Kartika oh Kartika

26 August 2009

Tiba-tiba nama Kartika Sari Dewi menjadi popular malah lebih popular berbanding namanya sebagai model sambilan. Sebelum ini siapa peduli dengan wanita dari kampung di Sungai Siput ini. Tetapi kini namanya meletup bukan sahaja di dada-dada akhbar tempatan tetapi sudah masuk CNN.

Ini semua kerana kesalahannya mengambil minuman keras di sebuah kelab di Kuantan yang kemudian tertangkap ketika operasi Jabatan Agama Islam Pahang dan membawanya ke mahkamah syariah. Akhirnya dia dijatuhkan hukuman rotan (seingat aku asalnya hakim menyebutnya rotan dan bukannya sebat) sebanyak 6 rotan.

Nah, hasil keputusan hakim yang didasarkan enakmen Islam negeri Pahang, maka Kartika Sari Dewi -- yang aku ingatkan dari Indonesia sebab namanya hampir sama seperti nama isteri Sukarno, bekas Presiden Indonesia dan kebetulan nama bapanya pula Shukarnoor. Malah media pada awalnya melaporkan dia berasal dari Singapura -- menjadi wanita pertama di negara ini dirotan sebab minum arak!

Pendekkan cerita selepas dia redha untuk menerima hukuman tersebut dan sepatutnya hukuman dijatuhkan pada 3 Ramadan lalu, alih-alih isu rotan ke atas Kartika menjadi isu selepas hukumannya ditangguhkan. Maka berbunyilah para pemimpin, pejuang wanita memberi pelbagai komen. Maka popularlah Kartika Sari Dewi anak Shukarnoor dari Sungai Siput, Perak!

Pendirian aku tidak memihak kepada sesiapa. Kartika bersalah dan dia mengaku salah sebab minum arak di khalayak ramai dan dia redha dihukum. Tetapi kenapa ada tangan-tangan ghaib yang menghalang sehingga hukumannya ditangguhkan? Kenapa perlu ada alasan-alasan bodoh seperti kata Hishamuddin (Menteri Dalam Negeri) sebab tiada tukang sebat syariah dan itu dan ini...

Kepada para pejuang hak wanita termasuk Shahrizat, aku percaya "sebat" yang dikenakan ke atas Kartika tidaklah sama dengan sebat yang dikenakan ke atas pengedar dadah atau perogol. Tidak... bukan seperti dalam video-video yang sering ditayangkan oleh AADK tiap kali mengadakan pamerannya. Bukan... itu memang sebat.

Aku percaya sebat ke atas Kartika hanyalah setanding "public-canning" yang pernah diamalkan di sekolah-sekolah suatu ketika dahulu atau sekuat sebatan si ayah kepada anak mereka. Bukan begitu?

Pada masa yang sama aku persoalkan juga keputusan hakim syarie terbabit. Kenapa daripada ribuan orang Islam yang minum arak di Pahang hanya Kartika Sari Dewi dikenakan hukuman sedemikian? Bagaimana dengan yang lain? Apakah sebelum ini tiada orang Islam yang ditangkap sebab minum arak? Apakah kerana dia perempuan dan dikategorikan cantik (kalau tidak, masakan boleh jadi model) atau alasan lain?

Jalan penyelesaian kepada kemelut ini, sebenarnya cukup mudah jika semua pihak bersikap terbuka dan tidak terlalu mengikut buku.

Berilah sebatang rotan kepada si ayah (Shukarnoo) dan biarlah dia sendiri yang menghukum rotan anaknya kerana kesalahan tersebut. Kalau perlu buatlah di hadapan Peguam Negara, hakim syarie yang jatuhkan hukuman, Sharizat dan lain-lain yang memporak-perandakan isu ini. Susah sangatkah nak menghukum (memberi pengajaran) kepada seseorang? Huh...! Mentaliti orang kita!!

Sama ada si ayah mahu merotannya sekuat hati atau sekadar menyentuh kulit itu bukan isu kerana isunya ialah Kartika harus dirotan sebab bersalah minum arak. Kalau perkara remeh temeh seperti ketiadaan tukang rotan, sama ada perlu dipenjarakan terlebih dahulu atau sebagainya diambil kira, sampai bila isu ini tidak selesai.

Selepas isu tiada tukang sebat, akan wujud pula nanti persoalan sebesar mana saiz rotan, jenis rotan, kekuatan hayunan merotan, tempat nak merotan... rotan punggung, tangan atau kaki dan lain-lain perkara yang remeh-temeh. Bila mau selesai daaa...!!

Inilah masalah orang kita yang bermentaliti "orang salah mesti dihukum" (atau paling tidak saman... kalau tak mau saman... hulur!). Lebih mengutamakan menghukum daripada mendidik. Dan nak menghukum pula kena tengok buku. Buku cakap macam mana. Kalau tidak ada dalam buku.... ini jadi masalah, jadi konflik sebab masing-masing nak tunjuk kuasa.

Payah!

1 komen:

Fakry said...

nk salahkn kartika 100% pn payah jgk, arak byk didapti di pasaraya, mudah sangat nk bli arak ni

kenapa shahrizat ckp hukum ni zalim? adakah hakim2 di negara ni xpandai? ataupun selama ini kita pakai undang2 yang zalim?