27 June 2010

Jambatan Johor: Najib jeling Pak Lah...

Apabila Sultan Johor mengusulkan kerajaan meneruskan semula projek pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, Najib "tidak berani" untuk bersuara lebih melainkan memberikan kenyataan umum... "Kita akan kaji." Dan aku percaya ramai yang tidak puas hati dengan jawapan "selamat" Najib itu terutama rakyat Johor.

Tapi aku faham kedudukan Najib dalam soal ini. Membina semula jambatan di Selat Johor itu bukan perkara mudah setelah ia telah diputuskan pembatalannya oleh Pak Lah Badawi. Sudah batal nak mulakan balik amatlah sukar berbanding belum ada apa-apa. Mahu tidak mahu Najib hanya berupaya "menjeling" kepada Pak Lah sebabnya Pak Lah yang membatalkan projek pembinaan jambatan bengkok dahulu, bukannya dari kerajaan Singapura.

Dan apabila soalan ini diajukan kepada Pak Lah, seperti biasa dia cukup pandai menyembunyikan diri seolah-olah tidak terlibat langsung dengan pembinaan jambatan bagi menggantikan tambak tersebut walhal dialah yang putuskan membatalkan projek tersebut yang sudah berjalan.

"Serah kepada kerajaan untuk kaji. Ini projek besar dan kerajaan sendiri tahu apa nak buat,” - Tu dia jawapan Pak Lah.

Kalau itu jawapan Pak Lah bermakna dia (ketika membuat keputusan membatalkan projek jambatan bengkok) sebenarnya tahu apa nak dilakukan. Jadi kalau dah tahu kenapa Pak Lah tidak pertahankan keputusannya itu dan kenapa pula serah balik kepada kerajaan sekarang untuk mengkaji dan membuat keputusan?

Jadi kalau tanya aku apa reaksi Pak Lah selepas dijeling oleh Najib.... jawapannya Pak Lah hanya buat bodoh!

Berikut petikan berita Utusan ketika Najib melawat projek Gerbang Selatan Bersepadu di JB pada 17 Mac 2006 sejurus kerajaan pimpinan Pak Lah putuskan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor diteruskan semula, beberapa bulan sebelum Pak Lah membuat keputusan membatalkannya balik.
JOHOR BAHRU 17 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mahukan Singapura menjadikan pembinaan jambatan indah yang akan menggantikan Tambak Johor sebagai lambang hubungan dua negara yang erat. 
Justeru, tegas beliau, sudah tiba masanya negara jiran itu bermuafakat dengan Malaysia atas dasar semangat kejiranan dan bukannya lebih mementingkan mana-mana pihak atau individu.
"Kalau Singapura boleh bertolak ansur atas semangat kejiranan, itulah jalan terbaik untuk dua negara jiran dan jambatan ini akan menjadi lambang hubungan berjiran kedua-dua negara.
"Kita (Malaysia) tetap meneruskan pembinaan jambatan tersebut tanpa perlu ada sekatan daripada mana-mana pihak kerana ia merupakan hak Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan beliau ke projek Gerbang Selatan Bersepadu (GSB) yang dimajukan oleh Gerbang Perdana Sdn. Bhd (GPSB) di sini hari ini.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Pengerusi GPSB, Tan Sri Razali Ismail; Pengarah Urusan GPSB Datuk Yahya A. Jalil; Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad dan barisan Exco kerajaan negeri.
Idea pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Julai 1996 tetapi ia kemudiannya mendapat bantahan berterusan oleh Singapura.
Walaupun upacara pecah tanah projek itu telah diadakan pada 14 Februari 2004, tetapi projek pembinaannya kemudiannya dihentikan sementara bagi membolehkan kedua-dua negara mengadakan perbincangan.
Bagaimanapun, pada 10 Februari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pendirian Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan itu sama ada dengan persetujuan Singapura atau tidak.
Menurut Najib, pembinaan jambatan indah itu adalah hak Malaysia kerana ia dibangunkan di kawasan negara ini dan tiada siapa yang boleh menafikan hak Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.
"Bersesuaian dengan hakikat tersebut, maka kerajaan memutuskan untuk menyambung dan meneruskan semula pembinaan jambatan baru yang tertangguh selama dua tahun kerana proses perbincangan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembinaan jambatan indah itu bukan sahaja amat penting bagi pembangunan ekonomi negeri Johor khususnya dan negara amnya, tetapi ia bakal mengubah wajah Selat Tebrau dan kawasan sekitarnya.
Pembinaan jambatan baru itu juga bakal mengubah wajah Selat Tebrau daripada kawasan yang comot dan kotor menjadi lebih indah dan bakal menjadi tarikan pelancong di pintu masuk selatan negara.
"Dengan adanya jambatan baru, Selat Tebrau akan menjadi pusat pelancongan utama. Perairan hodoh dan comot (sekarang) akan menjadi terindah. Inilah imej yang nak dijuangkan oleh kita," katanya. - Sumber: Utusan Malaysia, 18 Mac 2006

Share this

0 Comment to "Jambatan Johor: Najib jeling Pak Lah..."

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.