10 January 2013

ULASAN: Antara Bible Melayu dan Melayu bebal

KALIMAH Allah kini boleh digunakan oleh orang Kristian di dalam kitab-kitab Bible versi bahasa Melayu mereka sebagai terjemahan kepada "God".

Itulah kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan keputusan pucuk pimpinan pakatan pembangkang yang diumumkan pula oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini kerana berdasarkan kenyataan dibuat oleh Hadi, orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah asalkan ia tidak disalahgunakan. Maaf... Saya tidak jelas apa yang dimaksudkan "asalkan ia tidak disalahgunakan".

Akan tetapi semuanya jelas bahawa pihak gereja mahukan kalimah Allah diluluskan penggunaannya di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu mereka... sekali lagi, versi bahasa Melayu.

Hal ini secara terang dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Natal baru-baru ini.

Jadi, isu utamanya bukan soal orang bukan Islam mahu menggunakan kalimah Allah sebab jika sekadar  menyebut, melafaz atau menyanyikan lagu-lagu yang mempunyai perkataan Allah ia bukanlah satu masalah, jauh sekali untuk melarangnya.

Namun, apa yang dibimbangkan sekarang ialah mereka mahu menggunakan kalimah itu di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu mereka.

Dan jika Pas atau Hadi sendiri melihat ia bukan suatu perkara yang perlu dirunsingkan, satu isu remeh yang  sengaja dimomokkan oleh UMNO, bermakna Hadi telah menjilat ludah sendiri ketika beliau menghamburkan kata-kata kafir terhadap UMNO yang konon mengekalkan undang-undang kafir (Rujuk Amanat Haji Hadi 1981).

Saya tertarik dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyokong orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah yang katanya ia umpama satu dakwah di mana apabila orang bukan Islam menggunakan kalimah ini, akhirnya hati mereka terbuka untuk memeluk Islam.

Saya tertarik dengan kenyataan Nik Aziz itu kerana ramai kalangan orang Cina di Kelantan dan Terengganu bukan sekadar sering menyebut perkataan Allah di bibir mereka malahan ramai di antaranya yang mampu mengucap dua kalimah Syahadah dan membaca Bismillah dengan lancar. Namun, mereka tidak juga beriman kepada Allah dan kekal kafir sehingga akhir hayat mereka.

Lalu, apakah orang bukan Islam  akan terbuka hati mereka untuk memeluk Islam kerana sering menyebut "Allah" ketika membaca Bible bahasa Melayu?  Saya percaya apa yang harapkan oleh  Nik Aziz itu cumalah sebagai ayat penyedap hati untuk penyokongnya.

Satu lagi persoalan yang perlu Hadi jawab, untuk apa kitab-kitab Bible ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sedangkan kita semua tahu bahawa orang yang menggunakan bahasa Melayu  adalah kalangan orang Melayu yang 99.9999 peratus daripadanya beragama Islam.

Terus terang saya katakan bahawa saya tidak nampak ia satu keperluan melainkan ada "muslihat" di sebalik penerbitan Bible Melayu.

Jika mereka mahu menyatakan bahawa Bible-bible ini untuk keperluan penganut mereka, kenapa diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan bukannya  bahasa Cina atau India?

Sejak bila pula orang bukan Melayu di negara ini begitu "cintakan bahasa Melayu" sehinggakan kitab-kita mereka pun mahu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu?

Kenapa mereka mahu menterjemahkan kitab mereka ke dalam bahasa Melayu sedangkan mereka tidak mahu bertutur bahasa Melayu dalam percakapan harian dan enggan menghantar anak-anak mereka memasuki sekolah kebangsaan, yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar?  Cintakan bahasa Melayu atau ada udang di sebalik batu?

Dalam hal ini, para pemimpin pembangkang yang beragama Islam, apatah lagi yang bergelar ulama atau tok guru perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung soal kalimah Allah.

Jika berilmu sekali pun, banyak pertimbangan perlu diambil kira apabila membuat kenyataan berhubung soal ini.

Isu kalimah Allah bukan soal UMNO, Pas, DAP atau PKR tetapi soal akidah umat dan kesucian Islam.  Ia juga bukan soal A.L.L.A.H tetapi tentang ALIF LAM LAM HAH. 

Jika mahu berkuasa sekali pun, janganlah digadai Islam kepada yang kafir.  Jika mahu mengambil hati DAP sekali pun jangan hati umat Islam sendiri dicarik-carik.

Subhanallah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...