08 October 2010

Zaid bakal presiden PKR?

Zaid Ibrahim akan bertanding jawatan Presiden PKR... Wow! Itulah suara-suara kedengaran dari kem-kem PKR selepas dia memberi laluan kepada Nurul Izzah untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden bersaing dengan Azmin Ali, iaitu kerusi yang dicadang oleh Zaid untuk ditandinginya.

Dan andai hasrat Zaid ini menjadi realiti aku membayangkan bahawa Wan Azizah akan memberi laluan kepada Zaid untuk menerajui pucuk pimpinan PKR dengan syarat tiada campur tangan dari Anwar Ibrahim. Tapi sudah pasti itu adalah sesuatu yang mustahil memandangkan Anwar seboleh-bolehnya tidak mahu membenarkan "orang luar" menerajui PKR melain anak isterinya sendiri. Sebabnya, mereka mudah dikawal dan dicucuk hidung.

Apatah lagi kalau Zaid yang mahu merebut kerusi presiden sudah pasti Anwar sanggup melakukan apa sahaja bagi menghalangnya walaupun akar umbi memberi sokongan padu kepada Zaid. Sebabnya Anwar tahu Zaid seorang yang keras kepala, suka melawan cakap bos dan sukar dikawal. Kalau Zaid menjadi Presiden, sudah pasti suara Anwar yang tidak berjawatan dalam PKR tidak mahu didengarinya.

Dan andai Zaid berkeras mahu bertanding kerusi no. 1 itu ditambah dengan sokongan peringkat akar umbi, aku percaya mahu tidak mahu Anwar terpaksa mencalonkan dirinya bertanding kerusi yang sama bagi menyaingi Zaid walaupun dia tahu Zaid hanya "seekor bilis" dalam PKR berbanding dirinya "seekor paus."

Lalu bagaimana dengan kedudukan Azmin? Azmin yang sejak awal-awal lagi mengumumkan untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden terpaksa pula berdepan dengan anak CIFU-nya, Nurul Izzah sedangkan semua orang tahu Nurul Izzah, seperti ibunya Wan Azizah tidak senang dengan Azmin atas sebab-sebab yang semua orang tahu. Dan jika ini berlaku sudah pasti Anwar berada dalam dilema, menyokong anaknya atau Azmin.

Berdasarkan sentimen yang dikutip dari mesyuarat cabang PKR di seluruh negara, ramai yang mahu melihat PKR menjadi sebuah parti yang memperjuangkan rakyat pebagai kaum dan bukannya sebuah parti mempejuangkan individu sepertimana awal penubuhannya. Namun, hal ini sukar dilakukan kerana begitu kuatnya pengaruh Anwar sedangkan Anwar tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Sikap Wan Azizah yang "tiada kuasa" walaupun beliau seorang presiden parti jelas tidak disenangi oleh akar umbi termasuk Zaid dan sehubungan dengan itu ramai yang mahukan agar Wan Azizah diturunkan daripada kerusi presiden dan menyerahkannya kepada Anwar. Tetapi sehingga kini bayangan menunjukkan Anwar masih tetap tidak berminat untuk menjadi Presiden PKR sebaliknya lebih senang dengan statusnya sekarang.

Apa pun congakan politik PKR,  aku merasakan sudah tiba masanya PKR lari dari bayangan Anwar dan keluarganya sebaliknya PKR patut "diapungkan" kepada ahli-ahli untuk menjadikan perjuangan parti itu tidak lagi untuk membebaskan Anwar dari kes-kes mahkamahnya sebaliknya berjuang untuk kepentingan rakyat dan seluruh ahli.

Dan orang yang  paling layak untuk membawa keluar PKR daripada bayangan Anwar ialah Zaid Ibrahim!

Share this

0 Comment to "Zaid bakal presiden PKR?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.