Kes remaja mati ditembak... salah polis, budak atau mak bapak?

Takziah buat keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis, awal pagi Isnin di Seksyen 11, Shah Alam. Mengikut laporan media, polis bertindak sedemikian selepas remaja terbabit cuba merempuh sekatan polis. Kejadian berlaku sekitar 2 pagi.

Kejadian itu menyebabkan ramai orang yang menyalahkan pihak polis kerana menembak remaja terbabit, sedangkan menurut ibunya, Aminulsyah seorang remaja "surau" dan baik, bukannya penjenayah atau penyamun.

Baik... Sebelum tu aku nak tanya juga macam mana remaja berusia 15 tahun dibenarkan memandu pada awal pagi. Kereta siapakah yang dipandunya dan soalan yang lebih penting bagaimana ibu-bapa remaja terbabit membenarkannya memandu kereta sedangkan usia 15 tahun tidak layak memohon lesen memandu kereta.

Di pihak polis pula, tindakan anggota terbabit mungkin tindakan spontan bagi mempertahankan diri selepas pemandu kereta (tentunya anggota terbabit tidak mengetahui yang memandunya remaja 15 tahun) cuba merempuh mereka. Tapi yang aku nak tanya polis, apakah setiap kali ada cubaan pemandu sedemikian dibalas dengan tembakan?

Aku teringat satu kejadian seorang doktor HUKM ditembak mati oleh seorang anggota polis ketika doktor terbabit sedang berdua-duaan dengan teman wanitanya di dalam kereta dekat stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Doktor terbabit cuba melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran polis (bermotosikal). Akibatnya doktor terbabit ditembak kerana menyangka mangsa cuba merempuh polis.

Kali ini aku percaya kejadian hampir serupa berlaku. Seorang remaja yang memandu tanpa lesen sudah pasti terkejut dan ketakutan apabila menyedari ada polis menahannya. Kerana takut, remaja terbabit tentunya akan memecut keretanya bukan niat untuk merempuh polis tetapi cuba melarikan diri. Difahamkan kejadian tidak jauh dari rumahnya. Jadi mungkin remaja terbabit mahu segera pulang ke rumah bagi mengelak ditahan polis kerana tiada lesen memandu. Jadi kenapa pihak polis begitu pantas bertindak menembaknya?

Namun begitu, aku percaya punca utama anggota terbabit bertindak sedemikian kerana mereka sendiri trauma dengan kejadian begitu ramai rakan2 yang cedera dan tidak kurang yang meninggal dunia akibat dirempuh baik oleh penjenayah mahupun mat rempit. Jadi, tindakan anggota terbabit juga tidak boleh disalahkan 100 peratus.

Sekarang KDN sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes ini. Bagus juga. Selepas ini mungkin pihak polis yang meronda tidak dibekalkan dengan senjata api sebaliknya hanya membawa cota atau rotan saja. Boleh ke???
Kes remaja mati ditembak... salah polis, budak atau mak bapak? Kes remaja mati ditembak... salah polis, budak atau mak bapak? Reviewed by mesin taip buruk on 4/27/2010 07:59:00 PM Rating: 5
Powered by Blogger.