11 August 2012

Road To Longkang: RM20 juta untuk 1 perak 1 gangsa... hemm

Pandelela buktikan  "di mana ada kesungguhan, di situ ada jalan!"
Shabery Cheek menyebut kerajaan berbelanja sebanyak RM20 juta untuk menyediakan atlet bagi menghadapi Olimpik London sejak berakhirnya Olimpik Beijing empat tahun lepas. RM20 juta itu adalah wang rakyat, bukannya wang Petronas, TM atau TNB.

Berbaloikah dengan RM20 juta, Malaysia hanya mampu membawa pulang satu perak dan satu gangsa?  Chief De Mission Malaysia ke London, Ahmad Sarji Abdul Hamid mendakwa RM20 juta itu sedikit berbanding negara-negara lain dalam menyediakan atlet. Hemm... agak-agak Ahmad Sarji mahu kerajaan sediakan berapa bilion? RM150 bilion cukup ke Tan Sri?

Dalam bab kegagalan projek Road To London, aku lebih suka kiranya para pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memikul tanggungjawab kegagalan tersebut. Benar kata Shabery, semua pihak perlu bermuhasabah diri dan bukannya saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Bagi aku atlet tak silap tapi yang silap adalah para pegawai baik di peringkat persatuan sukan sehinggalah kepada MSN, MOM dan KBS. Isu pemilihan atlet termasuk atas tiket wildcard boleh dipersoal. Siapa pegawai yang membuat pemilihan dan atas kapasiti apa atlet-atlet longlai dan kudrat dah menurun dipilih? Sedangkan ketika Sukma di Pahang baru-baru ini, ramai atlet-artlet muda yang berbakat dan berpotensi diketengahkan tetapi tidak dapat peluang.

Satu lagi, sebelum bertolak ke London bagi atlet mahupun pegawai berkobar-kobar menabur janji kepada rakyat bahawa mereka akan bawa pulang pingat, jumlah kutipan akan mengatasi Olimpik sebelumnya, atau ada yang konon akan memperbaiki rekod kebangsaan sekurang-kurangnya. Tapi bila dah bertanding, bukan setakat rekod kebangsaan, rekod peribadi pun jauh nak sampai.

Aku tak mahu kata para atlet dan pegawai kita kebanyakannya ke London untuk makan angin. Kasar benar bunyinya. Tak elok menuduh sebegitu rupa. Kesungguhan atlet untuk memenangi acara-acara yang dipertandingkan itu ada tetapi kesungguhan sahaja tidak mencukupi. Ia perlu disertakan dengan persiapan rapi, pengurusan persatuan yang baik, tiada "politik dalaman" dan lain-lain hal-hal hengky-pengky yang boleh merencat persiapan atlet.

Satu lagi masalah persatuan sukan kita, mereka liat benar nak hantar atlet mereka bertanding di luar negara. Memang dari segi kosnya memang tinggi tapi kalau menjanjikan pulangan yang baik apa salahnya. Berlatih di luar negara baik, tapi pendedahan dengan menyertai pertandingan peringkat dunia perlu diberi perhatian.

Tapi terus terang aku katakan kalau betul RM20 juta dibelanjakan untuk penyediaan atlet ke London dan hanya memperoleh satu perak (itu pun menerusi acara sukan yang memang kita adalah jaguh - badminton) dan satu gangsa (terjuan - Tahniah Pandelela...) adalah sangat tidak berbaloi.

Jadi, untuk memasti Olimpik Rio 2016 mengulangi cerita-cerita lama setiap Olimpik, eloklah pegawai-pegawai baik di KBS, MOM, MSN dan persatuan sukan yang dah lama duk dalam badan-badan berkenaan letak jawatan. Beri peluang kepada mereka yang lebih muda, lebih kreatif dan lebih berdaya saing. Bukannya dibarisi oleh para pegawai kanan kerajaan pencen.

Di luar negara, badan sukan diketuai oleh ahli-ahli sukan. Tapi di Malaysia, badan-badan sukan dikepalai oleh mereka yang tidak pernah bersukan selain joging dan main golf. Macam mana Malaysia nak maju (dalam sukan)?

Hemmm....

Share this

1 Response to "Road To Longkang: RM20 juta untuk 1 perak 1 gangsa... hemm"

  1. Ternyata pelaburan negara untuk membangunkan sukan gagal. Akhirnya Kerajaan syok sendiri. Tidak mendatangkan faedah kepada rakyat yang ingin bersukan. Tak ada gunanya ada Kementerian Belia dan Sukan kalau begini trendnya.

    ReplyDelete

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.