08 March 2011

Apa motif NUJ Utusan edar risalah kutuk majikan di Merlimau?

"Suara Nujum" yang diedarkan di Merlimau
NUJ Utusan telah mengedarkan risalah Suara Nujum ketika dua hari menjelang PRK DUN Merlimau tempoh hari. Aku difahamkan salah seorang AJK NUJ Utusan sanggup turun padang dan mengedarkan risalah yang penuh serangan peribadi terhadap pengurusan tertinggi syarikat penerbitan milik UMNO itu.

Aku juga difahamkan pada masa kini NUJ Utusan sangat tidak berpuas hati dengan tiga pengurusan tertinggi iaitu Pengerusi Eksekutif, Ketua Pengarah Kumpulan dan Ketua Pengarangnya kerana sejak dua tahun lalu syarikat itu gagal membayar bonus kepada kakitangannya. NUJ Utusan mendakwa tiga pucuk pimpinan tersebut menjadi penyebab kerugian yang dialami oleh syarikat tersebut dan kejatuhan jualan akhbar Utusan dan Mingguan Malaysia.

Jika lihat senario itu, aku lihat ia adalah masalah dalaman syarikat itu tetapi kenapa risalah ini boleh diedarkan sehingga ke Merlimau? Aku tidak pasti sama ada risalah sama turut diedarkan di Kerdau. Apa NUJ Utusan harapkan apabila orang ramai membaca "masalah dalaman" Utusan ini. Kenapa mereka sanggup membuka pekung sendiri?

Antara kandungan Suara Nujum yang diedarkan ketika PRK DUN Merlimau tempoh hari.

Beberapa petugas Utusan yang membuat liputan PRK DUN Merlimau yang aku temui kurang senang dengan pengedaran risalah ini kerana ia umpama membuka pekung di dada terutama apabila risalah tersebut turut khabarnya akan mendedahkan hal-hal peribadi para pegawai di Utusan.

Katanya, kalau betul NUJ Utusan nak fight dengan majikan untuk dapatkan tuntutan, mereka tidak patutlah menyerang pihak pengurusan dan para pegawai yang tidak berkaitan secara peribadi. Ia nampak sangat macam pendekatan parti politik pembangkang. Niatnya betul tetapi caranya tidak betul! Itu komen mereka.

NUJ Utusan sepatutnya bertindak dengan lebih bijak, diplomatik tanpa terpengaruh dengan emosi. Bak kata orang tua-tua, ibarat menarik rambut dalam tepung. Tapi AJK NUJ Utusan sejak beberapa tahun ini adalah jenis panas baran, kuat melenting dan terlalu mengikut emosi. Ini menambahkan lagi kesulitan pihak NUJ Utusan untuk berbincang dengan majikan.

Entahlah! Aku tak nak campur urusan rumah tangga orang! Tapi Ahli Majlis Tertinggi UMNO khususnya Presiden UMNO kenalah menjenguk keadaan di Utusan dan ambil tahu apa yang sedang berlaku. Kalau perlu buatlah sesuatu! Jangan sampai Utusan benar-benar bungkus sebab kalau Utusan bungkus yang rugi orang Melayu dan UMNO itu sendiri!

Share this

0 Comment to "Apa motif NUJ Utusan edar risalah kutuk majikan di Merlimau?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.