19 August 2010

Politik Malaysia... politik hitam-putih!

Kalau kita tengok filem-filem lama atau baca novel-novel lama, watak-watak pelakon dan pelaku dalam karya tersebut biasanya digambarkan sebagai watak hitam-putih. Maksudnya kalau watak antagonis, mereka digambarkan seburuk-buruk alam manakala watak protagonis digambarkan sebaik-baik dan sesuci alam.

Begitu juga amalan politik di Malaysia sekarang ini. Aku katakan politik hitam-putih. Pihak pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim menggambarkan kerajaan BN diketuai Najib adalah parti dan pemimpin seburuk-buruk alam. Tiada yang baik melainkan buruk belaka. Semua yang buruk-buruk datangnya dari pihak BN/UMNO dan Najib. Malah perkara yang baik pun akan dipandang buruk.

Manakala parti pakatan mereka digambarkan sebagai parti dan pemimpin yang sebaik-baik alam, tiada yang buruk melainkan baik belaka. Kalau mereka berperangai buruk atau buat perkara buruk sekali pun ia bukanlah dari pihaknya melainkan pihak yang satu lagi.

Tidak hairanlah wakil-wakil Pas dan PKR (sesekali disertai DAP) tidak pernah berhenti mengadakan road-show memberi "penerangan" kepada rakyat tentang apa sahaja yang dilakukan oleh BN/UMNO dan Najib. Tujuannya ialah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan BN jahat dan mereka adalah hero.

Aku tak tahu bila gamaknya Anwar balik Permatang Pauh menjenguk pengundi-pengundinya di sana, entah makan entahkan tidak. Begitu juga wakil-wakil rakyat lain, bila agaknya mereka meluangkan masa untuk mendengar keluhan pengundi mereka kalau asyik mengelilingi negara untuk berceramah sana-sini.

Bagi kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah mereka juga mengalami nasib serupa. BN/UMNO selaku pembangkang di negeri-negeri terbabit asyik menggali kekurangan pemerintahan pakatan. Pokoknya tidak ada yang baik melainkan yang buruk belaka.

Dah Kelantan nak guna dinar dan dirham, biarkanlah mereka guna. Tak usah bantah dan kita tengok sejauh mana kejayaan Kelantan menggunakan matawang tersebut. Biarkanlah Kelantan menjadi tikus makmal untuk mempraktikkan penggunaan matawang berasaskan emas dan perak itu. Lagipun dulu Tun Mahathir pernah cadangkan negara-negara rantau Asia guna dinar sebagai pengganti matawang untuk elak dimanipulasi oleh penyangak matawang macam George Soros atau mengelak kebergantungan kepada nilai dolar AS.

Kalau berjaya, elok juga Malaysia mempraktikkan apa yang Pas buat di Kelantan dan kalau tak berjaya, tengok apa pula langkah yang diambil oleh Nik Aziz. Tak perlu nak bangkang, kondem atau kutuk dulu.

Betul kata blogger Singapork, si Remgold di sini. Pembangkang kat Malaysia ini asyik nak bangkang saja. Bagi mereka orang lain buat semuanya tak betul, yang betul mereka sahaja. Aku memang bersetuju benar dengan part ni:
"Harapan besar saya ialah apabila pembangkang menilai angka-angka ekonomi Malaysia ini, mereka tidak akan terus mengecam dan memaki hamun.

Sekali-kali, jadilah pembangkang yang memberi harapan kepada rakyat: ekonomi Malaysia ni baik. Memang ada banyak lagi boleh diperbaiki, tapi kita bersyukur bersama bahawa kita terus sihat di masa ekonomi negara Eropah seperti Greece, Portugal, Spain dan Italy lemah. Dan ekonomi US pun mungkin terus lemah.
Penat rasanya jika apa yang akan kita dengar ialah maki hamun saja.

Jika tak mahu, tak payah puji kerajaan Najib pun. Sebab tidak semua yang berlaku - seperti eksport terus kukuh, atau orang lebih kerap makan di KFC, atau tourist masuk hotel - kerja kerajaan secara langsung pun.

Tapi jika sekali-sekala semua bersatu padu, dapat sejukkan hati rakyat akan masa depan negara. Dan memberi kebanggaan kepada semua." - remgold.blogspot.com
Rakyat dah muak, mual dan penat memikirkan soal wayang-wayang hitam-putih ini. Kenapa kita baik kerajaan atau pembangkang tak boleh duduk sama-sama bincang masa depan negara, fikirkan tentang rakyat bukannya tembolok sendiri. Tak kiralah mereka ini Pas ke, DAP ke, PKR ke, UMNO ke, Melayu ke, Cina ke, India ke... tak boleh ke? Kenapa perlu saling mencari kesalahan dan keburukan antara satu sama lain.

Aku ingat dulu Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng selaku cakap kepada pengundi bahawa Malaysia perlukan pembangkang dalam Parlimen supaya menjadi "check & balance" kepada kerajaan supaya dasar-dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan tidak sampai menggadaikan kepentingan rakyat.

Tapi sekarang ini pembangkang termasuk kedua-dua beranak itu sudah tidak lagi menjadikan pembangkang sebagai "check & balance" kepada kerajaan tetapi mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat gerakan "check-mate".

Dan aku percaya, andai politik hitam-putih ini berterusan tanpa ada sebarang usaha sedikitpun untuk memberikan warna kepadanya, sampai bila pun keadaan politik dalam negara akan bergolak kerana masing-masing berusaha untuk memenangi persaingan.

Share this

0 Comment to "Politik Malaysia... politik hitam-putih!"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.