30 September 2010

Galas... Ku Li jadi penentu?

DUN Galas berada dalam Parlimen Gua Musang. Pada PRU-12 lalu hanya Galas sahaja dimenangi Pas. Itupun dengan majoriti 600 lebih. Manakala dua lagi DUN iaitu Nenggiri dan Paloh dimenangi oleh BN. Ramai yang menganggap kekuatan BN di Gua Musang sejak sekian lama adalah kerana Tengku Razaleigh Hamzah.

Itulah penangan Ku Li. Tidak hairan apabila kerusi DUN Galas kosong akibat kematian penyandangnya Che Hashim, Pas sudah membayangkan kekalahan. Sebab itu ada suara-suara yang menyeru kerusi Galas 'diserahkan' kepada Pas tanpa UMNO perlu bertanding atas alasan demi perpaduan Melayu dan Islam.

Malahan tidak kurang juga yang mengharapkan agar Ku Li memberikan sokongan kepada Pas di Galas memandangkan selama ini Ku Li banyak membantu kerajaan Pas Kelantan terutama dalam menuntut royalti minyak dari Petronas. Beberapa bloggers Pas mahukan Ku Li menyertai Pas atau mana-mana parti pembangkang.

Di sebalik harapan Pas itu, alih-alih UMNO mengumumkan bahawa Ku Li akan mengetuai jentera pilihan raya UMNO/BN di Galas. Musnahlah harapan Pas untuk melihat Ku Li menyertai mereka dan membantu Pas mempertahankan kerusi Galas. Tapi Pas tak boleh nak marahkan UMNO sebab memang Ku Li orang UMNO.

Ramai yang melihat bahawa Ku Li adalah penentu kemenangan di Galas. Kalau Ku Li menyokong Pas seperti yang diharapkan aku percaya mereka boleh memenangi kerusi Galas, walaupun aku tahu ia adalah tindakan yang mustahil dilakukan oleh pemimpin veteran seperti Ku Li. Tapi kini dengan peranan yang diberikan oleh UMNO Pusat kepadanya, aku percaya Ku Li akan mampu membawa kemenangan kepada BN di Galas.

Bayangan kemenangan BN di Galas sebenarnya sudah diramalkan oleh pemimpin Pas sendiri baik Taqiyuddin mahupun Nasiruddin Mat Isa. Mereka sedar kekuatan UMNO di ketiga-tiga DUN di Gua Musang ini yang notabenenya berpunca daripada keberadaan Ku Li di Parlimen Gua Musang. Malah Nik Aziz juga tidak berani untuk mendabik dada.

Pun begitu UMNO Kelantan dan Gua Musang tidak boleh goyang kaki atau begitu yakin dengan kemenangan di Galas kerana jika silap langkah, ia mampu menghasilkan keputusan yang tidak diingini. Biarpun bayangan kemenangan sudah kelihatan walaupun hari pengundiannya masih belum diketahui, tetapi UMNO dan semua jentera BN perlu bekerja keras bagi memastikan Galas benar-benar jatuh ke tangan BN dan sekaligus "membersihkan" Parlimen Gua Musang daripada mana-mana wakil pihak pembangkang.

Share this

0 Comment to "Galas... Ku Li jadi penentu?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.