23 February 2011

Hormati keputusan Bob Lokman

Ramai benar rakan-rakan blogger mesra kerajaan mengutuk dan mengeluarkan kata-kata sinis terhadap Bob Lokman, pelawak dan penulis lirik lagu Isabela yang membuat keputusan menyertai Pas. Aku tak tahu kenapa kita begitu emosi apabila seorang selebriti seperti Bob masuk Pas sedangkan beratus-ratus penyokong tegar Pas lain sudah menyeberang masuk UMNO.

Biar pun apa alasannya menyertai Pas, kita sebagai manusia yang berakal, berotak dan berjiwa besar patut menghormati keputusan Bob Lokman. Sebab kita pun mahu puak-puak Pas menghormati kita yang memilih untuk berjuang atas lambang UMNO.

Lagi pun apa sangatlah kesannya seorang selebriti seperti Bob Lokman terhadap keutuhan UMNO dan BN di seluruh negara amnya dan negeri Kedah atau Kelantan khasnya. Dia hanya seorang artis yang mahu berhijrah dalam kehidupannya dan jalan yang dipilih ialah dengan menyertai Pas. Alhamdulillah... syukur!

Apa yang kita perlu bimbang dan perlu risau ialah semakin ramai ostat-ostat dalam Pas yang kini semakin sesat dan menyesatkan selepas mereka dapat berkuasa dan mengumpul kekayaan. Selepas mencipta kemenangan di beberapa negeri pada PRU-12 lalu, ostat-ostat dan tok-tok guru Pas yang selama ini berpegang teguh kepada perjuangan Islam semakin meninggalkan perjuangan tersebut, semata-mata nak kejar Putrajaya.

Siapa tahu kemasukan Bob dalam Pas boleh membawa semula parti itu kembali kepada perjuangan menegakkan Islam dan bukan lagi berjuang untuk pangkat, harta dan wanita!

Cuma aku nak ingatkan kepada Bob Lokman bahawa sekitar tahun 80-an dahulu, ramai anak-anak muda atau lelaki awal senja ramai-ramai menyertai Al-Arqam kerana mahu berhijrah dan menginsafi diri. Mereka melihat Arqam adalah pertubuhan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah. Kemudian ada juga yang memilih untuk bersama Ayah Pin sebab mereka melihat kutbah-kutbah Ayah Pin boleh menginsafkan diri mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah atau Tuhan yang mereka cari. Begitu juga dengan pertubuhan-pertubuhan lain.

Tapi akhirnya ramai yang mula sedar bahawa jalan yang bertar macam highway tidak semestinya jalan yang lurus dan menjamin membawa mereka benar-benar dekat dengan Allah sebab sebenarnya ia begitu banyak bengkang-bengkoknya yang silap langkah boleh terhumban ke dalam gaung.


Wallahua'lam...

Share this

0 Comment to "Hormati keputusan Bob Lokman"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.