04 November 2012

Apabila bintang bola sepak dunia berbondong ke Malaysia...

Daniel Gonzales Guiza (kiri) bakal menyarung jersi Si Jengking manakala Robbie Fowler pula dikaitkan dengan skuad T-Team... Wow!
Wow...

Musim depan bola sepak Malaysia bakal dibanjiri para pemain ternama dunia apabila beberapa negeri dikatakan berbelanja besar untuk membawa masuk bintang-bintang bola sepak untuk bermain bersama pasukan masing-masing. Nama-nama seperti bintang Robbie Fowler, Derek Boateng, Michael Owen, Daniel Gonzales Guiza dan beberapa lagi telah disebut-sebut.
Mungkin agaknya ghairah melihat kejayaan besar ATM musim lepas yang mampu menjulang Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia hasil  "berbelanja besar" sehingga digelar pasukan "Manchester City Malaysia" (kerana berbelanja besar mendapatkan pemain terbaik di negara ini) sehingga menarik beberapa pasukan negeri untuk "membeli" para pemain ternama di peringkat dunia.

Johor dan Johor United (sebelum ini dikenali Johor FC dan Johor FA) yang kini diterajui oleh Tunku Mahkota Johor khabarnya sudah mendapatkan bintang Piala Dunia Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza dan sebelum ini berura-ura membawa masuk Michael Owen sebelum bekas pemain Liverpool dan M.U itu memilih Stoke City.

T-Team pula diwar-warkan akan mengambil bekas bintang Liverpool, Robbie Fowler manakala bintang Piala Dunia Ghana, Derek Boateng juga dikatakan akan bersama pasukan bertaraf kelab tetapi dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu itu. Wow...

Jika para pemain tersebut berjaya dibawa ke mari, sudah pasti ghairah para peminta bola sepak di negara ini akan kembali melonjak seperti di tahun-tahun 1980-an dahulu. Sebabnya selain nak memberi sokongan kepada pasukan negeri atau kelab masing-masing, mereka juga mahu melihat aksi hebat para pemain bintang berkenaan.

Namun dalam keghairahan pasukan negeri membawa masuk pemain bintang dunia, aku harapkan ia memberi impak positif terhadap prestasi pemain bintang tempatan dan bukan sebaliknya. Maklumlah bila dah ada pemain bintang yang dibayar gaji beratus ribu sebulan, sudah pasti pasukan berkenaan mahu melihat pelaburan mereka tidak sia-sia. Jadi sudah pasti para pemain berkenaan digunakan sepenuhnya.

Aku mahu melihat prestasi para pemain negara melonjak apabila dapat beraksi bersama pemain bintang ini sepertimana berlaku di Jepun dan China apabila liga bola sepak membuka pintu seluasnya kepada pemain bintang dunia dan bukannya semakin hancur kerana "tidak berpeluang" untuk beraksi baik selepas tidak lagi menjadi ayam tambatan pasukan mereka.

Aku ambil contoh pemain macam Abdul Hadi Yahya dari Terengganu. Musim 2011 dia adalah penjaring terbanyak Liga Super dan membantu pasukannya menjulang Piala FA tapi bila pemain import dibenarkan beraksi di Liga Malaysia musim ini, tiba-tiba nama Abdul Hadi langsung tenggelam di sebalik kelibat pemain import Francis Forkey Doe. Malahan dia juga jarang dipeluang beraksi oleh pasukan itu. Di mana silapnya?

Jadi perkara-perkara macam inilah yang aku tak gemar lihat bila bola sepak kita mula dipenuhi bintang-bintang dunia. Aku harap prestasi pemain macam Shahrul Idlam Talaha, Aidil Zafuan, Zaquan Adha dan Safiq Rahim (sekadar contoh) tidak ditenggelami oleh pemain bintang dunia apabila bermain untuk Johor musim depan. Begitu juga para pemain lain.

Tapi aku rasa alangkah baiknya usaha membawa masuk bintang bola sepak dunia ini turut disertai oleh sokongan korporat dan GLC untuk menaja pasukan-pasukan negeri dan kelab yang beraksi di Liga Super dan Liga Perdana. Jadi tidaklah pasukan ini hanya bergantung harap penajaan syarikat-syarikat buat kosmetik dan peralatan sukan semata-mata.

Kalau depa boleh taja pasukan bola sepak di luar negara, kenapa susah sangat mereka yang berbakti kepada pasukan tempatan? Haishhh... Tak fahamlah!

Share this

0 Comment to "Apabila bintang bola sepak dunia berbondong ke Malaysia..."

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.