11 October 2010

Utusan lahir dari airmata orang Melayu!!


Wajah Yusof Ishak terpampang pada wang Dolar Singapura. Siapa sangka wajah inilah yang mengasaskan syarikat Utusan Melayu yang juga penerbit akhbar Utusan Malaysia, yang dituduh sebagai akhbar rasis kerana memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Aku terjumpa artikel ini... Mengenai asal mula penubuhan akhbar Utusan Melayu. Ia ditulis oleh Allahyarham Yusof Ishak iaitu pengasas syarikat penerbitan Melayu itu. Beliau juga merupakan bekas Presiden Singapura pertama. Baca tulisan beliau mengenai "bagaimana Utusan bermula" dan fikirkan kenapa akhbar Utusan begitu kental mempertahankan Melayu dan agama Islam dari dulu, kini dan aku percaya selama-lamanya.
Utusan tidak dilahirkan di atas dulang emas, Utusan dilahirkan dengan air mata
Pada awal tahun 1938 kira-kira 20 orang Melayu di Singapura, termasuklah Encik Yahya Abdul Rahman, Yunan bin Haji Daim, Osman Hassan, Embok Sooloh bin Haji Omar, Sudin Abdul Rahman, Abdullah Abdul Ghani dan saya sendiri telah bertemu di rumah Encik Daud bin Mohd. Shah di Siglap. Kami berbicara selama kira-kira 3 jam berhubung dengan soal hendak melancarkan sebuah suratkhabar Melayu.

Kebanyakan dari mereka yang hadir pada waktu itu menyangka bahawa dengan pengalaman saya selama tujuh tahun bekerja di dalam "Warta Malaya", tentulah saya sanggup menyusun dan menjalankan sebuah syarikat orang Melayu. Pada masa itu umur saya ialah 27 tahun dan saya rasa pada mulanya bahawa syarikat yang dicita-citakan itu harus tidak akan dapat hidup lama kerana terdahulu daripada itu telah berdiri beratus-ratus buah syarikat Melayu dan suratkhabar-suratkhabar serta majalah-majalah Melayu yang mati di dalam masa beberapa bulan sahaja lahirnya ke dunia.

Selain daripada itu saya tahu bahawa Warta Malaya Press Limited yang dipunyai oleh orang-orang Arab yang kaya dan keluarga Alsagoff akan berusaha seberapa daya upayanya pada menghancurkan sebuah suratkhabar lawannya. Juga saya tahu bahawa Encik Abdul Manan bin Mohd. Ali, waktu bersara daripada perkhidmatannya dengan kerajaan dalam tahun 1937 telah berkata bahawa orang-orang Melayu akan melancarkan sebuah suratkhabarnya sendiri. Kekurangan sokongan wang telah 
menghalang rancangannya itu daripada dijalankan.

Saya meminta sahabat-sahabat saya itu supaya memberi saya tempoh dua hari bagi saya menjalankan beberapa penyiasatan. Saya tahu bahawa tentang soal wang tidaklah begitu sulit lagi. Hanya yang menjadi soal sekarang ialah mencari seorang pengarang, dan pengarang yang handal sekali pada masa itu ialah Tuan Haji Abdul Rahim Kajai yang bekerja di Warta Malaya.

Pagi-pagi esoknya saya berhubung dengan Kajai dan menceritakan padanya rancangan-rancangan kami lalu saya meminta dia bersatu dengan kami. Akhirnya dia bersetuju dan kami pun berjabat tangan.

Hari itu juga saya berjumpa dengan pengasas-pengasas yang lain dan memberitahu mereka bahawa saya telah sanggup menyusun syarikat itu. Janji Kajai pada saya telah menyebabkan saya mencapai keputusan tersebut. Sudah tentu tak siapa pun tahu akan perjanjian sulit kami itu sehingga beberapa waktu yang lama kemudian.

Sekalian pengasas-pengasas telah meletakkan serba sedikit wang masing-masing membawa jumlah $2,000. Syarikat pun didaftarkan dan memorandum serta syarat-syarat persekutuan pun dikeluarkan.

Memang membuat janji hendak membeli adalah perkara yang tidak sama dengan menunaikan janji itu. Kebanyakan dari mereka itu memberitahu isteri-isteri mereka sekiranya saya datang, tolonglah katakan yang mereka tidak ada di rumah.

Beberapa orang meminta saya datang sekali lagi dua bulan kemudian. Setengahnya memberi saya kopi secawan dan akan bersyarah selama dua jam kemudian pada akhirnya hanya membeli satu syer sahaja!

Haji Embok Sooloh dan Encik Daud kerana melihat saya di dalam keadaan susah sentiasa menggalakkan saya dengan kata-kata yang menggirangkan. Haji Embok Sooloh pada hari-hari Jumaat misalnya membawa saya ke Benut dan Pontian di mana sesudah sembahyang Jumaat saya akan memberi syarahan dan dapat juga menjual beberapa syer.  Encik Daud telah pergi ke Kuala Lumpur tetapi hanya dapat menjual beberapa syer sahaja.

Dalam masa tiga bulan saya telah mengunjungi tidak kurang daripada tiga puluh dua kampung di Singapura dan bersyarah kepada lebih kurang lima ribu orang Melayu. Biasanya saya ditemani oleh sahabat-sahabat saya yang baik seperti Encik Sudin yang sanggup pula meminjamkan motokarnya kepada saya hingga tengah-tengah malam. Demikian juga Encik Osman Hassan dan Yahya.

Walaupun kami berusaha demikian rupa dan walaupun boleh dikatakan empat ratus orang telah membeli syer, namun kami telah kekurangan kira-kira lapan ribu ringgit untuk memenuhi modal $12,500 yang dibayar dan kami hanya mempunyai masa selama tiga hari lagi itulah had waktu yang kami harus mendapat modal sekurang-kurangnya sebanyak tadi, kerana kalau tidak, pendaftaran kami akan dibatalkan oleh kerajaan.

Barangkali juga Encik Daud dan Embok Sooloh serta beberapa sahabat yang lain telah melihat air mata saya menitik bila saya menyatakan pada mereka bahawa sekiranya wang sebanyak $8,500 tidak didapati dalam masa tiga hari lagi, maka segala usaha kami akan menjadi hampa layang saja.

Kerana terharu barangkali oleh perasaan saya, maka Encik Daud dan Tuan Haji Embok Sooloh walaupun mereka kaya tidaklah mempunyai wang ditangan pada waktu itu - dengan segala susah payah mereka berdua telah berikhtiar dan esoknya mereka memberi saya $8,500 "Kerana kenangkan awak, Yusoff" kata mereka berdua.

Saya tidak kira ada orang yang lebih gembira daripada saya pada malam itu di seluruh Singapura.

Sementara itu orang-orang yang namanya tersebut di bawah ini telah dipilih menjadi pengarah bersekutu syarikat kami.  Encik Daud bin Mohd. Shah, Haji Embok Sooloh bin Haji Omar, Haji Abdul Hamid bin Haji Mohamad (Palembang), Tengku Abdul Kadir bin Mohamad, Haji Ismail bin Haji Mohd. Taib, Embok Abdul Ghani bin Haji Omar, Abdul Jalil bin Haji Harun (Encik Endut) dan saya sendiri.

Tidak lama kemudian syarikat pun mengutus saya ke Hong Kong bagi membentuk huruf-huruf Melayu bagi suratkhabar kami.

Kembalinya saya ke Singapura dalam bulan Februari 1939 beberapa jentera cetak yang telah kami pesan daripada England telah sampai dan kami pun menyewa sebuah bangunan di Queen Street.

Barangkali itulah masanya saya bekerja kuat sekali di dalam seumur hidup saya. Menjual syer, menyusun belanja, mengadakan kakitangan bagi akhbar kami, mengatur pejabat, mendirikan jentera-jentera, melantik jabatan pengurus, mencari iklan dan sebagainya. Semuanya ini terpaksa dikerjakan selain daripada kerja saya yang biasa setiap hari mencari insurans polisi yang menjadi sara hidup saya dari semenjak saya meninggalkan Warta Malaya dalam tahun 1937.

Dengan bersulit-sulit Encik Ishak bin Haji Mohamad, Encik Zainal Abidin bin Haji Alias (ZABHA) dan Encik Mohamad bin Samawi telah membuat janji kepada saya bahawa mereka akan masuk Utusan Melayu. Selain daripada itu kira-kira dua puluh orang pengatur huruf dari Warta Malaya seperti Encik Arshod, Baharuddin dan Latif serta tukang lipat kertas seperti Encik Halil telah berjanji akan bekerja bersama-sama saya.

Encik Ishak dan ZABHA telah meninggalkan Warta Malaya boleh dikatakan serentak, sebulan sebelum Utusan Melayu dilancarkan.

Bagi kali yang pertama di dalam sejarah orang-orang Melayu sebuah suratkhabar harian Melayu, dipunyai oleh rakyat jelata Melayu dan dengan suatu azam yang kuat telah berjaya dilancarkan.

Encik Ahmad Semawi bersama-sama dua puluh pengatur huruf yang lain serta Halil bin Ghazali dari Warta Malaya telah masuk bekerja dengan kami seminggu sebelum dari yang berperistiwa itu.

Kebanyakan daripada mereka yang mula-mula sekali menganjurkan syarikat telah sampai siang-siang pada 29hb. Mei, 1939. Tuan Haji Abas bin Taha, Chief Kadi Singapura (kemudian menjadi Mufti Pahang) telah membaca doa selamat.

Dan naskhah Utusan Melayu yang pertama dicetak. Maka sekalian yang hadir di situ berseri-seri oleh senyum yang gembira. Hari yang berbahagia bagi orang-orang Melayu telah sampai.

Bagi kali yang pertama di dalam sejarah orang-orang Melayu, sebuah suratkhabar harian Melayu dan dengan satu azam yang kuat telah berjaya dilancarkan.

------------------------------
* Allahyarham Yusoff Ishak ialah Pengasas Utusan Melayu dan pernah menjadi Presiden Singapura dari 3 Disember 1959 hingga 23 November 1970. Artikel ini dipetik dari tulisan beliau bertajuk:  "BAGAIMANA KITA BERMULA" dalam Utusan Melayu, 10 tahun selepas akhbar ini diterbitkan.

Share this

10 Responses to "Utusan lahir dari airmata orang Melayu!!"

  1. thanks for the info..really useful

    ReplyDelete
  2. salam. artikel sejarah yg baik.
    cuma, utusan sekarang nampak keterlaluan dengan semangat perkauman.

    ReplyDelete
  3. roseman, ko tak baca surat khabar cina. Semangat perkauman mrk lagi dahsyat. Melayu cuma ada Utusan utk pertahan hak Melayu tapi Cina ada kurang2 3 surat khabar. Tapi sayang ramai Melayu sekarang marahkan akhbar yang pertahankan hak mereka... Kalau hak dah tak ada, aku ingat masa tu semua Melayu merayu kat Utusan spy tulis ttg perjuangan tuntut hak Melayu....

    ReplyDelete
  4. it's the nice article

    ReplyDelete
  5. masya'Allah terima kasih atas maklumat ini ... ahmad semawi tu arwah datuk sebelah ibu saya ...

    ReplyDelete
  6. Tapi sayang... Ada orang Melayu yang nak musnahkan syarikat dan akhbar Melayu ini.

    ReplyDelete
  7. agree 1001%..
    ayah saya bekas pekerja utusan melayu.

    baca lah sejarah...utusan melayu sahaja yang memperjuangkan kaum melayu dengan lantang.sayangnya akhbar ni sudah jadi antara akhbar yang paling dibenci oleh kaum sendiri...sedih

    ReplyDelete
  8. sy suka baca utusan...
    dulu, kini dan selamanya...

    ReplyDelete
  9. memang touching la...
    bergenang pulak airmata ku ini...

    ReplyDelete
  10. Sdr Rosman Utusan Melaysia memperjuangkan nasib melayu -Islam yang kian digugat oleh kaum lain. Sesiapa juga dilaht memperjuangkan bangsa pasti nampak perkauman. Keran perkauman itu itulah melayu masih kekal. Jangan terlampau liberal hingga pihak lain naik atas kepala

    ReplyDelete

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.