01 October 2010

Perihal Utusan... UMNO patut celik mata!

Presiden NUJ yang juga wartawan Utusan mendedahkan bahawa UMNO yang juga pemilik akhbar Utusan tidak pernah mengambil peduli perihal syarikat itu. Pendedahan Hata Wahari yang baru dipilih menerajui kesatuan wartawan se-Malaysia itu di Malaysia Kini sepatutnya mencelikkan mata UMNO terutama para pemimpin, ketua-ketua bahagian, cawangan dan juga ahli-ahlinya.

Aku dapat tahu bahawa UMNO memiliki 60 peratus kepentingan dalam syarikat Utusan Melayu (M) Bhd, syarikat yang menerbitkan akhbar berbahasa Melayu tertua itu sejak tahun 1939. Tetapi dilihat dari jualannya serta keluh-kesah kakitangannya, nampaknya ada yang tidak kena dengan syarikat tersebut dan UMNO sendiri.

Bayangkan UMNO sehingga kini mempunyai keahlian seramai 3.1 juta orang tetapi jualan Utusan Malaysia hanya sekitar 150,000 naskhah sehari, jauh lebih rendah berbanding Harian Metro dan Kosmo!. Lalu aku sendiri tertanya-tanya, kalau selama ini UMNO menganggap Utusan itu milik mereka, kenapa begitu ramai ahli UMNO tidak membeli Utusan? Apakah mereka mengharapkan naskhah percuma sahaja?

Aku dapat bayangkan kalau 500,000 daripada 3.1 juta ahli UMNO membeli Utusan Malaysia setiap hari, nescaya akhbar tersebut akan menjadi akhbar no. 1 di Malaysia dan bukannya akhbar ringan seperti Metro dan Kosmo!. Apakah ini bermakna ahli UMNO sendiri sudah tidak minat dengan Utusan? Jika demikian kenapa mereka masih menagih Utusan untuk memberi liputan kepada program UMNO?

Betul kata Hata... Utusan begitu memberi ruang selebar-lebarnya kepada Perkasa tetapi berapa ramai ahli Perkasa yang membeli Utusan. Kalau tidak membeli bermakna mereka tidak menyokong Utusan. Betul, dalam hal ini siapa mempergunakan siapa? Apakah benar Utusan dipergunakan oleh UMNO dan Perkasa semata-mata tetapi nasib Utusan sendiri tidak pernah dipedulikan baik oleh UMNO mahupun orang Melayu.

Beberapa rakan di Utusan sering mengeluh kerana ketika syarikat penerbitan lain terutama The Star sering menikmati bonus berganda setiap tahun, nasib Utusan sebaliknya berbeza. Harapan kakitangan termasuk wartawan yang siang malam dan pagi petang menulis tentang PM, TPM. pemimpin kerajaan dan UMNO untuk menikmati bonus setiap tahun begitu sukar sekali. Sebabnya Utusan sering mengalami kerugian! Kenapa?

Apakah kerana pengurusan Utusan yang lemah atau benar kerana jumlah pengiklan yang semakin tidak berminat untuk mengiklan di akhbar paling berpengaruh ini atau sememangnya keadaan pasaran akhbar yang semakin merosot di seluruh dunia?

Dalam hal ini aku tidak berani nak menuduh mana-mana pihak tetapi alangkah baiknya sekiranya UMNO mengambil perhatian atas apa yang dikatakan oleh Presiden NUJ ini kerana mahu tidak mahu nyawa UMNO banyak bergantung kepada Utusan tetapi nyawa Utusan tiada siapa yang peduli.

Mati Utusan matilah UMNO....

Share this

2 Responses to "Perihal Utusan... UMNO patut celik mata!"

  1. apakah ini petanda umno dan utusan sudah tidak relevan, tepuk dada tanya selera.....

    ReplyDelete
  2. Dah lama tak beli utusan/berita harian.. Sebab berita terlampau berat sebelah.The star kurang sikt dia punya senget walaupn kekadang ada.

    So sekrng mmg beli the star jer. jika ikut hati mmg tak mahu beli juga, tapi kena gak membaca berita semasa walaupun kena tapis sendiri.

    ReplyDelete

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.