM sebelum usia 40 tahun tidak akan membiarkan Mukhriz berada ditampuk tersebut. Dan debat diharapkan beliau akan menjadi senjata untuk memusnahkan peluang Mukhriz kerana beliau (mungkin) merasakan dirinya hebat berpidato dan berdebat.

Namun begitu, Khairy walaupun bijak tetapi tidaklah begitu cerdik dalam soal politik UMNO. Harus diingat, UMNO bukan parti Republican atau Democrate di US atau mana-mana parti politik di barat. Calon2 gabenor atau waima presiden sekalipun adalah dicalonkan oleh dirinya sendiri yang kemudian akan dipilih oleh rakyat. Sebaliknya pemimpin UMNO dicalonkan oleh peringkat akar umbi - cawangan dan bahagian - yang kemudiannya ditentukan oleh perwakilan yang menghadiri perhimpunan.

Dengan kata lain, kerusi Ketua Pemuda akan ditentukan oleh perwakilan dari setiap bahagian yang menghadiri perhimpunan agung UMNO. Oleh kerana itu, apakah perlu diadakan debat secara terbuka dan apakah ia boleh mempengaruhi perwakilan yang akan memberikan undi nanti? Aku rasa tidak. Jadi buat apa berdebat?

Calon2 yang melepasi kuota bertanding Ketua Pemuda, jika mahu memenangi pertandingan ini, perlulah melobi para perwakilan dari setiap bahagian untuk meraih sokongan mereka dan jika perlu umpanlah mereka dengan wang ringgit. Semakin tinggi "sumbangan" yang diberikan maka semakin tinggi juga sokongan mereka kepada calon2 berkenaan. Bukankah begitu para bakal perwakilan?

26 October 2008

Masjid Melayu, masjid India, masjid Cina

Ahli parlimen Bandar Baru Kulim, Zul Nordin (PKR) telah mencadangkan dibina satu masjid khusus untuk kaum Cina di KL. Tapak sesuai di tapak penjara pudu sebab dekat dengan lokasi segitiga emas Bukit Bintang. Itulah katanya pada sidang Parlimen tempoh hari.

Dalam hal ini, aku salut dengan Zul Nordin sebab dia memang berani, lebih berani dari Anwar Ibrahim. Kalau tidak masakan Zul turut serta berdemonstrasi ketika Majlis Peguam mengadakan diskusi soal memeluk Islam tempoh hari. Malah khabarnya juga akibat keberanian beliau, Pak Sheikh sudah naik marah. Maklum selama ini ketuanya itu membela Majlis Peguam walaupun tahu pertubuhan itu sering kali memperlekehkan hak Melayu dan agama Islam.

Malah dalam dewan itu juga beliau bukan sahaja menghentam BN (parti komponen) tetapi juga kepada puak2 DAP & PKR sendiri termasuk Teresa Kok sebab memperlekehkan Melayu dan Islam. Aku kagum, aku salut dan aku hormati Zul Nordin. Memang dia berani malah lebih berani dari pemimpin2 Pas yang selama ini mengiyakan sahaja apa yang diperlakukan oleh puak2 DAP & PKR termasuk soal azan dan tulisan jawi. Haluuu... Pas, lebih baik lantik saja Zul Nordin sebagai Presiden engkau orang daripada Hadi Awang yang tak bertelur ketika berdepan dengan DAP atau Teresa Kok.

Dalam bab cadangan membina masjid Cina itu, pada dasarnya aku sendiri setuju. Ia merupakan idea yang bernas. Yealah, kalau dah ada masjid India elok juga ada masjid Cina di mana khutbah Jumaat atau majlis agama yang diadakan menggunakan bahasa ibunda masing2. Cuma seperti kata Imam Masjid Negara, kalau masing2 kaum di masjid masing2 nampaknya semakin tidak bersatu hatilah antara umat, sedangkan Islam adalah agama untuk semua. Tetapi aku rasa kalau setakat satu masjid Cina di KL tidak ada masalah. Lainlah kalau setiap negeri, bandar atau kampung ada masjid ikut kaum, itu tidak bolehlah!

Jadi dalam hal ini, elok juga cadangan ini dipertimbangkan oleh kerajaan sebab walaupun idea datangnya dari Ahli Parlimen pembangkang, aku rasa itu tidak jadi masalah. Pembangkang seperti inilah yang kita cari, bukannya pembangkang yang hanya tau maki hamun, mencarut, menghentam atau terpekik terlolong dalam dewan tanpa sebarang cadangan bernas.

Tahniah Zul Nordin!

19 October 2008

Bidasan Pak Lah terpelanting ke muka sendiri...

Pak Lah membidas Tun Mahathir sebab berlagak macam pengarah pemilihan UMNO. Itulah yang dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini. Jelas, Pak Lah sudah hilang sabar dengan Tun sehingga khabarnya sanggup membuat kenyataan kepada media di lapangan terbang KK pukul 11 malam semata-mata untuk meluahkan kemarahannya kepada bekas PM itu.

Ramai yang bertanya kepada aku tentang bidasan Pak Lah hari ini tetapi aku hanya membalas dengan senyuman. Ya, biarkan Pak Lah yang sudah menghantar surat berhenti itu membidas Tun... Bidaslah, hentamlah... atau maki hamun la Tun, kerana semakin dia membidas, marah atau melenting dengan Tun, semakin orang membenci Pak Lah. Biarlah... Itulah yang aku ucapkan kepada mereka yang bertanya kepada aku. Hairan juga mereka.

Aku katakan kalau Tun membuat kenyataan2 seumpama itu (yang konon menghentam Pak Lah dan juak2nya) sebab dia punya pengalaman cukup luas dan dia juga mempunyai rekod yang tiada sesiapa yang boleh pertikai. Tun sudah menjadi PM & Presiden selama 22 tahun sudah pasti dia tahu asam garam UMNO mengatasi Pak Lah. Dia umpama abang yang menasihati adik, tetapi adik enggan mendengar cakap abang, walaupun tahu abangnya lebih baik. Sebabnya kerana cemburu, tidak senang dengan sanjungan rakyat kepada Tun berbanding cemuhan yang diterima selama lima tahun menjadi PM dan Presiden UMNO.

Kalau Tun memerintah negara selama 22 tahun dengan membawa banyak kemajuan fizikal dan material kepada rakyat dan negara, sudah tentulah tiada siapa boleh menafikan tegurannya. Dia telah buktikan. Tetapi apa sangat pengalaman yang ada pada Pak Lah selama dua penggal menjadi PM & Presiden UMNO? Jangan tanyalah apa yang telah beliau buat selama lima tahun ini... Tiada!

Jadi, dalam hal ini kenapa Pak Lah yang sudah mahu meninggalkan kerusi Presiden begitu melenting sangat dengan Tun? Pak Lah kena faham bidalan Melayu "Tak Tumbuh Tak Melata, Tak Sungguh Orang Tak Kata" kerana setiap kali beliau membidas Tun setiap kali itulah mereka yang cintakan agama, bangsa, negara dan UMNO akan mencemuh Pak Lah.

"Cubit Paha Kiri, Peha Kanan Terasa Sakit..."

15 October 2008

Bahana keputusan Pak Lah!

Abdullah kesal peniaga enggan turun harga
KUALA LUMPUR 15 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan rasa kesal dengan para peniaga kerana masih tidak menurunkan harga barangan walaupun kerajaan sudah menurunkan harga minyak sebanyak tiga kali.
Perdana Menteri berkata, sepatutnya para peniaga mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi setelah kenaikan harga barangan sebelum ini dikaitkan dengan harga minyak. - Utusan Online, 15 Okt. 2008.


MESIN TAIP BURUK:
Itulah dulu masa nak naikkan harga minyak tak fikir dua tiga kali, gelojoh dan macam tak sabar-sabar. Dah lah tu, naik pulak langsung sampai 80 sen. Dah la mula-mula kata nak naikkan September, alih2 lepas dua hari cakap macam tuh tup-tup harga minyak naik. Tak fikir/kaji ke trend kenaikan harga minyak tu. Ini tidak main sedap cakap & bertindak saja. Puak2 penasihat pun sama, dah tau orang tua nih tak berapa nak cerdik, kenapalah tak bagi nasihat betul2. Ini tidak main ikut dia saja.

Sekarang siapa yang tanggung susah? Rakyat jugak. Kenapa pulak marahkan peniaga tak turunkan harga? Eh.. siapa nak turun kalau dah naik. Macam sesetengah pemimpin kita gak, dah duduk atas tak ada hati nak turun. Sanggup nak jadi pemimpin sampai dah nak mampus. Tak fikirlah orang kat bawah ni dah meluat dengan mereka.

Berbalik pada harga barang, aku pernah tanya peniaga kenapa harga masih tinggi sedangkan minyak dah turun harga. Mudah mereka cakap... ala minyak turun berapa sen sangat? See... Betul gak cakap dia. Kalau Pak Lah dulu naikkan sikit2 harga minyak, tak de lah rakyat menderita sangat. Ini dah lah naikkan harga mengejut, tinggi pulak tuh. Macam lah negara tak ada duit sangat kena tanggung subsidi minyak. Dah la tuh duit subsidi minyak diberikan dalam bentuk lain... bagi cash rebet RM650 cukai jalan. Sehari boleh habis... Begitu juga bagi cash kat orang2 miskin, ibu tunggal dan OKU. Habis yang sihat walafiat tetapi hari2 guna kereta, motor macam mana?

Inilah pemikiran pemimpin yang otaknya hanya boleh berfikir sejengkal saja. Ish... malas dah aku nak mengumpat pasal orang tua nih. Nanti dia susah nak mati. Maklum, bukan aku sorang saja yang mengata tapi aku rasa ramai lagi di luar sana. Kesian dia...

Jadi Pak Lah, janganlah salahkan peniaga yang tak turun harga barang tetapi salahkan diri sendiri sebab buat keputusan terburu2. Lebih baik Pak Lah mintak maaf saja kepada rakyat Malaysia sebab 5 tahun perintah negara, 5 tahun rakyat menderita!

Bacaan Lain:

14 October 2008

Syabas Puteri!

Aku nak ucap syabas kepada Puteri UMNO kerana mempunyai kematangan yang tinggi walaupun baru berusia setahun jagung manakala para pemimpin dan ahlinya pula rata2 golongan muda. Biasanya bila sebut orang muda, perlakuan mereka banyak dipengaruhi perasaan berbanding akal, sering memberontak, menentang arus dan kalau perlu menghunus senjata. Itulah semangat orang muda tak kira lelaki atau perempuan.

Tetapi apabila bercakap soal pemilihan dalam pucuk pimpinan mereka, nyata puak2 Puteri begitu matang. Mereka boleh bersaing dan bertanding secara terbuka tanpa selindung2 dan mereka juga memberi sokongan kepada pemimpin yang dipilih tanpa sorok-sorok. Sebab itu kalau dilihat pada PAU kali ini sehingga 4 calon telah bersedia untuk bersaing merebut jawatan Ketua Puteri yang dikosongkan Noraini kerana sudah expired.

Apa yang peliknya, hal seperti ini tidak berlaku kepada pergerakan Wanita yang lebih berusia, lebih tua dan ada yang mencapai warga emas. Rafidah enggan melepaskan jawatannya secara sukarela kepada Shahrizat pada PAU nanti. Mereka sudah deal untuk menyerahkan kuasa pada Jun 2010, walaupu PAU akan diadakan Mac tahun depan. Alasan yang diberikan oleh Rafidah sungguh jumud dan klise iaitu takut berlaku perpecahan dalam pergerakan itu.

Aku nak bertanya kepada Rafidah, apakah langkah Pak Lah untuk tidak bertanding pada PAU nanti dan sekaligus membuka peluang persaingan kerusi Presiden akan membawa perpecahan kepada UMNO? Begitu juga dengan Pemuda? Apakah Puteri juga akan mengalami nasib yang sama? Apakah jika tiada perebutan kerusi dalam pucuk pimpinan Wanita, pergerakan itu akan kukuh, lebih kukuh dari UMNO sendiri? Lebih kukuh dari Pemuda dan Puteri?

Sebagai seorang pemimpin bijak pandai dan menerajui Wanita begitu lama, sepatutnya Rafidah memikirkan soal kehendak akar umbi yang mahukan perubahan pucuk pimpinan Wanita sepertimana yang berlaku dalam UMNO, Pemuda dan Puteri. Tidakkah Rafidah melihat pergolakan jiwa akar umbi yang mahu melihat Wanita diserahkan kepada generasi lebih muda dan lebih berfikiran dinamik, tidak jumud? Butakah Rafidah?

Memang setiap pertandingan ada kalah dan ada yang menang dan yang kalah sudah pasti tidak akan berpuas hati dan akan muncul perpecahan. Tetapi harus diingat UMNO sudah berusia lebih setengah abad dan sepanjang itu sudah berapa kali UMNO berpecah, malah pernah diharamkan pun. Tetapi akhirnya nanti mereka akan kembali bertaut. Jadi buat apa Rafidah mahu takutkan?

Dan jika benar akan berlaku perpecahan (sementara) akan menjadi tugas Ketua yang baru akan membaik pulih kerosakan yang berlaku. Bukankah Rafidah sendiri pernah berdepan dengan pertandingan dalam pemilihan Wanita dan pernah mengalami kekalahan? Jadi, pengalaman itu beliau boleh serapkan kepada penggantinya tanpa perlu berada di dalam barisan pucuk pimpinan. Lagipun, ahli2 Wanita bukannya terlalu dungu untuk memilih pengganti beliau. Sudah pasti pengganti yang dipilih mempunyai keupayaan, keyakinan & kepercayaan yang tinggi di hati akar umbi.

Ingat kedudukan dan pangkat tidak boleh menongkat langit. Lebih baik Rafidah serahkan jawatannya kepada Shahrizat (sepertimana kehendak akar umbi) pada PAU Mac ini dan tidak perlu menunggu Jun. Tariklah diri. Ikutlah jejak Pak Lah. Kalau Pak Lah boleh berkorban untuk parti kenapa pemimpin senior seperti Rafidah tidak boleh?

Jadi, dalam hal ini aku mengagumi cara Puteri memilih pemimpin mereka. Nyata anak-anak gadis berjiwa muda seperti Puteri jauh lebih matang dari segi fikiran dan perlakuan daripada orang tua/warga emas seperti Wanita. Kalaulah aku ini wanita, aku malu pada Puteri.

Syabas Puteri!

13 October 2008

Peralihan kuasa... Wanita tunggu apa lagi?

TERKINI:
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz menafikan laporan sebuah akhbar yang menyatakan beliau sedia menimbang semula pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Rafidah berkata beliau tidak pernah bercakap mengenai proses mempercepatkan pelan peralihan kuasa berkenaan, sebaliknya beliau dan timbalannya telah sepakat dalam merealisasikan pelan peralihan jawatan Ketua Wanita Umno seperti yang dipersetujui oleh Exco Wanita Umno.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya berita dalam sebuah akhbar harian hari ini kononnya saya akan timbang semula pelan peralihan jawatan (Ketua Wanita Umno) selepas semua pencalonan selesai. Saya tidak pernah bercakap tentang itu", katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar kepada Bernama hari ini.

Rafidah layak bertanding mempertahankan jawatannya selepas mendapat pencalonan daripada 52 bahagian Wanita Umno manakala 12 bahagian lain mencalonkan Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.-- BERNAMA

TULISAN SEBELUM INI:
Rafidah telah bersetuju untuk menyerahkan jawatan Ketua Wanita kepada Shahrizat pada Jun 2009 dan memberi peluang kepadanya untuk bertanding kerusi itu pada PAU akan datang. Dan ia dipersetujui oleh (katanya) para exco. Itulah keputusan yang dibuat oleh sayap kanan UMNO itu sebelum MT memutuskan PAU dianjakkan dari Disember 2008 ke Mac 2010.

Tetapi selepas PAU diberikan tarikh baru, sehingga kini tiada tanda2 bahawa proses peralihan kuasa antara Rafidah & Shahrizat dipercepatkan sebagaimana Pak Lah & Najib. Sehingga kini aku tidak mendengar sebarang khabar mengenainya atau mungkin aku terlepas!

Setelah pemilihan di peringkat bahagian berlangsung selama seminggu ini, pencalonan untuk Rafidah terus bertambah tetapi pada masa yang sama ada bahagian yang mahu Shahrizat bertanding sebagai Ketua. Sehingga blog ini ditulis, Shahrizat memperoleh 8 pencalonan.

Dalam hal ini aku bukan mahu menyatakan bahawa akar umbi masih mengharap Shahrizat mengambil alih tampuk kuasa Wanita yang dikuasai Rafidah sejak sekian lama tetapi aku berharap para pemimpin Wanita di peringkat bahagian menilai sendiri buat apa memilih Rafidah sedangkan beliau mahu melepaskan jawatannya pada Jun 2009 (seperti janjinya sebelum ini). Ini bermakna jika pemilihan berlangsung pada Mac dan Rafidah memegang kerusi Ketua Wanita dan Shahrizat akan memegang Naib Ketua tetapi 3 bulan kemudian Rafidah melepaskan jawatannya kepada Shahrizat. Ini bermakna Rafidah cuma menjadi pemimpin (renew) untuk tempoh 3 bulan. Tidakkah ini seperti sia-sia?

Adalah lebih baik sekiranya Rafidah mengikut jejak langkah Pak Lah dengan memberi peluang kepada Shahrizat bertanding ketua dan beliau melepaskan kerusi tersebut pada PAU Mac ini. Jika Rafidah berundur dan Shahrizat bertanding ketua, maka jawatan Naib Ketua Wanita akan terbuka untuk dicalonkan oleh bahagian. Dan dengan ini, Shahrizat akan mempunyai Naib Ketua sehingga PAU akan datang. Namun jika Rafidah tetap dengan pelan peralihan kuasa, maka selepas Jun 2009, Shahrizat akan memangku jawatan Ketua dan jawatan Naib kosong, maka Shahrizat terpaksa mengetui Wanita sendirian. Tidakkah ini merugikan Wanita sendiri?

Tapi aku pelik jugak sebab puak2 Wanita di peringkat bahagian seolah2 merestui peralihan kuasa ala kartun ini dengan mencalonkan Rafidah semata-mata untuk membolehkannya menerajui semula Wanita UMNO untuk tempoh yang singkat, 4 bulan. Apakah Wanita tidak mempunyai pilihan lain? Apakah Rafidah masih juga mahu kuasa selepas tidak terpilih sebagai menteri lagi?

Jadi, kepada Rafidah aku nasihat juga agar cermin diri dan kepada para perwakilan Wanita di seluruh negara fikir-fikirkanlah. Jangan sampai anda semua juga digelar pemimpin kartun.

Pak Lah perlu minta maaf kerana lantik Zaid

Aku terdiam melihat laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menunjukkan sekeping gambar bekas seorang menteri kabinet, Zaid Ibrahim yang baru-baru meletakkan jawatannya hadir di rumah terbuka ketua pembangkang & pembohong no. 1 negara, Anwar Ibrahim.

Gambar yang dipaparkan sudah pasti menimbulkan 1,001 pertanyaan tentang hubungan kedua-dua pemimpin ini -- seorang bekas menteri kabinet yang dilantik PM dan seorang lain bekas TPM dan kini menjadi ketua pembangkang tetapi berangan-angan mahu menjadi PM.

Jadi, terdiamnya aku bukan apa tetapi agak terkejut juga kerana jika benarlah kedua-dua pemimpina ini (selama ini) mempunyai hubungan yang baik, maka di mana pertimbangan Pak Lah melantik seorang pemimpin yang tidak setia itu sebagai menteri kabinet. Di manakah otak PM kita sehingga tidak dapat menilai mana intan mana kaca? Siapa yang memberi cadangan untuk melantik seorang pemimpin seperti ini?

Bayangkan Zaid dilantik sebagai Menteri di JPM untuk menjaga bidang kehakiman. Beliau telah menasihatkan Pak Lah supaya mewujudkan Suruhanjaya Kehakiman sebagai badan untuk melantik hakim di Malaysia. Beliau juga bertanggungjawab mengungkit kisah hakim2 yang pernah dipecat, kemudian mereka diberikan saguhati dan diraikan pada satu majlis makan malam dihadiri oleh Pak Lah sendiri. Beliau juga menutup mulut ketika ramai orang Melayu menentang Majlis Peguam yang mengadakan forum mengenai memeluk Islam. Dan kini beliau menunjukkan sokongannya kepada Anwar dengan menyertai puak2 PKR & pembangkang lain menghadiri rumah terbuka di KSS itu.

Aku percaya Zaid akan memberikan seribu alasan selepas ini ekoran tersiarnya gambar tersebut, termasuk menafikan penglibatannya dengan Anwar sebaliknya hadir kerana meraikan Hari Raya Aidilfitri. Dan sudah pasti beliau akan menyatakan ia tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi moralnya, apakah motif sebenar beliau hadir ke majlis itu akan menjadi persoalan.

Harus diingat, pelantikan Zaid sebagai menteri di JPM bukan kerana dia memenangi PRU lalu, malah tidak bertanding pun. Pelantikan beliau sebagai menteri atas tiket Senator. Malah beliau juga pernah digantung dalam UMNO selama 3 tahun sebab politik wang. Jadi kenapa Pak Lah memilih Zaid yang mempunyai firman guaman terbesar? Bayangkan seorang peguam menasihati PM untuk membentuk Suruhanjaya Kehakiman dalam melantik hakim. Tidakkah itu bercanggah dari segi kepentingan?

Dan jika benarlah kehadiran beliau pada rumah terbuka Anwar Ibrahim kelmarin sebagai tanda sokongan kepada Mat Jenin yang berangan-angan mahu menjadi PM itu, maka di mana mahu diletakkan muka Pak Lah kerana pemimpin yang dia percaya selama ini telah "membelok" atau mungkin selama ini memang menyokong Anwar tetapi bertopeng disebalik logo UMNO?

Aku merasakan bahawa Pak Lah telah membuat kesilapan besar melantik Zaid tempoh hari dan kini beriya-iya pula mahu meneruskan usaha membentuk Suruhanjaya Kehakiman seperti cadangan Zaid. Aku cuba tidak membayangkan bahawa idea reformasi badan kehakiman ini tidak datang dari Anwar melalui Zaid. Tidak.. tidak mungkin.

Tetapi ya atau tidak aku rasakan Pak Lah mempertimbangkan sedalam2nya sebelum melaksanakan suruhanjaya tersebut kerana aku bimbang ia akan memberikan keuntungan kepada pihak2 tertentu jika dilaksanakan. Tambahan pula Pak Lah sudah banyak membuat kesilapan percaturan sepanjang 5 tahun menjadi PM & Presiden UMNO.

Dan pada masa yang sama aku mahukan agar Pak Lah meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para penyokong BN kerana telah melantik seorang pemimpin seperti Zaid sebagai menteri kabinet dan membohongi rakyat selama ini.

12 October 2008

Alahai Perdana Menteriku...

KUALA LUMPUR 11 Okt. — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mengumumkan untuk tidak bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti Mac tahun depan, berharap untuk memenuhi semua janjinya termasuk melaksanakan beberapa pembaharuan dalam kerajaan dalam masa lima bulan akan datang. - Utusan Malaysia, 11 Okt. 2008

MESIN TAIP BURUK:
Aku gelak terguling-guling tatkala membaca laporan berita yang disiarkan Utusan Malaysia semalam kerana ia seolah-olah macam cerita apa. Apa tidaknya selama lima tahun jadi PM Pak Lah tidak berbuat apa2 untuk kemajuan negara melainkan Islam Hadhari dan konsep pembangunan koridor yang tidak tahu ke mana hala tuju.

Kini selepas bersetuju menyerah kuasanya atas desakan pelbagai pihak, barulah beriya-iya nak melakukan macam-macam janjinya dahulu. Itupun dalam tempoh lima bulan sebelum Mac 2009 iaitu tarikh yang dijanjikan untuk diserah kepada PM yang baru - Najib(?).

Aku membayangkan jika lima tahun beliau gagal melaksanakan tugas dengan baik sehingga rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan kepada BN & UMNO, apa yang boleh dilakukan oleh beliau dalam masa lima bulan? Apakah sekadar cakap2 atau melaksanakannya tanpa perlu bercakap?

Ini kerana dalam tempoh lima tahun menjadi PM, Pak Lah (dengan kebijaksanaan puak2 tingkat 4 dan menantu kesayangannya) telah merancang pelbagai perkara. Malah banyak perkara yang masih diawang-awangan juga sudah dipukul canang. Lihat bagaimana "projek mega" ala Fantasi Island yang dicanang iaitu pembangunan Iskandar, NCER, ECER dan entah apa-apa CER lagi. Bila dicanang, bunyinya umpama dentuman petir yang membayangkan Malaysia akan menjadi sebuah negara begitu maju, malah mungkin lebih maju dari AS atau Jepun. Aku cuba membayangkan gambaran bagaimana rupa Bandar Raya Pesisir Air yang dicadang di Kuala Terengganu di bawah ECER. Pergh... sungguh mengagumkan.

Tetapi hakikatnya semua projek2 koridor ini hanyalah sebuah konsep yang pelaksanaan bukan boleh dilakukan dalam tempoh 10 tahun apatah lagi lima bulan. Jadi apa hebatnya pembangunan koridor ini? Ia hanyalah sebuah konsep tetapi telah dipukul canang di seantero dunia. Mungkin juga Pak Lah cuba menandingi Tun Mahathir yang telah berjaya menzahirkan Proton Saga, KLCC, KLIA, F1, MSC, Putrajaya, jambatan Pulau Pinang, jambatan bengkok dan banyak lagi.

Tetapi setahu aku ketika zaman Tun, beliau tidak akan memalu canang jika ia masih bersifat kertas konsep tetapi akan mengumumkannya apabila cadangannya telah lengkap sempurna. Lihatlah bagaimana beliau mahu melaksanakan MSC, segala perancangan termasuk senarai "bill of guarantee" kepada pelabur juga telah disusun. Ini menjadikan pelabur telah memahami tentangnya sebelum membuat keputusan mereka. Malahan segala perancangan yang mahu dilaksanakan itu pula melibatkan pakar2 dalam bidang berkaitan termasuk melalui pelantikan panel penasihat antarabangsa.

Koridor Pak Lah? Beliau hanya memukul canang memberitahu "kita akan mewujudkan koridor bla bla bla..." tetapi kemudian diserahkan pihak lain untuk memikirkan tentang pengisiannya. Apakah ini boleh dibanggakan dan apakah anda yakin ia berjaya?

Aku kagum dengan Pak Lah kerana dalam keadaan beliau diberikan jantung ekstra untuk beliau bernafas selama lima bulan lagi beliau masih bersemangat untuk bekerja. Tetapi aku naik muat pula kenapa sudah mencapai hujung usia pemerintahan baru sedar untuk bekerja?

Jadi, aku bersetuju dengan pandangan Tun Mahathir sejurus selepas Pak Lah mengumumkan untuk tidak bertanding pada PAU nanti atau sepanjang tempoh lima bulan ini agar Pak Lah lebih baik "diam" sambil menyerahkan kepada Najib untuk mentadbir negara. Lagipun apa sahaja yang dibuat Pak Lah sepanjang memerintah negara tidak pernah menjadi.

10 October 2008

Najib sudah pilih Muhyiddin...


Apakah kehadiran Muhyiddin di Kuala Terengganu semalam membuktikan bahawa Najib sudah memilih bakal timbalannya? (Gambar muka depan Utusan Malaysia hari ini)
 Isu Pak Lah boleh dianggap sudah selesai apabila beliau mengumumkan untuk tidak bertanding pada PAU Mac ini. Walaupun ramai yang tidak sabar melihat beliau meninggalkan kerusi tersebut, namun terpaksa akur bahawa peralihan kuasa hanya akan berlaku pada Mac tahun depan.

Ketika Pak Lah mula berkemas untuk meninggalkan Putrajaya, kini Najib pula telah bersiap sedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan UMNO dan sekali gus menjadi PM ke-6 Malaysia. Walaupun pencalonan dari bahagian2 sedang berlangsung, nampaknya Najib tidak mempunyai halangan besar selain dari Ku Li untuk menduduki kerusi no. 1.

Ini ditambah pula keputusan Muhyiddin untuk bertanding Timbalan Presiden sahaja dan menolak pencalonan untuk kerusi Presiden.

Melihat senario yang berlaku semalam ketika Najib mengumumkan untuk bertanding kerusi Presiden UMNO di Kuala Terengganu, berdiri di sebelah beliau ialah Muhyiddin yang merupakan orang yang bertanggungjawab sehingga mempercepatkan proses peralihan kuasa.

Persoalannya apakah ini bermakna Najib telah memilih calon untuk menjadi timbalan beliau? Dan apakah bermakna juga angan-angan dan cita-cita Ali Rustam dan Muhammad Taib untuk merebut jawatan Timbalan Presiden akan tinggal angan-angan dan cita-cita semata-mata?

Malahan keputusan Muhyiddin untuk tidak menentang Najib dilihat sebagai satu kesepakatan yang telah dibuat antara Najib dan Muhyiddin.

Manakala penarikan diri Zahid Hamidi yang mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden sebelum ini juga ada kaitan dengan keputusan Najib yang telah mempunyai calon timbalan yang paling sesuai. Bagaimanapun, khabarnya keputusan Zahid untuk ke kerusi no.2 tidak disenangi oleh Najib kerana ia dibuat tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu selain media sering mengaitkan Zahid sebagai bekas Setiausaha Politik Najib. Jadi, untuk menjaga hati Muhyiddin maka Zahid telah dinasihatkan bertanding kerusi Naib Presiden sahaja.

Memandangkan Najib sudah membuat pilihan siapa bakal menjadi timbalannya, maka kalau boleh aku memberikan nasihat di sini supaya Ali Rustam dan Muhammad Taib lebih baik menarik diri dan bertanding sahaja untuk jawatan yang lebih rendah iaitu Naib Presiden. Tambahan pula Ali Rustam merupakan Naib Presiden pada masa kini manakala Muhammad Taib pula pernah menjadi Naib Presiden. Aku rasa kerusi Naib Presiden lebih selamat bagi mereka berdua.

07 October 2008

Bukan bercerita tetapi bertindak!

Hiba sungguh mendengar cerita Pak Lah (muka depan Utusan Malaysia, 7 Okt.) tentang tingkah laku Hindraf ketika menceroboh majlis sambutan Hari Raya beliau dan para menteri kabinet di PWTC hari raya pertama tempoh hari. Masakan tidak, Pak Lah begitu beriya2 bercerita apa yang dilakukan oleh kumpulan haram terbabit terhadap beliau.

Tetapi bagi aku, cerita2 Pak Lah tentang tingkah laku Hindraf tidak menyelesaikan masalah sebaliknya meningkatkan kemuakan, kemualan dan ketidaksenangan orang Melayu terhadap Pak Lah sendiri kerana mereka bukan mahu mendengar cerita2 seperti itu, sebaliknya bertindak terhadap kumpulan yang boleh menggugat perpaduan kaum dan kestabilan negara.

Seluruh masyarakat tahu apa yang telah dilakukan oleh Hidraf sejak setahun lalu tetapi sehingga kini tiada tindakan tegas diambil terhadap kumpulan terbabit. Walaupun beberapa pemimpin mereka telah dimasukkan ke dalam tahanan ISA, tetapi nyata ia tidak berkesan malah semakin berleluasa membuat onar dalam negara.

Mereka mahu melihat kerajaan khususnya Pak Lah mengambil tindakan yang konkrit yang boleh meredam sama sekali kumpulan tidak berdaftar ini. Tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan sebaliknya parti2 komponen khususnya MIC sebaliknya menunjukkan simpati dengan kumpulan terbabit. Apa makna semua ini?

Aku masih ingat pada tahun 1999 di mana ketika itu PRU diadakan ditengah2 isu Anwar Ibrahim dipecat dan pada PRU tersebut kemenangan BN dikatakan banyak dibantu oleh undi2 dari kaum Cina (MCA dan Gerakan) akibat perpecahan berlaku dalam UMNO.

Selepas PRU tersebut, begitu banyak tuntutan yang dibuat oleh kaum Cina termasuk dari pertubuhan NGO Cina mahupun dari parti2 komponen sendiri. Tetapi atas ketegasan kerajaan pimpinan Tun Mahathir pada masa itu, maka banyak tuntutan2 yang tidak munasabah dapat diredam dan negara tetap berada dalam keadaan tenteram dan semua kaum berdiri teguh di belakang kerajaan.

Berbeza pada hari ini, selepas PRU lalu menyaksikan kerajaan BN tumbang di beberapa negeri, dan kemenangan BN pula banyak dibantu oleh undi2 dari Sabah dan Sarawak, semua pihak termasuk dari parti2 komponen BN menuding jari kepada UMNO & Pak Lah sebagai punca "kekalahan" BN tersebut.

Dan pada masa sama mereka juga menuntut pelbagai perkara yang kadang kala tidak masuk akal dan boleh menjejaskan keharmonian negara. Apa yang dilakukan oleh Pak Lah hanya memberi "gula-gula" kepada mereka yang menuntut tetapi tiada langkah kongkrit yang dilakukan.

Isu pendatang asing di Sabah misalnya yang dituntut diselesaikan, kerajaan telah mengambil langkah menghantar mereka secara besar2an tetapi apa langkah konkrit agar perkara ini tidak berulang? Tiada....

Begitu juga dengan kumpulan Hindraf, walaupun kerajaan telah memasukkan beberapa pemimpinnya dalam tahanan ISA tetapi tiada langkah konkrit menyekat kumpulan tersebut daripada terus menghuru-harakan negara. Malah ada kalangan pengikut Hidraf yang bertindak sehingga membahayakan nyawa pihak berkuasa & orang awam tetapi mereka dibebaskan tanpa sebarang dakwaan. Ini bermakna, dalam keadaan sebegitu Pak Lah masih lagi bersikap berlembut tetapi "kelembutan" Pak Lah tidak bertempat dan tidak konsisten.

Dalam hal ini, jika Pak Lah masih dengan cerita2nya tetapi tiada tindakan tegas diambil, aku bimbang orang Melayu yang telah bosan dengan sikap Pak Lah akan mengambil tindakan sendiri terhadap kumpulan terbabit yang akhirnya akan memberikan ancaman yang lebih besar kepada negara.

Kepada Pak Lah, rakyat bukan mahu mendengar Pak Lah bercerita tetapi mereka mahu melihat Pak Lah bertindak!

05 October 2008

Budaya cermin diri...

Aku cadangkan mana2 pemimpin atau individu yang bercadang untuk bertanding merebut kerusi Timbalan Presiden UMNO kena cermin diri dahulu. Duduk di hadapan cermin, tilik diri dan persoalkan... apakah aku layak, mampu, kuat dan berupaya untuk menjadi pemimpin no. 2 parti yang akhirnya nanti juga akan menjadi pemimpin no. 2 negara? Dan jawapannya ada pada diri mereka sendiri dan bukannya ditangan penasihat, penyokong, pengampu dan pembodek mereka. Juga bukan ditangan Pak Lah atau orang lain melain pada diri. Jadi renungkan, fikirkan dan buat keputusan. Jangan sampai nanti anda ditertawakan... !

04 October 2008

Sah! Pak Lah tarik diri

Berita terkini yang aku dengar dari sumber yang agak sahih bahawa Pak Lah disahkan akan menarik diri daripada mempertahankan kerusi Presiden UMNO pada PAU Mac ini.

Pengumuman mengenai hal itu akan dibuat oleh Pak Lah sendiri pada 8 Oktober ini, iaitu sehari sebelum bermulanya mesyuarat bahagian.

Dan kerusi itu akan diberikan kepada Najib manakala pada masa sama beliau berharap tiada sesiapa yang akan menentang Najib sebagai Presiden pada PAU tersebut. Beliau berharap tiada pencalonan lain selain Najib oleh bahagian2 seluruj negara yang akan bermesyuarat mulai 9 Oktober.

Itulah berita yang aku dengar petang ini. Samada sahih atau tidak berita ini sama-samalah kita tunggu.

Namun persoalannya, apakah berita ini akan menjadi berita gembira kepada para pemimpin dan ahli UMNO, parti2 komponen BN atau rakyat sendiri ataupun sebaliknya? Jawapan hanya ada pada diri anda...

02 October 2008

Pak Lah undur, Ku Li kendur...

Jika Pak Lah benar2 mengotakan janji untuk tidak mempertahankan kerusi Presiden UMNO pada PAU Mac tahun depan, aku percaya orang yang paling kecewa sudah pasti ialah Ku Li. Ini kerana sejak awal2 lagi beliau telah memukul canang untuk merebut kerusi no. 1 itu daripada Pak Lah sejak selepas PAU-12 lagi.

Namun, dengan perkembangan terbaru yang membayangkan Pak Lah akan melepaskan jawatannya (peralihan kuasa) kepada Najib pada Mac 2009 pastinya akan menggugat hasrat Ku Li untuk bertemu Pak Lah pada pemilihan nanti, jika kedua2nya mendapat cukup kuota untuk bertanding. Bagaimanapun, jika ini (Pak Lah tarik diri) benar2 berlaku bermakna Ku Li terpaksa menentang Najib pada PAU nanti.

Apakah Ku Li akan meneruskan hajat untuk bertanding kerusi Presiden walaupun calon yang akan ditentang ialah Najib dan bukannya Pak Lah?

Melihat daripada niat dan hasrat Ku Li ingin merampas kerusi Presiden adalah kerana beliau sedar Melayu dan UMNO semakin lemah di bawah Pak Lah. Dan hasrat dan niat beliau ialah mengembalikan kegemilangan UMNO selepas tiada seorang manusia lain dalam UMNO termasuk Najib yang berani untuk melawan ketuanya, walaupun amat jelas mengetahui kelemahan ketuanya itu dalam mentadbir parti dan negara.

Aku percaya jika Pak Lah berundur maka Ku Li akan kendur untuk menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti. Ini bermakna beliau tidak akan menentang Najib dan aku juga percaya Ku Lih malah beralih untuk memberi sokongan pula kepada Najib. Dan aku membayangkan jika sebelum 9 Oktober ini Pak Lah mengumumkan untuk tidak bertanding, maka Najib akan diberikan pencalonan padu daripada sebahagian besar bahagian UMNO yang bermesyuarat di seluruh negara, termasuk dari Gua Musang.

Dan jika Pak Lah mengumumkan untuk mengekalkan kerusi tersebut, maka Ku Li akan meneruskan niatnya jika Najib masih berpegang pada perjanjian peralihan kuasa antara beliau dan Pak Lah. Ini bagi memastikan Pak Lah benar2 diturunkan pada PAU nanti.

Itulah senario yang aku jangkakan jika Pak Lah mengumumkan untuk tidak bertanding pada PAU Mac ini. Sama-samalah kita tunggu...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...