24 June 2010

Ayam oh ayam...

Pagi tadi aku ke pasar berhampiran rumah aku. Hasrat hati nak beli seekor ayam untuk dijadikan kari untuk makan malam nanti tapi bila peniaga ayam itu kata harga ayam hari ini RM7 sekilo aku batalkan hasrat nak membelinya. Aku rasa RM7 sekilo ayam agak tinggi yang kebiasaannya aku beli sebelum ini di bawah RM6.50.

Agaknya peniaga itu sedar akan harga ayamnya yang agak tinggi, cepat-cepat dia bagitahu harga ayam sekarang sudah tidak dikawal kerajaan. Jadi harganya mengikut pasaran. Kebetulan sekarang harganya agak mahal. Aku diam dengan penjelasan peniaga ayam itu sebab memang perkara ini aku sudah ketahui selepas diumumkan oleh menteri berkenaan beberapa hari lalu.

Alih-alih sebentar tadi aku ditanya beberapa rakan sepejabat tentang harga ayam yang kini mencecah RM10 sekilo. Aku kata tak pasti sebab tadi di pasar (dekat rumah aku) masih lagi RM7. Kawan-kawan aku mengeluh sebab katanya kalau macam tu susahlah sebab tak bolehlah mereka makan ayam.

Aku cakap mudah saja. Kalau rasa mahal dan tak mampu beli ayam, tak payahlah makan ayam. Beli daging, ikan atau sayuran. Lagipun kalau tak makan ayam bukannya boleh mati atau sakit jantung. Cubalah ubah menu walaupun selama ini ayam sudah jadi lauk ruji masing-masing.

Tak apa kalau hari ini hilang selera makan sebab tak ada ayam, lama kelamaan perkara itu menjadi kebiasaan (tiada lauk ayam) dan akhirnya kita tidak lagi bergantung kepada ayam untuk makan nasi. Kalau libatkan selera makan anak-anak, tak apa. Ajar mereka agar tidak bergantung kepada ayam. Tak susah sebenarnya.

Nah, kalau dah ayam berlambak-lambak kat pasar sebab tak laku aku percaya harganya akan turun jugak. Tak kiralah musim panas ke musim hujan ke. Harga makanan naik ke turun ke, nak tak nak harga ayam terpaksa diturunkan sebab ayam bukannya boleh simpan lama.

Jadi langkah kerajaan tidak lagi mengawal harga ayam sebetulnya baik untuk kita para pengguna sebab kita selaku pengguna yang kawal harga ayam. Kalau ayam mahal, jangan beli ayam. Bila ayam dah tak laku, pasti peniaga akan turunkan harganya. Begitu juga dengan barangan lain.

Apa pun semuanya di tangan kita sebagai pengguna cuma selama ini kita tidak gunakan kuasa yang kita ada.

Share this

0 Comment to "Ayam oh ayam..."

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.