Hari ini aku terima SMS dari seorang sahabat. Lama benar kami tidak bersua muka cuma berutus kata melalui SMS sahaja. Itupun kalau ada perkara penting. Entah kenapa hari ini dia seolah-olah hilang akal apabila menghantar pesanan berbaur emosi yang amat. Perkaranya cukup simple. Dia marah2 kan aku sebab aku penyokong UMNO. Katanya UMNO telah merosakkan agama, bangsa dan negara.
Aku cuma balas pesanannya menyatakan aku malas nak berdebat dengannya sebab mengenang dia sebagai sahabat aku. Tapi dia terus "menyerang" aku seolah-olah aku (sebagai orang UMNO) yang telah menghancurkan negara. Sebab UMNO-lah rakyat negara ini menderita, kebuluran, hilang tempat tinggal malah ramai yang terbunuh macam rakyat Palestin. Begitulah gamaknya gambaran sahabat aku perihal "kemusnahan" yang dibawa UMNO selama 50 tahun.
Lantas aku terfikir nasib sahabat aku ini. Apakah kini dia sedang menderita kelaparan kerana ketiadaan makanan & pekerjaan, tinggal di lorong dan berumahkan kardus seperti rakyat negara jiran, hilang anggota badan sebab dibedil sepertimana rakyat Palestin dibedil Israel, berpisah dengan saudara-mara kerana dikurung sepertimana di penjara Guatanamo atau sedang berada di wad Tanjung Rambutan sehingga begitu emosi sekali dia meluahkan kemarahannya.
Walhal aku tahu kalau sahabat aku itu kini tinggal di kondominium yang begitu selesa di tengah kota raya, mencari rezeki dengan kerajaan BN, pelajarannya juga dibantu kerajaan BN, memiliki kenderaan sendiri untuk ke sana-sini dan kini hidup senang-lenang bersama anak-anak dan isteri.
Jadi, mahu apa lagi sahabat aku ini?
Maka aku terfikir mungkin inilah yang ada dalam benak fikiran puak2 yang anti-UMNO sehingga tidak dapat lagi berfikir waras dan seolah-olah UMNO telah mengembom-bardir negara ini sehingga hancur berderai dan seluruh rakyat menderita! Huh... gila!
Aku malas nak ungkitkan apa yang telah UMNO bina selama 50 tahun kerana ia semua berada di depan mata kita. Tapi kalau aku nak ungkitkan apa kemusnahan yang telah dibawa oleh puak2 pembangkang boleh saja. Tapi aku tau mereka tidak akan menerima hakikat ini.
Sebabnya, otak, jiwa dan dada mereka sudah disumbat dengan anasir-anasir konon UMNO adalah paksi segala kejahatan, ketidakadilan, kemusnahan di bumi Malaysia selama ini. Ya, anasir yang disumbat kesumat sehingga menggelapkan hati dan fikiran mereka. Mereka telah disumbat konon puak2 merekalah yang paling suci, paling adil dan saksama di muka bumi ini.
Lantas aku mendiamkan diri dan tidak lagi melayani setiap pesanan yang dihantar sahabat aku. Bukan kerana takut untuk berdebat atau berbahas atau sebab aku tiada fakta untuk membalas segala tohmahannya tetapi sebab aku tahu, apa sahaja yang aku katakan tidak mampu lagi untuk mengubah fikiran sahabat aku. Jadi adalah lebih baik aku berdiam diri. Sekurang-kurangnya mengelak kami daripada terputus hubungan sebagai sahabat.
Cuma aku mahu katakan, walaupun jiwa aku kepada UMNO tetapi aku tidaklah sampai begitu taksub kepada UMNO sehingga tidak boleh membezakan yang mana intan yang mana kaca, yang mana bunga yang mana tahi.
Harus diingat, UMNO hanyalah sebuah parti. Begitu juga Pas, DAP, PKR dan lain-lain hanyalah fahaman politik. Setiap orang boleh memilih parti yang mereka suka dan orang lain tidak harus mempertikaikannya kerana itu pilihan mereka. Tapi ingat parti politik bukannya satu agama yang wajib ditaati, dipatuhi dan diamalkan!