28 October 2010

Ali Rustam dan warna hijau

Hijaunya... Ali Rustam bersama Khalil Yaakob semasa pelancaran Melaka Negeri Maju 2010
Seorang sahabat aku di Melaka pernah menceritakan bagaimana Ali Rustam begitu "anti" dengan warna hijau. Pendek kata kalau ada pegawainya yang pakai baju warna hijau, dia akan mencebik. Aku tak tahu kenapa Ali Rustam begitu elergik dengan warna hijau tetapi sahabat aku kata kerana warna hijau adalah warna Pas.

Tapi apabila aku tengok di kaca TV ketika pelancaran Melaka Negeri Maju 2010 baru-baru ini terkejut benar aku. Bukan setakat para pegawai kanannya memakai seragam berwarna hijau, malah Najib dan barisan Exconya pun memakai warna hijau. Malah Ali Rustam juga tidak segan silu untuk memakai kemeja hijau yang aku rasa menjadi warna tema sempena pelancaran tersebut.

Aku cepat-cepat mendapatkan maklumat dari sahabat aku itu apa sudah jadi dengan Ali Rustam. Dulu bukan main lagi dia anti dengan warna hijau, alih-alih malam itu semua pakat pakai baju hijau. Dan jawapan yang aku terima dari sahabat aku itu cukup simple... "Melaka sudah maju...!"

Dan kebetulan ketika berada di PWTC untuk menjengok Perhimpunan UMNO baru lalu, aku terserempak dengan Ali Rustam lantas aku pun bertanyalah, "sejak bila Melaka sukakan warna hijau, datuk?" Dengan selamba beliau menjawab: "Sejak Melaka Maju. Tapi itu golden green (hijau keemasan), hijau Pas hijau tahi lembu...."

Ya Datuk, Melaka sudah maju dan pemikiran Ketua Menterinya pun kena maju dalam segala hal.Takkan kerana warna tema parti pembangkang warna hijau, langsung Datuk anti benar dengan warna hijau. Pemimpin negeri maju sudah pastilah tak berfikiran macam tu, kan Datuk?

Sekali-sekali kita kena juga jadi sesumpah untuk menewaskan musuh. Kalau masuk kem hijau, tukarlah warna kulit jadi hijau, kalau masuk kem biru tukarlah kepada warna biru. Barulah kita diterima oleh semua pihak, kan Datuk?

Haha.. Jangan marah DAR!

[Selalu juga aku kena sinis kawan-kawan bila aku pakai hijau mereka kata "Oh orang Pas!", bila baju biru oh orang PKR.... Tapi bila aku pakai baju pink diorang tak pula kata apa-apa, sebabnya diorang hanya pakat gelak kah kah kah kah...!!!]

26 October 2010

Asap, gunung berapi, gempa bumi dan tsunami

Asap dari kebakaran ladang, letusan gunung berapi, gempa bumi dan tsunami seolah-olah sudah sinonim dengan negara jiran kita Indonesia. Dalam keadaan sebahagian kecil rakyat mereka begitu marahkan Malaysia hanya kerana perkara-perkara sepele, mereka diuji dengan cubaan dari Allah SWT ini.

Aku tak mahu mengulas panjang bencana demi bencana yang menimpa negara jiran serumpun ini. Tak baik untuk kita bertepuk tangan dengan apa yang berlaku ke atas rakyat mereka yang tidak berdosa. Cuma aku harapkan kira-kira 150 juta rakyatnya insaf dan bermuhasabah diri.

Kita di Malaysia juga patut bersyukur kerana bebas daripada bencana-bencana dahsyat sedemikian, kalau adapun banjir besar yang berlaku lima enam tahun sekali dan kemalangan jalan raya. Itu sudah dianggap dahsyat. Dan kita juga patut bermuhasabah diri supaya bencana dahsyat di seberang sana tidak berarak ke sini.

Ya Allah, Engkaulah maha mencipta dan maha menghancurkan. Ampuni dosa-dosa mereka dan dosa-dosa kami. Jauhilah kami dari bencana sedemikian. Sesungguhnya Engkaulah maha pengampun dan maha mengetahui. Amin!

[Pergh... Lama tak update blog. Laptop buat hal...]

19 October 2010

Felda nak bekal pembantu rumah... Wow!

Advance sungguh otak Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Noor. Dalam keadaan negara macam terdesak nak tunggu pembantu rumah dari Indonesia yang kini dibekukan kerana belum capai persetujuan dalam beberapa hal, beliau mencetuskan idea untuk membekalkan pembantu rumah dari kalangan anak-anak peneroka Felda.

Tapi "bibik" Felda ini bukanlah macam bibik dari Indon tetapi mereka adalah bibik terlatih dan namanya pun "Pengurus Rumah Tangga".... Wow! Bunyi begitu hebat tetapi timbul beberapa persoalan dalam benak aku ini dengan cetusan idea gunung berapi Yusof Noor ini.

Aku nak tanya, kalau bibik dari Indonesia yang tidak tahu bercakap Melayu, saterika baju asyik hangus, cuci baju pakai mesin  basuh terkial-kial dan tak tahu nak masak pakai dapur gas itu pun diorang mintak gaji lebih dari RM600 sebulan, berapa gamaknya pembantu rumah dari Felda ini perlu dibayar ye?

Ingat, mereka bukan pembantu rumah tau tetapi Pengurus Rumah Tangga. Pengurus jabatan syarikat aku bekerja bergaji hampir RM10,000 dan mendapat sebuah kereta V6 serta pelbagai elaun insentif lain. Berapa agaknya gaji Pengurus Keluarga yang dibekalkan oleh Felda ini ye? Kena bagi kereta jugak ke?

Oh, mereka mintak gaji antara RM700 hingga RM1,000. Wow! Mahalnya... Dah lah dapat tempat tinggal free, makan free, mandi-manda free lepas tu nak bagi gaji setinggi itu. Kalau gaji mereka sampai RM1,000 lebih baik aku jadikan mereka "orang rumah" saja. Semua benda boleh buat... Hee!

Satu lagi, kalau aku nak ambil mereka bekerja di rumah aku, apa status aku pulak? Selama ini aku adalah ketua keluarga dan keluarga rumah tangga. Bila aku ada Pengurus Rumah Tangga, boleh ke segala tugas aku diserah kepadanya? Dan lagi bahaya takut-takut nanti Pengurus Rumah Tangga pulak jadi "tuan rumah" haha..

Aku rasa eloklah Yusof Noor berfikiran ke depan sikit dan berfikir luar kotak. Sekarang ini Malaysia memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang bagi mengisi pembangunan negara. Sepatutnya Felda melatih anak-anak peneroka dalam bidang-bidang yang sesuai diceburi mereka seperti jururawat, perbidanan, jahitan, masakan, sulaman dan juga usahawan.

Aku percaya ramai anak-anak dara peneroka yang berbakat, berminat dan mahu menceburi bidang-bidang tersebut tetapi tidak diberi peluang atau masalah kewangan. Cubalah Felda melatih mereka dalam bidang tersebut. Sekurang-kurangnya kalau tak dapat pekerjaan pun, bolehlah mereka mengusahakan sendiri perniagaan berasaskan kemahiran mereka. Kalau mereka tak ada modal, Felda sediakanlah pinjaman. Feldakan banyak duit.

Ini tidak. Disuruhnya menjadi pembantu rumah yang aku rasa salah satu kerjaya yang boleh membantutkan minda anak-anak muda kita. Lagipun bidang pembantu rumah bukanlah terdesak sangat. Dah tak ada minah-minah Indon, kalau nak pakai sangat bibik pergilah cari pembantu rumah dari negara lain seperti Kemboja nun. Felda pun boleh mintak lesen jadi ejen pembantu rumah dari Kemboja kalau mereka nak.

Perhimpunan UMNO lagi...

Rasanya baru je UMNO mengadakan perhimpunannya sedar tak sedar parti itu berhimpun lagi kali ini di Dewan Merdeka PWTC. Macam-macam perkara yang akan dibahas dan diusulkan oleh para perwakilan. Tapi topik-topik utama yang bakal menjadi hangat ialah soal PRU-13, hak-hak orang Melayu dan Islam, perpaduan kaum dan tidak kurang menarik ialah Model Baru Politik yang dicetuskan oleh Najib.

Satu je aku nak tanya UMNO ni. Semua usul-usul yang dibahas dengan panjang lebar dengan pelbagai lenggok dan gaya oleh perwakilan pada PAU dulu dah dilaksanakan atau belum? Atau semua usul-usul itu macam dibuai angin lalu... Habis perhimpunan habislah. Tapi aku rasa UMNO tak macam tu. UMNO bukan parti cabok macam PIBG sekolah tapi UMNO ialah pertubuhan terbesar di negara ini.

Aku harapkan perhimpunan UMNO kali ini dapat cari jalan penyelesaian bagaimana nak berhadapan dengan PRU-13 akan datang selain dapat menggariskan bentuk-bentuk "gaya politik baru" yang dicetuskan oleh Najib sebelum ini. Jangan hanya cetuskan idea tetapi realitinya UMNO terus juga junub macam sebelum ini.

Tengoklah pada PAU lalu bukan main lantang masing-masing menjeritkan "perubahan" konon nak bawa perubahan pada UMNO, Pemuda, Wanita atau Puteri tetapi walhasil sekarang apa perubahan yang dibawa rakyat tak nampak. Pemuda dan Puteri pula bila kena smash skit dah melenting. Marah, merajuk.. bukan nak bermuhasabah diri.

Ingatlah walau apa pun perubahan nak dibuat oleh UMNO atau nak bawa model baru politik, tetapi matlamatnya ialah untuk rakyat yang mengundi mereka dalam pilihan raya. Bukannya untuk para pengundi pada mesyuarat bahagian UMNO sahaja dan kepada rakyat nun di luar negara sana.

Kalau nak buat perubahan, buatlah perkara yang kelihatan dan boleh dimomokkan kepada rakyat, bukannya perubahan yang tersembunyi, tersirat. Rakyat malas nak fikir apa yang telah UMNO lakukan secara tersirat tetapi mereka nak lihat apa yang tersurat.

15 October 2010

Bajet 2011... Tiada yang bermakna buat rakyat?

Tiada bonus! Nampaknya tekaan aku bahawa kerajaan akan bagi bonus sebulan kepada penjawat awam nampaknya meleset. Cuma wang saguhati RM500 untuk penjawat Gred 54 ke bawah dan para YB (yang bersara). Aku percaya ramai yang tak puas hati dengan bajet kali ini sebab tak ada bonus (baca artikel aku pasal Bajet 2011 sebelum  ini).

Bagi aku secara peribadi dan sebagai rakyat marhain, bekerja di syarikat swasta dengan pendapatan sederhana, Bajet 2011 tidak memberi impak besar kepada aku dan aku percaya juga kepada rakyat di luar sana. Bukan aku nak kondem Najib atau bajet kali ini, tetapi aku tak merasakan satu "dushh...!!!" direct impact kepada aku dan rakyat marhain, melainkan projek-projek pembangunan yang makro.

Selain duti telefon bimbit yang dihapuskan, tiada kenaikan kadar tol di empat lebuh raya PLUS dan penghapusaan cukai barangan popular pengguna termasuk seluar dalam dan bra, tiada apa yang memberi makna kepada rakyat marhain macam aku.

Duti import telefon bimbit bagi aku tidak membawa impak pun sebab selama ini telefon bimbit pintar (3G / 4G) memang dah tak dikenakan cukai. Jadi bila cukai dihapuskan pada Bajet 2011, ia terfokus kepada telefon bimbit biasa (tak smart) yang dah pun murah sekarang. Cuma cadangan ini boleh mengurangkan lambakan telefon 'klon" dan telefon bimbit seludup.

Tiada kenaikan kadar tol tidak membawa banyak makna sebab apa yang aku dan rakyat marhain mahukan ialah pengurangan kadar tol. Kalau tol turun tentu rakyat bergembira sebab ia membawa impak terus kepada rakyat yang sebahagian besar menggunakan lebuh raya bertol.

Penghapusan cukai barangan seperti barangan wanita termasuk seluar dalam dan bra bolehlah tahan sebab selepas ini perbelanjaan bini aku untuk beli barang-barang peribadinya dapatlah kurang. Tapi tak tahulah besar mana kurangnya. Sekarang ini pun aku rasa dah murah dah. Tengoklah sekali Sogo Sale! mahu runtuh bangunan Sogo kat Jalan TAR tu. Kalau Sogo boleh jual  murah lagi lepas ini, tak tahulah apa akan jadi dengan Sogo! Ada yang terbalik dinding!!

Tapi banyak-banyak benda yang aku nak tanya sendiri Najib (kalau ada chance jumpa la... macam tak ada!) nak buat apa bina menara 100 tingkat ni? Dahlah tu yang bina pula PNB. Bukankah duit PNB adalah duit hasil pelaburan rakyat? Lainlah kalau yang bina menara 100 tingkat ini swasta macam taukeh judi Genting Group ke, Berjaya Group ke atau waima Yayasan Al-Bukhari sekalipun, aku pun tak peduli.

Kerajaan tak boleh bagi bonus sebab kewangan kerajaan masih belum mantap atau dengan kata lain, masih berjimat cermat. Tak ada duit. Dalam tak ada duit, kerajaan nak bina menara 100 tingkat menggunakan duit PNB? Bukankah lebih baik gunakan wang tersebut untuk keperluan lain. Bukan tak boleh bina menara kedua selepas KLCC tetapi tunggulah ekonomi negara betul-betul mantap!

Dr. Mahathir nak cetuskan idea bina menara KLCC pun selepas lebih 15 tahun jadi PM dan ketika ekonomi negara benar-benar kukuh. Menara itu pun dibina pakai duit Petronas, dan bukannya duit pelaburan rakyat. Jadi aku rasa eloklah Najib fikir-fikir balik idea pembinaan menara 100 tingkat ni.

Apa pun tahniah buat kumpulan rakyat yang menerima imbuhan dari bajet kali ini antaranya para pengawal keselamatan, para imam dan guru KAFA, para pengerusi JKKK/JKKP, penggawa, tok batin, ketua kampung baru dan lain-lain yang menerima kenaikan gaji minimum dan elaun masing-masing. Tapi berapa ramai kumpulan ini?

Dalam keadaan sokongan bukan Melayu terhadap kerajaan semakin merosot dan ketika orang Melayu begitu dahagakan perhatian dari kerajaan, aku rasakan Bajet 2011 memerlukan elemen-elemen yang boleh memberi impak terus kepada seluruh rakyat dan bukannya kumpulan tertentu.

Entahlah... Mungkin aku tak nampak kot!

Bajet 2011... Semua tunggu bonus! Yang lain tak penting

Setiap kali PM nak umum Bajet, semua orang akan bertanya tentang bonus, lebih-lebih lagi kakitangan kerajaan baik dari peringkat Jusa sampailah ke PAR. Yang pelik pekerja swasta pun duk tunggu pengumuman pasal bonus. Mungkin ada suami atau isteri mereka bekerja kerajaan, jadi bolehlah menumpang sekali.
Para peniaga juga ternanti-nantikan pengumuman pasal bonus dalam Bajet sebab kalau ada bonus, bolehlah mereka menaikkan sedikit harga barang terutama yang barangan yang tidak dikawal. Malah barang kawalan pun mereka boleh naikkan. Caranya mudah. Ugut saja nak hentikan bekalan, pasti kerajaan mengalah dan terima tuntutan kenaikan harga.

Jadi Bajet 2011 kali ini juga semua orang menanti pengumuman ada bonus atau tidak. Kalau ada, berapa bulan. Pelikkan, walhal bajet begitu penting bagi sesebuah negara untuk merancang pembangunan dan kesejahteraan negara untuk setahun akan datang, tetapi kat Malaysia bajet bagi mereka hanyalah bonus. Ada bonus Najib ku sayang, tak ada bonus piiiraahhhh..... kerajaan! Walhal banyak benda-benda lain yang diumumkan kerajaan untuk rakyat, tapi mereka tak pandang dah.

Tapi aku jangkakan Najib akan berikan bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan tahun ini. Dan kalau kerajaan umum pemberian bonus, puak2 pembangkang akan kata itu semua rasuah kerajaan untuk memenangi PRK Galas dan Batu Sapi!

Haha!!

13 October 2010

Rasid lapor polis... Anwar bakal terkancing gigi?

Selepas Rahimi Osman, seorang lagi pembantu khas Anwar Ibrahim membuat laporan polis berhubung akuan bersumpah yang mereka tanda tangani sebelum ini bagi melindungi bos mereka daripada dikaitkan dengan kes liwat terhadap Saiful Bukhari. Apabila Rasid baru keluar dari persembunyiannya dan buat pengakuan, maka tidak lama lagi Anwar akan terkancing gigi....!!!

Baca juga laporan berkaitan Rasid di sini, di sini, atau di sini...!!
Kenyataan penuh Rasid Rosdi

Saya Rasid Rosdi hari ini telah membuat satu laporan polis pada jam 12.30pm (13 Oktober 2010) di Balai Polis IPD Shah Alam.

Laporan ini berhubung dengan satu akuan bersumpah yang pernah saya tandatangani secara paksa dan dibawah tekanan pada tahun 2008. Akuan bersumpah yang saya tandatangani tersebut saya percaya adalah terbabit dengan kes liwat Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2008.

Saya telah mengenali DSAI semenjak berada di dalam penjara lagi dan kemudian bekerja dengannya sebagai Pembantu Am di kediaman dan kemudiannya di Pejabat DSAI.

Pada malam 28 Jun 2008 setelah Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim, saya telah diminta untuk ke Quality Hotel. Di situ saya ditahan selepas beberapa hari dan dikawal 24 jam, ditahan bersama saya adalah bekas Setiausaha kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman.

Saya hanya dibenarkan pulang selepas saya disuruh oleh Latheefa Koya menurunkan tandatangan ke atas satu Akuan Bersumpah yang disediakan oleh dia sendiri. Saya tidak pernah mengarang atau membuat Akuan Bersumpah tersebut.

Saya juga TIDAK BERSETUJU dengan apa kandungan Akuan Bersumpah tersebut. Latheefa tidak pernah menceritakan kepada saya mengenai Akuan Bersumpah tersebut dan saya tidak memahaminya seratus-peratus.

Malah, saya sendiri tidak pernah melantik Latheefa sebagai peguam saya.

Latheefa sendiri harus tahu bahawa saya adalah bekas banduan dan tidak mempunyai pelajaran yang tinggi. Saya merasakan Latheefa seharusnya menceritakan kepada saya apa sebenarnya Akuan Bersumpah itu, tetapi apabila dia tidak berbuat demikian, saya juga turut rasa ditipu.

Sebagai seorang peguam, Latheefa tidak harus melakukan perbuatan sebegini kepada saya kerana walaupun saya mempunyai rekod buruk atas kesilapan saya dahulu, saya tetap seorang rakyat Malaysia.

Saya menurunkan tandatangan ke atas Akuan Bersumpah itu kerana risaukan keselamatan diri saya dan keluarga saya. Melihat bahawa saya telah ditahan di Quality Hotel dan dikawal rapi 24 jam. Serta beberapa insiden buruk berlaku di Quality Hotel, saya terpaksa akur kepada apa jua permintaan mereka.

Selama hampir 3 tahun saya menanggung perasaan takut dan rasa tidak tenteram kerana memikirkan Akuan Bersumpah tersebut. Saya sangat berasa tertekan dengan keadaan ini dan terpaksa menerima kaunseling. Selepas beberapa sesi kaunseling, saya semakin tenteram dan cuba meyakinkan diri saya untuk memperbetulkan kesilapan tersebut.

Akhirnya apabila melihat rakan saya Rahimi Osman tampil untuk memperbetulkan kesilapan, maka timbul rasa berani dan yakin dalam diri saya untuk turut sama memperbetulkan perkara tersebut.

Saya juga telah membuat satu Akuan Bersumpah yang baru bagi menceritakan perkara yang sebenar. Namun saya tidak boleh mendedahkannya kerana saya juga risau jika ianya boleh menggangu perbicaraan mana-mana kes di mahkamah.

Saya amat kecewa dengan tindakan ini. Beberapa peguam DSAI yang cuba melindungi kebenaran. Mereka sanggup mengadai masa depan dan maruah saya untuk kepentingan mereka sendiri.

p/s: Terima kasih sahabat atas kiriman MMS ini.

12 October 2010

Wow...!! Panas... Panas...!! Rais Yatim vs Rocky Bru!!

Wow....!! Panas berapi! Datuk Seri Paduka Dr. Rais bin Yatim telah membuat laporan polis terhadap bloggers Rocky Bru, TnT dan Big Dog berhubung artikel mengenai dakwaan anaknya dapat geran RM1 bilion untuk naik taraf jalur lebar.

Laporan dibuat di balai polis Dang Wangi pagi tadi.

Rocky dalam entri pada 9 Oktober menulis "Who gets Santa Rais' RM1 billioan handout?" Isu ini pertama kali dipecahkan beritanya oleh Big Dog dan TnT.

11 October 2010

Utusan lahir dari airmata orang Melayu!!


Wajah Yusof Ishak terpampang pada wang Dolar Singapura. Siapa sangka wajah inilah yang mengasaskan syarikat Utusan Melayu yang juga penerbit akhbar Utusan Malaysia, yang dituduh sebagai akhbar rasis kerana memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Aku terjumpa artikel ini... Mengenai asal mula penubuhan akhbar Utusan Melayu. Ia ditulis oleh Allahyarham Yusof Ishak iaitu pengasas syarikat penerbitan Melayu itu. Beliau juga merupakan bekas Presiden Singapura pertama. Baca tulisan beliau mengenai "bagaimana Utusan bermula" dan fikirkan kenapa akhbar Utusan begitu kental mempertahankan Melayu dan agama Islam dari dulu, kini dan aku percaya selama-lamanya.
Utusan tidak dilahirkan di atas dulang emas, Utusan dilahirkan dengan air mata
Pada awal tahun 1938 kira-kira 20 orang Melayu di Singapura, termasuklah Encik Yahya Abdul Rahman, Yunan bin Haji Daim, Osman Hassan, Embok Sooloh bin Haji Omar, Sudin Abdul Rahman, Abdullah Abdul Ghani dan saya sendiri telah bertemu di rumah Encik Daud bin Mohd. Shah di Siglap. Kami berbicara selama kira-kira 3 jam berhubung dengan soal hendak melancarkan sebuah suratkhabar Melayu.

Kebanyakan dari mereka yang hadir pada waktu itu menyangka bahawa dengan pengalaman saya selama tujuh tahun bekerja di dalam "Warta Malaya", tentulah saya sanggup menyusun dan menjalankan sebuah syarikat orang Melayu. Pada masa itu umur saya ialah 27 tahun dan saya rasa pada mulanya bahawa syarikat yang dicita-citakan itu harus tidak akan dapat hidup lama kerana terdahulu daripada itu telah berdiri beratus-ratus buah syarikat Melayu dan suratkhabar-suratkhabar serta majalah-majalah Melayu yang mati di dalam masa beberapa bulan sahaja lahirnya ke dunia.

Selain daripada itu saya tahu bahawa Warta Malaya Press Limited yang dipunyai oleh orang-orang Arab yang kaya dan keluarga Alsagoff akan berusaha seberapa daya upayanya pada menghancurkan sebuah suratkhabar lawannya. Juga saya tahu bahawa Encik Abdul Manan bin Mohd. Ali, waktu bersara daripada perkhidmatannya dengan kerajaan dalam tahun 1937 telah berkata bahawa orang-orang Melayu akan melancarkan sebuah suratkhabarnya sendiri. Kekurangan sokongan wang telah 
menghalang rancangannya itu daripada dijalankan.

Saya meminta sahabat-sahabat saya itu supaya memberi saya tempoh dua hari bagi saya menjalankan beberapa penyiasatan. Saya tahu bahawa tentang soal wang tidaklah begitu sulit lagi. Hanya yang menjadi soal sekarang ialah mencari seorang pengarang, dan pengarang yang handal sekali pada masa itu ialah Tuan Haji Abdul Rahim Kajai yang bekerja di Warta Malaya.

Pagi-pagi esoknya saya berhubung dengan Kajai dan menceritakan padanya rancangan-rancangan kami lalu saya meminta dia bersatu dengan kami. Akhirnya dia bersetuju dan kami pun berjabat tangan.

Hari itu juga saya berjumpa dengan pengasas-pengasas yang lain dan memberitahu mereka bahawa saya telah sanggup menyusun syarikat itu. Janji Kajai pada saya telah menyebabkan saya mencapai keputusan tersebut. Sudah tentu tak siapa pun tahu akan perjanjian sulit kami itu sehingga beberapa waktu yang lama kemudian.

Sekalian pengasas-pengasas telah meletakkan serba sedikit wang masing-masing membawa jumlah $2,000. Syarikat pun didaftarkan dan memorandum serta syarat-syarat persekutuan pun dikeluarkan.

Memang membuat janji hendak membeli adalah perkara yang tidak sama dengan menunaikan janji itu. Kebanyakan dari mereka itu memberitahu isteri-isteri mereka sekiranya saya datang, tolonglah katakan yang mereka tidak ada di rumah.

Beberapa orang meminta saya datang sekali lagi dua bulan kemudian. Setengahnya memberi saya kopi secawan dan akan bersyarah selama dua jam kemudian pada akhirnya hanya membeli satu syer sahaja!

Haji Embok Sooloh dan Encik Daud kerana melihat saya di dalam keadaan susah sentiasa menggalakkan saya dengan kata-kata yang menggirangkan. Haji Embok Sooloh pada hari-hari Jumaat misalnya membawa saya ke Benut dan Pontian di mana sesudah sembahyang Jumaat saya akan memberi syarahan dan dapat juga menjual beberapa syer.  Encik Daud telah pergi ke Kuala Lumpur tetapi hanya dapat menjual beberapa syer sahaja.

Dalam masa tiga bulan saya telah mengunjungi tidak kurang daripada tiga puluh dua kampung di Singapura dan bersyarah kepada lebih kurang lima ribu orang Melayu. Biasanya saya ditemani oleh sahabat-sahabat saya yang baik seperti Encik Sudin yang sanggup pula meminjamkan motokarnya kepada saya hingga tengah-tengah malam. Demikian juga Encik Osman Hassan dan Yahya.

Walaupun kami berusaha demikian rupa dan walaupun boleh dikatakan empat ratus orang telah membeli syer, namun kami telah kekurangan kira-kira lapan ribu ringgit untuk memenuhi modal $12,500 yang dibayar dan kami hanya mempunyai masa selama tiga hari lagi itulah had waktu yang kami harus mendapat modal sekurang-kurangnya sebanyak tadi, kerana kalau tidak, pendaftaran kami akan dibatalkan oleh kerajaan.

Barangkali juga Encik Daud dan Embok Sooloh serta beberapa sahabat yang lain telah melihat air mata saya menitik bila saya menyatakan pada mereka bahawa sekiranya wang sebanyak $8,500 tidak didapati dalam masa tiga hari lagi, maka segala usaha kami akan menjadi hampa layang saja.

Kerana terharu barangkali oleh perasaan saya, maka Encik Daud dan Tuan Haji Embok Sooloh walaupun mereka kaya tidaklah mempunyai wang ditangan pada waktu itu - dengan segala susah payah mereka berdua telah berikhtiar dan esoknya mereka memberi saya $8,500 "Kerana kenangkan awak, Yusoff" kata mereka berdua.

Saya tidak kira ada orang yang lebih gembira daripada saya pada malam itu di seluruh Singapura.

Sementara itu orang-orang yang namanya tersebut di bawah ini telah dipilih menjadi pengarah bersekutu syarikat kami.  Encik Daud bin Mohd. Shah, Haji Embok Sooloh bin Haji Omar, Haji Abdul Hamid bin Haji Mohamad (Palembang), Tengku Abdul Kadir bin Mohamad, Haji Ismail bin Haji Mohd. Taib, Embok Abdul Ghani bin Haji Omar, Abdul Jalil bin Haji Harun (Encik Endut) dan saya sendiri.

Tidak lama kemudian syarikat pun mengutus saya ke Hong Kong bagi membentuk huruf-huruf Melayu bagi suratkhabar kami.

Kembalinya saya ke Singapura dalam bulan Februari 1939 beberapa jentera cetak yang telah kami pesan daripada England telah sampai dan kami pun menyewa sebuah bangunan di Queen Street.

Barangkali itulah masanya saya bekerja kuat sekali di dalam seumur hidup saya. Menjual syer, menyusun belanja, mengadakan kakitangan bagi akhbar kami, mengatur pejabat, mendirikan jentera-jentera, melantik jabatan pengurus, mencari iklan dan sebagainya. Semuanya ini terpaksa dikerjakan selain daripada kerja saya yang biasa setiap hari mencari insurans polisi yang menjadi sara hidup saya dari semenjak saya meninggalkan Warta Malaya dalam tahun 1937.

Dengan bersulit-sulit Encik Ishak bin Haji Mohamad, Encik Zainal Abidin bin Haji Alias (ZABHA) dan Encik Mohamad bin Samawi telah membuat janji kepada saya bahawa mereka akan masuk Utusan Melayu. Selain daripada itu kira-kira dua puluh orang pengatur huruf dari Warta Malaya seperti Encik Arshod, Baharuddin dan Latif serta tukang lipat kertas seperti Encik Halil telah berjanji akan bekerja bersama-sama saya.

Encik Ishak dan ZABHA telah meninggalkan Warta Malaya boleh dikatakan serentak, sebulan sebelum Utusan Melayu dilancarkan.

Bagi kali yang pertama di dalam sejarah orang-orang Melayu sebuah suratkhabar harian Melayu, dipunyai oleh rakyat jelata Melayu dan dengan suatu azam yang kuat telah berjaya dilancarkan.

Encik Ahmad Semawi bersama-sama dua puluh pengatur huruf yang lain serta Halil bin Ghazali dari Warta Malaya telah masuk bekerja dengan kami seminggu sebelum dari yang berperistiwa itu.

Kebanyakan daripada mereka yang mula-mula sekali menganjurkan syarikat telah sampai siang-siang pada 29hb. Mei, 1939. Tuan Haji Abas bin Taha, Chief Kadi Singapura (kemudian menjadi Mufti Pahang) telah membaca doa selamat.

Dan naskhah Utusan Melayu yang pertama dicetak. Maka sekalian yang hadir di situ berseri-seri oleh senyum yang gembira. Hari yang berbahagia bagi orang-orang Melayu telah sampai.

Bagi kali yang pertama di dalam sejarah orang-orang Melayu, sebuah suratkhabar harian Melayu dan dengan satu azam yang kuat telah berjaya dilancarkan.

------------------------------
* Allahyarham Yusoff Ishak ialah Pengasas Utusan Melayu dan pernah menjadi Presiden Singapura dari 3 Disember 1959 hingga 23 November 1970. Artikel ini dipetik dari tulisan beliau bertajuk:  "BAGAIMANA KITA BERMULA" dalam Utusan Melayu, 10 tahun selepas akhbar ini diterbitkan.

Ku Li bukan calon BN di Galas...

Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan mencalonkan dirinya sebagai wakil BN pada PRK di Galas. Sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi BN di Galas dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Ku Li tidak sekali-kali meletakkan dirinya sendiri sebagai calon. Tidak mungkin!

Seorang orang kuat Ku Li memaklumkan kepada aku bahawa Ku Li tidak ada dalam senarai nama yang akan diberikan kepada Najib untuk dipertimbang sebagai calon BN di Galas walaupun banyak pihak di kalangan UMNO termasuk Muhyiddin membayangkan Ku Li akan bertanding di sana. Sebaliknya Ku Li akan memberikan nama-nama lain yang dipercayai mempunyai keupayaan untuk BN merampas kembali Galas, satu-satunya kerusi DUN dalam Parlimen Gua Musang yang jatuh ke tangan Pas pada PRU-12 lalu.

Walaupun orang kuat Ku Li itu tidak dapat menyenaraikan nama-nama yang mungkin diserahkan kepada Najib, tapi ia membayangkan mereka semua adalah orang yang dipercayai oleh Ku Li dan Najib pula dikatakan tidak akan "mencantas" calon yang telah dipilih oleh Ku Li memandangkan Gua Musang dan Galas merupakan jajahan "dalam tangan" Ku Li dan beliau arif benar tentang kedua-dua kawasan ini.

Jika benar keputusan Ku Li ini,  ia sudah pasti memberi nafas lega kepada Nik Aziz dan pemimpin Pas Kelantan yang awal-awal lagi membayangkan Galas akan jatuh ke tangan BN pada PRK nanti terutama jika Ku Li bertanding. Pun begitu, kegusaran itu tetap menjelma selepas Ku Li secara rasmi bertindak sebagai ketua jentera BN di Galas.

Tidak hairanlah sekarang ini para jentera perang saraf Pas termasuk kalangan bloggernya tidak henti-henti membuat serangan terhadap UMNO konon Ku Li sebagai pemimpin "buangan" UMNO yang kini dipungut kembali semata-mata untuk menang di Galas. Inilah bukti kebimbangan Pas terhadap pengaruh Ku Li di Galas.

09 October 2010

Kickdefella masuk UMNO? Pengumuman ketika PRK Galas

TERKINI:
* Kickdefella telah memberikan penjelasan berhubung hal ini di ruangan komen di bawah. Terima kasih pak Sheih atas respon yang diberikan.

POS ASAL:
Kickdefella atau nama sebenar Syed Azidi Abdul Aziz bakal meninggalkan Pas dan pemimpin yang diekorinya selama ini Husam Musa untuk menyertai UMNO. Pengumuman mengenainya akan dibuat sempena kempen PRK DUN Galas tidak lama lagi.

Itulah berita terbaru yang dibisikkan seseorang kepada aku tentang Kickdefella yang kini dikatakan sudah berpaling tadah terhadap kerajaan Kelantan dan perjuangan Pas sejak dia dipecat oleh menantu Nik Aziz dari syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Hari ini, Kickdefella ikut serta bersama puluhan penyokong UMNO dan beberapa pemimpin UMNO seperti Datuk Mustapa Mohamad dan Datuk Ahmad Maslan menyambut ketibaan Ku Li dari London di KLIA. Baca laporan beliau di sini!

Kalau Kickdefella baca blog aku ni, aku minta beliau buat penjelasan sama ada berita itu betul atau sekadar khabar angin.

Selepas Galas, Batu Sapi pula

TERKINI...!! Belum pun penamaan calon bagi PRK di Galas berlangsung, nampaknya SPR kena pula bermesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRK Parlimen Batu Sapi, Sabah pula.

Ini berikutan kematian wakilnya, Edmund Chong yang dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Kota Kinabalu pagi ini. Menurut laporan The Star, Edmund meninggal dunia selepas motosikal berkuasa besar yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah Merc.

Edmund merupakan wakil dari PBS.

08 October 2010

Tun Dr. Mahathir dijangka tiba jam 8 malam ini

Ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bonda Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dijangka tiba di lapangan terbang Subang kira-kira pukul 8 malam ini. Bekas Perdana Menteri itu kini dalam perjalananan dengan pesawat khas dari Melbourne, Australia.

Kepada seluruh rakyat Malaysia yang sayangkan pemimpin terulung negara itu, ayuhlah kita beramai-ramai menyambut kepulangan beliau dan isteri di lapangan terbang Subang petang ini.

Selamat kembali pemimpinku!

Zaid bakal presiden PKR?

Zaid Ibrahim akan bertanding jawatan Presiden PKR... Wow! Itulah suara-suara kedengaran dari kem-kem PKR selepas dia memberi laluan kepada Nurul Izzah untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden bersaing dengan Azmin Ali, iaitu kerusi yang dicadang oleh Zaid untuk ditandinginya.

Dan andai hasrat Zaid ini menjadi realiti aku membayangkan bahawa Wan Azizah akan memberi laluan kepada Zaid untuk menerajui pucuk pimpinan PKR dengan syarat tiada campur tangan dari Anwar Ibrahim. Tapi sudah pasti itu adalah sesuatu yang mustahil memandangkan Anwar seboleh-bolehnya tidak mahu membenarkan "orang luar" menerajui PKR melain anak isterinya sendiri. Sebabnya, mereka mudah dikawal dan dicucuk hidung.

Apatah lagi kalau Zaid yang mahu merebut kerusi presiden sudah pasti Anwar sanggup melakukan apa sahaja bagi menghalangnya walaupun akar umbi memberi sokongan padu kepada Zaid. Sebabnya Anwar tahu Zaid seorang yang keras kepala, suka melawan cakap bos dan sukar dikawal. Kalau Zaid menjadi Presiden, sudah pasti suara Anwar yang tidak berjawatan dalam PKR tidak mahu didengarinya.

Dan andai Zaid berkeras mahu bertanding kerusi no. 1 itu ditambah dengan sokongan peringkat akar umbi, aku percaya mahu tidak mahu Anwar terpaksa mencalonkan dirinya bertanding kerusi yang sama bagi menyaingi Zaid walaupun dia tahu Zaid hanya "seekor bilis" dalam PKR berbanding dirinya "seekor paus."

Lalu bagaimana dengan kedudukan Azmin? Azmin yang sejak awal-awal lagi mengumumkan untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden terpaksa pula berdepan dengan anak CIFU-nya, Nurul Izzah sedangkan semua orang tahu Nurul Izzah, seperti ibunya Wan Azizah tidak senang dengan Azmin atas sebab-sebab yang semua orang tahu. Dan jika ini berlaku sudah pasti Anwar berada dalam dilema, menyokong anaknya atau Azmin.

Berdasarkan sentimen yang dikutip dari mesyuarat cabang PKR di seluruh negara, ramai yang mahu melihat PKR menjadi sebuah parti yang memperjuangkan rakyat pebagai kaum dan bukannya sebuah parti mempejuangkan individu sepertimana awal penubuhannya. Namun, hal ini sukar dilakukan kerana begitu kuatnya pengaruh Anwar sedangkan Anwar tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Sikap Wan Azizah yang "tiada kuasa" walaupun beliau seorang presiden parti jelas tidak disenangi oleh akar umbi termasuk Zaid dan sehubungan dengan itu ramai yang mahukan agar Wan Azizah diturunkan daripada kerusi presiden dan menyerahkannya kepada Anwar. Tetapi sehingga kini bayangan menunjukkan Anwar masih tetap tidak berminat untuk menjadi Presiden PKR sebaliknya lebih senang dengan statusnya sekarang.

Apa pun congakan politik PKR,  aku merasakan sudah tiba masanya PKR lari dari bayangan Anwar dan keluarganya sebaliknya PKR patut "diapungkan" kepada ahli-ahli untuk menjadikan perjuangan parti itu tidak lagi untuk membebaskan Anwar dari kes-kes mahkamahnya sebaliknya berjuang untuk kepentingan rakyat dan seluruh ahli.

Dan orang yang  paling layak untuk membawa keluar PKR daripada bayangan Anwar ialah Zaid Ibrahim!

07 October 2010

Ish... Rahimi ni dah dibeli UMNO... RM5 juta beb!

TERKINI: (2.05pm)
- Kan aku dah kata, mereka akan nafi dan tuduh ada orang jadi dalang...! Baca sini!

POS ASAL:Siapa Rahimi ni? Anwar mesti tak kenal macam dia kata dia tak kenal Saiful Bukhari. Alah mana nak kenal kalau ramai sangat pembantu khas yang jambu-jambu. Saiful jambu, Rahimi jambu... Azmin pun jambu jugak hehe..!

Agaknya Rahimi ni dah dibeli UMNO atau Najib... Kurang-kurang RM5 juta. Kalau tidak masakan dia nak buat tuduhan liar terhadap pemimpin agung macam Anwar tu. Anwar tu insan mulia, pemimpin agung yang mampu menjadi penyelamat Malaysia bahkan dunia. Dialah pemimpin paling sempurna, tiada cacat cela. Hebat di dalam dan di luar negara. Di peringkat antarabangsa siapa tak kenal Anwar. Orang kenal Anwar Ibrahim daripada Abdullah Badawi (ini kata Anwar sendiri dalam satu ceramah dulu).

Apabila Rahimi Osman yang mengaku pembantu khas Anwar Ibrahim membuat aduan polis bahawa dia dipaksa menandatangani surat akuan bersumpah pasal kes liwat Saiful Bukhari dan fitnah terhadap Najib/Rosmah, tentunya ramai pengikut totok PKR tak percaya. Lepas ini akan keluarlah pelbagai kenyataan menafikan dakwaan Rahimi, malah akan tuduh Rahimi dibeli UMNO atau Najib.

Tak kurang juga puak2 dan juak2 Anwar termasuk para blogger upahannya akan memaki-hamun Rahimi. Ada yang doakan supaya dia cepat-cepat "mampus" macam mereka doakan Saiful Bukhari ketika dia dedahkan perbuatan durjana bosnya itu.

Arghh... Anwar tak macam tu. Ini semua fitnah terbaru UMNO yang semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat. UMNO yang kini semakin hilang kepercayaan rakyat sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa. Rahimi dah terima suapan UMNO yang memang parti rasuah itu RM5 juta. Tak percaya kami ada bukti bertong-tong!

Itulah nada-nada penafian yang akan terpacul dari mulut Anwar atau juak-juaknya yang dibayar untuk mempertahankan bosnya. RPK kini sedang memerah otak untuk mencetuskan satu lagi "isu panas" baru untuk tutup isu Rahimi-Anwar ini. Hisyamudin Rais pun menyusun ayat-ayat carut-marut dan maki hamun untuk dilemparkan kepada Rahimi.

Puak-puak Pas juga sedang memikirkan apa sahaja untuk mempertahankan Anwar dan mencari kelemahan UMNO untuk menunjukkan bahawa... ah... ini semua kerja UMNO!!

Tepislah Anwar... tepislah macam mana sekalipun. Spinlah 360 darjah sekalipun. Tuduhlah siapa-siapa yang engkau suka tetapi yang jelas pendedahan Rahimi ini akan mendekatkan lagi kamu ke pintu penjara Sungai Buluh.

04 October 2010

Siapa tersungkur.... Dr. M atau Azmin?

Sedap benar bahasa Azmin Ali menggelarkan Tun Dr. Mahathir yang kini sedang dirawat di hospital Melbourne, Australia kerana kesihatannya sedikit terganggu sebagai "orang yang tersungkur". Sebelum Azmin kata macam itu, sepatutnya dia tengok dirinya sendiri siapa sebenarnya yang tersungkur.

Tun Dr. Mahathir yang dikatakan "tersungkur" di Melbourne dikhabarkan sudah semakin pulih. Malah beberapa keping gambar yang MTB terima dari seseorang juga menunjukkan negarawan ulung yang disanjung kebanyakan pemimpin dunia itu kelihatan ceria di samping isteri tersayang, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali

Tetapi Azmin yang kini nak bertanding kerusi no.2 dalam PKR (dengan sokongan CIFU Anwar) pula yang menampakkan tanda-tanda tersungkur. Tengoklah sambutan yang diterima ketika berucap pada mesyuarat cabang Gombak, kawasan beliau sendiri semalam. Tak sampai 100 orang beb! (Tapi pelik, masa mengundi dia boleh menang 300 undi berbanding lawannya... huhu Azmin pakai pengundi hantu ke?)

Aku nak bagi tahu kat Azmin yang sebenarnya Tun. Dr. Mahathir tak pernah tersungkur pun dan tidak akan tersungkur baik sepanjang 21 tahun menjadi PM atau selepas beliau bersara sehingga kini. Usianya sudah  85 tahun.

Tapi yang tersungkur ialah Anwar Ibrahim. Belum capai hajat jadi PM dah tersungkur di bawah bontot Azizan tahun 1999 dulu. Lepas tu tersungkur di Sungai Buluh. Sekarang ini dia tersungkur pula di bawah bontot Saiful Bukhari dan Azmin, kau sendiri pun dah tersungkur di bawah bontot Anwar.

Azmin.. Azmin! Kok ye pun nak menang jawatan Timbalan Presiden PKR, tak usahlah nak perlekehkan orang lain. Tunjukkan kemantapan diri sendiri dulu baru boleh mengata orang. Malang si Azmin malang... Harapan nak jadi orang no. 2 dalam PKR bakal ditentang oleh Presidennya sendiri.

03 October 2010

Melayu, Islam tercicir dari pavilion Malaysia di Expo Shanghai?

Dr. Maza mempersoalkan bagaimana Melayu dan Islam Malaysia tercicir daripada dipamerkan di pavilion Malaysia pada Expo Shanghai 2010, iaitu salah satu ekspo terbesar di dunia yang berlangsung baru-baru ini. 

Beliau yang turut menghadiri ekspo tersebut atas tiket VVIP begitu kecewa apabila perihal orang Melayu, iaitu kaum terbesar menghuni Malaysia dan agama Islam yang juga agama rasmi Malaysia tidak dipaparkan di pavilion Malaysia di ekspo tersebut. Sebaliknya ia lebih mengutamakan bangunan gereja, seni budaya Hindu dan keturunan peranakan Cina (baba-nyonya).

Baca pandangan beliau di sini!

Kalau benarlah dakwaan Dr. Maza ini, alangkah malangnya nasib Melayu dan umat Islam di Malaysia kerana mereka dicicirkan oleh agensi kerajaan Malaysia yang menguruskan pameran di ekspo tersebut.

Apakah hal-hal seperti ini berlaku kerana Menteri Pelancongan seorang bukan Melayu dan Islam? Atau pegawai yang menguruskan bahan pameran (bahagian promosi pelancongan/PR) juga bukan Melayu dan Islam? Atau mereka seorang Melayu dan Islam tetapi lemah dalam pengurusan bahan pameran atau ini sahaja bahan yang mereka ada?

Inikah yang difahamkan oleh Menteri Pelancongan dan para pegawai di kementerian itu mengenai 1Malaysia? Oh alangkah malangnya nasib Melayu dan Islam di bumi sendiri!

Hinakah kalau Ku Li bertanding di Galas?

Pok Nik Aziz kata adalah satu penghinaan oleh UMNO terhadap Tengku Razaleigh Hamzah kalau beliau diletakkan sebagai calon BN untuk bertanding di PRK Galas. Pok Nik kata Ku Li tu keturunan raja jadi bukan tempatnya bagi Ku Li bertanding setaraf ADUN di Galas. Lagipun Ku Li pernah jadi Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen.

Huhu.. Sejak bila pula Pok Nik membela keturunan raja? Setahu aku puak2 Paslah yang sanggup menghina raja dengan berbaring depan kereta yang bawa Raja Muda Perak dan Sultan Perak semata-mata kerana kuasa politik di Perak dulu. Kenapa Pok Nik tak nasihat puak-puak Pas Perak supaya tidak hina raja. Kenapa bila UMNO nak letak Ku Li bertanding di DUN Galas, Pok Nik kata UMNO hina keturunan raja pulak?

Lagi satu, kalau bertanding ADUN dianggap rendah darjatnya kenapa dulu Pok Nik sanggup pulak bertanding di peringkat DUN? Bukankah Pok Nik tarafnya ulama tersohor dan bukan taraf Pok Nik untuk bertanding di DUN. Pok Nik selayaknya bertanding di peringkat Parlimen dan kalau Pas menang Pok Nik kurang-kurang jadi Perdana Menteri, bukannya Menteri Besar macam sekarang. Apa kelas bertanding DUN wahai Pok Nik oih sedangkan Pok Nik ulama terpengaruh, tersohor dan hebat.

Tapi bagi aku mudah saja kenapa Pok Nik mengeluarkan kenyataan "membela nasib" Ku Li ini. Ia tidak lain tidak bukan kerana Pas takutkan Ku Li. Mereka tahu pengaruh Ku Li sangat besar bukan sahaja di Galas, di jajahan Gua Musang malah di negeri Kelantan sekali pun. Sebab itulah Pok Nik dan puak-puak Pas kalau boleh tak mahu benarkan Ku Li bertanding di Galas. Kalau Ku Li dicalonkan, alamat habislah riwayat Pas di Galas.

Pok Nik lupa politik dalam UMNO tidak macam dalam Pas. Dalam UMNO seorang menteri boleh bertanding di peringkat DUN dan seorang wakil rakyat kampung boleh saja dicalonkan untuk bertanding di peringkat Parlimen. Tiada masalah. Itulah namanya strategi politik, Pok Nik oih...

Kalau UMNO nak ambil balik Kelantan dari Pas, UMNO boleh saja letakkan Ku Li bertanding di DUN pada PRU-13 nanti dan kalau BN menang, Ku Li boleh saja jadi MB Kelantan. Aku percaya kalau UMNO pakai strategi ini kemungkinan besar pengundi Kelantan pakat pangkah dacing dan tolak bulan bukan suatu yang mustahil.

Jadi nasihat aku pada Pok Nik, tak usahlah fikir siapa yang UMNO/BN nak letakkan bertanding di PRK Galas nanti tapi Pok Nik patut fikir siapa yang nak jadi wakil calon Pas atau mungkin juga Pas fikir-fikir nak kasi BN menang tanpa bertanding. Maklum kalau bertanding pun kekalahan sudah kelihatan. Jadi lebih baik Pas tarik diri dan benarkan BN pula membela nasib pengundi Galas. Lepas tu bandingkan apa yang Pas kasi selama ini kepada penduduk Galas dan apa pula yang akan diberikan oleh UMNO/BN.

Ada berani?

01 October 2010

Perihal Utusan... UMNO patut celik mata!

Presiden NUJ yang juga wartawan Utusan mendedahkan bahawa UMNO yang juga pemilik akhbar Utusan tidak pernah mengambil peduli perihal syarikat itu. Pendedahan Hata Wahari yang baru dipilih menerajui kesatuan wartawan se-Malaysia itu di Malaysia Kini sepatutnya mencelikkan mata UMNO terutama para pemimpin, ketua-ketua bahagian, cawangan dan juga ahli-ahlinya.

Aku dapat tahu bahawa UMNO memiliki 60 peratus kepentingan dalam syarikat Utusan Melayu (M) Bhd, syarikat yang menerbitkan akhbar berbahasa Melayu tertua itu sejak tahun 1939. Tetapi dilihat dari jualannya serta keluh-kesah kakitangannya, nampaknya ada yang tidak kena dengan syarikat tersebut dan UMNO sendiri.

Bayangkan UMNO sehingga kini mempunyai keahlian seramai 3.1 juta orang tetapi jualan Utusan Malaysia hanya sekitar 150,000 naskhah sehari, jauh lebih rendah berbanding Harian Metro dan Kosmo!. Lalu aku sendiri tertanya-tanya, kalau selama ini UMNO menganggap Utusan itu milik mereka, kenapa begitu ramai ahli UMNO tidak membeli Utusan? Apakah mereka mengharapkan naskhah percuma sahaja?

Aku dapat bayangkan kalau 500,000 daripada 3.1 juta ahli UMNO membeli Utusan Malaysia setiap hari, nescaya akhbar tersebut akan menjadi akhbar no. 1 di Malaysia dan bukannya akhbar ringan seperti Metro dan Kosmo!. Apakah ini bermakna ahli UMNO sendiri sudah tidak minat dengan Utusan? Jika demikian kenapa mereka masih menagih Utusan untuk memberi liputan kepada program UMNO?

Betul kata Hata... Utusan begitu memberi ruang selebar-lebarnya kepada Perkasa tetapi berapa ramai ahli Perkasa yang membeli Utusan. Kalau tidak membeli bermakna mereka tidak menyokong Utusan. Betul, dalam hal ini siapa mempergunakan siapa? Apakah benar Utusan dipergunakan oleh UMNO dan Perkasa semata-mata tetapi nasib Utusan sendiri tidak pernah dipedulikan baik oleh UMNO mahupun orang Melayu.

Beberapa rakan di Utusan sering mengeluh kerana ketika syarikat penerbitan lain terutama The Star sering menikmati bonus berganda setiap tahun, nasib Utusan sebaliknya berbeza. Harapan kakitangan termasuk wartawan yang siang malam dan pagi petang menulis tentang PM, TPM. pemimpin kerajaan dan UMNO untuk menikmati bonus setiap tahun begitu sukar sekali. Sebabnya Utusan sering mengalami kerugian! Kenapa?

Apakah kerana pengurusan Utusan yang lemah atau benar kerana jumlah pengiklan yang semakin tidak berminat untuk mengiklan di akhbar paling berpengaruh ini atau sememangnya keadaan pasaran akhbar yang semakin merosot di seluruh dunia?

Dalam hal ini aku tidak berani nak menuduh mana-mana pihak tetapi alangkah baiknya sekiranya UMNO mengambil perhatian atas apa yang dikatakan oleh Presiden NUJ ini kerana mahu tidak mahu nyawa UMNO banyak bergantung kepada Utusan tetapi nyawa Utusan tiada siapa yang peduli.

Mati Utusan matilah UMNO....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...