30 January 2010

Siapa takut? UMNO ke Anwar?

Tergolek-golek aku baca posting terbaru dalam blog rasmi Anwar Ibrahim yang kononnya UMNO kini dalam keadaan ketakutan yang melampau. Baca di sini... Ni nak tanya, siapa yang dalam ketakutan sebenarnya ni? UMNO ke diri sendiri yang takut?

UMNO tidak perlu takut kerana tiada apa yang perlu ditakutkan. Nak kata pembangkang makin kuat, jelas2 parti pimpinan Anwar, PKR dan Pas sendiri yang makin retak. Lihatlah apa yang berlaku di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Ops.. lupa. Mereka tuduh UMNO yang menjadi dalang keretakan parti mereka. Pelik, rumah tangga sendiri yang alami masalah nak tuduh UMNO pulak!

Bukankah Anwar sendiri yang sedang ketakutan memandangkan Penjara Sungai Buluh semakin menghampiri dirinya untuk dihuni. Almaklum sekarang ini kes liwat keduanya semakin hampir untuk dibicarakan walaupun dia sendiri menggunakan pelbagai helah untuk melambat-lambatkan proses perbicaraan. Apa nak tunggu sampai PRU-13 ke?

Aku petik satu persatu apa yang ditulis Anwar tentang ketakutan UMNO ini:

"Minggu kebelakangan ini keresahan memuncak apabila adanya percubaan untuk merekayasa ketegangan antara kaum dan agama. Siri serangan ke atas rumah ibadat mengejutkan rakyat Malaysia kerana ada di antara kita demi kelansungan politik segelintir, sanggup menggadai keamanan dan keharmonian negara ini."

Nampaknya Anwar tak habis-habis nak menuduh UMNO sebagai dalang di sebalik kejadian membakar rumah ibadah sedangkan beliau sendiri bersama beberapa pemimpin Melayu lain yang "membakar perasaan" umat Islam apabila sanggup menggadai agama dengan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.

"Kita dikejutkan lagi dengan berita bahawa adanya tangkapan secara beramai-ramai minggu lalu menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA), kononnya untuk memerangi pengganas. Sekiranya tidak didedahkan oleh Gerakan Mansuh ISA, pastinya kerajaan akan mendiamkan perkara ini agar tidak diketahui umum. Persoalannya jika ada bukti kukuh, mengapa menggunakan ISA? Saya menggesa agar kerajaan segera membawa mereka ke muka pengadilan dan diadili secara bebas tanpa menurut telunjuk sesiapapun."

Boleh dia nasihat supaya bawa mereka (tahanan ISA) ke muka pengadilan sedangkan apabila pihak berkuasa membawa dia sendiri ke muka pengadilan berhubung pemerkosaan luar tabii ke atas Saiful, boleh pula dia lari ke Kedutaan Turki, melambat-lambatkan proses pengadilan, dan mencari alasan agak dia tidak diadili. Bukti? Memang ada buktilah!

"Lihat sahaja apabila kerajaan sanggup membiarkan anak-anak mahasiswa kita diberkas dan diugut. Apa erti slogan perubahan jika suara mahasiswa dibungkam dan mereka ditakut-takutkan. Lebih menyedihkan kemurnian kawasan universiti dicemar apabila pihak keselamatan menceroboh lalu angkuh mempamirkan kekuatan. Tidak sedarkah kamu wahai pemerintah!"

Nak tanya, siapa yang cadangkan kerajaan gubal Akta Universiti, hapuskan Sudut Pidato di kampus? Bukankan ketika Anwar menjadi Menteri Pelajaran dulu? Berdasarkan pengalaman dia sendiri maka Anwar sendiri mahukan AUKU dipinda bagi menghalang kebebasan bersuara mahasiswa. Dah nyanyuklah tu!

"Mahasiswa dan anak muda adalah generasi pemberani yang tidak gentar walau hanya berbekal genggaman tapak tangan apabila berhadapan kekuatan pemerintah."

Setuju! Tak macam Anwar menjadi mahasiswa dulu. Pengecut!! Dia yang pukul canang tentang kemiskinan di Baling sehingga mahasiswa memberontak dan bertempur dengan FRU, dan pada masa itu jugalah Anwar cabut lari dan meninggalkan para mahasiswa yang tak tahu apa2 ditahan dan ditangkap pihak berkuasa. Begitu juga ketika era reformasi. Itulah rahsia kenapa Anwar tidak pernah ditangkap ketika mengadakan demonstrasi... Sebab dia cabut lari apabila datang pihak berkuasa.

Nasihat aku pada Anwar, tak payahlah nak tuduh UMNO takut sebab setiap kali dia menyatakan UMNO ketakutan sebenarnya itulah perasaan dirinya sendiri. Ketakutan terhadap dosa-dosa dan perlakuannya sebelum ini yang bakal diadili tidak lama lagi.

Tilik muka hang kat cermin dulu, bro!

29 January 2010

Imam Pas berbohong di mimbar Jumaat

Aku dalam perjalanan ke Hulu Langat tetapi kerana sudah masuk fadhu Jumaat, aku singgah di sebuah masjid di Ampang. Ketika sampai, imam baru sahaja mahu memulakan bacaan khutbah. Beliau memulakan khutbah dengan isu kiamat dan tanda-tandanya, termasuk turunnya dajal, kejadian gempa bumi dan peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat - Raya Haji, Krismas, Tahun Baru 2010 dan gerhana matahari.

Aku tidak pasti apa hubungan sambutan perayaan pada Jumaat dengan hari kiamat walaupun aku tahu hari kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Pun begitu dengan nada suaranya yang lantang walaupun dari loghatnya aku percaya imam tersebut dari Pantai Timur, tetapi kisah hari kiamat itu menyedarkan aku bahawa tanda-tanda kiamat sudah hampir.

Namun sedang aku khusyuk mendengarnya, bacaan imam tersebut mula terarah kepada ceramah dan kempen-kempen Pas seperti kebiasaannya. Beliau mula mengaitkan kiamat dengan peristiwa berlaku di negara ini pada masa kini dan mula membuat tuduhan demi tuduhan terhadap kerajaan. Dan yang paling aku tidak faham kenapa imam tersebut menuduh Munsyi Abdullah sebagai pengkhianat agama kerana bersekongkol dengan penjajah untuk menterjemah kitab Kristian ke dalam bahasa Melayu.

Oh, mungkin imam tersebut mengenali Munsyi Abdullah maka dia tahu kegiatan pujangga keturunan Arab itu menterjemahkan kitab Injil ke dalam BM sedangkan tiada sebarang bukti dan fakta menunjukkan perkara tersebut. Imam itu juga mula menuduh kita lebih mementingkan perjuangan terhadap penyalahgunaan kalimah Allah sedangkan banyak lagi penyelewengan, rasuah dan tidak menggubal undang-undang Islam.

Malah imam itu juga turut memperlekehkan kerajaan kerana tidak meletakkan Majlis Fatwa Kebangsaan ditempat yang sepatutnya dan menuduh majlis itu dikunci jika dalam keadaan tenang.Pergh... Mahu aku menjerit kat imam itu dengan kata "bohong!!" tetapi apakan daya, aku tidak mahulah sembahyang Jumaat aku sia-sia kerana mengeluarkan satu perkataan ketika imam sedang membaca khutbah.

Aku tidak peduli jika imam tersebut atau pemimpim Pas mahu menghentam waima memaki hamun kerajaan (BN/UMNO) tetapi tolonglah jangan gunakan mimbar Jumaat. Buatlah ketika memberi ceramah agama kepada pengikut mereka atau ketika kempen pilihan raya, tetapi janganlah di mimbar Jumaat.

Aku dapat melihat reaksi sebahagian jemaah yang berubah air muka ketika imam tersebut "menyerang" kerajaan satu persatu dengan tuduhan-tuduhan tanpa bukti dan fakta. Bukankah mimbar Jumaat adalah wadah untuk kita menyampaikan sesuatu yang baik dan bukannya mencetuskan amarah di kalangan jemaah.

Diam....

Aku tau aku agak lama menyepi. Tidak kemas kini blog aku. Ada kawan2 yang kenal aku bertanya kenapa tidak kerap kemas kini blog aku. Aku balas, saja! Bosan dengan terlalu banyak isu-isu sensitif yang dipolitikkan yang akhirnya ia menjadi semakin payah.

Isu kalimah Allah, bakar gereja, bakar surau, kepala babi di masjid... arghhh!! Semakin tidak keruan semuanya. Ia semakin sulit, semakin payah, makin amburadur gara-gara banyak pihak mempolitikkannya. Semuanya mahu menjadi jaguh atas nama rakyat, konon. Walhal yang menjadi mangsa rakyat juga. Payah!

Bukankah lebih baik aku berdiam. Diam tidak bererti tidak berbuat apa2 tetapi sekadar tidak mahu terikut-ikut dengan rentak mereka. Buat apa kita panas2kan isu seperti ini yang akhirnya mengundang bencana. Bencana kepada agama, bangsa & negara. Wah... Tidak-tidak.

Ops... bukan bermakna aku tidak ikut sama berjuang menegakkan agama dan bangsa, tidak. Tetapi bukan ini caranya. Isu ini sepatutnya diselesaikan secara diam. Itulah yang perlu dilakukan oleh pihak2 yang terlibat. Ia umpama menarik rambut dalam tepung. Rambut dikeluarkan, tepung tak berselerak.

Teringat aku ketika zaman Tun Mahathir dulu. Banyak juga isu-isu sensitif melibatkan kaum dan agama tercetus tetapi ia dapat diredam dan diredakan dengan segera. Malah pihak2 yang selama ini anti melihat keamanan negara juga tidak sempat memanipulasikannya atau kalau sempat pun ia tidak ke mana-mana.

Sebab itulah dalam isu sensitif ini ia memerlukan kebijaksanaan pemimpin2 tertinggi negara untuk menyelesaikannya dengan SEGERA!. Sumbat mereka yang terbabit di bawah ISA tidak menyelesaikan masalah. Malah ia lebih parah sebab sudah pasti ramai pihak yang akan memanipulasikannya untuk menjatuhkan kerajaan di mata rakyat. Api jangan dibalas dengan api...

Arghh... Sudah penat aku menulis tetapi perkara ini masih lagi berterusan. Lebih baik aku berdiam sejenak. Diam.....

25 January 2010

Pecat saja Zul Noordin....

Aku cukup simpati dengan Zulkifli Noordin yang terus diserang oleh kawan-kawan dari PKR sendiri mahupun Pas ketika beliau mempertahankan soal kalimah Allah. Blogger seperti Hishammuddin Rais mengutuk habis-habisan Zul manakala blogger Pas pula turut tidak ketinggalan memperlekehkan beliau lantaran tindakan beliau membuat laporan polis ke atas Khalid Samad (Pas) perihal kalimah Allah.

Selama ini aku memang salut dengan Zul Noordin walaupun dia ahli Parlimen mewakili PKR tetapi beliau amat pantang jika Melayu dan Islam diperlekehkan oleh orang lain. Aku ingat dahulu beliau ikut berdemonstrasi bersama ketika Majlis Peguam mengadakan dialog perihal hak Melayu dan dalam isu kalimah Allah, beliau dengan tegas mempertahankan kesucian kalimah itu.

Inilah Melayu & Islam sejati sebenarnya. Beliau menolak ke tepi perihal fahaman politik sebaliknya sama-sama menyinsing lengan baju untuk mempertahankan maruah Melayu dan kesucian Islam. Tidak seperti pemimpin Pas yang selama ini bukan main becakap soal perjuangan menubuhkan negara Islam, melaksanakan hukum Hudud tetapi apabila mengunci diri apabila Islam dicabar oleh bangsa & agama lain.

Bagi aku, jelas sekali sesiapa yang mengutuk, menghentam dan memperlekehkan Zul Noordin perihal isu kalimah Allah sama ada mereka dari  PKR atau Pas bermakna mereka juga menyokong puak2 yang mahukan kalimah Allah digunakan dalam penerbitan agama Kristian.

Ya, mereka boleh mengungkit siapa Zul Noordin. Seingat  aku beliau pernah menjadi Presiden Kelab UMNO ketika menjadi mahasiswa di New Zealand dahulu. Kemudian beliau menyertai Pas tetapi gagal bertanding di Bandar Tun Razak dan seterusnya menjadi pejuang reformasi ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan TPM sehinggalah kini menjadi pengikut setia Anwar.

Dan ketika Zul Noordin begitu lantang mempertahankan kesucian kalimah Allah, suara-suara dalam PKR mahukan beliau dipecat. Malah ada pemimpin Pas juga tidak senang dengan beliau, mahukan dia dipecat dari PKR. Sebabnya, Zul Noordin dikatakan menjadi duri dalam daging bagi pakatan pembangkang.

Kepada pemimpin tertinggi PKR, aku memang mengalu-alukan pemecatan Zul Noordin sebagai ahli parti dan suruhlah beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru sekali agar satu pilihan raya kecil dapat diadakan. Sebab aku percaya pemecatan Zul baik dari parti mahupun sebagai Ahli Parlimen akan membuat rakyat sedar ke mana perjuangan PKR dan Pas sebenarnya dan di mana kedudukan kedua-dua parti itu ketika Melayu dan Islam semakin ditekan oleh pihak lain.

Siapa Aduka Taruna?

TERKINI:
Aduka Taruna dah minta maaf sebab kekhilafannya membuat posting menghina Almarhum Sultan Johor. Tapi aku rasa permohonan maaf melalui blognya belum memadai. Elok kalau dia pergi mengadap Tengku Yim (Sultan Ibrahim) dan memohon maaf. Ada berani ke?


POS ASAL:
Tiba-tiba nama blogger Aduka Taruna menjadi popular malah jauh lebih popular dari Mawi atau Anuar Zain. Itu semua gara-gara keberanian dan kebodohannya menghentam Almarhum Sultan Johor ketika baginda mangkat kelmarin melalui blognya.

Aku tak sempat nak baca tulisan Aduka Taruna mengenai kemangkatan Sultan Iskandar itu kerana ia telah dipadamkan tetapi aku percaya ada kalangan rakan blogger lain yang sempat "screen-shot" blog tersebut. Tapi aku yakin tulisan Aduka Taruna sangat teruk. Kalau tidak, takkan sampai 25 laporan polis dibuat oleh rakyat Johor terhadapnya (setakat ini).

Tapi kesimpulan aku boleh buat, blogger upahan pembangkang ini memang sama rupanya. Berani buat tapi tak berani tanggung. Sudah lempar batu tapi sembunyi tangan. Atau sudah buat fitnah, hentam sana sini tapi cabut lari. Macam RPK juga lah.

Tapi Aduka lupa bahawa setiap artikel yang dikirim itu sebenarnya dapat dikesan oleh pihak berkuasa jika mereka mahu. Pendek kata jangan fikir kalau sudah padamkan blog itu dia boleh cabut lari. Ia macam rumahlah, walaupun dah dirobohkan tapi tapaknya masih meninggalkan kesan. Begitu juga dengan blog ini.

Nak tahu macam mana? Mari aku beritahu agar kalian semua para penulis blog sedar bahawa setiap yang kita tulis, kita poskan di blog kita atau komen blog lain dapat dikesan oleh pihak berkuasa jika mereka membuat penyelidikan mendalam.

Ingat, setiap komputer berinternet yang kita guna mempunyai IP no. dan setiap nombor mempunyai kod-kod yang kita orang biasa tidak fahami. Contoh 132.18.10.4. Setiap nombor itu mewakili negara, negeri, organisasi dan komputer yang digunakan. Jadi kalau polis nak kesan Aduka, mereka boleh menggunakan nombor ini.

Eh, kat mana nombor ini tersimpan? Mudah saja. Iaitu di dalam pangkalan data penyedia perkhidmatan Internet kita. Walaupun blogger didaftarkan di luar negara dan pihak berkuasa negara kita tidak mempunyai akses untuk menyemak akaun Aduka di Blogger.com tetapi mereka boleh kesan melalui komputer yang digunakan.

Jadi, aku ingatkan kepada Aduka jangan fikir anda boleh melempas batu sembunyi tangan sebab tangan anda masih terpalit tahi yang masih berbau busuknya. Kalau macam tu, mana nak lari?

Aku tak kenal Aduka Taruna tetapi kalau RPK aku kenal dan semua orang kenal. Jadi kalau dia nak lari ke luar negara, ramai yang nak bantu. Tapi Aduka? Sejauh mana boleh lari? Apakah sejauh Batam atau pulau Tenggol?

Larilah Aduka... lari....!!

23 January 2010

Jiwa Melayu makin kacau

Jiwa Melayu kini semakin kacau.  Bukan takat kacau tapi dah sampai kacau bilau. Ada Melayu yang melalut perihal cah keting, ada Melayu kata undang-undang pasal kalimah Allah dah ketinggalan zaman, ada Melayu yang menghina raja mereka sendiri.

Itu belum ambil kira kekacau-bilauan jiwa Melayu yang menjadi mat "pet", mat rempit, bohsia bohjan, jadi pelacur, jadi GRO, jadi mami, jadi pondak, bapok dan gay.  Dalam dunia hiburan jangan ceritalah. Lagi kacau bilau. Kacau... kacau... Jiwa Melayu makin kacau bilau.

Ada orang kata Melayu jadi kacau sebab seorang Melayu yang bercita-cita nak jadi pemimpin negara sedangkan bontotnya bergelumang dengan tahi. Ada yang kata Melayu jadi kacau sebab ada took guru bergelar ulama menggunakan agama jadi modal politik dan ada yang kata jiwa Melayu kacau sebab memang perangai Melayu - hasad dengki dan tidak suka orang Melayu maju!

Entah ada ke tidak ubat yang boleh mengubat jiwa Melayu yang kacau bilau ini. Ada orang kata, dengan meningkatkan iman & ibadah kita, maka jiwa kita boleh tenang. Setuju! Tapi macam mana nak tenang kalau tok guru pun makin haru.

Tak tahu. Aku tak tahu. Kalau ada pakar jiwa di luar sana tahu jawapannya silakan. Tetapi aku nampak jiwa Melayu makin kacau.. kacau bilau. Dan kekacau-bilauan jiwa Melayu makin parah apabila semakin menghampiran PRU-13.

Ish...! Jangan kacaulah!

Sembah takziah

Sembah takziah buat keluarga diraja Johor atas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail semalam dan selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru hari ini.

22 January 2010

Apabila penduduk Malaysia 28.9 juta....

Aku terpandang di satu sudut kiri muka depan Utusan Malaysia hari ini yang tertulis: Angka Terbaharu. Penduduk Malaysia 28.9 juta. 66.7% Melayu, 24.6% Cina, 7,4% India. 

Sekali pandang ia tidak membawa apa-apa makna yang penting tetapi kalau dilihat secara mendalam, ia menunjukkan bahawa berdasarkan komposisi kaum terbaru di negara ini, orang Melayu adalah penduduk majoriti manakala kaum-kaum lain masih lagi sebagai kaum minoriti.

Apakah ia sebagai satu peringatan kepada kaum lain bahawa Melayu adalah penduduk majoriti Malaysia dalam keadaan masa kini di mana penduduk minoriti menuntut pelbagai perkara yang tidak masuk akal, yang ada kalanya menggugat kedudukan Melayu sendiri sebagai kaum peribumi dan kaum majoriti?

Mungkin! Ini kerana kalau kita lihat sejak PRU-12 atau tepatnya ketika pemerintahan Pak Lah yang lemah itu, kaum-kaum minoriti sama ada Cina mahupun India menuntut pelbagai perkara yang kadang kala mengguris hati penduduk majoriti. Mereka memperlekehkan raja-raja Melayu, menafikan hak keistimewaan Melayu bahkan mahu menyamaratakan antara agama yang ada.

Tidakkah itu agak pelik memandangkan dalam dunia ini (setahu aku) tidak pernah berlaku penduduk minoriti yang begitu berkuasa dan berani menuntut pelbagai perkara sedemikian sepertimana kaum minoriti di Malaysia. Bahkan sesekali kita memandang kerajaan terlalu mengambil hati penduduk minoriti dengan meluluskan pelbagai tuntutan mereka, sedangkan hati penduduk majoriti diabaikan.

Contoh paling ketara apabila kerajaan meluluskan peruntukan setengah juta ringgit kepada gereja yang rosak dilontar api sedangkan (sehingga kini) tiada sebarang bantuan diberikan kepada masjid atau suaru yang turut dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sejak tercetusnya isu kalimah Allah.

Perkara itu diburukkan lagi dengan sikap pemimpin Melayu pembangkang yang memberi sokongan setiap tuntutan kaum lain termasuk pembinaan kuil-kuil Hindu di kawasan majoriti Melayu, penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian dan lain-lain.

Justeru, aku tertanya-tanya apakah suatu ketika nanti Malaysia akan diperintah oleh penduduk minoriti manakala penduduk majoritinya pula menjadi pelarian di negara sendiri? Tidak mustahil jika Malaysia dipimpin oleh pemimpin Melayu seperti Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Khalid Samad atau Nizar Jamaluddin.

Lalu apakah kita hanya mahu melihat perkara ini berlaku?

20 January 2010

"Jangan main pasir," pesan mak!

Dulu masa aku kecik-kecik mak aku selalu bising kalau aku dan adik-adik main pasir. Dari atas rumah atau dari dapur dia sering menjerit "Oiii xxxxx, jangan main pasir tu... Kotor!" atau kadang suaranya agak perlahan.. "xxxxx, mak cakap jangan main pasir... nanti masuk cacing..."

Masa tu bila mak aku sound macam tu aku dengan adik-adik aku kadang-kadang buat bodoh je. Maklum aku tak taupun kat mana kotornya dan tak nampak pun cacingnya. Mungkin mak saja nak suruh kami balik mandi kut! Itulah yang selalu aku ingat dulu... Tapi bila dah soundnya makin lantang, aku mengalah juga.

Sekarang ni baru aku tau kalau nasihat mak aku tu ada kebenarannya. Rupanya bahaya juga main dengan pasir ni. Tambah pula kalau libatkan bertan-tan yang dibawa keluar ke negara jiran. Aih... Mana boleh jual pasir. Pasir silika bolehlah sebab nak buat kaca. Tapi bukan pasir yang boleh tambak negeri.

Nah kau... Gara-gara main-main dengan pasir dengar cerita ramai yang kena cekup dik SPRM. Itupun selepas bekas PM tercinta, Tun Dr. Mahathir mendedahkannya dalam blog Che Det. Kalau tidak tiada siapa sedar bahawa kegiatan menjual pasir kepada negara jiran sedang berleluasa. Dan paling "best" kalau dulu semua orang duk hentam orang UMNO sebagai dalang jual pasir, tapi rupanya sekarang ini puak2 pembangkang pun ikut sama.

Dan aku ingatkan bila jual pasirnya cuma libatkan negeri Johor, rupanya sampai ke Selangor dan beberapa negeri lain. Aku pernah dengar cerita pasir juga dibawa dari Melaka dan Perak untuk menampung "keperluan" negara jiran tetapi cerita itu senyap begitu saja.

Yang paling aku tertanya-tanya apakah kegiatan menjual pasir kepada negara jiran ini ada kaitan dengan road-show menteri kanan negara terbabit tempoh hari? Sebab selama ini isu penjualan pasir khabarnya sudah "mati" selepas keputusan Pak Lah membatalkan pembinaan Jambatan Bengkok (yang juga ada kaitan dengan pasir) tetapi rupanya masih bernyawa malah semakin kencang nafasnya!

Mak, aku tak main pasir lagi!

19 January 2010

Rokok RM50 sekotak? Kejam....!

Mengekek aku gelak baca laporan surat khabar Utusan Malaysia hari ini perihal cadangan menaikkan harga rokok sehingg RM50 sekotak (20 batang). Tujuannya baik iaitu untuk mengelak orang beli rokok terutama remaja. Tapi bagi pendapat aku yang sudah berhenti merokok 5 tahun lalu ini, cadangan itu  adalah kejam dan sia-sia.

Sebab apa aku kata kejam, sebab adalah sangat melampau kalau kerajaan mengenakan harga RM50 untuk 20 batang yang maknanya harga sebatang rokok ialah RM2.50. Tapi bagi aku biarlah harga sampai RM100 sekotak pun, kalau mereka nak hisap rokok, tetap membelinya. Yalah, kalau tak mampu nak beli sekotak seorang, mungkin mereka sanggup kongsi.

Silap-silap ada pula remaja yang sanggup mencuri atau merompak semata-mata nak beli rokok atau mereka beralih kepada ganja yang jauh lebih murah dan lebih "fly" berbanding rokok. Kalau dah sampai tahap macam tu siapa nak jawab?

Bagi aku cara paling berkesan untuk mengurangkan perokok ialah dengan "menyusahkan hidup" perokok. Maksudnya, mereka susah nak cari kawasan merokok. Dengan kata lain, kerajaan kena wartakan lebih banyak kawasan larangan merokok. Setahu aku di sesetengah negara Eropah, pusat-pusat hiburan seperti pub dan disko pun merupakan kawasan larangan merokok. Di Jepun, merokok hanya dibenarkan di kawasan tertentu walaupun di kawasan terbuka seperti di tepi jalan. Malah perokok jug dikehendaki membawa dompet untuk bekas abu rokok jika merokok di jalanan.

Di negara kita walaupun ada larangan merokok misalnya di restoran, sekolah, hospital, lobi hotel, taman permainan atau di masjid tetapi tiada siapa peduli. Perokok tetap merokok di kawasan larangan. Tak boleh hisap depan-depan, mereka merokok di tangga kecemasan atau kawasan tersembunyi. Dan mereka yang merokok secara terbuka pula tidak dikenakan sebarang tindakan. Malah tiada siapa berani menegur. Akhirnya peraturan tinggal peraturan dan kebebasan merokok di Malaysia terus dinikmati oleh perokok.

Sepatutnya mereka disusahkan untuk merokok sehingga mereka terpaksa mengalah kerana mencari tempat merokok yang dibenarkan. Ia ibarat pencuri, seketat mana kawalan diberikan kalau mereka nak mencuri, mereka tetap berusaha untuk mencuri. Tetapi cara nak elak mereka mencuri ialah dengan menyusahkan mereka untuk mencuri.

Jadi aku harap mereka yang cadangkan supaya rokok dikenakan harga sehingga RM50 sekotak itu kena fikirlah lojiknya. Jangan sampai nanti harga rokok lebih mahal dari ganja atau ekstasi. Nanti tak pasal-pasal jumlah perokok menurun tetapi jumlah penagih dadah pula meningkat.

16 January 2010

Hanya kerana sepotong ayat...

“Ke nak aku baling bom petrol di sana plak?..... harga boleh runding...” Itulah komen Mohamad Tasyrif Tajudin dalam Facebook rakannya menyebabkan dia diseretkan ke mahkamah disyaki ada kaitan dengan kejadian membakar gereja.

Sepintas aku merasakan komen pelajar Aswara itu hanyalah berupa gurauan walaupun akhirnya gurauan itu mengundang padah kepadanya. Satu sisi aku nampak Tasyrif mengundang maut tatkala pihak berkuasa sedang mencari mereka yang bertanggungjawab cuba membakar gereja.

Tetapi pada masa yang sama aku merasakan adalah tidak wajar mengheret budak itu ke mahkamah hanya kerana sepotong ayat di atas yang aku rasa kalau pihak berkuasa atau MCMC memantau laman-laman web, laman sosial, begitu banyak komen-komen berunsur subversif, berbaur perkauman bahkan sentimen bencikan Melayu terutama di kalangan bukan Melayu.

Lihatlah ruangan-ruangan forum di Yahoo! misalnya, ramai di kalangan penggunanya menggunakan ruangan tersebut untuk memburuk-burukkan bangsa dan agama lain tetapi merek dibiarkan dengan bebas berleluasa mempergunakan kemudahan internet untuk tujuan tidak elok kepada bangsa & agama lain.

Lalu apakah Tasyrif ini melakukan satu kesalahan yang besar sehingga dia diseret ke mahkamah? Aku percaya dia berada di tempat dan masa yang salah sehinggakan dia mudah dikesan oleh pihak berkuasa, dan boleh menjadi orang kena tuduh -- suatu tindakan yang mungkin meredakan kemarahan umat Kristian yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan usaha membakar gereja tersebut.

Persoalan seterusnya, apakah komen budak ini disertakan dengan perbuatan? Kalau ya, nahaslah dia tetapi kalau hanya sekadar ungkapan, dia mungkin boleh terlepas. Apapun aku tidak mahu mendahului mahkamah. Takut pula nanti dikatakan subjudis.

15 January 2010

Luahan rasa seorang Cina....

"Orang Cina tidak mungkin dapat jadi ketua di Malaysia. Tidak mungkin...," Kata seorang lelaki Cina yang aku temui di sebuah warung kopi mamak petang tadi. "Kita orang Cina tidak kisah kalau Melayu jadi ketua tetapi yang penting mereka kena jaga hati semua rakyat," bebelnya ketika aku mula mengajukan soalan-soalan provokasi.

"Siapa pun tak kisah tapi kena ingatlah, semua mahu makan. Orang Melayu mahu makan, Cina mahu makan, India pun mahu makan. Jangan sampai mereka (pemimpin) semua makan, kita yang lain cuma tengok saja mereka makan," bebelnya.

Aku cuba jolok soalan pasal Melayu lagi, terus katanya: "Jangan fikir jadi orang Melayu dia ada lesen besar, tak boleh masuk penjara (kalau buat jenayah). Polis tak boleh tangkap mereka sebab mereka Melayu. Tapi kena betul-betullah. Siapa buat salah tangkap saja, masukkan dalam penjara. Tak kira Melayu, Cina, India...

"Jadi orang Melayu boleh beli rumah lebih murah, ada kuota Melayu... Itu patutlah tapi tak bermakna mereka ada lesen besar, boleh buat apa saja," katanya lagi sambil menghirup teh panas di depannya.

Lalu aku cuba provokasi lagi, tidakkah pembangkang sekarang sudah kuat, jadi bolehlah Cina perintah Malaysia. "Huh, tak mungkin. Pembangkang pun sama. PKR silap-silap lagi teruk. Siapa yang perintah sama saja. Mereka semua mahu makan... makan... makan... (rasuah).

"Tapi tak apalah makan  makan itu biasa, ma... mana2 kerajaan pun sama. Tapi jangan tamak. Kalau ada RM10 bilion, RM1 bilion dia makan ada lagi RM9 bilion untuk kasi orang lain. Jangan RM9 bilion mereka makan, RM1 bilion tinggal... Itu tidak bagus!

Lepas itu dengan bangga dia kata kalau tak ada Dr. Mahathir, Malaysia tidak boleh jadi macam sekarang. Orang kenal Malaysia sebab Mahathir. Tapi katanya, "itu Badawi sudah kasi hancur ini negara. Bukan Badawi, tapi menantunya... Sebab itu BN kalah dulu, sebab menantu Badawilah."

"Sebab dia punya cara, dia semua dapat makan tapi orang lain tak dapat makan. Tak macam Mahathir, dia makan tapi orang lain semua pun dapat makan. Apa guna negara kaya, banyak duit kalau rakyat tak ada duit? Buat bisnes pun susah?

"Najib sekarang banyak susah sebab kena cuci dulu kotor-kotor yang Badawi sama menantunya buat. Itu sebab setahun dua ini susah mahu lihat (keupayaan) Najib," gerutunya sambil sesekali menyedut rokok yang dinyalakan sebentar tadi.

Huh, lama juga aku berbual dengan lelaki Cina ni yang dik kerana asyik berbual sampai aku terlupa nak tanya namanya. Tapi sekurang-kurang aku dapat sedikit gambaran tentang pandangan orang Cina terhadap negara.

"Haiya, jangan gaduh-gaduhlah. Kalau politik kacau, pelabur tak mau masuk. Ini macam susah mau cari makan, maa... Kita kena ingat jangan sampai kita susah cari makan...." katanya di akhir perbualan kami.

Aku faham....

13 January 2010

Anwar, Kalimullah, KJ... Ada apa-apa ke?

Khabarnya Anwar ada bertemu dengan Kalimullah dan seorang bekas editor kanan sebuah media arus perdana di kota London. Dan khabarnya juga Kalimullah dan bekas editor tersebutlah yang membantu "menyeludup" keluar RPK bagi mengelak penulis blog itu diheret ke mahkamah untuk satu kes fitnah libatkan Rosmah Mansor.

Ah... pedulikanlah pasal RPK. Mamat ini memang tak ada telur sebab itu dia lari tak cukup tanah bila pihak2 yang beliau fitnah itu bawa kes ke mahkamah. Takut bang!! Cuma yang aku nak tulis ini ialah penglibatan Kalimullah dengan Anwar sebab setahu aku masa zaman Pak Lah jadi PM, Kali inilah yang kuat membodek Pak Lah, mengampu menantunya, KJ melalui akhbar NSTP.

Kalau betullah Kalimullah kini menjadi tali barut Anwar untuk menjatuhkan Najib, memporak-perandakan orang Melayu menerusi Malaysian Insider, apa pula hubungan KJ dengan Anwar? Sebabnya setahu aku KJ selama ini menjadi rakan kongsi Kalimullah dalam ECM Libra dan menjadi proksi KJ dalam AirAsia. Bahkan masa zaman Pak Lah dahulu, hubungan KJ dengan Kalimullah bagai isi dengan kuku. Di mana ada Kali di situ ada KJ dan sebaliknya.

Beberapa kenalan di NSTP pernah bercerita pada aku kalau KJ sering berada di pejabat Kalimullah atau Brandon Parera bagi merancang apakah isu yang patut dimainkan oleh NSTP dan apa isu yang tidak patut diterbitkan. Pokoknya KJ-lah menjadi perancang media untuk membantu menaikkan namanya daripada seorang yang tiada apa-apa untuk menjadi PM sebelum berumur 40 tahun.  Bahkan merekalah yang merancang memencilkan laporan-laporan tentang Tun Dr. Mahathir pada masa itu sehingga bekas PM itu tidak mendapat tempat sama sekali dalam NSTP.

Kini telah terbukti Kalimullah "ada hubungan" dengan Anwar melalui pendedahan pertemuan mereka di London baru-baru ini. Lalu yang menjadi persoalan ialah apakah KJ juga mempunyai "hubungan sulit" dengan Anwar? Kalau ura-ura ini benar, maka benar jugakah cakap-cakap orang sebelum ini bahawa KJ pernah mahu mendampingi Nurul Izzah semata-mata mahu mendekati Anwar ketika Anwar menjadi TPM dahulu?

Dan benar jugakah KJ mempunyai hubungan baik dengan Anwar sehinggalah beliaulah menjadi orang suruhan Pak Lah untuk menghantar pasport antarabangsa Anwar sejurus Anwar "dibebaskan" oleh Pak Lah dahulu?

12 January 2010

Herald Catholic Weekly perlu tarik balik tuntutan

Sultan dah bersuara, wakil penganut Kristian sudah bersuara. Jadi buat apa lagi Herald Catholic Weekly tunggu. Lebih baik tarik sahaja balik tuntutan nak guna kalimah Allah pada surat khabarnya itu. Bukankah itu jalan terbaik agar orang Islam tidak marah dan memastikan tidak berlaku peristiwa lebih buruk di kemudian hari?

Herald Catholic sepatutnya sedar bahawa api sentimen yang dimainkan mereka cukup sensitif dan boleh mengundang bahaya pergeseran antara agama dan kaum. Tetapi kenapa mereka tetap menuntut sesuatu yang tidak sewajarnya? Kenapa perlu terbitkan akhbar mereka dalam bahasa Melayu? Kenapa perlu terjemahkan God kepada Allah?

Ada yang menganggap jika Indonesia boleh menggunakan kalimah Allah dalam Injil berbahasa Indonesia, Malaysia juga patut membenarkannya. Tetapi mereka lupa bahawa antara Malaysia dan Indonesia bezanya bagai langit dengan bumi, terutama perihal anutan agama.

Benar Indonesia mempunyai penduduk beragama Islam paling ramai di rantau ini. Tetapi penganut Kristian mereka juga cukup ramai. Dan di Indonesia mereka bebas untuk memeluk mana-mana agama dan mereka juga bebas untuk menukarnya bila-bila masa sahaja.

Seorang rakan ada memberitahu aku kalau seorang kawan Indonesianya boleh menjadi seorang Islam hari ini dan kemudian bertukar kepada Kristian esoknya. Malah dia juga ke masjid pada hari Jumaat dan ke gereja pada hari Ahad. Itu di Indonesia.

Di Indonesia perkahwinan berlainan agama dibenarkan. Contoh perkahwinan artis Jamal Mirdad (Islam) dan isterinya, Lydia Kandau (Kristian) telah dibenarkan  dan sehingga kini mereka hidup aman bahagia. Sebabnya Indonesia tidak mempunyai undang-undang syariah dan semua agama disamakan.

Sebagai panduan, lihatlah lirik lagu Allah Peduli nyanyian Agnes Monica yang beragama Kristian ini. Bayangkan jika kalimah Allah dibenarkan digunakan di Malaysia, tidakkah ia mengeliru dan menyesatkan?

Banyak perkara yang tak dapat ku mengerti
Mengapakah harus terjadi
Di dalam kehidupan ini
Suatu perkara yang
Ku simpan dalam hati
Tiada satupun kan terjadi tanpa Allah perduli
Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkanya ku bergumul sendiri
Sebab Allah mengerti
Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkanya ku bergumul sendiri
Sebab Allah Yesus ku
Mengerti

Di Malaysia, sudah pastinya amalan-amalan seperti ini perkahwinan berbeza agama dan murtad tidak diterima kerana kita mempunyai undang-undang Syariah. Lagipun agama Islam adalah agama rasmi negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Setahu aku setiap orang Islam di negara ini terikat dengan undang-undang Syariah di mana seseorang Islam tidak boleh bertukar kepada agama lain (murtad) dan jika ia berlaku, undang-undang Syariah boleh dikenakan. Kes-kes seperti Lina Joy berlaku kerana ia melibatkan mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah yang dalam hal ini kelemahan dalam undang-undang syariah perlu diberi perhatian.

Sebab itu kerap kali aku katakan, dalam soal penggunaan kalimah Allah dan lain-lain berkaitan agama, jangan sesekali kita samakan Malaysia dengan Indonesia atau lain-lain negara. Benar penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah Allah sebelum ini tetapi ia didasarkan kepada buku2 yang dibawa dari Indonesia dan bukannya terbitan tempatan.

Terbitan akhbar agama lain sepatutnya tidak dibenarkan dalam bahasa Melayu apatah lagi menggunakan kalimah Allah. Jadi jalan terbaik, tarik balik penggunaan kalimah Allah. Mahukan mereka?

11 January 2010

Flat Bukit Sentosa... Siapa yang patut disalahkan?

Aku masih tak habis fikir bagaimana bumbung flat di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung yang rosak teruk disebabkan ribuk 8 tahun lalu tidak pernah dibaiki sehingga kini dan menyebabkan sebahagian besar para penghuninya terpaksa berpindah menyewa ke rumah lain.

Aku boleh bayangkan betapa deritanya para penghuni flat tersebut terutama mereka yang berada di tingkat paling atas dan aku boleh merasakan betapa geram, marah dan kecewanya mereka dengan sikap semua pihak yang tidak pernah mendengar keluhan mereka selama ini. Dan aku percaya andai tidak ada program Juara Rakyat di situ kelmarin, sudah pasti flat itu akan terus buruk di mamah hujan dan matahari tanpa pembelaan.

Siapa yang patut disalahkan? Apakah kerajaan Selangor hari ini yang baru memerintah negeri lebih setahun. Apa pula yang diambil oleh kerajaan terdahulu selama bertahun-tahun? Di mana wakil rakyat, di mana penghulu, di mana ketua kampung, di mana Yang Dipertua majlis perbandaran, di mana ahli majlis?

Dan aku percaya kejadian di Bukit Sentosa bukan kes terpencil tetapi ia adalah sebahagian bukti sikap sambil lewa sesetengah pihak terhadap rakyat. Aku percaya selepas ini akan terbuka beberapa lagi kes serupa di lain-lain tempat di mana banyak projek melibatkan kepentingan rakyat yang terabai, sama ada gagal disiapkan, siap tetapi rosak atau pelbagai masalah lain.

Apakah Najib perlu menjelajah setiap inci negeri dan negara untuk mendengar keluhan rakyat? Di mana wakil rakyat? Di mana pemimpin-pemimpin penduduk, politik dan masyarakat?

Sungguh, kejadian di Bukit Sentosa amat memalukan dan satu bukti bahawa ramai kalangan pemimpin kita tidak bekerja sebaliknya lebih gemar membesarkan tembolok masing-masing. Aku percaya jika mereka bekerja sepertimana yang diamanahkan, keadaan seperti ini tidak akan berlaku.

10 January 2010

Pembangkang menangguk di air keroh

Wah wah wah... bukan main lagi puak2 pembangkang baik Anwar, Kit Siang mahupun Nik Aziz menjadikan kejadian bakar gereja sebagai peluang bagi mereka untuk menyalahkan UMNO dan kerajaan. Mereka ibarat cuba menangguk di air keroh dengan menyebarkan sentimen konon kejadian tersebut adalah berpunca dari UMNO.

Seronok sakan mereka memainkan isu tersebut untuk melanyak UMNO habis-habisan. Pokoknya sekali dengar seolah-olah UMNO-lah segala kemelut tersebut. Tapi apa nak hairan selama inipun mereka telah pun meletakkan UMNO sebagai parti yang paling busuk, sebusuk-busutnya sejak merdeka lalu.

Kalau tidak masakan mereka terus menghemburkan sentimen konon UMNO telah menyebabkan negara rosak binasa, rasuah berleluasa, kejatuhan ekonomi, kemiskinan malah meletakkan UMNO sebagai parti yang mengamalkan penghapusan etnik. Parti rasis sebab berjuang mempertahankan Melayu.

Tidak hairanlah mereka juga akan menggunakan isu kalimah Allah dan pembakaran gereja oleh mereka yang tidak bertanggungjawab adalah angkara UMNO. UMNO parti segala paksi kejahatan, konon. Pokoknya Anwar yang sedang menghadapi tuduhan liwat pun lebih mulia dari Najiblah!

Inilah cara pembangkang di Malaysia berpolitik. Mereka sanggup merebut peluang apa sahaja demi politik masing-masing. Mereka sanggup menggadai keharmonian dan kemanan negara demi politik. Dan mereka tidak peduli jika negara porak-peranda sebab akhirnya nanti mereka akan salahkan UMNO.

Tapi aku percaya ramai rakyat di luar sana yang boleh berfikir dengan waras dan boleh menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Kalau adapun mereka yang mempercayai kata-kata Anwar, Kit Siang dan Nik Aziz, mereka itu adalah antara manusia yang sudah gelap hatinya.

Yuna bakal juarai AJL....

TERKINI:
Lagu 'Pergi' nyanyian Aizat muncul juara AJL 24 malam ini dan 'Dan Sebenarnya' (Yuna) menduduki tempat kedua manakala lagu 'Bencinta' Faizal Tahir ketiga. Tahniah kepada semua pemenang.

POS ASAL:
Aku bukanlah ikut sangat perkembangan dunia hiburan tetapi apabila semua orang duk bercakap pasal Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan ditayangkan secara langsung hari ini (10.01.10) maka nak juga aku membuat ramalan dan aku siang-siang lagi meramalkan lagu si Yuna tu akan menang.

Memang sejak aku tahu lagu budak perempuan dengan gitar tongnya itu masuk semi-final dan kemudian final AJL aku terus chop lagu "Dan Sebenarnya" itu akan menang di AJL. Ada beberapa sebab sebenarnya aku membuat jangkaan tersebut.

Melihat trend pemilihan pemenang AJL sejak beberapa tahun lalu, TV3 lebih memilih lagu-lagu yang mempunyai kelainan dalam industri muzik. Sebab itu lagu dari Extrange & Meet Uncle Hussein menang pada tahun lalu dan sebelumnya.

Dan lagu Yuna yang diciptanya sendiri itu memang mempunyai kelainan dan memecahkan trend lagu-lagu ciptaan Indonesia. Malah lagunya juga cukup mudah, bersahaja dan senang untuk dinyanyikan semula. Tak hairan ia menjadi siulan anak muda dalam tempoh yang lama.

Apakah lagu-lagu lain tidak mempunyai kekuatan? Ada... tetapi kekuatan mereka bukan pada lagu mereka tetapi kepada penyanyinya. Faizal Tahir dan Misha Omar mempunyai kekuatan dari segi vokal tetapi lagunya biasa-biasa sahaja. Macam kita sering dengar sejak beberapa tahun lalu. Tiada apa yang baru.

Tidak seperti lagu Yuna yang aku ingat dahulu ketika pertama kali mendengar lagi ini membuatkan aku ingin mengetahui siapa penyanyinya? Artis Malaysiakah atau artis dari luar negara??

Jadi, untuk Yuna jika anda menang aku nak ucapkan tahniah dan jangan berlagak serta sombong selepas ini dan jika tewas, jangan menjadikannya satu titik noktah untuk anda berkarya.

09 January 2010

Inilah bahaya bermain "api" agama...

Aku memang kutuk puak2 yang bertindak membakar gereja tempoh hari. Memang tak patut sebab tindakan tersebut boleh mengundang konflik yang lebih besar dan berpanjangan. Tetapi pada masa yang sama, ia sebagai peringatan kepada semua pihak bahayanya bermain dengan api agama.

Pihak2 di luar sana perlulah ingat bahawa Malaysia tidak sama dengan negara lain. Malaysia berbeza dengan Indonesia yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam agama Kristian, dalam Injil versi bahasa Indonesia kerana Islam di Malaysia telah termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi.

Di Indonesia, Islam bukan agama rasmi negara itu walaupun mempunyai umat Islam terbesar di rantau ini. Dan di Indonesia, kebanyakan mereka yang menganut Islam adalah bangsa yang sama menganut Kristian. Tiada bezanya jika dilihat luarannya. Seperti tulis seorang blogger, kalimah Allah dalam agama Kristian hanya diwujud dalam Injil dan penerbitan agama itu di Indonesia yang kemudiannya dibawa ke Sabah dan Sarawak. Allah tidak pernah muncul dalam mana-mana penerbitan agama Kristian di negara lain di dunia. Jadi, kenapa Herald: The Catholic Weekly beriya-iya mahu menggunakan istilah Allah?

Aku percaya pihak2 yang mahu menggunakan kalimah Allah itu sengaja mahu bermain api walaupun mereka sedar, tindakan itu boleh mengundang kemarahan umat Islam. Tetapi peduli apa mereka. Umat Islam kini sedang berpecah antara Islam Pas, Islam UMNO dan Islam PKR. Lagipun umat Islam Malaysia kini sudah tidak menghiraukan lagi tentang agama mereka. Apa yang mereka pentingkan ialah parti masing-masing.

Kalau tidak masakan Hindraf boleh membuat tuduhan orang Islam di negara ini sedang membuat pembersihan etink Hindu, orang kafir mempermainkan al-Quran dengan mengucapnya di khalayak tanpa rasa takut. Sebabnya pemimpin Islam kita tidak mempedulikan lagi soal agama mereka tetapi lebih mementingkan parti. Jadi inilah masanya mereka boleh diperlekehkan termasuk menggunakan kalimah Allah yang sekian lama secara eksklusif digunakan dalam agama Islam sahaja.

Kepada kaum-kaum agama lain di luar sana, beringatlah. Sesungguhnya bermain dengan api agama amat besar bahayanya sama bahayanya dengan bermain api perkauman. Hari ini mereka membakar gereja, kemudian dibalas pula dengan membakar masjid, dan kemudian merebak kepada rumah2 ibadah lain. Tidakkah ia amat berbahaya?

Oleh itu, hentilah bermain api agama dan jangan cuba-cuba untuk menguji antara satu sama lain!

07 January 2010

Demo bukan hanya kerana kalimah Allah...

Pelik sungguh perangai puak2 Pas ni. Bila orang Islam mahu mengadakan demo selepas Jumaat esok bagi menzahirkan bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh puak Kristian, mereka beriya2 menentangnya dan mempersoalkannya.

Tidakkah mereka sedar bahawa demo yang akan diadakan di masjid-masjid seluruh negara esok bukan hanya kerana kalimah Allah tetapi sebagai satu amaran dari orang Melayu terhadap kaum lain bahawa jangan sesekali menyentuh hak-hak kita sebagai kaum majoriti, pemilik asal tanah air.

Sebab itulah aku memang menyokong penuh usaha pihak2 yang mahu mengadakan demo esok dan insya-Allah aku juga akan turut sama bermandi keringat di bawah terik mentari atau basah kuyup di bawah hujan. Sudah lama orang Melayu tidak berkumpul untuk memperjuangkan hak mereka. Ayuhlah bangsaku!!

Raja  kita sudah disanggah, bangsa kita sudah diranggah, bahasa kita sudah diratah dan kini agama kita pula disentuh. Ayuh bangunlah bangsaku. Bangun kita untuk menyedarkan mereka agar jangan mengganggu mimpi indah kita di laman sendiri. Jangan... jangan... jangan...!

02 January 2010

Pas For All... Allah For All

Baguslah bila sekarang ini gereja pun boleh guna perkataan Allah. Ia selari dengan perjuangan Pas iaitu "Pas For All" (Pas untuk semua kaum). Jadi selepas ini bolehlah puak2 terbabit berbangga sebab perkataan Allah kini boleh digunakan oleh semua agama.

Sebabnya sejak isu perkataan Allah ini, tiada seorang pun puak2 Pas bangkit bersama-sama umat Islam di Malaysia untuk menentang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. Sama ada mereka sengaja berdiam diri sesuai dengan motonya Pas For All atau sememangnya mereka juga menyokong penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Eloklah lepas ini bolehlah mereka menerbitkan pula kitab Injil atau kitab2 agama lain dalam bahasa Melayu. Bukan apa, ia bagi memudahkan orang Islam yang tidak faham untuk memahaminya. Lagipun kalau ada kitab2 ini dalam bahasa Melayu mudah sikitlah nak tarik untuk masuk agama mereka.

Lagipun Pas apa nak perlu bimbang. Semuanya itu bukankah salah BN. Sebab selama ini pun pemimpin Pas hanya berceramah sana sini dan bukannya buat kerja, walaupun sudah bergelar wakil rakyat malah memerintah negeri. Apa yang penting bagi mereka ialah parti dan agama yang selama ini mereka laung2kan hanyalah untuk kepentingan parti, bukan Islam itu sendiri. Jadi sebab BN yang buat kerja, jadi apa2 pun mereka boleh salahkan BN.

Bagi aku, Majlis Raja-raja patut mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan masalah Islam dan raja-raja Melayu yang kini sudah diperlekehkan oleh bukan Islam malah orang Islam & Melayu sendiri. Bukankah pentadbiran Islam itu dibawah kuasa raja-raja? Dan mesyuarat juga patut memutuskan sesuatu termasuk menarik balik penggunaan kalimah Allah bagi agama lain. Bukankah kuasa raja-raja Melayu khususnya Yang Di Pertuan Agong itu lebih tinggi berbanding kedudukan mahkamah?

Agong mempunyai kuasa memberi pengampunan kepada penjenayah maka Agong juga mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan mahkamah, jika perlu. Dan agama Islam serta kedudukan orang Melayu sendiri kini di tangan Yang Dipertuan Agong.

Bukankah begitu?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...