16 November 2012

Rilekslah... England pun kalah....

Ibrahimovic meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol buat Sweden ketika menewaskan England 4-2... Eh! England pun kalah?
Tiba-tiba teringat pertemuan aku dengan bekas orang kuat bola sepak negara, arwah Datuk Bakar Daud ketika aku berkunjung ke pejabatnya sekitar tahun 1990-an dahulu. Masa itu arwah menjadi timbalan menteri dan masih menjadi orang penting dalam FAM.

Bila aku melangkah masuk ke muka pintu pejabatnya, aku lihat arwah sedang berehat di mejanya sambil menyedut asap rokok. Aku diberitahu PA-nya, beliau baru selesai bermesyuarat dengan pak menteri dan para pegawai kanan kementerian.

"Datuk, macam mana ni... Malaysia asyik kalah saja?" spontan aku tanyakan soalan pasal bola kepadanya ketika kami bersalaman. Maklum aku tahu sangat kalau arwah ini lebih tahu perihal bola sepak daripada portfolio yang dipegang pada masa itu.

Dia cuma tersenyum sambil pantas menjawab: "Alaaa... Brazil pun kalah...".

Jawapan yang diberikan itu sungguh membuatkan aku terdiam. Orang kata mati kutu. Sebab apa? Sebab kenyataannya itu betul. Bola kan bulat. Sepanyol yang juara Piala Dunia dan Piala Eropah pun tak selalunya menang.

Jadi bila orang ramai mula bercakap pasal prestasi skuad negara sekarang, aku cuba berfikir macam arwah Bakar Daud berfikir! Bola itu bulat... England pun kalah, inikan pula skuad Harimau Malaya. Jadi bukan suatu yang menghairankan kalau kita kalah atau sekadar mencatat keputusan seri. Kita tidak mungkin akan sentiasa menang sebab yang main bola adalah manusia.

Betul kita juara bertahan Piala Suzuki, pemenang pingat emas Sukan SEA tapi mempertahankan kejuaraan sebenarnya jauh lebih sukar berbanding memenanginya. Sebabnya, pertama tekanan yang dihadapi pemain dan pengurus memandangkan beban tanggungjawab yang diberikan seluruh rakyat Malaysia terhadap mereka.

Kedua, semua pasukan yang bertanding akan berusaha semaksimum mungkin untuk merampas piala yang dimenangi. Yelah, kalau sebelum ini Malaysia boleh menang, takkanlah kali ini mereka nak lihat sahaja. Sudah pasti mereka menggandakan usaha untuk merampas kejuaraan. Dan kita pun tidak kurang usaha untuk mempertahankan piala yang dimenangi.

Bagi aku simple saja. Jangan cepat emosi dan jangan cepat melatah. Kita tunggu dan lihat prestasi skuad negara pada aksi sebenar dalam Piala Suzuki nanti. Sekarang ini bagi peluang kepada Rajagobal dan para pemain.

Lepas Piala Suzuki nanti baru kita cerita....!

Share this

0 Comment to "Rilekslah... England pun kalah...."

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.