24 November 2011

Harimau Muda kalah tapi tiada siapa yang marah....

Skuad Olimpik Harimau Muda
Harimau Muda tunduk 0-2 di tangan Syria pada kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tetapi aku percaya sehingga petang ini tiada sebarang suara kemarahan kedengaran di kalangan peminat bola sepak tanah air. Semua mengakui bahawa punca kekalahan kita adalah kerana keletihan.

Masakan tidak. Selepas berhempas pulas sepanjang Sukan SEA di Jakarta sehingga mereka mempertahankan pingat emas (ibu segala pingat) dua hari lepas, malam tadi mereka turun padang lagi untuk berdepan dengan Syria dan seperti dijangka hampir semua pemain kita longlai terutama di separuh masa kedua.

Namun sepandangan aku Syria tidaklah sehebat mana. Di separuh masa pertama amat jelas Harimau Muda mampu mengaum dan menjaringkan gol jika skuad ini mempunyai pemain seperti Safee Sali. Malang, oleh kerana kita ketandusan pemain yang mampu menjaringkan gol (ditambah dengan kecedaraan beberapa tonggak) maka kita tertewas. Jelas sekali Syria menang kerana para pemain mereka lebih cergas daripada Harimau Muda.

Ahmad Fakhri Saarani dan Tamilarasu jelas tidak layak berada di barisan depan kerana penyudah mereka sangat buruk walaupun banyak peluang terhidang terutama pada separuh masa pertama (bahkan sejak Sukan SEA lagi). Apakan daya Ong Kim Swee tiada pilihan melainkan menurunkan kedua-dua pemain itu. Ibarat tiada rotan, akar pun jadi. Maka jadilah seperti itu.

Tak apa... Aku dan seluruh peminat bola sepak negara tidak kecewa dengan kekalahan malam tadi kerana kami semua sudah puas dengan kejayaan Khairul Fahmi dan rakan-rakan mengganyang Indonesia sebanyak dua kali termasuk di perlawanan akhir Sukan SEA.

Dan aku percaya dengan kembalinya beberapa tonggak utama Harimau Muda, aku yakin dan percaya perlawanan menentang Bahrain Ahad ini amat-amat berbeza....

Ayuh Harimau Muda....!!

Share this

0 Comment to "Harimau Muda kalah tapi tiada siapa yang marah...."

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.