Datuk, hentilah beri amaran, guna saja ISA!

Surau disimbah cat merah dan dilempar botol arak oleh anasir yang cuba mahu mencetuskan huru-hara dan perselisihan agama. Tetapi Menteri Dalam Negeri hanya melontarkan amaran yang "sangat keras". Persoalannya, sampai bila amaran demi amaran mahu diberikan, Datuk?

Datuk, inilah masanya kerajaan boleh gunakan kuasa ISA kerana teramat jelas mereka yang terlibat dalam anasir ini cuba memperok-perandakan negara berbilang bangsa, kaum dan agama ini. Apa motif mereka selain mahu mencetuskan kemarahan umat Islam yang akhirnya timbul perbalahan antara agama. Jangan hanya melihat ISA perlu digunakan apabila ia libatkan kumpulan anasir luar seperti JI & Al-Qaeda semata-mata, walhal anasir-anasir bilis seperti ini juga amat berbahaya.

Apabila ada masjid disimbah cat merah dan dilempar botol arak atau kepala babi, sudah pasti penduduk Islam menuding jari ke arah rakan-rakan yang bukan beragama Islam. Hasilnya, mereka pula bertindak membakar gereja, merosakkan kuil. Kesudahannya, orang Islam berparang dengan bukan Islam. 

Datuk, perkara ini bukan main-main. Ia hal yang amat sensitif dan serius. Jangan hanya sekadar melontarkan amaran sebaliknya heret mereka yang terlibat ke Kem Kemunting sebagai ganjarannya. Apakah Datuk takut untuk menggunakan ISA? Apakah Datuk takut kepada Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh atau pendemo-pendemo anti-ISA?

Datuk, ingat Malaysia pernah mengalami Zaman Darurat. Jangan sampai keadaan serupa berulang lagi hanya kerana ketidak-tegasan Datuk. Kelak nanti bukan sahaja Datuk, tetapi anak cucu Datuk juga akan menyesal kerana Datuk gagal bertindak menangani masalah melibatkan kaum dan agama.

Jika benar Datuk merasa takut untuk menggunakan ISA terhadap mereka, lebih baik Datuk memaklumkan kepada PM supaya Datuk ditukarkan ke kementerian yang lebih ringan dan bukannya sebagai Menteri Dalam Negeri yang amat berat untuk ditanggung dan diurus oleh Datuk. Biarlah PM membuat perubahan dalam kabinet dengan segera agak ia tidak sampai terlambat.

Datuk, masa depan anak cucu saya, Datuk dan seluruh rakyat Malaysia tak kira Melayu, India, Cina, Serani, baik orang Pas, BN, DAP, UMNO, Gerakan, dll, kini di tangan Datuk. Andai Datuk gagal menangani masalah konflik libatkan kaum dan agama ini dan andai ia sampai mencetuskan pertumpahan darah sehingga mengorbankan banyak nyawa, dan andai Peristiwa 13 Mei berulang, Datuk yang akan dipersalahkan.

Jadi Datuk, bertindaklah segera. Hentikanlah memberi amaran....!

p/s: Datuk, seruan ini bukan hanya untuk kes surau disimbah cat sahaja tetapi apa sahaja perlakuan, anasir atau seruan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, tanpa mengira bangsa dan parti.
Datuk, hentilah beri amaran, guna saja ISA! Datuk, hentilah beri amaran, guna saja ISA! Reviewed by mesin taip buruk on 8/24/2010 01:19:00 PM Rating: 5
Powered by Blogger.