31 March 2009

Pak Lah jadi penasihat UMNO?

Pak Lah akan menjadi penasihat UMNO selepas bersara. Itulah berita terkini lagi sensasi yang aku dengar petang ini. Ya, Najib yang kini Presiden UMNO akan mengambil bekas bosnya itu sebagai penasihat parti.

Wah nampaknya Najib berusaha nak ambil hati Pak Lah dengan meletakkan beliau satu kedudukan yang agak tinggi - penasihat parti. Tetapi yang menjadi persoalan boleh ke Pak Lah jadi penasihat selepas lima tahun jadi presiden beliau lebih cenderung menjadi PUNAH sihat?

Kalau betullah khabar ini aku bimbang Pak Lah akan memberikan nasihat-nasihat yang menjurus kepada kerosakan kepada UMNO sedangkan Najib baru saja melaungkan semangat untuk membuat perubahan dalam parti demi survivor parti pada masa depan. Masakan tidak selama menjadi presiden UMNO, Pak Lah telah menyebabkan BN kehilangan 5 negeri kepada pembangkang dan meletakkan menantunya di puncak takhta Pemuda dengan mudahnya.

Aku bimbang jika Pak Lah menjadi penasihat UMNO maka beliau akan memberi nasihat kepada Najib agar tidak mengganggu gugat menantunya "yang bekerja keras" untuk menjadi Ketua Pemuda yang akhirnya menjadi PM sebelum usia 40 tahun. Aku percaya Pak Lah akan menggunakan pengaruhnya untuk memastikan agenda KJ tercapai dan pada masa itu nescaya Najib tidak mampu berbuat apa2 sebab mengenangkan jasa2 Pak Lah selama ini.

Dan andainya Najib tetap akan melantik Pak Lah sebagai penasihat UMNO, sebaiknya juga Tun Dr. Mahathir turut menjadi seorang lagi penasihat parti bagi memastikan Pak Lah tidak menggunakan pengaruhnya dengans sewenang2nya khususnya dalam hal2 melibatkan diri dan anak menantunya. Dengan kata lain agar ada keseimbangan.

Tun selama ini kita tahu begitu kuat aura dan pengaruhnya di peringkat akar umbi dan andainya Najib hanya mengambil Pak Lah dan meninggalkan Tun, aku bimbang akar umbi kembali memberontak dan usaha memulihkan UMNO akan digagalkan.

Dan persoalan juga, wajarkah Pak Lah menjadi penasihat UMNO sedangkan ketika menjadi Presiden parti dulu beliau begitu sukar untuk menerima nasihat orang lain. Sebab itulah BN boleh tewas dalam PRU-12 lalu dan gagal memperoleh majoriti serta menyebabkan UMNO menjadi lemah dan negara juga menjadi kacau bilau.

Apabila Samy Vellu terus beraja....

Kalau UMNO kini sedang membuat pembaharuan melalui pucuk pimpinan baru dan MCA sudah melaksanakan pembaharuan mereka tetapi MIC masih lagi ditakuk lama dengan Samy Vellu yang kini masuk tahun ke-30 menjadi pemimpin parti India itu.

Aku percaya ramai di kalangan kaum India kecewa dan tidak mampu berbuat apa2 apabila Samy Vellu disahkan menang Presiden MIC tanpa bertanding selepas lawannya telah dibatalkan penyertaan. Aku percaya bukan orang India sahaja yang melihat isu Samy Vellu tetapi juga di kalangan kaum lain.

Entahlah... aku sendiri tidak tahu apa matlamat Samy Vellu sehingga mahu menongkat langit atau mungkin mahu mencatatkan sejarah sebagai Presiden MIC seumur hidup. Jika ini berlaku, aku percaya ia bukan sahaja memberi kesan kepada MIC tetapi juga BN dan pentadbiran Najib Razak.

Isu Hidraf adalah salah satu bukti kemarahan kaum India kepada MIC kerana gagal memperbaiki taraf hidup kaumnya dan kemarahan mereka bukan sahaja memberi kesan buruk kepada parti itu sebaliknya menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara yang didalamnya tinggal 27 juta penduduk Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah & Sarawak, orang2 Asli serta jutaan pendatang asing.

Tetapi sehingga kini apa yang dilakukan oleh Samy Vellu untuk meredam isu Hidraf? Tiada.. yang beliau lakukan sebaliknya sedikit sebanyak menyokong kumpulan haram itu dan secara berselindung menuduh kemunduran kaum India disabitkan pula dengan dasar2 UMNO.

Wajarkah UMNO disalahkan jika masih ramai kaum India yang miskin, mundur dan tidak berpendidikan? Apa pula tugas MIC? Walhal MIC-lah yang sepatutnya bertanggungjawab dan Samy Vellu sebagai Presiden perlu bertanggungjawab terhadap nasib kaum mereka.

Dan tindakan Samy Vellu yang masih lagi enggan berundur menyebabkan kemarahan kaum India semakin memuncak. Andai pada PRU-12 lalu telah diluahkan kemarahan itu melalui kertas undi sehingga menumbangkan sebahagian besar calon MIC termasuk Samy Vellu, aku percaya hal yang sama akan berulang di Bukit Selambau.

Ini kerana rakyat khususnya kaum India dapat melihat dengan jelas bahawa sepanjang 30 tahun menerajui MIC tiada apa yang dilakukan oleh beliau untuk memajukan India di negara ini melainkan membesarkan tembolok diri, kaum keluarga dan rakan2nya. Jadi buat apa dipertahankan lagi?

Sebab itulah aku melihat Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada pentadbiran Najib kerana usaha untuk menarik sokongan kaum India terhadap BN adalah sukar jika Samy Vellu masih terus berkuasa.

Dan aku yakin kejayaan Samy Vellu mempertahankan jawatan Presiden MIC baru-baru ini akan memberi pengaruh yang besar kepada pilihan raya kecil Bukit Selambau yang menyaksikan persaingan 15 penjuru dengan lapan daripadanya calon India termasuk masing2 dari BN (MIC) dan PKR.

Pengaruh itu bukannya menarik pengundi India untuk memangkah calon BN tetapi pengaruh yang membawa hilang keyakinan kepada MIC yang notabenenya adalah BN dan kerajaan dibakal diterajui oleh Najib yang mungkin membawa kekalahan (lagi) kepada BN di sana.

Samy Vellu... sudah-sudahlah!

p/s:
Judul tulisan "Racun Anwar semakin tawar" akan dipos tidak lama lagi... tungguuuu!

29 March 2009

15 penjuru di Bukit Selambau... Satu isyarat!

Walaupun 7 April ini berlangsung tiga pilihan raya kecil secara serentak di tiga kawasan dan tiga negeri namun aku percaya Bukit Selambau lebih menjadi tumpuan, lebih menarik untuk dibualkan. Buktinya, hari penamaan calon hari ini menyaksikan pertandingan 15 penjuru - kali pertama dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 13 daripadanya adalah calon bebas manakala setiap seorang wakil BN dan PKR. Senarainya adalah seperti berikut:

1. R. Loganathan (Bebas) - logo kelapa sawit
2 . Tan Hock Huat (Bebas) - kunci
3. Radzi Md. Lazim - Bebas - kerusi
4. S. Manikumar (PKR) - logo PKR
5. Mohd. Fadzil Abdul Wahab (Bebas) - kepala harimau
6. Abdul Rahim Abu - (Bebas) - jam loceng
7. L. Sarala (Bebas) - basikal
8. Datuk S. Ganesan (BN) - dacing
9. A. Jayagopal (Bebas) - payung
10. S. Moganakumar (Bebas) - buku
11 . Khamis Awang (Bebas) - ayam jantan
12. Husaini Yaacob - (Bebas) -bas
13. M. Vanesan - (Bebas) ikan
14. Mejar (B) Anuar Abd. Hamid (Bebas) - telefon
15. T. Chandrarajan - (Bebas) kapal terbang

Menariknya daripada 13 calon Bebas, 6 adalah Melayu, 6 India dan seorang lagi dari kaum Cina. Sementara calon BN dan PKR keduanya-duanya berbangsa India.

Dalam hal ini aku percaya calon2 bebas Melayu cuba menyampaikan isyarat mereka kepada BN, kerajaan dan juga kaum minoriti. Aku percaya mereka ingin menyampaikan rasa tidak puas hati kerana BN memilih calon bukan Melayu bertanding di Bukit Selambau, walaupun majoriti penduduknya adalah Melayu.

Beliau juga mahu menyampaikan rasa tidak yakin terhadap UMNO yang menjadi parti terbesar Melayu yang tidak diberi peluang bertanding di situ, sedangkan pada PAU lalu, calon bukan Melayu yang diletakkan disitu mengalami kekalahan.

Mereka juga menyampaikan isyarat kepada kaum minoriti di kawasan tersebut atau bahkan kepada seluruh negara bahawa undi Melayu untuk Melayu. Dengan berfikiran sedemikian beliau berharap dapat menarik 100% pengundi Melayu memangkah calon Melayu.

Pun begitu aku tidak menolak kemungkinan ada diantara mereka ditaja oleh pihak lain sama ada dari parti pembangkang atau kerajaan untuk memecah undi calon-calon parti induk yang bertanding kali ini. Seperti aku katakan tadi, jika senario Melayu pilih Melayu, India pilih India dan Cina pilih Cina, maka kemungkinan untuk mereka memenangi kerusi Bukit Selambau ada harapan.

Bagaimanapun, undi2 di kalangan mereka sesama sendiri juga berpecah kerana pengundi yang memilih Melayu untuk Melayu terpaksa memilih antara enam calon Melayu yang ada manakala bagi undi India untuk India pula jauh lebih sukar kerana terpaksa bersaing antara lapan calon.

Jika ini berlaku, aku percaya populariti calon akan memberi kelebihan. Mereka yang popular di kalangan pengundi Bukit Selambau akan menjadi pilihan.

Namun aku percaya bukan soal kalah menang yang mereka pentingkan tetapi apa yang mereka mahu tunjukkan bahawa rakyat di Bukit Selambau mahukan perubahan kerana sudah muak dengan situasi politik yang berlaku di negara ini dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Dan aku percaya daripada 13 calon bebas yang bertanding sekurang2nya 5-7 daripadanya akan menarik diri...

Pasca pemilihan UMNO...

Kini sudah jelas dan nyata barisan kepimpinan UMNO yang baru selepas PAU-59 yang berlangsung selama 4 hari di PWTC tamat awal petang tadi dan yang menjadi perbualan hangat ialah siapa pula yang akan membarisi kabinet Najib selepas beliau mengangkat sumpah sebagai PM yang baru...

Berikut ialah jangkaan aku berhubung kedudukan menteri kabinet/pemimpin sayap dalam kabinet Najib - Dijangka kabinet baru diumumkan selepas PRK 7 April:

1) Muhyiddin - bertukar kementerian
2) Mat Taib - (tewas) - digugurkan
3) Zahid Hamidi - bertukar kementerian
4) Shafie Apdal - bertukar kementerian
5) Hishamuddin - kekal Menteri Pelajaran
6) Mustapa Mohamed - bertukar kementerian
7) Noh Omar - kekal Menteri Usahawan
8) Shahrizat - dilantik senator & jadi menteri
9) Khairy - tidak dilantik
10) Razali Ibrahim - timbalan menteri / Setiausaha Parlimen (jika diwujudkan semula)
11) Azalina - (tewas) - bertukar kementerian
12) Ali Rustam - (dilarang bertanding) - dilantik Setiausaha Agung UMNO
13) Rosnah Rashid Shirlin - tidak dilantik / Setiausaha Parlimen
14) Syed Hamid - (tewas) - bertukar kementerian / digugurkan
15) Rais Yatim - (tewas) - bertukar kementerian / digugurkan
16) Khaled Nordin - (tewas) - bertukar kementerian

Tambahan:
Rakan blogger Asam Pedas siap menamakan portfolio yang bakal dipegang oleh barisn MT baru ini. Hebat.... Dan aku pula kalau boleh mencadangkan kepada Najib agar melantik Dr. Norraesah sebagai menteri penuh berkaitan kewangan/perdagangan memandangkan diapun dah berstatus "senator".

28 March 2009

Booo... KJ terima isyarat jelas

Kelmarin KJ boleh berseronok dan bergembira sakan sebab akhirnya berjaya memenangi kerusi Ketua Pemuda walaupun dia tahu dia sudah dihukum bersalah terlibat politik wang tetapi atas keajaiban(?) dia menang juga.

Tetapi kemenangan KJ bukanlah boleh dibanggakan. Selepas diumum menang hanya perwakilan yang memangkahnya sahaja bersorak girang di dalam dewan tetapi di luar dewan, ratusan anti KJ telah melaungkan "KJ rasuah...!!" sehingga memaksa pihak polis campur tangan.

Dan hari ini, lebih 2,000 perwakilan persidangan UMNO yang memenuhi Dewan Merdeka (tidak termasuk pemerhati) menyampaikan isyarat jelas apabila KJ di -booo oleh hampir seluruh perwakilan di hadapan bapa mertuanya setiap kali namanya disebut. Dan paling jelas apabila namanya disebut oleh Najib sendiri.

Pergh.. kalau aku jadi KJ mahu aku keluar dari dewan itu dan meraung di luar sana atau ambil kulit biawak dan tampal di muka kerana malu... ye amat memalukan. Mana ada sejarah dalam pemilihan UMNO perwakilan "booo" pemimpin mereka, cuma kali inilah dan berlaku beberapa kali pula terhadap orang yang sama... Khairy Jamaludin Abu Bakar!!!

Aku percaya beliau sudah memahami isyarat yang dihantar oleh para perwakilan bahawa kemenangannya tidak direstui oleh sebilangan besar perwakilan, pemerhati malah sebahagian besar ahli UMNO serta orang ramai di luar dewan. Tapi aku tidak pastilah manusia jenis apalah seorang ini sehingga masih lagi buat muka selamba walaupun kena booo...

Dan isyarat itu bukan sahaja ditujukan kepada tuan empunya diri tetapi juga kepada Najib. Sebab itulah Najib perlu bijak mengatur kedudukan Ketua Pemuda dan sebaiknya keluarkan namanya dari senarai barisan kabinet baru kerana kemarahan rakyat akan meningkat jika KJ berada dalam kabinet.

...

27 March 2009

Najib angkat sumpah PM 3 April!

Huh.. aku baru terima SMS dari seseorang memaklumkan bahawa Pak Lah akan mengadap Agong pada 2 April untuk mendapat perkenan bagi membolehkan beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan memilih Najib sebagai pengganti.

Najib pula dijadualkan angkat sumpah sebagai PM pada keesokan harinya iaitu Jumaat, 3 April 2009.

Aku harap ini bukan April Fool...!!

Lega....

Lega...! Itulah ungkapan pertama yang keluar dari mulut aku apabila Muhyiddin diumumkan menang Timbalan Presiden UMNO. Maknanya beliau juga bakal dilantik TPM. Bukan apa, aku percaya bukan aku sahaja yang mula bimbang tetapi hampir seluruh rakyat Malaysia selain ahli UMNO juga berdebar2 menanti keputusan ini.

Namun kejayaan Muhyiddin menewaskan Mat Taib memberi sinar semula kepada UMNO selepas tindakan perwakilan Pemuda yang mengambil langkah memilih Ketua yang sudah terbukti bersalah terlibat politik wang, bimbang pula kalau2 perwakilan memilih pula calon yang pernah membawa wang berjuta2 ringgit ke Australia dan kemudian kantoi itu.

Seperti yang aku nyatakan sebelum ini Muhyiddin bukanlah calon terbaik bagi mengisi jawatan no. 2 itu tetapi hakikat harus diterima bahawa tiada manusia sempurna dalam dunia ini dan dialah calon yang terbaik yang ada bagi mengiringi Najib. Maka itulah harapan seluruh ahli UMNO dan orang di luar sepanjang pemilihan agung kali ini.

Bercakap pula mengenai Naib Presiden, tiga pemimpin yang dipilih iaitu Zahid, Hisyammuddin dan Shafie Apdal ia sama juga selari dengan pemilihan Muhyiddin iaitu inilah calon terbaik yang ada berbanding nama2 lain yang dicalonkan.

Zahid walaupun khabarnya mempunyai kes dan Hisyam yang dianggap lembek serta Shafie yang mendapat sokongan padu perwakilan Sabah, membandingkan dengan lain-lain tokoh inilah yang ada dalam UMNO sehingga kini.

Aku bukannya mahu memburuk2kan sesiapa tetapi hampir semua calon Naib Presiden mempunyai titik lemah masing-masing termasuk tiga yang mendapat undian tertinggi, namun sejauh mana seriusnya titik lemah itu yang menjadi penanda aras perwakilan membuat pilihan.

Rahim Tamby Chik, Syed Hamid, Khaled Nordin, Isa Samad dan Rais Yatim, masing2 punya kelemahan dan kekuatan. Tapi inilah pilihan perwakilan...

Dalam pada itu, aku ingin merakamkan terima kasih kepada perwakilan kerana memilih Dr. Norraesah sebagai salah seorang ahli MT. Beliau jugalah calon tunggal wanita yang membarisi MT Najib. Sebabnya aku percaya beliau merupakan tokoh berwibawa dalam bidang ekonomi dan jawatan terbaiknya adalah mengetuai Biro Ekonomi UMNO. Setidak2nya beliau boleh menggantikan Rafidah.

Jadi secara keseluruhannya aku lega dan aku percaya hampir seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia merasai keadaan sama dengan pemilihan yang dibuat oleh perwakilan kali ini walaupun ada beberapa ahli MT yang pada aku tidak sewajarnya dipilih.

Namun, aku percaya beberapa muka baru dan juga barisan Pemuda yang "boleh menjadi parasit" dalam UMNO dapat diredam oleh Najib & Muhyiddin. Itulah harapannya...

26 March 2009

Timbalan Presiden penentu hidup mati UMNO

Selepas perwakilan Pemuda memilih perasuah politik sebagai ketuanya, hari ini penentu pula untuk mengisi jawatan dalam Majlis Tertinggi mulai Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli majlis.

Tapi dalam banyak2 itu, bagi aku jawatan Timbalan Presiden akan menjadi penentu sama ada calon yang dipilih akan menjadi penyelamat selepas UMNO dicederakan oleh sayap Pemuda atau semakin parah dengan pemilihan calon yang tiada integriti dan kreadibiliti.

Ya, inilah jawatan paling penting dalam UMNO sebab kelazimannya orang no. 2 dalam UMNO juga bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Maaf katalah, andai perwakilan memilih calon seperti Mat Taib aku percaya kecederaan UMNO semakin parah dan menambah duka rakyat tetapi jika Muhyiddin dipilih, ia dapat merawat luka tersebut.

Najib sudah memberi bayangan pemimpin seperti apa yang diperlukan dan sepatutnya ia menjadi panduan kepada perwakilan untuk membuat pilihan. Tetapi andai senario pemilihan Ketua Pemuda & barisan exconya menjadi ikutan, aku percaya Najib tidak mampu menyelamatkan UMNO.

Pun begitu, aku turut bersetuju dengan pandangan beberapa pihak iaitu calon yang menang jawatan tertinggi UMNO tidak semestinya disenaraikan dalam kabinet Najib. Para korupsi jika tidak diberi ruang dan peluang, nescaya akal mereka mati. Aku setuju dengan cadangan pembaca MTB agar KJ tidak diberikan jawatan dalam kabinet.

Sebelum ini Ketua Pemuda baru ini mungkin berkuasa menjadi tok dalang terhadap keputusan2 yang dibuat oleh PM dalam kerajaan & parti tetapi kini orang2 Najib sudah pasti menghalangnya. Begitu juga dengan kuasa T4 juga akan lumpuh. Namun sejauh mana ia dapat dihalang?

Ya, jadi jalan terbaik ialah para perwakilan pilihlah Muhyiddin sebab walaupun dia "lemah" dari segi hubungannya dengan akar umbi tetapi mempunyai kekuatan untuk menyokong kepimpinan Najib bagi membina semula UMNO dan menguatkan kembali pentadbiran BN.

Namun andai para perwakilan mahu melihat UMNO mati menjelang PRU-13 ini buatlah pilihan sepertimana Pemuda memilih ketuanya.

p/s: Aku diberitahu laungan "KJ... Rasuah!!" (ed) bergema di luar dewan Tun Hussein Onn sejurus selepas pengumuman Ketua Pemuda... Betul ke?

Terima kasih perwakilan kerana pilih KJ

Aku ucapkan terima kasih kepada para perwakilan Pemuda UMNO sebab memilih calon yang disahkan terlibat politik wang tetapi dibenarkan bertanding sebagai ketua mereka. Maka jelaslah ke mana hala tuju perjuangan Pemuda.

Ya, dengan kemenangan menantu Pak Lah ini maka terbukalah jalan KJ untuk menjadi PM sebelum usia mencapai 40 tahun itupun kalau UMNO masih wujud memandangkan kini sentimen rakyat khususnya golongan muda bencikan UMNO semakin kukuh. Aku percaya selepas ini KJ akan menjadi ketua kepada penyokongnya sahaja sedangkan lain2 ahli dan muda-mudi memilih berdiam diri, berpaling tadah atau kalau belum sertai UMNO, mereka memilih Pas atau PKR kalau bukan DAP sekalipun.

Terima kasih perwakilan Pemuda kerana memilih ketua yang menjadi penyebab kekalahan BN di 4+1 negeri pada PRU-12 lalu dan ketua yang mencampuri urusan kerajaan pimpinan bapa mertuanya sebelum ini, walaupun beliau bukanlah sesiapa dalam kerajaan.

Dan dengan pemilihan yang dibuat perwakilan ini, maka jelaslah bahawa mereka yang memberi undi kepadanya bakal menerima habuan besar atau mungkin sudah menerima habuan masing2 atau mungkin juga akan dijanjikan bulan dan bintang oleh si ketua yang dipilih. Tahniah, kalian semua bakal menjadi jutawan muda.

Aku juga ucapkan terima kasih kepada Lembaga Disiplin UMNO sebab mengesahkan bahawa Khairy bersalah terlibat dalam politik wang dan berterima kasih juga sebab membenarkan beliau bertanding walaupun calon Timbalan Presiden yang juga bersalah dikenakan hukuman.

Aku harap Lembaga Disiplin atau sebaik2nya SPRM menyiasat kemungkin wujudkan "SI" (salam kaut) di kalangan perwakilan malam menjelang pemilihan sehinggakan calon seperti ini masih mampu memenangi jawatan no. 1 dalam Pemuda.

Tahniah KJ kerana anda bakal menjadi pemusnah Pemuda yang akan menjadi generasi penerus perjuangan UMNO. Tahniah...!!

Yang pasti dengan kemenangan Khairy ini akan mengorbankan kerusi Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Dan pada masa itu seluruh penyokong BN bolehlah meludah kepada perwakilan Pemuda yang memilih seorang ketua yang seperti ini.

Malah yang pasti, BN juga bakal tumbang pada PRU-13 andai Najib gagal "mengawal" keagresifan Ketua Pemuda ini yang begitu ghairah untuk menjadi PM sepertimana yang didambakan oleh Sifu-nya, Anwar Ibrahim.

Tahniah & terima kasih!

24 March 2009

Politik Nizar bakal berkubur di Bukit Gantang

Ahaks... Judul tulisan aku kali ini sudah pasti akan mengundang kemarahan penyokong pakatan sebab memperlekehkan bekas MB Perak, Nizar Jamaluddin yang kini dicalonkan di Parlimen Bukit Gantang. Sudah pasti ulasan2 yang berbaur emosi, marah dan tidak kurang yang akan menghentam aku terima dari pengikut blog aku dari mereka yang sokong pakatan.

Tak apa, sebab tulisan aku ini berdasarkan andaian dan pandangan aku tentang nasib Nizar yang telah dilucutkan jawatan MB tetapi masih mengaku MB untuk bertanding di Parlimen pula di pilihan raya kecil 7 April ini.

Tentu mereka tertanya2 atas dasar apa aku menyatakan Nizar akan terkubur di Bukit Gantang atau dengan kata2 mudah, Nizar bakal tewas. Ops... bukan kerana aku pro BN atau kerana aku anti pakatan, tidak tetapi berdasarkan pengamatan aku.

Pertama, sebab Nizar bukannya orang Bukit Gantang dan sepanjang jadi MB dia pun tidak pernah menjenguk nasib rakyat di sana yang majoriti penduduknya kaum Melayu. Nizar terlalu sibuk perihal pembahagian tanah kampung baru kepada kaum lain, di kawasan lain. Jadi Nizar kurang dikenali di kalangan pengundi Bukit Gantang.

Kedua, rakyat Perak terutama penduduk Bukit Gantang sudah muak dengan gelagat Nizar yang masih lagi gila kuasa sehingga menyebabkan negeri itu berada dalam keadaan tidak menentu. Jadi, buat apa mereka memberi sokongan kepada Nizar - pencetus masalah di Perak sebab sayangkan Camry.

Ketiga, pengundi di Bukit Gantang (malah seluruh rakyat) kini sudah mampu menilai yang mana intan dan yang kaca selepas pakatan memerintah selama hampir setahun di Perak dan di beberapa negeri lain.

Keempat, kemusnahan yang dibawa Anwar dalam pakatan kini semakin membengkak. Macam pernah dilakukan dalam UMNO/BN dulu, tindakan & keputusan Anwar kini semakin tidak disenangi oleh puak2 DAP dan sebahagian pemimpin PKR sendiri. Ahaks, hal ini sudah sangat difahami oleh puak2 UMNO sebab Anwar pernah menjadi parasit kepada UMNO dan kini menular pula dalam PR.

Kelima, peralihan kuasa dalam UMNO dan kerajaan yang akan berlaku sebelum PRK di dua bukit dan satu batang akan membawa angin baru dalam kerajaan BN yang sudah pasti akan mendapat sokongan daripada pengundi. Harus diingat, keputusan PRU-12 dulu adalah kerana protes di kalangan rakyat terhadap Pak Lah dan kini apabila Pak Lah bersara, rakyat akan kembali menyokong BN.

Keenam, sentimen perkauman bakal mempengaruhi undian dan orang Melayu akan menyokong calon BN sebab mereka melihat pakatan banyak membawa "kemusnahan" kepada Melayu & Islam, manakala desakan demi desakan puak bukan Melayu ke atas Melayu akan menyebabkan ketidaksenangan pengundi Melayu. Sebahagian besar Cina & India dijangka memberi sokongan kepada Nizar sebab mereka tahu Nizar boleh dicucuk hidung untuk memenuhi kehendak mereka.

Ketujuh, BN semakin bersedia menghadapi PRK baik di Bukit Gantang, Bukit Selambau maupun di Batang Ai selepas mengalami pengalaman buruk di Kuala Terengganu.

Itulah ramalan aku berhubung PRK Bukit Gantang & nasib Nizar... Jangan marah!

23 March 2009

UMNO election or UMNO selection?

Ada seorang kawan aku dengan penuh emosi & marah-marah sebab katanya UMNO bukannya nak buat "election" tetapi "selection" pada PAU Rabu ini sebab katanya senarai barisan kepimpinan sudah ditentukan dan hanya tinggal memilih (select). Pergh... berapi2 kawan aku itu bercakap. Mungkin sebab boss-nya tidak tercalon kot.

Katanya, buat apa UMNO adakan "election" kalau peluang orang-orang tertentu disekat, dihalang. Seolah2 UMNO nak buat "selection" pemimpin bukannya "election". Begitu luah kawan aku berulang kali. Aku tersengih di hujung meja sebab tak tau nak mengiyakan atau tidak. Beberapa kawan aku yang lain pun hanya memandang sesama sendiri.

Dia berkali-kali bertanya kenapa orang ini yang kantoi tetapi tidak yang lain. Maksudnya kenapa hanya Ali Rustam yang dikenakan hukuman dan tidak calon lain yang katanya juga amalkan politik wang. Dah tuh ada yang terbukti bersalah tetapi masih dibenarkan bertanding. Hujahnya dengan bersemangat.

Lalu seorang kawan aku cuba meredakan keadaan katanya, ia umpama para pemandu kereta yang memecut di lebuh raya melebih had laju. Nah kebetulan ketika Ali Rustam melaluinya, dia kena speed-trap. Maka dia dikenakan hukuman sedangkan orang lain pun bawa laju tapi nasib baik terselamat.

Ah... speed-trap yang sengaja dipasang untuk memerangkap Ali dan bukannya orang lain. Sebab itu orang lain tak kena, balas kawan aku itu dengan penuh semangat. Dia memandang ke arah aku, mungkin sebab nak mintak sokongan aku dengan hujahnya.

Aku cuma terdiam dan dalam hati berfikir, mungkin kata kawan aku ada benarnya tetapi mungkin juga tidak benar. Ini soal persepsi dari mana mereka memandang dan siapa yang mereka sokong.

Kalau tanya aku yang tidak berparti ini aku katakan dua2 kenyataan itu bentul. Ali buat salah dan dia kena speed-trap dan kena kompaun, orang lain buat salah kena speed-trap tapi dibebaskan dan ramai pula yang tidak kena speed-trap.

Cara yang terbaik untuk elak dikompaun, jangan bawa laju dan fikirlah bahawa speed-trap ada di mana sahaja. Insya-Allah selamat....!

Rakyat pun tak kisah UMNO nak buat "election" ke "selection" ke, yang penting kepimpinan baru UMNO mampu menyatukan bangsa dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti. Yang penting rakyat hidup senang, tenang dan aman.

Anugerah Olahragawan Negara untuk Azizulhasni

TERKINI (8.20 PM):
Datuk Lee Chong Wei diumumkan penerima anugerah Olahragawan Negara 2008 dan Datuk Nicol David sebagai Olahragawati Negara... hemmm!

POS TERDAHULU:
Ada orang tanya siapa yang aku pilih untuk jadi Olahragawan Negara 2008? Aku kata Azizulhasni, pelumba basikal negara. Mereka tanya kenapa tidak Lee Chong Wei yang menang perak Olimpik? Jawapan aku mudah saja, Malaysia memang kuat dalam badminton dari dulu lagi. Jadi apa nak hairan kalau pemain kita dapat pingat perak Olimpik. Emas pun bukannya perkara mustahil. Cuma prestasi pemain saja kadang ok kadang tak ok.

Tetapi siapa sangka tiba-tiba nama2 pelumba basikal negara menjadi bualan di peringkat dunia. Kejayaan Azizulhasni menang keirin dunia dan bersaing hebat dengan pelumba2 handalan dunia di Olimpik sepatutnya diberi penghargaan tertinggi. Ya, Azizulhasnilah selayaknya memenangi anugerah ini.

Sekurang2nya ia memberi semangat kepada pelumba kecil dari Terengganu ini untuk terus menggegarkan dunia melalui kayuhannya. Bayangkan selama ini tidak pernah terselit nama anak Malaysia apa lagi orang Melayu dalam barisan pelumba basikal dunia, tiba2 nama Azizulhasni muncul. (Sebelum ini Josiah Ng).

Jadi sewajarnyalah anugerah Olahragawan negara yang akan diumumkan malam ini menjadi milik Azizulhasni.

Lagipun beliau sendiri merungut sebab sejak menjadi juara dunia keirin yang diadakan di luar negara (bukan jaguh kampung seperti sesetengah ali sukan kita), tiada sesiapapun tampil untuk menaja beliau.

Betul juga. Kenapa tiada syarikat korporat tempatan yang sudi menaja beliau selama ini. Apakah kerana beliau hanyalah seorang "pelumba kampung" yang menang di peringkat dunia hanya nasib? Haloo... lumba basikal bukan macam main golf kerana nasib dapat buat "hole-in one". Tetapi ini lumba basikal. Kalau tidak ada kekuatan, mana mungkin boleh menandingi pelumba luar negara yang jauh lebih besar badannya dan bertenaga.

Apapun aku harap Majlis Sukan Negara membuat pilihan yang terbaik bagi anugerah ini. Walaupun ia nampak kecil tetapi mempunyai makna yang besar bagi ahli sukan kita. Chong Wei memang layak tetapi Azizulhasni jauh lebih layak.

22 March 2009

Ali kantoi, Muhyiddin kena tempias

Ali Rustam telah dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada PAU Selasa ini dan beliau kelihatannya menerima hukuman Lembaga Disiplin itu dengan hati terbuka. Beliau masih sudi menghadiri program UMNO dan masih setia bersama parti. Malah beliau masih mampu melemparkan senyuman kepada mereka yang ditemuinya termasuk saingannya, Muhyiddin. Pergh... Aku salut dengan Ali Rustam.

Dalam pada itu di pihak penyokongnya pula tercetus kebencian terhadap Muhyiddin apabila ramai mengaitkan kes ketuanya itu disebabkan konspirasi dari Muhyiddin walaupun Ali Rustam sendiri menafikannya.

Dan aku percaya sentimen yang dibawa oleh penyokong Ali ini bakal menggugat Muhyiddin apabila mereka dijangka akan memberi undi kepada Muhd Taib walaupun sedar bahawa calon tersebut bukanlah pilihan terbaik mereka untuk menjadi orang sparing-partnet Najib dalam parti dan juga kerajaan.

Bayangkang jika pengundi2 Ali Rustam berpaling kepada Muhd Taib gara2 bosnya tiada dalam senarai pencalonan sudah pasti kedudukan Muhyiddin tergugat. Dan aku percaya hal ini disedari oleh Muhyiddin sendiri.

Sebab itulah khabarnya Muhyiddin cepat-cepat mendapatkan Ali Rustam ketika "bertembung" dalam satu majlis di PWTC petang semalam yang gambar mereka bersalam penuh mesra menghiasi muka depan media arus perdana hari ini. Apakah ini kebetulan atau sememangnya dirancang oleh Muhyiddin bagi meredakan kemarahan pengundi2 Ali Rustam? Wallahuakhlam..

Nampaknya hukuman yang dikenakan ke atas Ali Rustam nyata memberi impak yang baik kepada Mat Taib walaupun sedar sebelum ini beliau bukanlah calon favourite tetapi beliau patut berterima kasih kepada Lembaga Disiplin kerana mengenakan hukuman kepada Ali yang akhirnya memberi kelebihan kepada beliau, bukannya Muhyiddin.

Jadi siapa yang beruntung disebalik kes Ali Rustam? Mat Taib atau Muhyiddin?

Bagi aku Muhyiddin mempunyai pakej yang baik untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden yang juga bakal Timbalan Perdana Menteri. Dari segi pengalaman menjadi menteri beberapa portfolio utama, senioriti dan juga hubungannya di peringkat antarabangsa.

Tetapi kelemahan beliau membina hubungan baik dengan akar umbi bakal menggugat hasrat beliau kerana yang menentukan kedudukannya pada PAU nanti bukanlah rakan2 perniagaan atau menteri di luar negara, sebaliknya ketua2 bahagian dari peringkat akar umbi.

Oleh sebab itulah jika ditolak pengaruh wang pada PAU nanti, aku melihat mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan akar umbi mempunyai kelebihan untuk memenangi jawatan walau sehebat mana dan seluas mana pengalaman seseorang calon tersebut yang dalam hal ini Muhyiddin tidak memilikinya.

Apakah ini senarionya??? Kita tunggu!

20 March 2009

Kem Pak Lah, kem Najib

Semalam artis remaja Diana Danielle masuk kem Princess Haliza Sepang sebab nak menjalani PLKN di sana. Kecohlah kem tersebut apabila ada selebriti yang jadi salah seorang pelatihnya. Tentunya komander atau warden kem itu kembang kempis hidung sebab dapat anak didik selebriti yang cun macam Diana.

Tapi kat sini aku bukan nak tulis pasal Diana, artis yang pernah jadi girlfriend anak Yusof Haslam tu bukan. Tapi aku nak cerita kem-kem yang dibentuk menjelang PAU minggu depan. Biasalah bila ada pemilihan, adalah kemnya. Kali ini orang bercakap mengenai kem Pak Lah dan kem Najib.

Kes Ali Rustam (calon no. 2) yang tidak dibenarkan bertanding itu khabarnya adalah usaha kem Najib untuk cantas puak2 dari kem Pak Lah. Jadi Ali yang disokong Pak Lah itu dianggap calon yang boleh menggugat peluang Muhyiddin (calon no. 1) untuk menang Timbalan Presiden. Sebab umum tahu Najib nakkan Muhyiddin. Jadi apabila ada pungutan suara yang dibuat menunjukkan perwakilan cenderung memilih Ali maka kecut perutlah kem Najib maka diusahakan sesuatu untuk mengatasi masalah ini.

Tapi Najib kata tak ada konspirasi dan Ali pun dah kata tak ada konspirasi, aku sendiri tak tahulah betul ke tidak dakwaan konon kem Najib cantas Ali ini. Kalau ada pun mana diorang nak mengaku.

Walaupun begitu kem Najib gagal untuk mencantas KJ (calon no. 3) dari bertanding Ketua Pemuda apabila menantu Presiden yang bakal bersara itu terselamat (atau diselamatkan?) daripada menerima hukuman sepertimana Ali walhal kesalahannya sama. Apakah pedang samurai kem Najib tidak begitu tajam untuk mencantas KJ yang memang kebal dan bebal di bawah ketiak bapa mertua itu? Tapi bila KJ disahkan bersalah maka kem Najib kendurkan sikit serangan sebab percaya sekurang2nya bisa KJ dah tawar untuk bersaing dengan Khir Toyo (calon no. 2) dan Mukhriz (calon no. 1).

Apa pun cabaran paling seru tentulah Wanita sebab Shahrizat (calon no. 2) yang memang dikenali sebagai calon pilihan Pak Lah nak menentang orang tua sekebal Rafidah (calon no. 1) yang khabarnya menjadi pilihan Najib. Yelah walaupun dah berkurun menjadi Ketua Wanita, tapi khidmat Rafidah katanya penting ketika keadaan ekonomi yang lemau seperti ini. Kata oranglah.

Tapi bagi aku ramai lagi "Rafidah" dalam Malaysia ini yang boleh diangkat untuk membantu Najib menghadapi kemelut ekonomi seperti sekarang. Yang aku nampak Dr. Nooraesah (calon no. 44) pun hebat dalam perihal ekonomi, tapi tak pernah diberi peluang. Wanita pun tak terima beliau untuk duduk dalam barisan exconya jadi terpaksalah beliau bertanding sebagai AMT. Tapi peluangnya aku rasa tak berapa cerah sebab dia bukannya calon popular. Ops... no. calonnya pon tak berapa ong!

Kalau Nooraesah yang pernah meledakkan keuntungan Bank Rakyat masa jadi peneraju bank koperasi itu gagal menduduki kerusi MT aku rasa amat rugilah sebab dia seorang yang cukup bijak dalam mencaturkan ekonomi. Sekurang2nya dapat membantu Najib selepas peluang beliau nak jadi wakil rakyat gagal angkara tsunami politik pada PRU dulu. Tapi aku tak pastilah Nooraesah ni duduk kem mana...

Apa pun minggu depan adalah penentu kepada UMNO untuk mencari dan memilih para pemimpin mereka yang sekaligus bakal menerajui negara. Dan sudah pasti selepas PAU nanti akan berlaku perubahan dalam kabinet dan sudah pastilah ada menteri atau timbalan menteri yang terpaksa tinggalkan Putrajaya.

Kita tengoklah nanti...!

18 March 2009

Pak Lah selamatkan KJ?

Khairy Jamaludin masih boleh bertanding Ketua Pemuda pada PAU minggu depan biarpun Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Perkara 10.1 iaitu kesalahan sama yang dilakukan oleh Ali Rustam. Bezanya Ali tidak dibenarkan bertanding.

Alasan yang diberikan oleh Tengku Ahmad Rithaudeen sebab-sebab KJ "terlepas" adalah kerana ejen yang menabur duit untuk KJ tidak dikenali dan tiada hubungan langsung dengannya sedangkan ejen Ali ialah SekPol-nya sendiri.

Hemm... aku rasa jawapan Tengku Deen bersifat menyelamatkan keadaan sebabnya aku percaya hampir seluruh rakyat Malaysia percaya bahawa Pak Lah yang telah menyelamatkan KJ sehingga beliau masih boleh bertanding. Walaupun Tengku Deen kata tiada konspirasi tetapi itulah yang dipercayai rakyat.

Jadi kalau KJ bertanding sekalipun namanya sudah tercalar sebagai "calon bersalah" terlibat politik wang tetapi atas nama menantu Presiden parti yang akan bersara, beliau diselamatkan dan dibenarkan bertanding.

Dalam hal ini sudah pasti akal fikiran waras para perwakilan yang akan membuat pilihan dituntut untuk menilai calon paling layak untuk menjadi pemimpin mereka. Apakah memilih calon yang disahkan perasuah politik, calon yang disiasat tetapi terbukti tidak bersalah atau calon yang tidak dikaitkan langsung dengan rasuah politik.

Aku percaya para perwakilan Pemuda akan menggunakan kuasa mereka dengan bijak bagi memastikan UMNO khususnya Pemuda selaku pelapis dan pewaris bangsa tidak mengorbankan parti dengan memilih perasuah politik.

Ya, KJ boleh terlepas dari Lembaga Disiplin tetapi aku percaya beliau akan dihukum oleh ahli2 UMNO pada PAU nanti.

17 March 2009

Ali Rustam digantung...????

TERKINI:
KUALA LUMPUR 17 Mac - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti akhir bulan ini. Beliau didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1 tataetika ahli UMNO. Keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Disiplin parti. - Utusan

POS TERDAHULU:
Sosek-sosek terbaru aku dengar seawal pagi 17 Mac... Ali Rustam bakal digantung sebagai ahli UMNO antara 1 hingga 3 tahun. Ini kerana pihak Lembaga Disiplin telah menerima lebih 500 - 700 aduan berkaitan Ali. Kata yang memberi khabar, kalau dah sampai sebanyak itu, desas-desus yang Ali akan digantung makin terang.

Wah andai Ali Rustam digantung bermakna dia bukan sahaja tidak dapat sama-sama bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden malah secara tidak langsung beliau tidak lagi menjadi pengerusi UMNO negeri. Bermakna juga dia terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka?

Menurut empunya cerita, tindakan menggantung keahlian Ali Rustam sepertimana yang berlaku ke atas Isa Samad dahulu terpaksa dibuat memandangkan aduan yang diterima sangat banyak. Manakala Muhd. Taib pula hanya diberi surat tunjuk sebab kerana menerima 200 aduan sementara Muhyiddin dianggap calon paling bersih di kalangan calon Timbalan Presiden apabila hanya menerima 7 aduan.

Khabarnya Azalina dijangka "dibebaskan" selepas mendapat pengampunan Pak Lah walaupun SPRM sudahpun menyerbu pejabatnya dan dua pegawainya kantoi. Akupun tertanya2 juga bagaimana dengan KJ? Apakah namanya juga tersenarai?

"Hish... takkanlah diorang berani. Silap2 dari KP SPRM sampai bawahan kena tendang keluar. Lembaga disiplin lagilah...," kata empunya cerita ini kepada aku. Aku tersenyum je lah!.

Khir Toyo pula walaupun ada desas-desus menyatakan dia juga menerima surat dari Lembaga tersebut tetapi dia mengaku dirinya bersih.

Inilah cakap2 di warung Pak Tam seawal pagi ini yang aku peroleh namun kesahihannya masih belum dapat dibuktikan memandangkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithaudeen hanya membuat pengumuman mengenainya pada pukul 4 petang ini.

Jadi harap semua boleh berada di depan TV kira2 pukul 4 petang sebab aku percaya RTM akan buat siaran langsung dari PWTC petang nanti. Tidak pun pakat monitor blog, Utusan Online, kut2 ada "breaking news". Huhuhu....

16 March 2009

Gantung, menggantung & tergantung

Gobind Singh, anak Karpal Singh digantung menghadiri sidang Parlimen sebab menuduh Najib sebagai pembunuh pada satu sidang dewan baru-baru ini. Hari ini, Parlimen mendapat majoriti untuk meluluskan usul Nazri supaya Gobind digantung akibat berkelakuan sedemikian. Akibatnya, dia digantung selama setahun. Kesihanlah orang Puchong sebab wakil rakyatnya tidak dapat masuk dewan persidangan dan tak ada wakil orang Puchonglah selama setahun ini.

Tapi orang Puchong tak perlu kecewa dan risau sebab selama inipun wakil rakyatnya itu tidak pernah bawa usul, cadangan atau kemuka soalan berkaitan kepentingan rakyat Puchong tetapi lebih sibuk perihal lain yang tidak berkaitan dengan merekapun. Jadi, tak payahlah orang Puchong kecewa dengan tindakan ini...

Cerita Gobind ini teringat kes Speaker DUN Perak, Sivakumar yang gantung Zambry selama 12 bulan dari menghadiri sidang DUN. Cuma bezanya Siva buat keputusan di luar dewan, ketika dewan tak bersidang pun. Siva juga tidak mendapat sokongan majoriti dewan pun ketika membuat keputusan itu. Jadi fikirlah yang mana sah yang mana tak sah!

Cerita gantung menggantung ini ini agak sensitif sebenarnya untuk UMNO sekarang ini. Tambahan pula khabarnya ada calon2 pucuk pimpinan yang kena siasat sebab politik wang. Silap2 mereka digantung keahlian sepertimana yang dikenakan ke atas Isa Samad dulu. Kalau dah kena gantung tak dapatlah bertanding kerusi kedua tertinggi parti, MT atau sayap kanan parti. Kesian...

Banyak cerita pasal gantung menggantung ini tapi kebanyakan ceritanya tergantung. Jadi tidak tahulah nasibnya... Tunggu sajalah! Tak gitu?

Cuma aku harap mereka yang digantung ini kena terima hakikat dan tak bolehlah sampai emosi. Kena bersabar. Tentu ada hikmah disebaliknya supaya kita sedar diri. Janganlah sampai nak ugut-mengugut. Kena gentlemen. Biasalah, berani buat berani tanggung. Dulu mungkin kita terlepas tetapi kali ini tidak, nak buat macam mana? Takdirlah tu... Opss! Jangan gantung diri sudah!

Nampaknya ramalan adanya pilihan raya kecil lagi selepas 28 Mac ini tak menjadilah gamaknya...

15 March 2009

Jawatan No. 2 libatkan pertandingan dua penjuru?

TERKINI:
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib hari ini mencadangkan Lembaga Disiplin Umno supaya mengumumkan nama calon yang dikaitkan dengan politik wang sebelum bermulanya pemilihan Umno hujung bulan ini.
"Saya fikir elok diumumkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.



POS TERDAHULU:
Panas... panas... panas... PWTC sedang berpanas sekarang ini. Bukan sebab diserbu oleh orang ramai yang nak "booking" pakej pelancongan sempena MATTA Fair yang berakhir petang ini, bukan. Bukan kerana PWTC penuh sesak sebab ada lima acara berlangsung serentak hujung minggu ini, tidak!

PWTC panas sebab pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO hujung bulan ini hanya libatkan dua calon. Hah?? Kenapa dua sahaja??? Ya, inilah yang memanaskan PWTC (bangunan UMNO-lah) sebab khabarnya seorang calon telah menerima surat tunjuk sebab kerana politik wang dan mungkin tidak dibenarkan bertanding.

Wahhh... biar betul??

Ya, gema mengenainya telah kedengaran sejak beberapa hari lepas tetapi gempita belum lagi meletup... mungkin sedang menunggu masa. Siapakah calon yang dimaksudkan itu? Apakah Muhyiddin? Mohd Taib? atau Ali Rustam?? Hahaha... aku tak mahu dedahkan sekarang. Takut pula timbul fitnah dan tak fasal2 kena mengadap hakim.

Dan aku percaya ramai blogger yang sudah mewar2kan hal ini dalam blog masing-masing tetapi tiada satupun yang dapat mengesahkan bahawa calonnya ialah si-polan... si-polan.

Walau apa pun, aku harap Tengku Ahmad Ritahuddeen patut dedahkan calon2 yang terlibat dengan politik wang dan tarik balik borang pencalonan mereka. Kalau sudah mereka didakwa ke mahkamah, buat apa tunggu lagi. Bukti sudah ada cuma mengaku atau tidak sahaja.

Sebab itulah Lembaga Disiplin parti sendiri patut dedahkan senarai nama mereka yang disahkan mendapat "surat cinta" dari lembaga ini agar para perwakilan tahu yang mana intan dan yang mana kaca dalam bab2 ini dan bukannya ditentukan oleh Jawatankuasa Pengurusan.

Bukan apa, takut pula nantinya mereka yang terlibat itu adalah mereka yang juga menduduki kerusi jawatankuasa pengurusan. Takut pula nanti mereka akan mempengaruhi Pak Lah yang mudah di-flip-kan itu untuk melepaskan diri. Tak gitu?

12 March 2009

Pilihan raya kecil di Melaka?

"Satu pilihan raya kecil akan diadakan di negeri Melaka iaitu selepas 28 Mac ini. Kawasan yang dijangka terlibat ialah Parlimen Bukit Katil dan DUN Bukit Baru. Ini berikutan kejayaan Ali Rustam memenangi kerusi Timbalan Presiden UMNO!" Ops...!

Jangan terperanjat... Itu hanya ramalan yang akan berlaku jika Ali Rustam benar2 memenangi kerusi no. 2 itu. Ya, jika itu berlaku bermakna Ali kena tinggalkan negeri Melaka dan berpindah ke Putrajaya kerana beliau layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Jika ini berlaku bermakna Ali terpaksa bertanding di Parlimen. Parlimen mana yang akan menjadi korban?

Berdasarkan firasat aku, andai keadaan ini berlaku Ali Rustam akan melepaskan kerusi DUN Bukit Baru untuk bertanding Parlimen Bukit Katil. Ini tidak menjadi masalah sebab Parlimen Bukit Katil sekarang diduduki oleh bekas Setiausaha Politiknya, Mat Sirat Abu. Jadi akan berlaku dua pilihan raya kecil di kedua2 kawasan tersebut!

Itu adalah salah satu pilihan yang ada jika Ali Rustam menang. Pilihan lain, Ali akan kekal sebagai ADUN Bukit Baru tetapi dilantik sebagai Senator untuk menjawat jawatan TPM. Untuk jawatan Ketua Menteri Melaka, beliau akan memilih salah seorang ADUN yang ada sekarang untuk menggantikannya di Seri Negeri. Kaedah ini lebih "selamat" sebab tidak memerlukan adanya pilihan raya kecil.

Andaian ini aku buat berdasarkan kedudukan terkini yang dimaklumkan kepada aku bahawa Ali Rustam setakat ini "sedang mendahului" Muhyiddin dan Muhd. Taib bagi kerusi nombor dua itu. Ia bukan sahaja berdasarkan bancian yang dibuat oleh sebuah IPT tempoh hari, tetapi juga berdasarkan cakap2 di kedai kopi dan pemerhati politik.

Dan ketika perkara ini disampaikan kepada aku, persoalan pertama aku tanyakan kenapa ia berlaku? Sumber itu memberitahu bahawa Ali Rustam "lebih mesra dengan akar umbi" berbanding seorang lagi calon yang disebut2 menjadi sebab utama beliau menjadi pilihan. Nah! Jika momentum tersebut berterusan sehingga PAU nanti, adalah tidak mustahil Ali Rustam menjadi pilihan perwakilan UMNO.

Bila aku katakan mampukah Ali Rustam menjadi TPM dengan "kelemahan" berbahasa Inggeris dan cara bercakap ala orang kampung seperti didakwa banyak pihak, sumber itu memaklumkan ia tidak menjadi masalah kerana Ali Rustam akan berperanan seperti Allahyarham Ghafar Baba ketika menjadi TPM di zaman Tun Dr. Mahathir sebelum dicantas oleh Anwar Ibrahim dahulu.

Ya, Ali Rustam akan menjadi TPM & Timbalan Presiden yang menguruskan perihal rakyat dan meningkatkan hubungannya dengan akar umbi. Inilah senjata Ali, senjata semulajadi yang mudah didedaki, mesra dengan sesiapa sahaja dan pemurah. Dan inilah yang diperlukan oleh Najib dalam keadaan politik UMNO dan BN masa kini yang semakin dijauhi oleh rakyat.

Benarkah?

Pejabat Azalina diserbu, yang lain menunggu?

Eh, lama benar aku tak kemas kini blog aku ini dan sepanjang tempoh tersebut banyak perkara yang aku "miss". Tak mengapa. Lagipun perkara2 itu aku kurang minat untuk memberi komen. Soal PPSMI misalnya, ish... malas aku nak tulis lagi. Sudah terang lagi bersuluh siapa di belakang tabir GMP. Jadi, tak payahlah nak komen2 lagi.

Ini kisah terbaru perihal seorang calon MT yang katanya "kantoi" dik SPRM. Khabarnya Setiausaha Politiknya dah diangkut dan RM70,000 duk dalam kereta. Hem, semalam pejabatnya pula dah "diserbu". Aku tak berani nak komenlah sama ada si calon ini, Azalina Othman Said bersalah atau tidak. Ish... biarlah SPRM yang siasat dan tentukan. Lagipun elok benar SPRM selongkar kes politik wang dalam pemilihan UMNO nih. Dah lama benar terpendam.

Tetapi aku percaya apabila SPRM dah mula jalankan tugasnya sudah pasti selepas ini ramailah calon2 yang akan bertanding pada PAU hujung bulan ini tak duduk diam. Masing-masing dah mula musnahkan jejak atau bukti2. Manalah tau kut2 tiba-tiba pegawai SPRM datang menjengah pejabat. Khabarnya lobi2 dah mula sunyi sepi sebab ejen masing2 duk menyorokkan diri.

Itu di lobi2 hotel. Tetapi khabarnya Hard Rock Cafe, Redbox, Dreambox, Zoux dan lain2 pusat hiburan dah habis ditempah menjelang PAU nanti. Maklum, mereka yang datang dari ceruk pelosok negara nak juga berhibur di kelab2 di KL ini. Bukannya selalu... Inilah peluang nak menenangkan fikiran sambil dilayani wanita2 kota. Alah, apa sangat sorang dua teman berbual. Ini semua FOC dan akan ditanggung oleh mereka2 yang nak bertanding. Ahaks...

Sekarang ini hampir semua tempat dah tak selamat. Kat lobi jangan ceritalah. Katanya, 10 pelanggan yang duk minum di coffee house, kurang2 ada dua tiga orang tu ejen SPRM. Kalau berurusan di sana alamat cari nahaslah. Ada yang cadang naik sampan pergi tengah2 Selat Melaka sana tapi itu belum tentu selamat jugak. Silap2 sampan yang karam hihi...

Apa pun aku harap SPRM laksanakan tugas dengan segera dan jika cukup bukti bawalah mereka ke pengadilan dengan segera. Jangan sampai selepas PAU nanti baru nak seret mereka ke muka pengadilan. Takut nanti ramai pula calon yang digantung keahlian walaupun dah menang. Jadi, lebih baik mereka disahkan bersih sebelum pemilihan diadakan pada 24 hingga 28 Mac nanti.

Kita tidak mahu UMNO diterajui oleh para pemimpin yang korup. Kita mahu UMNO bersih, bersih dari segala gejala politik wang sebab kedudukan UMNO sekarang rapuh dan kepercayaan rakyat dah mula pudar.

Tapi masih ada juga yang bertanya... "Alaa... sikit2 tak boleh ke bro?"

06 March 2009

Cerita Pak Lah dan jambatan

Bercakap mengenai Pak Lah Badawi seolah-olah sebati dengan isu jambatan. Bermula dengan keputusan flip-flop berhubung pembinaan jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor yang akhirnya dibatalkan, kepada jambatan kedua Pulau Pinang. Terbaru ialah jambatan Labuan-Sabah. Huh...!

Sebelum itu mari kita lihat fakta ini:

1. Jambatan bengkok - Menggantikan Tambak Johor. Panjang tak sampai 1KM sebab panjang tambak pun 1.5 KM sahaja @ 1,500 meter. Tapi kerana ia bengkok mungkin lebih panjang dari 1/2 tambak atau 750 meter. Cadangan 1997, mula bina 2003 sebelum dibatalkan pada 2006. Kos = RM620 juta. Status projek: Dibatalkan!

2. Jambatan II Pulau Pinang - Menghubungkan Nibong Tebal & Bayan Lepas. Jarak 24KM termasuk 17KM atas air. Kos RM3.4 bilion. Sudah diluluskan tapi belum dilaksanakan sebab Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang pada PAU-12. Status projek: Tergantung...

3. Jambatan Labuan-Sabah - Menghubungkan Labuan dan Menumbok di Sabah. Cadangan pembinaan 1997. Jarak 17KM. Kos RM550 juta (aku rasa ini anggaran kos 10 tahun lepas). Status projek : Belum diluluskan tapi Pak Lah mahu EPU teliti semula dengan segera.

Soalannya, mana yang lebih penting daripada ketiga2 jambatan ini?

Aku tahu apa jawapan dalam benak kepala anda tetapi tidak bagi Pak Lah. Ya, PM yang tak tahu nak fikir mana yang perlu diberi keutamaan, mana yang tidak. Ya, Pak Lah yang buat keputusan berdasarkan petunjuk dari puak2 T4 yang menguntungkan mereka tetapi bukan untuk rakyat & negara. Pak Lah mana pernah berfikir (kata2 rakan aku masih aku ingat lagi...).

Kesimpulan:
Buat apa Pak Lah beriya2 suruh EPU teliti projek jambatan Labuan ni. Dah jelas2 tak menguntungkan negara. Lebih baik pelaburan untuk jambatan itu dihalakan bagi mempertingkatkan sistem jalan raya di Sabah atau tempat lain. Aku pun setuju juga dengan cadangan Bung Mokhtar masa kat Parlimen tempoh hari. Batalkan juga jambatan II Pulau Pinang. Buat apa bina jambatan sedangkan rakyat Pulau Pinang sokong pembangkang dalam PAU. Baik peruntukan disalurkan ke negeri2 yang menyokong kerajaan.

05 March 2009

Satira raja anjing dan sebatang pokok

Menurut al-kisah zaman dahulu kala ada satu kerajaan anjing yang memerintah sebuah negeri beraja. Raja kerajaan anjing ini suka berburu di hutan. Tak kira berhujan berpanas, raja anjing memang tetap pergi berburu.

Sampailah suatu hari baginda mahu berburu di hutan simpan tidak jauh dari istananya. Maka bersiap sedialah para pembesar negeri dan segala hulubalang yang terdiri daripada barisan anjing untuk mengiringi raja anjing pergi berburu. Maka berangkatlah mereka awal2 pagi lagi mengharapkan membawa pulang rezeki yang banyak untuk anak-anak dan isteri di rumah.

Puaslah mereka menyelupusi hutan belukar namun seklias binatang perburuan masih belum kelihatan. Maka gusarlah raja anjing memandangkan mata hari semakin meninggi tetapi hasilnya belum kelihatan. Andai baginda gagal membawa hasil perburuan sudah pasti permaisuri anjing murka dan tak dapatlah bermalam bersamanya malam ini. Fikir raja anjing.

Dalam mereka bergerak perlahan2 menyelinap mencari binatang perburuan, tiba-tiba raja anjing terasa ingin membuang air kecil. Maka diberitahulah kepada memanda menterinya agar seluruh rombongan berhenti rehat seketika.

Maka raja anjing mencarilah lokasi yang sesuai untuk melepaskan hajat. Maka dipilihlah di bawah sebatang pokok sena yang ada di dalam hutan tidak jauh dari situ. Maka raja anjing itu kencinglah di situ. Namun, sedang enak raja anjing melepaskan hajat tiba-tiba angin bertiup kencang dan pokok sena itu tumbang menimpa belakang raja anjing. Maka geringlah raja anjing.

Menyedari raja anjing cedera ditimpa pokok maka memanda menteri dan hulubalangnya bergegas mendapatkan rajanya dan diusung untuk dibawa pulang ke istana. Nasib raja anjing baik sebab dia tidak mengalami cedera parah tetapi terpaksa berehat beberapa hari.

Selepas beberapa hari, raja anjing sudah sembuh tetapi dalam fikirannya masih buntu memikirkan bagaimana dia boleh mengalami kecederaan itu. Selepas lama berfikir, maka sedarlah kesilapan dirinya. Maka diarahkan memanda menteri untuk mengumpulkan seluruh anjing di negeri itu kerana ada sesutu yang baginda ingin umumkan.

Selepas semuanya berkumpul, raja anjing berdiri di balai istana dan mengumumkan bahawa:
"Mulai saat ini semua anjing diminta menggunakan satu kaki untuk menahan pokok ketika kencing. Ini sebagai langkah berjaga-jaga takut-takut pokok itu tumbang!" Mendengar perintah raja itu bersetujulah seluruh anjing di negeri itu atas perintah itu.

Oleh sebab itulah sehingga hari ini setiap kali anjing mahu kencing, dia akan menaikkan satu kaki belakangnya ke atas bertujuan untuk menahan pokok. Demikianlah adanya cerita tersebut.

MORAL CERITA:
Pesanan kepada Speaker DUN Perak. Kalau nak buat sidang DUN di bawah pokok, kenalah angkat satu kaki. Bukan apa, takut kalau-kalau pokok itu tumbang...!

Batang cerah, bukit gelap

"Batang cerah, bukit gelap".... Maaf! tulisan ini tiada kaitan dengan jantina lelaki atau wanita. Tak juga pasal Eli Wong. Tidak... perihal Eli Wong kita simpan dulu sehingga dia balik dari bercuti. Tetapi ini perihal 3 pilihan raya kecil yang akan diadakan serentak pada 7 April ini. Ahaks... ya di Batang Ai, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Beberapa rakan membuat ramalan awal bahawa peluang BN untuk menang dan pertahan kerusi di Batang Ai cukup cerah. Tiada masalah di sana, tiada gangguan pihak pembangkang, tiada kontroversi. Jadi peluang cerahlah.

Tetapi di dua bukit iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau ini agak kelam. Maklum Bukit Gantang di negeri Perak yang masih berkecamuk dengan status pemerintahannya. Siapa yang berkuasa masih tergantung... Tunggu keputusan mahkamah! Sekarang semangat orang Perak lain sikit. Tapi siapa tahu, orang Bukit Gantang dah muak dengan permainan politik PR termasuk memalukan orang Perak sebab mengadakan sidang DUN bawah pokok, maka mereka pilih BN balik.

Di Bukit Selambau pula di Kedah, negeri di bawah kuasa Pas. Pun tidak banyak kontroversi. Kalau adapun mungkin semangat orang2 BN di sana yang masih cintakan parti sebab kekalahan BN pada PRU-12 dulu susah nak dikira sebab "tsunami politik". Tapi itu belum menjamin kemenangan BN di sana.

Lagipun Bukit Selambau akan timbul sedikit konflik dalam BN kerana MIC mengharapkan wakilnya dicalonkan manakala UMNO pula tuntut wakilnya sebab pada PRU-12, calon MIC yang diletak kalah. Itu sedikit memeningkan Najib yang akan mengetuai UMNO/BN selepas PAU 28 Mac ini.

Itulah antara ramalan2 dari cakap2 politik rakan-rakan. Aku sendiri susah nak cakap sebab masih terlalu awal. Tapi ramalan rakan2 ini ada logiknya. Entahlah.....!!

03 March 2009

Sidang DUN Perak bawah pokok... hahaha!

Gara-gara pintu pagar pejabat SUK yang menempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dikunci, puak2 pembangkang adakan sidang DUN bawah pokok. Hahahaha... gelak, gelak! Anak aku berusia 3 tahun pun akan gelak sebab dia ingat puak2 ADUN Perak ni duk main pondok-pondok bawah pokok.

Aku teringat dulu2 ada sidang dewan Mini Parlimen yang melibatkan kanak-kanak "main" sidang Parlimen. Macam dalam iklan susu tu lah. "Kita minum duluuuu.....!!". Aku tak pasti sama ada puak2 PR di Perak ini dah hilang akal kerana hilang kuasa dan kemarut untuk berkuasa atau memang cari pasal untuk menagih simpati rakyat.

Agaknya Siva, Nizar dan puak2 PR lain ini ingat sidang DUN macam Mini Parlimen atau buat iklan susu gamaknya. Sebab itulah dia orang sanggup adakan "sidang" bawah pokok. Yang lawak lagi macam mana mereka boleh bersidang sedangkan sidang DUN sepatutnya mesti didahulukan dengan pembukaan oleh Sultan. Oh... lupa! Mereka bukannya sidang betul2 pun cuma bersidang main-main.

Aku rasa kalau Mr. Bean tengok gelagat wakil rakyat Perak ini mesti dia malu besar sebab ingatkan dialah tak ada fikiran dalam dunia ini rupanya ada lagi yang lebih teruk dari Mr. Bean. Kehkehkeh... Macam mana orang macam ini boleh dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka.

Kesihan orang Perak....!

02 March 2009

Bahana kegawatan ekonomi...

Aku terbaca laporan berita ini:
JOHOR BAHARU, 1 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki berumur 24 tahun yang menjadi salah seorang pekerja Malaysia di Singapura yang diberhentikan ekoran kelembapan ekonomi global, ditahan hanya beberapa jam selepas beliau meragut beg tangan seorang eksekutif di sini petang ini.
Dalam keadaan menganggur, dan mempunyai seorang anak yang baru berumur dua tahun, lelaki itu mengambil keputusan untuk meragut sebagai sebagai sumber pendapatan
, dan dia terus ditangkap dalam cubaannya itu.


MESIN TAIP BURUK:
Aku cukup simpati dengan nasib lelaki ini. Aku percaya kalau dia tidak menerima desakan hidup nescaya dia tidak akan melalukan jenayah ini tetapi apa yang perlu dia lakukan dalam keadaan sekarang? Isteri menunggu di rumah mengharapkannya membawa pulang wang bagi membeli sekilo beras dan anak pula menangis kelaparan mengharapkannya membawa sebotol susu. Tapi dalam kedudukan sepertinya, dia sanggup melakukan apa sahaja.

Aku percaya, bukan lelaki ini seorang yang menghadapi dilema seperti malah aku percaya ada ratusan bahkan ribuan lagi di luar sana yang mungkin menghadapi nasib yang lebih payah. Tapi bukan semua sanggup untuk melakukan kerja kotor seperti itu demi sesuap nasi dan sebotol susu anak. Inilah bahananya dari kegawatan ekonomi...

Walaupun Pak Lah telah cuba memujuk hati rakyat dengan menyatakan bahawa ekonomi negara masih kukuh dan dapat mendepani kegawatan ekonomi masa kini tetapi realitinya sudah kelihatan satu persatu. Bahkan aku dan banyak lagi percaya kegawatan ekonomi kali ini berbeza berbanding 10 tahun lalu. Ya, 10 tahun lalu ekonomi Asia yang mengalami kemelesetan tapi kali ini bermula di AS, negara pengimport terbesar negara.

Bayangkan apa akan berlaku jika permintaan terhadap produk elektronik dikurangkan oleh AS akibat permintaan pasaran berkurangan, sudah pasti kilang terpaksa mengurangkan pengeluarannya dan akibatnya pendapatan berkurangan. Langkah terbaik mengatasi kerugian ialah memberhentikan pekerja!

Kerajaan telah mengemukan pelan untuk menghadapi kegawatan ekonomi termasuk bajet mini yang akan diumumkan 10 Mac ini tetapi sejauh mana pelan tersebut mampu membantu rakyat seperti lelaki "pencopet" di atas masih lagi samar. Bayangkan jika ia tidak banyak membantu...

Aku percaya akibat dari masalah ini akan meningkatkan jenayah seperti pecah rumah, rompakan, ragut, kecurian di samping "perniagaan" tidak bermoral seperti pelacuran, penjualan dadah dan lain-lain. Tujuannya satu iaitu untuk mencari wang bagi menampung "kemiskinan" hidup diri dan keluarga lantaran kemelesetan ekonomi.

Malah aku percaya tidak kurang juga yang mengambil jalan singkat dengan terjun bangunan, terjun sungai atau melanggar tembok demi melepaskan diri dari "kemelut hidup". Dan jika ia mencapai tahap serius apa yang akan dilakukan oleh pentadbiran Pak Lah/Najib?

Memang Pak Lah dan para pembesar negara, negeri atau wakil rakyat sekalipun tidak akan merasakan kesan kegawatan ekonomi ini tetapi mereka yang senasib dengan lelaki di atas. Apakah nasib mereka akan terbela?

Pak Lah akan serah jawatan kepada Najib... Tapi bila?

Pak Lah sekali lagi ulangi kenyataan bahawa beliau akan serah jawatannya kepada Najib selepas PAU hujung bulan ini. Berikut kenyataan Pak Lah seperti yang dipetik dari Bernama Online:

HUA HIN (THAILAND), 1 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata hari ini beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak selepas pemilihan Umno lewat bulan ini.

"Memang, ada rancangan yang saya buat, jadi kita perlu ikut rancangan itu," katanya pada sidang akhbar di akhir Sidang Kemuncak Asean ke 14 di sini.

Persoalannya bilakah jawatan PM akan diserahkan kepada Najib???. Ini kerana Pak Lah sehingga hari ini masih belum menyatakan dengan jelas dan jitu tarikh sebenar peralihan kuasa melainkan peralihan kuasa di peringkat parti. Ya, memang Pak Lah akan lepaskan jawatan Presiden UMNO pada PAU nanti, tapi bagaimana dengan jawatan dalam kerajaan? Inilah yang menjadi persoalan...

Pak Lah tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meninggalkan kerusi PM. Sebab itulah beliau masih mahu menghadiri beberapa mesyuarat di Pattaya, Hua Hin dan malam tadi berangkat pula ke Indonesia. Pendek kata beliau meneruskan tugasnya sebagai PM & Menteri Pertahanan seolah2 beliau tidak akan bersara dalam masa terdekat.

Setahu aku apabila seseorang mahu berhenti atau bersara waima dalam syarikat memerlukan notis sekurang2nya seminggu atau lebih lama (bergantung tempoh perkhidmatan dan majikan) dan kemudian menghabiskan cuti beberapa minggu atau bulan. Tetapi Pak Lah sehingga kini tidak bercadang untuk bercuti. Dia masih bersemangat untuk bekerja (sebab selama 5 tahun jadi PM dia "tak sempat" bekerja, akhir2 ini baru ada masa nak bekerja!).

Bukan sahaja pegawai dan kakitangan di JPM menunggu2 notis Pak Lah bagi membolehkan mereka mengadakan majlis perpisahan malahan di Kementah juga tidak ada tanda-tanda bahawa beliau akan "bersara". Apakah bermakna tempoh bagi peralihan kuasa ini masih belum diputuskan oleh Pak Lah?

Ya, Pak Lah kata memang dia rancang untuk melepaskan jawatannya kepada Najib selepas PAU nanti tetapi bila? April, Mei, Jun, Julai...??? tahun depan? atau 2010... ??? semuanya adalah tarikh selepas PAU bulan ini.

Teka-teki yang dimainkan oleh Pak Lah bukan sahaja menggusarkan Najib, malah rakyat yang sudah semakin pening dengan keputusan2 "flip-flop" Pak Lah dan barisan menterinya juga semakin bimbang. Bimbang kalau2 Pak Lah menangguhkan penyerahan jawatan PM kepada Najib. Sebabnya tidak ada undang2 menyatakan jika dia melepaskan jawatan dalam parti bermakna dia juga kena lepas jawatan dalam kerajaan. Tidak.. tidak ada!

Jadi walaupun Najib sudah menjadi Presiden UMNO tidak bermakna dia secara automatik menjadi PM tidak... tidak ada undang2. Sebab itu Najib gusar, Muhyiddin gusar, para calon MT gusar, rakyat juga gusar... Cuma yang seronoknya Anwar dan puak2 Hindraf serta pembangkang sebab selagi Pak Lah ada di atas selagi itu mereka boleh menghancurleburkan negara.

Jadi Pak Lah, nak tunggu apa lagi!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...