01 November 2010

Cerah di Batu Sapi, malap di Galas?

Khabar terbaru yang aku terima dari rakan-rakan di Sandakan bahawa peluang BN untuk mempertahankan kerusi Batu Sapi cerah. Berdasarkan risikan dan sumber-sumber di kawasan terbabit mendapati sokongan pengundi terhadap BN cukup tinggi berbanding SAPP dan PKR.

BN yang mempertaruhkan balu mendiang Edmund Chong untuk mempertahankan kerusi yang disandang oleh suaminya nampaknya berhasil menarik sokongan rakyat terhadap BN. Selain kedudukan calon yang cukup dikenali di kalangan pengundi Batu Sapi kerana sebelum ini sering mengiringi mendiang suaminya turun padang menjenguk rakyat, Linda Tsen turut mempunyai ketokohan tersendiri untuk mewakili rakyat Batu Sapi ke Parlimen selepas ini.

Penyertaan dua wakil parti pembangkang - SAPP dan PKR di Batu Sapi juga memberi kelebihan kepada calon BN untuk merebut kertas undi terutama dari kalangan pengundi atas pagar. Khabarnya SAPP yang mencalonkan bekas Ketua Menteri, Yong Teck Lee dikatakan dapat memberikan saingan kepada BN manakala calon PKR, Ansari pula bakal kehilangan wang pertaruhan.

Itulah gambaran yang diterima dari Batu Sapi setakat ini menjelang hari pembuangan undi pada 4 November ini.

Sementara itu, khabar sebaliknya pula diterima di Galas, Kelantan. Kedudukan BN untuk merampas kerusi DUN Galas dikhabarnya agak sukar walaupun jentera pilihan raya bagi BN diketuai oleh "orang istana", Tengku Razaleigh Hamzah. Pas dijangka akan terus mendapat sokongan pengundi walaupun BN berusaha membawa pelbagai pembangunan di kawasan tersebut.

Isu-isu kegagalan kerajaan Kelantan membangunkan negeri termasuk Galas serta pelbagai masalah rakyat yang gagal ditangani oleh kerajaan Pas Kelantan nyata tidak membawa sebarang kesan kepada para pengundi terhadap Pas.

Apa-apa pun semua itu adalah ramalan yang aku terima berdasarkan pelbagai sumber risikan. Namun sama ada benar atau tidak semuanya akan terjawab 4 November ini. Ini kerana dalam tempoh 3 hari ini macam-macam boleh berlaku dan segala "keputusan" masa kini boleh berubah dalam masa 24 jam.

Yang jelas bagi BN, kerusi Batu Sapi jauh lebih penting untuk dipertahankan kerana kekalahan boleh mengurangkan jumlah kerusi kerajaan di Parlimen dan menambahkan lagi kerusi pihak pembangkang yang kini sudah "hilang" beberapa kerusi lantaran beberapa Ahli Parlimen mereka keluar dari parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Manakala kemenengan di Galas hanya untuk mempertahankan maruah BN, UMNO dan Ku Li. Kalah atau menang sudah pasti tidak menjejaskan kerajaan Pas Kelantan cuma BN boleh "menyapu bersih" kerusi-kerusi dalam Parlimen Gua Musang.

Share this

0 Comment to "Cerah di Batu Sapi, malap di Galas?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.