13 June 2010

Bukan sekadar tarik gelaran "Datuk"

Kecoh bila gelaran Datuk yang diberikan oleh Sultan Johor telah ditarik balik. Mereka yang terlibat antara lain ialah Chua Jui Meng, bekas Menteri Kesihatan ketika bersama MCA yang kini telah melompat masuk PKR dan seorang lagi ialah Sharifah Mazlina, wanita pertama Asia yang merentasi Kutub Utara dan Selatan. Mereka adalah antara empat individu yang ditarik gelaran Datuk dan Datin Paduka.

Minta maaf, aku bukan nak komen pasal penarikan balik gelaran ini oleh Sultan Johor yang baru, Tengku Ibrahim sebab itu kuasa baginda sebagai sultan negeri berkenaan. Cuma aku dengar suara-suara dari selatan menyatakan akan berlaku banyak perubahan dalam pentadbiran kerajaan dan agensi kerajaan negeri itu  susulan peralihan kuasa pemerintahan kesultanan Johor.

Antara yang disebut-sebut bakal berganti ialah Menteri Besar. Perubahan itu sekurang-kurangnya apabila tiba PRU-13 nanti. Ini kerana semua maklum bahawa pelantikan Ghani Othman sebagai MB adalah atas perkenan Almarhum Sultan Iskandar walaupun beberapa kali kerusi MB cuba diganti, sejak zaman Dr. Mahathir lagi.

Pada PRU-11 (2004), PM pada masa itu Pak Lah Badawi sudah menjanjikan kerusi MB Johor kepada Khaled Nordin dengan meletakkan Ghani di Parlimen Ledang tetapi ia tidak diperkenan oleh Almarhum Sultan Iskandar sehingga pada saat-saat akhir nama Ghani dicalonkan semula untuk pertahan kerusi DUN Serom manakala Khaled kekal di kerusi Parlimen Pasir Gudang. Puncanya kerana  Almarhum Sultan tidak perkenan dengan alasan "tidak kenal siapa Nordin (bapa Khaled)" maka perubahan itu tidak berlaku.

Kini peluang untuk BN merombak struktur pentadbiran Johor dengan menarik Ghani ke Parlimen dan menggantikannya dengan calon lain (jika Najib mahu) lebih berpeluang cerah di bawah pemerintahan Tengku Ibrahim. Ini kerana corak pemerintahan antara Tengku Ibrahim dan ayahnda baginda sangat berbeza. Cuma menjadi persoalan ialah apakah Khaled yang sekian lama menunggu untuk menjadi MB mendapat perkenan Tengku Ibrahim atau tuanku sendiri sudah ada calon pilihan hatinya sendiri?

Satu lagi kerusi panas yang disebut-sebut bakal berubah tangan ialah peneraju Johor Corporation (JCorp) iaitu agensi perniagaan terbesar milik kerajaan negeri Johor. Pada masa ini ia diterajui oleh Tan Sri Ali Hashim yang memegang jawatan itu sejak sekian lama. Kedudukan Ali Hashim yang "bertahan lama" juga dikatakan kerana perkenan Almarhum Sultan Iskandar.

Khabarnya kini beberapa nama sudah disebut-sebut untuk menggantikan Ali Hashim - tokoh perniagaan yang banyak memberikan hasil masyur kepada negeri Johor dan menerajui  beberapa francais terulung termasuk KFC, Ayamas dan Pizza Hut. Juga rangkaian hospital pakar KPJ Healthcare di seluruh negara dan juga pentadbiran dan pengurusan pelabuhan Pasir Gudang. Semuanya di bawah JCorp. Tidak hairan ramai yang melihat bahawa JCorp adalah "lubuk emas" bagi siapa sahaja yang menerajuinya.

Jadi, amat menarik untuk melihat perkembangan di negeri Johor selepas ini, terutama selepas Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ditabalkan secara rasmi sebagai sultan bagi negeri Johor Darul Ta'zim.

Share this

0 Comment to "Bukan sekadar tarik gelaran "Datuk""

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.