Kemalangan pun dipolitikkan? Ish ish ish...

Pelik sungguh dengan politik negara ini. Sebabnya semua perkara mahu dipolitikkan. Sudahlah selama ini agama dipolitikkan sekarang ini musibah dan kematian orang pun mahu dipolitikkan. Tak kiralah mereka ini puak2 UMNO ke, Pas ke, PKR ke, DAP ke, semua perkara dipolitikkan semata-mata nak menampakkan lawan mereka itu buruk rupa dan perangai.

Terbaru kes Tian Chua yang berlanggar dengan sebuah motosikal ditunggang seorang askar yang menyebabkan mangsa meninggal dunia. Kejadian berlaku di Kota Tinggi ketika Tian Chua dalam perjalanan pulang dari menghadiri ceramah politik di Mersing. Yang bawa keretanya ialah pemandu beliau sementara Tian Chua berada di tempat duduk belakang.

Tapi yang peliknya Tian Chua telah diserang habis-habisan oleh puak2 UMNO kerana menganggap dia tidak bertanggungjawab dan ada yang menuduh sebagai satu musibah yang diturunkan ke atasnya kerana suka mengutuk dan menyalahkan kerajaan.

Sebelum ini ada kes seorang lagi wakil rakyat pembangkang yang telah melanggar seorang pelajar UiTM di Shah Alam dan malam ini (kejadian terbaru) pula seorang lagi wakil rakyat DAP terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kesimpulan yang mereka buat - wakil rakyat pembangkang memang cuai!

Eee... tolonglah berfikiran matang. Selama ini kita sebagai penyokong UMNO sering menuduh puak2 pembangkang bercakap tak pakai otak apabila mereka menyerang UMNO dan kerajaan dengan pelbagai tuduhan. Sekarang ini nampaknya orang UMNO juga tidak kurang hebatnya. Menuduh wakil2 rakyat pembangkang (bukan Islam) yang terlibat kemalangan dengan pelbagai tuduhan sungguh tidak molek dan bertentangan dengan Islam. Apakah kita sudah lupa jodoh pertemuan, ajal maut di tangan tuhan?

Kalau betul Tuhan nak turunkan musibah kepada Tian Chua, kenapa dia hanya berlanggar dengan sebuah motor kapcai dan bukannya lori kontena atau steam-roll. Bukankah itu lebih berbaloi? Sebabnya kita tidak tahu Allah mahu menurunkan musibah itu kepada siapa. Mungkin juga kepada si mati dan kereta Tian Chua hanya penyebabnya.

Kalau nak kira cuai hampir semua pemandu di negara kita cuai dan tidak bertanggungjawab ketika memandu, termasuk anda-anda sekalian di luar sana. Kalau tidak masakan negara kita mencatatkan kadar kemalangan antara tertinggi di dunia. Kita semua juga mungkin seperti itu, cuma Allah masih mahu menyelamatkan kita dari musibah sedemikian.

Tolonglah. Aku harap "serangan-serangan" bersifat bodoh, tidak matang dan entah apa-apa ini dihentikan. Sebab ia bukan sahaja tidak berkesan malah boleh menjadi boomerang kepada kita sendiri dan juga akan menjadi bahan gelak puak2 di sebelah sana.

Nak menentang puak2 ini kenalah menggunakan ilmu serta akal fikiran yang matang dan bernas bukannya menuduh mereka membabi buta tanpa asas dan fakta yang jelas. Siapa salah tidak penting sebab ia adalah "kemalangan" dan kemalangan itu tidak berbau.

Tolonglah! Jangan sampai mengata dulang paku serpih...
Kemalangan pun dipolitikkan? Ish ish ish... Kemalangan pun dipolitikkan? Ish ish ish... Reviewed by mesin taip buruk on 3/14/2010 02:57:00 AM Rating: 5
Powered by Blogger.