07 February 2011

F1: Fairuz Fauzy ganti tempat Kubica? (Updated!)

TERKINI (18.2.2011):
Sah bekas pemandu Sauber Petronas, Nick Heidfeld akan menggantikan Robert Kubica yang cedera akibat kemalangan ketika menyertai rali sebagai pemandu team Lotus Renault GP. Ini bermakna pasukan itu tidak menggunakan kelima-lima pemandu simpanannya, termasuk Fairuz Fauzy.

TERKINI (10.2.2011):
Lotus Renault GP telah memanggil pemandu Jerman, Nick Heidfeld yang berkemungkinan menggantikan tempat Kubica. Hedfield merupakan bekas rakan pelumba Kubica ketika memandu untuk pasukan Sauber Petronas sebelum ini. Bagaimanapun, Bruno Senna juga masih berpeluang untuk dipilih sebagai pemandu pasukan ini.

POS ASAL:

Fairuz Fauzy di samping jentera Lotus Renault (bukan jentera musim 2011 tau!)
Dunia perlumbaan F1 gempar semalam apabila pemandu utama pasukan Lotus Renault GP yang mendapat tajaan utama Lotus Group, syarikat milik Proton cedera ketika beraksi dalam perlumbaan rali di Itali. Akibat kecederaan itu Kubica dari Poland dijangka tidak dapat beraksi sehingga akhir musim 2011, walaupun perlumbaan F1 hanya akan bermula bulan depan.

Kecederaan Kubica sudah pasti mengembirakan Fairuz Fauzy yang merupakan pelumba simpanan bagi pasukan itu. Tapi benarkah Fairuz berpeluang sebagai pemandu penuh bagi pasukan tersebut sepanjang F1 musim ini? Itulah agaknya impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia, mahu melihat seorang lagi pemandu negara beraksi pada perlumbaan berprestij dunia ini.

Bagaimanapun harapan itu mungkin tinggal harapan memandangkan Fairuz bukan satu-satu pelumba simpanan bagi Lotus Renault tetapi mempunyai beberapa pelumba simpanan lain iaitu Bruno Senna, Romain Grosjean, Jan Chrouz dan Ho-Ping Tung selain Vitaly Petrov selaku pelumba kedua. Malah dikhabarnya pengurusan Lotus Renault akan memilih Bruno Senna, anak saudara kepada pelumba lagenda F1 Aryton Senna menggantikan tempat Kubica.

Pun begitu aku percaya Fairuz tetap diberi peluang memandu jenteranya walaupun sebagai pemandu uji memandangkan itulah janji bos Lotus Renault, Eric Boullier kepada Proton. Lagi pun kalau bukan atas usaha Proton, mungkin Renault tidak mendapat penajaan Lotus Group.
 
Kereta Skoda yang dipandu Kubica remuk selepas terlibat dalam kemalangan ketika menyertai rali di Itali. Kubica patah kaki kiri dan lengan serta cedera di beberapa bahagian tangan. 
Cuma sudah pasti menjadi keresahan pasukan itu ialah dengan ketiadaan Kubica, peluang Lotus Renault untuk menjadi pesaing utama Red Bull, Ferrari, McLaren bagi menguasai kejohanan musim ini mungkin agak kelam memandangkan pencapaian mereka masih jauh di belakang Kubica.

Dan yang pasti Tony Fernandez sudah tentu tersenyum dengan khabar buruk ini kerana beliau bersama pasukannya Lotus Team juga memasang angan-angan untuk meraih kedudukan yang lebih baik musim ini, kalau perlu mampu mengatasi Lotus Renault yang kedua-dua pasukan ini masih belum dapat menyelesaikan sengketa perebutan penggunaan nama Lotus.

Share this

0 Comment to "F1: Fairuz Fauzy ganti tempat Kubica? (Updated!)"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.