21 June 2009

Melayu perlukan UMNO dan Pas

Apa yang ada dalam benak fikiran Hadi Awang, Nasharudin Mat Isa dan sekumpulan pemimpin Pas lain mengenai "kerajaan perpaduan" seperti mana mereka cetuskan? Apakah:

A) Kerajaan yang dibarisi para pemimpin BN yang mendapat majoriti dalam PRU-12 lalu dan disertakan juga para pemimpin pembangkang dari Pas (ada cadangan diajak juga PKR dan DAP).

B) Kerajaan yang dibentuk dengan penyertaan Pas sebagai parti komponen dalam BN (yang kini merupakan parti gabungan beberapa parti lain yang mewakili semua kaum).

C) Kerajaan "campuran" BN dan Pakatan Rakyat.

Andai dibuat taksiran secara kasar dengan kerajaan perpaduan (english: unity government), itulah rupanya.

Kalau beginilah bentuk kerajaan perpaduan yang dicetuskan secara peribadi sekumpulan pemimpin dalam Pas, sama ada bentuk A, B atau C aku sama sekali tidak bersetuju. Tapi kalau aku tak bersetuju pun apa yang boleh aku halang?

Sebabnya jika bentuknya seperti A, bermakna ia sama dengan C iaitu kerajaan yang dibarisi oleh wakil2 parti yang bertanding dalam PRU kemudian disatukan di bawah satu kerajaan yang juga dipanggil kerajaan campuran. Kerajaan campuran kalau di sesetengah negara adalah biasa apabila tidak ada mana-mana parti memperoleh majoriti dalam PRU. Macam berlaku di Perak-lah! Boleh dibentuk kerajaan campuran jika mahu.

Jika bentuk seperti ini yang dimahukan, ia akan "melemahkan" kuasa pembangkang atau mungkin melenyapkan terus suara pembangkang terutama dalam Parlimen. Sedangkan dalam pentadbiran negara, kita memerlukan suara pembangkang sebagai pengimbang dan penyemak (check & balance) bagi memperkukuhkan sesuatu dasar yang dibuat.

Harus diingat politik di Malaysia berbeza dengan negara-negara lain kerana latarnya yang mempunyai perbezaan kaum, agama, bangsa dan budaya yang hidup dalam sebuah negara dengan berkongsi dalam segala hal. Aku ingat dalam dunia ini hanya Malaysia dan Singapura sahaja yang mempunyai latar sedemikian.

Jika bentuk B, ia akan mengulangi tahun 1974 dahulu apabila Pas menyertai BN dalam PRU pada masa itu. Hasilnya beberapa pemimpin Pas telah diberikan jawatan dalam kabinet termasuk Allahyarham Datuk Asri Muda yang kalau tidak salah aku memegang portfolio Menteri Luar Bandar.

Bentuk seperti inilah menjadi penyebab Nik Aziz menolak dan menentang kerajaan perpaduan sehingga beliau menempelak pemimpinnya sendiri. Sebabnya Pas merasakan mereka mengalami pengalaman pahit ketika bersama BN. Dan aku percaya jika seperti ini yang dimahukan oleh pencetus gagasan kerajaan perpaduan, ia amat sukar dilakukan.

Bagi aku, orang Melayu masih memerlukan UMNO dan pada masa yang sama memerlukan Pas kerana masing-masing membawa ideologi yang berbeza yang bergerak selari dan tidak mungkin dapat bertemu di satu titik noktah.

Namun, dalam hal2 tertentu UMNO dan Pas boleh "bekerjasama" terutama apabila ia melibatkan kepentingan Melayu dan agama Islam. Misalnya apabila ada pihak2 tertentu yang mahukan Chin Peng dibenarkan pulang, Pas sebagai parti Melayu kedua terbesar dan berlandaskan Islam bersama-sama UMNO menentang cadangan ini. Begitu juga soal penggunaan nama Allah dan macam-macam isu lain.

Amalan inilah yang dilakukan oleh MCA, Gerakan dan DAP (parti kaum Cina), di mana walaupun mereka membawa ideologi politik berbeza tetapi apabila bercakap soal kaum mereka, mereka membuang perbezaan politik dan sedia bergabung bersama-sama. Lihatlah apabila mereka memperjuangkan soal SJKC malah isu kandang babi sekali pun.

Sebab itulah sejak merdeka sehingga kini kita tidak pernah mendengar usaha pembentukan satu parti Cina, cadangan penggabungan DAP dan parti komponen Cina BN. Tidak... tidak pernah sebab kaum Cina mahukan adanya parti pembangkang dalam kerajaan. Maknanya kaum Cina memerlukan MCA dan Gerakan di dalam kerajaan tetapi pada masa sama mahukan DAP sebagai pembangkang.

Bukannya apabila timbul isu yang menyentuh soal Melayu dan Islam oleh kaum lain, Pas menyokong kemahuan mereka semata-mata menjaga hubungan baik dalam pakatan pembangkang sehingga meminggirkan kepentingan Melayu dan Islam.

Inilah makna "kerajaan perpaduan" bagi aku dan bukannya seperti A, B atau C.

Cuma jika mahu mengamalkan politik baru, yang tidak jumud, antara mereka perlulah saling menghormati. Orang Pas menghormati orang yang menyokong UMNO dan sebaliknya. Begitu juga jika ada yang memilih untuk menyokong parti lain, perlu dihormati.

Amalan memaki hamun orang lain yang tidak bersama menyokong parti yang mereka pilih atau membuat tuduhan-tuduhan melampau terhadap parti lain adalah politik lapok yang sudah tidak relevan.

2 komen:

kluangman said...

UMNO dan PAS sudahpun bersekongkol dengan musuh2 mereka secara terang atau gelap dan berpusu pusu orang2 Melayu mengundi dan memilih musuh2 UMNO dan PAS ini secara sedar atau tidak.

Keikhlasan PAS dan UMNO terhadap musuh2 yang mereka anggap rakan sebenarnya tidak sama di pihak sana, apakah mereka benar2 anggap PAS dan UMNO itu rakan mereka atau mereka hanya menanti untuk menikam belakang ketika kedua duanya lemah.

Bila masa PAS dan UMNO akan lemah... rasanya tak lama lagi, sekarang UMNO dan PAS bercakaran, tak lama lagi mereka akan berperang.

Darulehsan said...

apa nak pening kepala, sebab utama pas dan umno tak boleh bersama ialah sebab dasar yg tidak sama. contoh paling mudah, pas tidak suka pada judi dan arak manakala umno pula menyokong dan membiarkan perkara ini berleluasa. tiada usaha membenteras gejala ini dgn serius. selagi perkara asas ini tidak dipersetujui oleh umno selagi itulah pas dan umno tidak boleh bersama.

lihat sahaja pendirian tengku adnan tentang isu pusat hiburan. lihat sahaja pendirian shahrizat tentang isu aurat.

"Di zaman kita ini, contoh terbaik kerajaan perpaduan ialah di Afrika Selatan di mana pernah wujud apa yang dipanggil sebagai "Government of National Unity (GNU)." Ketika kerajaan Afrika Selatan ditadbir di bawah Perlembangaan Sementara (April 1994 � Februari 1997), mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi di National Assembly boleh menyertai kerjaan dan menuntut satu atau lebih portfolio lembaga menteri"