Peristiwa 13 Mei telah tercatat dalam sejarah negara. Bagi generasi yang lahir sebelum 13 Mei 1969 peristiwa itu melekat dalam benak fikiran sehingga kini terutama mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Dan ketika kejadian itu berlaku, aku masih dalam buaian.
Hari ini genaplah 40 tahun peristiwa tersebut. Dan aku percaya generasi yang lahir selepas tahun 70-an sudah tidak mengetahui lagi peristiwa tersebut melainkan mereka yang membaca buku-buku sejarah. Itupun hanya secara sepintas kerana sehingga kini peristiwa 13 Mei (setahu aku) tidak dicatatkan secara mendalam dalam mana-mana buku sejarah negara.
Generasi hari ini? Aku percaya mereka tidak tahupun peristiwa tersebut, tidak pernah mendengarnya dan kalau tahu mereka tidak mengendahkannya. Tiada apa yang penting setiap kali datangnya 13 Mei. Itulah perasaan anak-anak merdeka dari semua kaum generasi hari ini.
Aku tahu ramai di kalangan kita seolah-olah enggan menerima kenyataan bahawa Peristiwa 13 Mei telah tercatat dalam sejarah hitam negara -- sejarah tercetusnya pergaduhan kaum yang berdarah. Dan para pemimpin terdahulu cuba untuk memadamkan sejarah tersebut agar generasi akan datang tidak pernah tahu apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur.
Tetapi kita lupa bahawa kita boleh melupakan sejarah tetapi sejarah tidak pernah melupakan kita. Bagaimana kita boleh melupakannya kalau kita tahu bahawa Rukun Negara dibentuk hasil Peristiwa 13 Mei?
Hari ini, kita seakan mengabaikan hubungan antara kaum dan setiap kaum pula saling tuduh menuduh, fitnah memfitnah, malah sudah wujud riak-riak perbalahan melibatkan kaum. Cuma riak itu belum menjadi gelombang. Ini kerana mereka lupa sejarah... sejarah hitam 13 Mei 1969.
Mungkin sudah tiba masanya kita menyambut setiap kali 13 Mei dengan satu acara yang membolehkan seluruh rakyat negara ini mengingatinya dengan harapan mereka tidak melakukan perkara-perkara yang boleh berulangnya peristiwa hitam itu.
Di Indonesia, suatu ketika dahulu (tidak pasti sekarang) setiap kali tiba tarikh 30 September media-media di sana terutama TVRI akan menyiarkan filem "Peristiwa 30 September" atau "30S - PKI" yang memaparkan pembunuhan general-general negara itu oleh komunis. Dan setiap kali filem itu ditayangkan, rakyat negara itu diharapkan menjadi insaf dan sedar bahawa jika salah tingkah mungkin peristiwa itu boleh berulang kembali.
Dan aku percaya tidak salah kalau sesekali kerajaan menggunakan pendekatan serupa apabila tiba tarikh 13 Mei dengan menyiarkan dokumentari berkaitan peristiwa tersebut supaya generasi hari ini sedar bahayanya jika isu tentang kaum dimainkan.
Bolehkah?
13 May 2009
40 tahun Peristiwa 13 Mei....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


2 komen:
benda yang buruk usah diingati..
maju ke depan..
apa yang berlaku adalah kesilapan kita semua..
setuju, cadangan yang baik
Post a Comment