26 March 2010

Hulu Selangor ujian sebenar kekuatan pembangkang

Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor bakal diadakan tidak lama lagi. Ini berikutan wakilnya dari PKR Datuk Zainal Abidin Ahmad telah kembali ke rahmatullah semalam. Takziah buat keluarga Allahyarham walaupun ia sudah aku duga memandangkan khabar bahawa Allahyarham semakin nazak akibat kanser otak sudah kedengaran lebih seminggu lalu.

Walaupun jenazah baru sahaja dikebumikan tetapi seperti biasa cakap-cakap mengenai pilihan raya kecil sudah mula dibualkan baik di kedai-kedai kopi sekitar Rawang dan Batang Kali hinggalah di lobi-lobi hotel Concorde di tengah-tengah ibu kota.

Kalau tanya aku peluang PKR di Hulu Selangor sama ada boleh mempertahankan kerusi yang dimenangi Datuk Zainal pada PRU-12 lalu atau tidak, aku jawab TIDAK!

Sebabnya sangat jelas bahawa kejayaan PKR memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor adalah atas kekuatan Datuk Zainal yang mempunyai rekod yang baik di hati pengundi di Selangor, apatah lagi beliau adalah bekas Timbalan Menteri Besar ketika beliau masih berada dalam UMNO sehinggalah melompat ke PKR pada 2005.

Malah pada PRU-12 lalu, kesemua kerusi DUN di kawasan Parlimen Kuala Selangor di menangi oleh BN baik di Ulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan juga Batang Kali dan hanya kerusi Parlimen dimenangi oleh PKR yang diwakili oleh Datuk Zainal. Ini jelas kemenangan pembangkang di Parlimen Hulu Selangor adalah atas kekuatan calon, iaitu Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Pada masa yang sama pilihan raya kecil kali ini diadakan ketika PKR dalam kemelut yang tidak berkesudahan ekoran pendedahan demi pendedahan terhadap Anwar oleh rakan-rakan beliau sendiri yang sudah melompat parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Malah PKR sudah tidak mampu lagi menutup kenyataan bahawa parti mereka kini sedang karam menanti tenggelam.

Tambahan pula CIFU Anwar sendiri sedang berhadapan dengan perbicaraan kes liwat. Mahu tidak mahu, ia akan menjejaskan peluang PKR untuk mempertahankan kerusi P94. Manakala isu-isu "kegagalan" pembangkang terutama cara pentadbiran Khalid Ibrahim serta kerenah wakil-wakil rakyat DAP dalam menguruskan kerajaan Selangor juga bakal menjadi modal kepada BN untuk merampas kerusi Hulu Selangor.

Mungkin pengundi di DUN Kuala Kubu Baru boleh memberi lebih undi kepada pembangkang jika sentimen perkauman dimainkan memandangkan kawasan tersebut majoriti pengundinya adalah bukan Melayu. Tetapi jika MCA, Gerakan dan MIC memainkan peranan lebih baik untuk menarik mereka memilih calon BN, aku pasti keadaan PRU-12 tidak berulang.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya PKR amat sukar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor kerana keadaan hari ini bukan seperti Mac 2008. Ini adalah 2010 dan sejarah di sembilan PRK lalu tidak akan berulang kepada BN di Hulu Selangor.

KEPUTUSAN PRU-12: P94 PARLIMEN HULU SELANGOR

Jumlah Pengundi: 63,593
Peratusan Kaum: M:53.94% C: 26.67% I: 18.98% L:0.41%

1. Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR) (23,177)
2. Datuk G. Palanivel (BN) (22,979)

Majoriti: 198
Jumlah undi: 47,622
Peratus mengundi: 74.89%
Undi rosak: 1,466

Penyandang: Datuk G. Palanivel (BN)
(Majoriti: 14,483 undi)


[ Keputusan penuh PRU-12 lihat di sini....!! ]

Share this

0 Comment to "Hulu Selangor ujian sebenar kekuatan pembangkang"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.