31 December 2008

Salam Maal Hijrah & Tahun Baru 2009

Aku nak ucap Salam Maal Hijrah dan selamat menyambut Tahun Baru 2009 kepada semua pembaca, pengikut dan pemerhati blog Mesin Taip Buruk. Semoga tahun baru memberikan lebih kejayaan, kecemerlangan dan keinsafan. Semoga kalian terus menyokong blog ini!

Tali pinggang belakang... Apa masalahnya?

Aku tak faham apa yang menyebabkan susah sangat orang kita nak terima apabila satu-satu undang-undang nak dilaksanakan terutama melibatkan kenderaan. Begitu juga dengan peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang kenderaan. Banyak yang merayu dan tak kurang juga yang protes.

Aku masih ingat masa aku kecil dahulu ayah aku selalu naik motorsikal pergi menoreh getah tak pakai helmet sampailah peraturan dikeluarkan mewajibkan semua penunggang dan pembonceng pakai helmet. Maka ramailah yang merungut sebab tak ada duit nak beli helmet terutama penoreh macam ayah aku. Tetapi kerajaan teruskan juga peraturan tersebut dan sekarang ini tidak pula ada yang merungut sebab tak cukup duit untuk beli helmet. Akhirnya kini semua takut tak pakai helmet kalau naik motor. Takut disaman polis... bukan takut mati kemalangan!

Masalah yang serupa juga berlaku apabila pihak berkuasa nak mewajibkan pemakaian tali pinggang keselamatan kepada penumpang kenderaan di bahagian belakang. Ramai yang merungut sebab kena keluarkan duit nak pasang tali pinggang tersebut sebab pengeluar kereta mereka tidak menyediakannya ketika beli dahulu. Sebab itu ramai yang minta tangguh.

Bagi aku ada atau tidak tali pinggang keselamatan di bahagian belakang tidak ada bezanya. Sebab aku percaya sebahagian besar pemandu dan penumpang di Malaysia pun jarang memakai tali pinggang keselamatan apalagi penumpang belakang. Kalau pakai pun apabila berdepan dengan sekatan jalan raya polis atau JPJ. Lepas sekatan dibuka lagi. Malah aku perhatikan ada juga polis peronda tidak memakai tali pinggang mereka. Aku tak tahu apa yang menyebabkan orang kita tak suka pakai tali pinggang keselamatan. Rimas barang kali...

Kalau tak percaya anda memandulah sepanjang jalan raya di Malaysia tanpa memakai tali pinggang keselamatan (depan) sekarang nescaya tiada pihak berkuasa yang akan menahan dan menyaman anda, melainkan melalui road-block! Sebab itulah pemandu di Malaysia (malah pemandu dari negara jiran pun) tidak pernah hairan dengan undang2 jalan raya di Malaysia. Apa nak hairan kalau undang2 yang ada tidak pernah dilaksanakan.

Aku cuba membayangkan jika peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keselamatan ini dikuatkuasakan, sudah tentu ramai yang akan disaman sebab ingkar undang2. Itulah yang dibimbangkan oleh pemilik2 kenderaan lama atau di luar bandar. Takut disaman tetapi tidak takut mati!

Jadi bagi aku sebelum melaksanakan peraturan pemakaian tali pinggang keselamatan belakang, elok diambil tindakan kepada pemandu2 dan penumpang depan yang tidak memakai tali pinggang mereka, tanpa perlu menunggu road-block. Ini kerana salah satu sumbangan kadar kematian akibat kemalangan yang tinggi di Malaysia adalah kerana sikap pihak berkuasa yang tidak ambil kisah peraturan yang ada dan pada masa yang sama sikap pemandu kita yang lebih takut disaman polis berbanding mati di tengah jalan.

26 December 2008

PPSMI... Jangan cakap je!

Ramai betul yang cadangkan supaya pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains (PPSMI) kembali menggunakan bahasa Melayu sebab katanya ia boleh hilang jati diri dan membelakangkan BM sebagai bahasa rasmi negara. Katanya kalau guna BI ramai pelajar luar bandar akan gagal dalam kedua-dua subjek itu.

Peliknya mereka yang bercakap dan menentang habis-habisan itu bukannya orang kampung tetapi kebanyakan pemimpin NGO atau pejuang bahasa (konon) yang tinggal di bandar-bandar. Paling aku nak gelak apabila ada individu yang bangun mengemukakan cadangan tersebut dengan lantang dalam forum2 tertentu tetapi bercakap berselang selikan dengan bahasa Inggeris.

Jadi aku pun cubalah bertanya kepada mereka salah ke belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris? Memanglah tak pernah dibuat di negara2 (yang tidak menggunakan bahasa Inggeris) tetapi kita buat untuk memajukan bangsa kita sendiri bukan orang lain.

Sama juga zaman mak bapak aku dulu begitu taksub melarang anak2 belajar bahasa Inggeris sebab BI ini bahasa penjajah, bahasa orang kafir. Tetapi sehingga tak ada pula orang Islam yang belajar BI dah murtad? (Kalau ada bukan sebab belajar BI). Jadi mereka2 yang menentang PPMS dalam BI ini kena faham belajar Matematik dan Sains dalam BI supaya anak2 kita menguasai kedua2 ilmu tersebut dan sekaligus memantapkan keupayaan berbahasa Inggeris.

Aku hairan ramai kalangan orang kita marah2 apabila anak2 mereka diminta belajar Matematik dan Sains dalam BI tetapi mereka sendiri bercakap ala orang putih dengan "I", "you" dan lain-lain seperti rojak. Ya.. BM yang dirojakkan.

Dan mereka tidak pula marah2 dengan drama2 Melayu di TV kita yang bercakap bahasa rojak. Apakah itu dianggap boleh memartabatkan BM? Atau mereka tidak pula bersuara apabila papan2 tanda di Putrajaya banyak menggunakan istilah asing berbanding Melayu. Kenapa?

Jadi aku rasa kalau para pejuang bahasa (konon) ini betul2 nak perjuangkan BM mereka kenalah berjuang di semua medan perang dan bukannya melibatkan dua mata pelajaran berkenaan.

23 December 2008

Dendang PRU-12 berulang lagi...

Nampaknya dendang PRU-12 lepas kini berulang lagi di PRK Kuala Terengganu apabila calon yang dipilih oleh perhubungan negeri khabarnya dicantas oleh Pak Lah.

Itulah khabar terbaru yang aku peroleh dari Kuala Terengganu pada hari pengumuman calon yang dibuat oleh Najib Razak baru-baru ini. Khabarnya MB Terengganu, Ahmad Said telah naik berang kerana calon yang dikemukakan beliau dicantas oleh Pak Lah. Khabarnya sejurus pengumuman tersebut Ahmad Said "meninggalkan" majlis tersebut menyebabkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO terpaksa memujuknya.

Ya, Ahmad Said dan seluruh pucuk pimpinan UMNO negeri mahukan Zuber Embong bertanding di Kuala Terengganu. Ya, Zuber yang merupakan anak didik arwah Razali Ismail. UMNO Terengganu mahukan seorang yang mempunyai latar belakang pendidik menggantikan Razali. Dan pencalonan Zubir telah mendapat sokongan sepenuhnya di Kuala Terengganu. Malah Zuber sendiri khabarnya telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Sektor Pengurusan dan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu selepas namanya dicalonkan oleh UMNO Terengganu untuk bertanding.

Jika benarlah apa yang berlaku maka ramalan awal aku tentang perkara ini sebelum ini menjadi kenyataan. Ya.. ya ramalan aku bahawa Wan Farid akan dipilih oleh Pak Lah menjadi calon BN di PRK Kuala Terengganu tetapi Ahmad Said bakal menjadi penghalang. Ya, Wan Farid akan dipilih sebab mempunyai hubungan yang rapat dengan Khairy dan Pak Lah dan bukannya atas sokongan UMNO negeri.

Dan nampaknya seperti calon2 PRU lepas yang mana nama-nama yang dikemukakan oleh perhubungan dicantas apabila sampai di Seri Perdana dan senarai nama baru yang menjadi favourite Pak Lah anak beranak yang keluar, yang sekaligus menjadi salah satu penyumbang kekalahan BN di 5+1 negeri.

Kenapa perkara ini masih berlaku? Kenapa Pak Lah masih alpa dan tidak belajar dari kesilapan pada PRU lepas dan pada PRK Permatang Pauh? Kenapa beliau masih angkuh menolak pandangan akar umbi semata-mata menjaga rakan-rakan sendiri?

Dan andainya Kuala Terengganu jatuh ke tangan pembangkang pada PRK bulan depan, nescayalah punca utamanya ialah pemilihan calon dan bukannya kerana kekuatan pembangkang. Dan jika itu berlaku, jangan salahkan ahli UMNO negeri tetapi salahkanlah pemimpin tertinggi yang mahu meninggalkan kerusinya itu. Dan andai Kuala Terengganu jatuh angkara dendang lama PRU maka yang menanggung derita ialah pengundi dan bukannya pemimpin pusat.

Jadi sementara masih ada masa menjelang penamaan calon 6 Januari ini elok sangatlah Najib duduk berunding dengan Pak Lah dan bawa bersama Ahmad Said berbincang agar calon BN di Kuala Terengganu dinilai semula. Ini kerana khabarnya Pas akan meletakkan seorang calon yang bakal menggugat kemenangan Wan Farid. Ya calon yang Wan Farid sendiri gerun. Sebab itulah Pas menunggu masa dekat dengan hari penamaan calon untuk mengumumkan calonnya.

Ini bagi mengelak BN menggantikan calon yang telah dipilih kerana pada masa itu masa sudah suntuk dan kemungkinan untuk calon asal diganti sukar dibuat. Itulah strategi Pas kerana Pas tahu di mana kelemahan Wan Farid.

21 December 2008

Apabila Khairy cabar blogger

Aku tertarik dengan cabaran Khairy kepada para blogger yang menuduhnya mengamalkan politik wang pada pemilihan bahagian baru2 ini supaya menunjukkan bukti, seperti disiarkan media semalam.

Katanya jangan hanya main tuduh kalau tidak boleh membuktikannya. Begitulah cabaran Khairy kepada mereka yang menuduhnya terutama para blogger. Wah! itulah nada suara calon Ketua Pemuda ini. Seperti biasalah begitu lantang bersuara tetapi kosong...

Dalam masa yang sama akhbar milik UMNO itu juga mengeluarkan kenyataan Tan Sri Zuki Kamaluddin yang bertindak sebagai Ketua Panel Rayuan Lembaga Disiplin UMNO yang katanya bukan mudah untuk membuktikan wujudnya politik wang.

''Aku tengok dia bagi duit, tapi bila nak bagi bukti aku takut." Itu kata wartawan tersebut mengajuk cakap Zuki yang merujuk satu kes.

Jadi aku rasa cabaran Khairy sebenarnya telah dijawab sendiri oleh Zuki. Ya! memang susah untuk membawa bukti. Sebabnya tidak akan ada mereka yang menerima habuan untuk tampil membuat pengakuan. Dan seperti kata Zuki, ramai yang tidak berani untuk membawa bukti sebab ia sudah pasti akan menjejaskan masa depan mereka dalam politik mahupun bisnes.

Takut pula nanti apabila membawa bukti, alamat terlepas peluang untuk mendapatkan projek2. Jawabnya nanti akan "soru miss"- lah! Lebih2 lagi mereka yang "menghulur" itu melibatkan saudara-saudara terdekat dengan pucuk pimpinan parti.

Lagipun, jika ada bukti sekalipun kepada siapa mereka hendak kemukakan. Bayangkan dikhabarkan kira-kira 400 aduan dibuat kepada BPR berhubung politik wang sepanjang pemilihan lalu, tetapi sehingga kini senyap begitu saja. Sudah ditongsampahkan semua aduan tersebut?

Hendak mengadu kepada Lembaga Disiplin... Alamatnya baru hendak buka mulut, kes sudah ditutup. Masakan tidak ahli2 Lembaga Disiplin adalah kalangan mereka yang ada kaitan dengan UMNO dan sudah pasti mereka kenalah patuh dengan arahan pihak atasan. Lainlah mereka ini berkecuali.

Itulah masalah yang dihadapi oleh pihak akar umbi yang bengang dengan amalan politik wang ini. Mereka tiada tempat untuk mengadu dan jika diadu pun ia tidak membawa makna apa2. Jadi apa lagi yang mereka perlu lakukan?

20 December 2008

Sah Wan Farid calon BN di KT

UTUSAN ONLINE:
KUALA TERENGGANU 20 Dis. - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari nanti.


MESIN TAIP BURUK:
1. Pemilihan Wan Farid sebagai calon sudah aku duga awal-awal lagi sebab aku rasa tiada calon lain yang lebih layak di mata pucuk pimpinan parti. Alasan aku meramalkan Wan Farid sebagai calon sebab dia adalah ketua bahagian UMNO K. Terengganu dua penggal berturut-turut, telah diberi kepercayaan oleh Pak Lah dengan dilantik sebagai senator dan menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dan hubungan baiknya dengan Pak Lah dan Khairy.

Biarlah Sime Darby urus IJN

TERKINI:
PUTRAJAYA 19 Dis. — Rancangan Sime Darby Bhd untuk mengambil alih 51 peratus ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN) ditangguhkan hingga kajian mendalam dilakukan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Run Razak, hari ini. - Bernama

POSTING ASAL:
Ramai bertanya kepada aku tentang pengambilalihan Institut Jantung Negara (IJN) oleh Sime Darby. Apa yang mereka bimbangkan ialah caj bayaran yang akan dikenakan meningkat sebab IJN dah jadi hospital swasta dan ini tentu membebankan rakyat khususnya golongan miskin. Maklum, sakit jantung adalah salah satu penyakit yang tertinggi dihidapi oleh rakyat Malaysia.

Dalam hal ini aku tidak nampak akan wujud masalah jika IJN diuruskan oleh Sime Darby sebabnya syarikat yang nak ambil alih itu adalah syarikat GLC, syarikat kerajaan. Dan sudah pastilah pengurusan IJN lebih profesional apabila syarikat korporat sedemikian menguruskan sebuah hospital.

Sudah pastilah nasib kakitangan IJN terutama doktor2nya lebih terbela sebab akan menerima gaji setanding doktor2 di hospital swasta lain. Maklum gaji doktor hospital kerajaan berapa sangat. Tidak berbaloi dengan bertahun2 belajar dan tanggungjawabnya. Sebab itulah ramai doktor di Malaysia memilih untuk bekerja dengan hospital swasta atau membuka klinik sendiri.

Aku percaya doktor2 di IJN pun menerima skim gaji serupa dengan hospital kerajaan lain walaupun IJN diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan dan bukannya Kementerian Kesihatan. Kalau lebih pun mungkin sedikit dari rakan2 mereka di hospital kerajaan. Berbanding dengan hospital swasta sudah pastilah mereka ketinggalan jauh.

Bayangkan sebuah klinik persendirian di Wangsa Maju boleh menawarkan gaji sehingga RM8,000 sebulan kepada seorang doktor am (bukan pakar) sedangkan gaji yang diterima mereka di hospital kerajaan di bawah RM4,000 sebulan. Berbeza bukan? Bayangkan pula berapa gaji seorang doktor pakar di hospital swasta berbanding rakan2 mereka yang masih setia berbakti di hospital kerajaan?

Dan jika ada yang mempersoalkan kemungkinan bayaran yang akan dikenakan meningkat ekoran penswastaan IJN, aku tidak nampak ia menjadi masalah. Ini kerana kerajaan mempunyai Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan lain2 tabung yang diwujudkan bagi membantu pesakit yang tidak mampu. Jika kerajaan sedia membayar ratusan juta ringgit kepada hospital swasta untuk membantu seorang pesakit, kenapa ia tidak digunakan untuk membantu pesakit di IJN.

Lagipun aku percaya pengurusan Sime Darby tidak akan bertindak zalim dan kejam dengan mengabaikan tanggungjawab sosialnya untuk membantu golongan tidak berkeupayaan. Lagipun Sime Darby adalah syarikat kerajaan yang merupakan pemilik ladang terbesar di rantau ini. Takkanlah dengan keuntungan ratusan juta ringgit setahun tidak boleh digunakan untuk membantu rakyat miskin. Tidak... aku percaya mereka tidak berfikiran seperti itu.

Jadi, buat apa kita bimbang dengan penswastaan IJN sebab aku percaya IJN akan lebih berkembang maju di bawah Sime Darby baik dari segi pengurusan, kecekapan dan kebajikan pekerja dan para doktornya.

16 December 2008

Bush patut dibaling bom, bukan kasut

Kecoh satu dunia apabila George W. Bush yang akan meninggalkan kerusi Presiden US tidak lama lagi hampir2 terkena penangan kasut seorang wartawan Arab ketika beliau datang ke Iraq untuk mengucapkan selama tinggal.

Bush yang ketika itu memberikan sidang akhbarnya dibaling dengan kasut oleh wartawan tersebut, Muntadhar al-Zaidi, dari akhbar Al-Baghdadi dan lemparan pertamanya hampir2 mengenai kepala Bush jika dia gagal mengelak.

Ketika aku melihat rakaman video yang disiarkan dalam Buletin Utama tadi, aku tersenyum dan dalam hati berkata: "padan muka." Sebabnya memang wajar Bush diperlakukan sedemikian rupa selepas menjadi orang yang bertanggungjawab membunuh ribuan rakyat Iraq, Afghanistan dan Palestin melalui dasar luarnya atas nama penghapusan teroris Islam.

Dan kemuncak kemarahan terhadap Bush ialah peristiwa 11 September di mana bangunan World Trade Center musnah dalam sekelip mata hasil serangan menggunakan kapal terbang komersial sebagai senjata dan membunuh puluhan ribu orang.

Dalam hal ini aku turut bersama ribuan masyarakat dunia lain yang bertepuk tangan dan bersorak gembira dengan tindakan wartawan tersebut yang membaling kasut ke atas Bush. Walaupun dapat mengelak dan cuba bertindak tenang, namun nyata ia cukup memalukan beliau. Inilah kali pertama seorang pemimpin negara yang konon menjadi jagoan dunia dilempar kasut. Malu amat memalukan.

Dan ada yang menganggap Bush tidak patut dibaling dengan kasut, sebaliknya dengan bom tangan atau molotof cocktail tetapi sudah tentulah tindakan itu amat tidak wajar dan bersifat kejam. Namun dilihat dari perlakuan dan layanan Bush terhadap orang Islam, inilah tindakan yang sebaiknya.

Dalam senyum melihat aksi Bush menghadapi peristiwa memalukan itu tiba-tiba aku membayangkan kalau2 peristiwa yang sama berlaku di negara ini. Seorang wartawan bangun dan membaling kasut ke atas pemimpin tertinggi negara kita lantaran tidak puas hati dengan cara pemerintahannya.

Tetapi aku yakin ia tidak akan berlaku sebab kita orang Malaysia terutama yang Melayu kaya dengan adat dan bersopan santun. Sudah tentulah membaling kasut kepada pemimpin negara adalah tidak sopan. Lagipun orang kita bukan macam orang Arab, walaupun sudah ditekan, diperlekeh oleh orang lain kita masih boleh tersenyum dan tidak kurang juga yang berterima kasih. Itulah orang kita...

14 December 2008

Proton kenalah lebih "pro"

Semalam kerajaan Perak meluluskan cadangan membeli Toyota Camry sebagai kereta rasmi menggantikan Proton V6. Akibatnya ramai pihak yang menghentam kerajaan Perak di bawah penguasaan pembangkang itu. Tetapi bagi aku tidak adillah menghentam Nizar sahaja sedangkan sebelum ini heboh apabila kerajaan Terengganu menggunakan Mercedes Benz C200 Kompresor sebagai menggantikan V6 dengan alasan `maintenance' tinggi.

Bagi aku bukan salah kerajaan Perak atau Terengganu berhubung keengganan mereka menggunakan kereta nasional itu. Tetapi pokok pangkalnya adalah Proton sendiri. Sebabnya aku lihat Proton selepas lebih 20 tahun masih lagi berada ditakuk lama. Aku rasa andainya Proton itu dari Korea atau Jepun, aku percaya sudah lama kereta Proton berada di atas jalan raya di US, Eropah atau negara Asia lain.

Tetapi sehingga kini Proton masih menjadi jaguh kampung. Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini Proton seolah-olah lesu dan kereta2 keluarannya juga semakin tidak mendapat tempat dihati pengguna tempatan. Andai harga kenderaan import tidak dikawal, sudah pasti sudah lama Proton bungkus.

Masalah utama kereta2 Proton ialah kualiti. Bayangkan bunyi pintu kereta Proton yang ditutup sahaja sudah berbeza dengan kereta import/jenama luar. Kereta Proton kalau tidak dihentak sekuat hati, pintu tidak akan ditutup rapat. Itulah pengalaman aku menggunakan kereta nasional sejak lebih 10 tahun lalu. Itu belum dikira masalah cermin tingkap dan lain-lain.

Hairannya masalah ini bukan baru tetapi sejak Proton Saga versi pertama lagi dan selepas 20 tahun dalam industri masalah tersebut masih berterusan. Begitu juga dengan V6. Bayangkan andai masalah cermin tingkap sahaja gagal diselesai oleh Proton bagaimana mereka nak kembangkan kereta tersebut sehingga setanding jenama luar lain?

Jadi mana silapnya Proton sehingga selepas 20 tahun masih lagi dengan cerita2 lama. Bukan soal untung rugi yang kita mahu tahu tetapi penyelesaian kepada masalah2 tadi. Apakah kerana Proton begitu setia menjaga kawan2 yang menghasilkan komponennya sehingga mengabaikan kualiti? Atau kerana Proton ketiadaan satu sistem untuk mengawal syarikat2 pengeluar komponen untuk menghasilkan produk berkualiti?

Bagi memastikan kereta Proton terus menjadi pilihan pengguna (bukan dari segi harga) elok benar Proton bermuhasabah diri dan mencari kelemahannya serta diselesaikan. Proton perlu lebih pro.. profesional dalam menguruskan syarikat baik segi R&D, pemasangan sehinggalah selepas jualan.

Aku tidak sanggup lagi mengalami pengalaman kedua apabila bumper kereta aku patah selepas sedikit tergesel dan kena bayar RM200 selepas 2 hari beli. Dan apabila ditanya kepada mekanik di pusat servis Proton kenapa mudah patah? Jawapannya: "Biasalah, kereta murah....!" . Mahu saja aku herdik mekanik ni sebab siapa kata harga Proton Saga murah???

Aku beli kereta Proton itu dengan hargaRM32,000 ++. Dengan pinjaman selama 7 tahun dengan syarikat kewangan ditambah dengan insterest yang dikenakan, harga kereta aku hampir RM50,000 atau mungkin lebih. Jadi dengan pendapatan bulanan RM3,000 lebih sikit tentunya harga kereta aku mahal...!!

Dan aku rasa pemikiran aku tentang Proton sama juga dengan kerajaan Perak dan Terengganu dan sekarang aku sudah menukar kereta Proton aku kepada kereta jenama import. Bukan sebab tidak patriotik tetapi kerana kualiti dan maintenance-nya. Salahkah aku??

12 December 2008

Suruhanjaya kehakiman mula dipersoal

PUTRAJAYA 11 Dis. — Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat semalam bakal mencetuskan masalah dalam pemilihan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, masalah tersebut timbul apabila mesyuarat pemilihan dalam suruhanjaya itu akan dianggotai oleh orang-orang yang sama yang mempunyai kepentingan bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan. - Bernama, 11 Dis. 2008.
// (Baca laporan penuh di sini...!)

MESIN TAIP BURUK:
1. Dari awal lagi aku nampak akan ada sesuatu yang tidak kena dengan suruhanjaya ini kerana ia dibuat secara tergesa2, tepatnya selepas kes video Lingam. Jadi aku nampak Pak Lah cuba meyakinkan para peguam dan hakim bahawa beliau bersifat telus berbanding PM sebelum ini. Sebab itu dia beriya-iya nak wujudkan suruhanjaya ini.

2. Suruhanjaya kehakiman dicetuskan oleh Zaid Ibrahim, seorang peguam yang kemudian dilantik sebagai menteri untuk menjaga hal ehwal undang-undang yang akhirnya meletakkan jawatan gara-gara tiga individu yang pro-pembangkang termasuk seorang wartawan ditahan di bawah ISA.

3. Aku bukanlah pengamal undang-undang untuk mengulas mengenai hal ini secara lebih rinci tetapi apabila seorang bekas Ketua Hakim Negara mempersoalkan suruhanjaya itu, ia patut diberi perhatian khususnya ahli2 Parlimen yang akan menyokong usul yang dikemukan oleh Pak Lah semalam di Parlimen.

4. Aku sendiri sebenarnya naik pening dengan suruhanjaya ini. Betul juga kata Tun Hamid, bagaimana seorang yang menganggotai suruhanjaya ini mahu membuat keputusan untuk melantik Ketua Hakim sedangkan mereka yang layak menduduki kerusi itu ialah mereka yang berada dalam suruhjaya ini.

5. Maknanya apabila suruhanjaya ini akan melantik salah seorang dari mereka untuk menjadi Ketua Hakim. Aku tak dapat bayangkan kemungkinan wujud "politik wang" dalam pelantikan ini kerana mereka yang dapat mempengaruhi ahli2 lain dalam suruhanjaya tentu akan menerima sokongan untuk dilantik ke kerusi itu. Begitu juga dengan jawatan hakim2 lain. Huh... pening.

6. Jadi, aku rasa eloklah para ahli Parlimen khususnya para penyokong kerajaan mempertimbangkan sebaik mungkin kerana silap membuat keputusan akan menimbulkan kesan yang tidak betul. Takkan apabila diluluskan dan dilaksanakan kelak, kemudian dibatalkan gara2 wujud kecacatan.

7. Jadi adalah lebih baik memastikan kecacatan tidak berlaku sebelum diluluskan. Tapi jika difikirkan ia tidak memberi manfaat kepada rakyat, tidak perlulah suruhanjaya seperti ini. Cukup jika ia dibuat berdasarkan ketetapan yang dilaksanakan sebelum ini.

Bacaan Lain:
1. Komen A. Kadir Jasin

10 December 2008

Pi... pi... pi...!

Kasihan (musim bencana) Kayveas gara-gara tiada post dalam kabinet selepas kalah PRU12 lepas, dia tiada platform untuk bersuara dan mempopularkan diri. Dia bergantung sepenuhnya kepada parti yang dipimpinnya, Parti Progresif Rakyat (PPP) untuk supaya dia diingati rakyat.

Tetapi yang menjadi masalah PPP tidaklah sepopular UMNO, MCA apalagi MIC. Jadi dia kenalah perah otak untuk mencari jalan supaya rakyat Malaysia sedar adanya PPP. Lagipun dia bukan artis yang boleh cipta gosip supaya semua surat khabar tulis pasalnya. Kalau dia artis macam Shah Rukh Khan mudah benar untuk dirinya jadi popular.

Oleh sebab itu dia gunakan platform parti untuk mengembalikan namanya dipersada politik tanah air. Dia tidak mahu namanya tenggelam seperti Samy Vellu selepas PRU12 sebab dia tahu kalau namanya tidak popular orang akan lupa, lupa jasanya (ada ke?), lupa wajahnya yang macam hero Tamil itu dan lupa adanya PPP, parti yang mewakili kaum (sebahagian kecil) kaum India.

Platform sudah ada bagi Kayveas tetapi yang menjadi masalah ialah isu. Takkan lah pula dia kena buat filem ala Chua Soi Lek pulak untuk cipta isu. Ish.. tentu dia tidak sanggup walaupun tidak susah untuk mencari heroinnya. Jadi apabila puak2 pembangkang duk bersuara tentang ISA, maka ia memberi idea kepada Kayveas untuk menggunakan isu yang sama.

Maka inilah topik yang digemari oleh rakyat terutama kaum India selepas puak2 Hindraf kena tahan ISA (walhal bila orang Melayu kena tahan ISA sejak dulu tak ada pulak yang nak bersuara pasal ISA!!). Maka diugutlah Pak Lah: "Kalau ISA tak dipinda sebelum PRU-13, PPP akan keluar dari BN". Begitulah lebih kurang bunyinya dengan harapan Pak Lah dan pemimpin BN akan gerun dengan suara paraunya itu.

Selepas memberi kenyataan itu, Kayveas tentunya berbunga2 hatinya sebab kenyataannya itu keluar dalam media, dalam surat khabar. Wah sudah pasti rakyat terutamanya kaum India bertepuk sorak dengan kenyataanya. Yes, usaha aku berhasil, katanya. Nyata tidak sukar untuk mencipta populariti.

Lalu dia menunggu (penuh tidak sabar) respon dari pucuk pimpinan BN, dari Pak Lah. Tetapi nyata Kayveas menerima maklum balas yang begitu negatif. Pak Lah bukan sahaja tidak mengendahkan seruan supaya membubarkan atau meminda ISA, sebaliknya menyambut baik cadangannya untuk keluar dari pakatan BN.

Dan selepas mempengerusikan mesyuarat tertinggi BN, sekali lagi Pak Lah mempersilakan PPP keluar dari BN jika itu yang dia mahu. Nak pinda ISA kerana PPP adalah tidak mungkin. Maka kecutlah Kayveas sebab tersalah jolok sarang.

Dah Pak Lah kata "pi laa PPP hang nak pi dari BN... pi la...!!" maka elok sangatlah dengan nama PPP tu... pi! pi! pi! pilah dari BN. Tetapi berani ke Kayveas nak keluar dari BN?? Hehehe...

09 December 2008

Kasihan Mat Sabu...

Selain mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, aku turut bersimpati dengan nasib Naib Presiden Pas, Mat Sabu. Mana taknya, dialah pemimpin tertinggi parti itu yang tidak dapat menikmati elaun wakil rakyat selepas gelombang tsunami politik pada PRU-12. Mat Sabu, ya Mat Sabu(t) umpama lebai malang...

Mat Sabu cukup terkenal di kalangan puak2 Pas sebab dia adalah penglipur lara Pas. Setiap kali beri ceramah ramai yang terbahak2 gelak dengan cerita2 yang dibawa, sama ada benar atau rekaan semata-mata tak penting. Yang penting orang seronok. Seronok belum tentu setuju dan menyokong. Ya, Mat Sabu... Mat Sabu yang pernah ditangkap berkhalwat dengan isteri orang tetapi "terlepas" selepas mendapat pembelaan dari peguam seorang bekas Ketua Hakim Negara.

Setahu aku Mat Sabu orang Kedah tetapi (kesihan) setiap kali PRU dia terpaksa mencari kawasan diluar Kedah untuk bertanding. Seingat aku PRU tahun 1999 dia bertanding di Kuala Kedah dan menang tetapi pada 2004 dia kalah. Dia pernah bertanding di Kelantan. Pada PRU-12 dia mahu bertanding di Pulau Pinang sebab yakin selamat tetapi akur dengan keputusan Pas pusat yang meletaknya di Kuala Terengganu.

Aku percaya Mat Sabu paling menyesal sebab kalau dia bertanding di Pulau Pinang sudah pasti dia menang dan mungkin dah jadi Timbalan Ketua Menteri tetapi dia memilih Terengganu tepatnya Parlimen Kuala Terengganu dan dia kalah kepada Datuk Razali Ismail. Mungkin yakin Pas dapat merampas kembali Terengganu maka dia bersedia bertanding di negeri keropok lekor itu.

Nyata ramalannya silap sebab dia kalah di sana. Selepas ditolak oleh pengundi di Kuala Terengganu, dia cuba nasib untuk mengalahkan Razali melalui mahkamah dengan mengemukakan petisyen tetapi ditolak. Kesian...

Dan ketika harapannya untuk bergelar wakil rakyat dimusnahkan oleh mahkamah maka peluangnya datang kembali selepas Razali meninggal dunia secara mengejut baru-baru ini. Maka pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu bakal diadakan bulan depan. A'hah... inilah peluang beliau untuk kembali bertanding di sana dan Tok Guru Nik Aziz pun dah bagi "green light" supaya Mat Sabut bertanding semula di Kuala Terengganu.

Tetapi nyatalah nasib Mat Sabu umpama lebai malang apabila puak2 Pas Terengganu menolak Mat Sabu untuk bertanding di sana dengan alasan Mat Sabu orang luar, orang Kedah bukan orang Terengganu. Mungkin sebab Mat Sabu bercakap tak cukup "g" berbanding orang Terengganu yang terlebih "g" maka pencalonan Mat Sabu ditolak oleh orangnya sendiri.

Maka kini Mat Sabu hanya menggigit jari ketika rakan2 lain dalam Pas menikmati elaun ADUN atau Parlimen dan bergelar wakil rakyat. Maka harapan Mat Sabu, Naib Presiden Pas musnah dan kini terpaksa meneruskan kerjayanya selaku tukang karut parti.

Mat Sabu kena tunggu lagi PRU-13, dan aku syorkan pada pilihan raya akan datang dia bertanding di Sabah atau Sarawak sebab dua negeri itu akan ditakluk oleh pembangkang sepertimana angan2 Anwar Ibrahim. Macam mana Mat Sabu?

Inilah pandangan orang tua2 untung sabut timbul, untung batu tenggelam tetapi Mat Sabu(t) sentiasa tenggelam...! Kasihan...

08 December 2008

Kisah orang kaya Bukit Antarabangsa

Aku begitu simpati dengan mangsa bencana alam angkara manusia yang berlaku di Bukit Antarabangsa terutama keluarga mangsa yang terkorban. Dalam kesayuan ketiba umat Islam seluruh dunia mahu menyambut Hari Raya Qurban, sudah pasti peristiwa ini lebih menyayatkan terutama mangsa yang beragama Islam.

Bagaimanapun kisah tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan sekitarnya bukan perkara baru bahkan tragedi lebih pilu pada tahun 1993 apabila Highland Tower runtuh (sebenarnya tumbang) adalah antara rentetan kejadian tragedi di bukit tersebut yang sebahagian besar penghuninya adalah mereka yang kaya dan hidup mewah.

Maka ada kawan-kawan aku berkata inilah bencana yang berlaku ke atas orang2 kaya dan banyak wang. Maklum biasanya apabila bencana berlaku seperti banjir, ia melibatkan mereka yang miskin, orang kampung, petani, peladang. Tetapi bencana tanah runtuh di Bukit Antarabangsa ini bencana kepada orang kaya. Begitulah beberapa kawan memberi pandangan.

Apabila aku fikir2kan ada benar juga kata-kata kawan2 aku itu kerana memang setahu aku mereka yang tinggal di kawasan tersebut (lebih2 lagi rumah2 banglo) terdiri daripada Datuk2 dan datin2, artis, pegawai tinggi kerajaan bahkan kalangan korporat. Kalau setakat makan gaji macam aku tiada harapan untuk tinggi dipuncak bukit yang indah pemandangannya itu.

Jadi apabila bencana tanah runtuh yang berlaku ke atas 14 rumah banglo di Taman Bukit Mewah di situ kelmarin, maka ia adalah tragedi kepada golongan kaya. Maka pemikiran orang kaya ini berbeza dengan golongan marhain, walaupun sudah ditimpa bencana. Jadi, ada dua hal yang membezakan mereka dengan golongan miskin yang ditimpa bencana.

Pertama: Apabila bencana berlaku dan mereka diarahkan pindah di kawasan berkenaan, mereka berat hati untuk berbuat demikian. Sebabnya sayang untuk meninggalkan rumah yang berharga beratus ribu ringgit atau mungkin ada yang mencapai jutaan ringgit, perabut dan perkakasan rumah dan tak kurang juga lebih sayangkan TV mereka daripada nyawa. Sebab itulah apabila mereka diarah berpindah, ada yang merungut dan tidak berpuas hati sebab TV mereka dicuri (perakuan beberapa mangsa yang aku tonton kat Astro Awani).

Jadi tertanya2 juga aku, wah..! rupanya orang kaya lebih sayangkan harta daripada nyawa. Sebab itu TV yang lebih diambil peduli. Aku percaya kalau golongan miskin dan penduduk kampung di Kelantan yang diarah berpindah kerana banjir, tidak peduli pun soal TV atau harta benda. Masing2 redha, pasrah dan bersyukur...

Kedua: Pusat pemindahan yang disediakan di SK Ulu Klang tidak mendapat sambutan. Daripada seramai itu yang berpindah hanya satu keluarga yang memilih tinggal di pusat penempatan itu selebihnya tidak pasti mereka tinggal di mana. Aku percaya ramai yang memilih untuk tinggal di hotel atau rumah saudara mara atau mungkin rumah persinggahan masing-masing. Yalah, takkan mungkin seorang bergelar Datuk atau seorang artis nak tinggal di sekolah.

Berbeza dengan mangsa banjir di Pantai Timur sebab mereka mahu tidak mahu terpaksa tinggal di pusat penempatan sementara. Sebab takkan mereka nak berpindah ke hotel pula, mana mampu.

Jadi, bagi aku bencana yang berlaku di Bukit Antarabangsa dapat menyedarkan mereka yang terlibat bukan sahaja soal membina rumah di lereng bukit tetapi sedar diri bahawa sekaya mana manusia itu, kita adalah insan yang lemah. Sudah berada di atas, jangan lupa mereka yang di bawah.

Selamat menyambut Hari Raya Qurban!

05 December 2008

Aduhai Pak Lah...

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau ingin menyelesaikan isu mengenai rasuah, suruhanjaya pelantikan hakim dan suruhanjaya aduan khas sebelum melepaskan jawatan pada Mac tahun depan kerana negara akan menghadapi masalah jika semua ini tidak ditangani.
Perdana Menteri berharap semua Anggota Parlimen akan menyokong Rang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Dis ini.
"Saya harap semua pihak melihat suruhanjaya ini di luar kepentingan parti dan mengundi sesuatu yang terbaik untuk rakyat," katanya dalam satu temu bual dengan akhbar tempatan.
Abdullah berkata bahawa dengan penubuhan MACC, cara Badan Pencegah Rausah (BPR) berfungsi akan berubah. - Bernama, 4 Dis. 2008

MESIN TAIP BURUK:
1. Aduhai Pak Lah... isu rasuah bukan perkara baru dan ia bukan perkara mudah untuk diselesaikan, apalagi dalam tempoh 3 bulan sebelum Pak Lah berundur. Isu rasuah isu sejagat dan ia bukan boleh selesai macam pusingkan telapak tangan.

2. Aduhai Pak Lah... Tiga perkara yang Pak Lah sibuk2 benar untuk menyelesaikannya sebelum berundur tidak akan menghancurkan negara, memecahbelahkan perpaduan kaum tetapi isu bukan Melayu yang terus menekan Melayu perlu ditangani segera sebab jika ia tidak diselesaikan, bimbang sebelum Pak Lah berundur akan berlaku rusuhan kaum.

3. Aduhai Pak Lah... Kalau nak selesai rasuah, selesaikan dulu masalah politik wang sebab ia juga adalah rasuah. Kalau menantu sendiri amal politik wang (rasuah) dan tak berani nak ambil tindakan bagaimana Pak Lah nak selesai masalah rasuah negara dalam tempoh tiga bulan?

4. Aduhai Pak Lah... Masalah pelantikan hakim tidaklah sampai membebankan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah. Jadi buat apa hendak disegerakan. Lebih baik Pak Lah selesaikan dulu masalah kenaikan harga barang yang tidak terkawal yang membebankan rakyat.

5. Aduhai Pak Lah... Banyak lagi masalah dalam negara yang perlu diselesaikan segera dan bukannya tidak perkara itu sahaja. Masalah pendatang asing, masalah ketiadaan pekerjaan, masalah pengangguran, masalah kemiskinan, masalah bla bla bla....

6. Aduhai Pak Lah... Lima tahun menjadi PM kenapa duk asyik main golf dan berbulan madu sahaja kenapa selepas tahu tempoh jangka hayat tinggal 3 bulan baru sibuk2 nak buat banyak perkara?

7. Aduhai Pak Lah... sudah-sudahlah. Lebih baik kumpulkan kotak2 dan kemaskan barang2 kat rumah sebab Pak Lah ada masa 3 bulan lagi untuk keluar dari Seri Perdana.

Catatan:
~ Aku buat keputusan untuk gantikan perkataan "Hoi" dengan "Aduhai" atas budi bicara sendiri dan tiada dipengaruhi sesiapa.

03 December 2008

Wan Farid calon BN di Kuala Terengganu?

Betul ke Wan Farid bakal menjadi calon PRK Parlimen K. Terengganu nanti? Itulah suara2 yang bertiup dari negeri Pantai Timur itu yang sampai di telinga aku. Sahih atau tidak belum dapat dipastikan memandangkan UMNO Terengganu pun belum bermesyuarat untuk memilih calon.

Bagaimanapun khabar angin itu ada lojiknya juga memandangkan Wan Farid yang tidak dicalonkan pada PRU-12 lalu adalah kawan karib Khairy dan kemudian dilantik sebagai senator untuk menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Tambahan pula beliau adalah Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu.

Jadi calon favorite di mata Pak Lah sudah pastilah Wan Farid.

Tetapi yang menjadi penghalangnya ialah MB Terengganu sendiri memandangkan (khabarnya) Wan Farid bukan orang Ahmad Said.

Aku harap semua pihak tidak melatah dengan tulisan aku ini sebab ia bukan berita yang sahih. Apa-apapun sebaiknya kita tunggu dan lihat....!

TERKINI:
KOTA BHARU 3 Dis. – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap Mohamad Sabu dikekalkan sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan yakin Naib Presiden Pas itu mampu membawa kemenangan kepada parti. – Utusan Online, 3 Dis. 2008.

K. Terengganu jadi penentu...

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bakal diadakan ekoran kematian mengejut penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran baru-baru ini. Dan ketika SPR masih mencari2 tarikh sesuai untuk hari penamaan calon dan pembuangan undi, banyak pihak yang mula meramalkan tentang peluang BN/UMNO untuk mengekalkan kerusinya di Parlimen tersebut.

Banyak yang menilai bahawa BN/UMNO bakal dicabar hebat dan silap hari bulan boleh tumbang kerana melihat kemenangan tipis yang diperoleh arwah sendiri pada PRU-12 lepas menentang Mat Sabu dan calon bebas, seorang nenek tua.
P36 KUALA TERENGGANU
Jumlah Pengundi: 80,325
Peratusan Kaum: M: 88.14% C: 10.94% I: 0.65% L: 0.27%
1. Datuk Razali Ismail (BN) - 32,562
2. Maimun Yusuf (Bebas) - 685
3. Mohamad Sabu (Pas) - 31,934

Majoriti: 628
Jumlah undi: 66,112
Peratus mengundi: 82.31%
Undi rosak: 931

Itu keputusan PRU-12 yang diadakan April lepas dan pilihan raya kecil K. Terengganu nanti akan dilangsungkan lima bulan selepas PRU-12, selepas pemilihan UMNO peringkat bahagian dan selepas pengumuman Pak Lah untuk serah jawatan kepada Najib Mac 2009.

Pilihan raya kecil K. Terengganu kali ini adalah PRK pertama selepas Pak Lah umum untuk serah kuasa kepada Najib, walaupun belum rasmi. Jadi dalam hal ini, keputusan pilihan raya K. Terengganu akan menjadi medan penentu sama ada peralihan kuasa yang dibuat oleh Pak Lah dan Najib diterima oleh rakyat atau sebaliknya.

Ini kerana semua maklum bahawa kekalahan BN di beberapa negeri "hardcore" pada PRU lepas adalah manifestasi rakyat agar Pak Lah berundur selepas beliau dikatakan gagal mentadbir negara dengan sebaiknya. Jadi, selepas Pak Lah sudah menyatakan bersedia untuk berundur pada Mac 2009, apakah rakyat boleh menerimanya dan memberi kemenangan besar kepada calon BN/UMNO di K. Terengganu nanti?

Ataupun pengundi tetap memilih calon pembangkang kerana masih belum yakin dengan keikhlasan Pak Lah untuk berundur atau lantaran sokongan padu kaum bukan Melayu kepada calon pembangkang hasil provokasi pihak-pihak tertentu terhadap Melayu/UMNO sama ada dari pihak pembangkang mahupun dari rakan dalam BN sendiri mulai PRU-12 sehingga hari ini?

Dalam hal ini, K. Terengganu adalah medan untuk menguji Najib selaku bakal PM dan Presiden UMNO serta Pengerusi BN. Andai UMNO/BN menerima sokongan padu di K. Terengganu bermakna masa depan UMNO kembali cerah dan andai berlaku sebaliknya bermakna masa depan UMNO sudah gelap, biarpun Pak Lah sudah berundur.

Oleh sebab itulah aku rasakan adalah lebih elok jika kuasa memilih calon BN bagi PRK K. Terengganu diserahkan kepada Najib dan bukannya Pak Lah walaupun beliau masih lagi bertindak sebagai presiden parti memandangkan calon inilah (jika menang) yang akan bekerja dengan Najib nanti selepas Mac 2009 dan bukannya Pak Lah.

02 December 2008

Nasib Melayu di bumi sendiri

Lebih seminggu aku tak menulis kat blog aku disebabkan kesibukan dan sepanjang itu banyak hal berlaku. Perihal Zaid Ibrahim, ugutan Kayveas nak keluarkan PPP dari BN dan yang paling hot kenyataan pelakon "blue" MCA yang dikatakan mempersoalkan tentang ketuanan Melayu.

Aku cuma sempat membaca sepintas lalu laporan2 media tentang hal-hal tersebut dan membuat keputusan untuk tidak mengulas perkara2 yang dilaporkan. Sebabnya aku sudah bosan, muak dan mual untuk berbicara soal2 tersebut. Ia tidak ubah macam drama2 lama yang diulang tayang berdasarkan versi baru.

Cuma aku kesal dalam keadaan Melayu terus ditekan melalui UMNO, puak2 Melayu dan Islam dalam parti lain terutama Pas dan PKR hanya sekadar memerhati dan tidak kurang yang bertepuk tangan. Bagus... Bagus... hentam lagi UMNO. Biar UMNO hancur, sebab apabila UMNO hancur, BN berkecai nanti bolehlah kita berkuasa dan menjadi PM. Itulah gamaknya yang dibayangkan oleh puak2 Melayu Pas dan PKR.

Aku sebagai anak Melayu begitu sedih sebab sejak PRU-12 lalu ada sahaja puak2 bukan Melayu mencari salah dan silap Melayu seolah2 kaum majoriti ini menjadi barah kepada negara. Bukan sahaja puak2 pembangkang malahan juga dari kalangan komponen BN. Sedangkan semua pihak tahu bagaimana Melayu telah banyak bertolak ansur dalam segala hal dengan kaum lain.

Dalam hal ini aku tidak menyalahkan sesiapa melainkan pemimpin tertinggi parti dan negara. Selama 50 tahun merdeka dan selama pemerintahan di bawah lima PM, tidak pernah berlaku kaum lain termasuk dari komponen BN mempersoalkan kedudukan Melayu, tidak... tak pernah. Jika adapun mereka berselindung di sebalik pertubuhan NGO atau menggunakan parti lawan.

Tetapi di bawah pemerintahan Pak Lah dan lebih jelas lagi selepas PRU-12 semuanya sudah berubah. Ketidaktegasan dan ketidakcerdikan Pak Lah menerajui negara dan BN jelas sekali digunakan sebaik mungkin oleh pihak lain untuk menekan Melayu. Malah sehingga hari ini tiada tindakan konkrit yang dibuat beliau untuk meredam hal-hal seperti ini. Di mana Pak Lah ketika Melayu sedang diasak? Apakah sedang tidur atau berlindung di balik ketiak jin?

BN dan UMNO perlu berbuat sesuatu untuk meredakan keadaan ini kerana jika lambat bertindak dan membiarkan perkara ini berlarutan, lambat-laun Melayu akan bangkit dan selepas itu negara akan menjadi porak-peranda dengan perbalahan antara kaum. Dan jika hal ini sampai terjadi, Pak Lah selaku PM (sehingga Mac 2009) perlu bertanggungjawab.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...