27 September 2013

KJ kekal Ketua Pemuda... Shahrizat goyang? (Update... pembetulan fakta)

Dua penyandang jawatan yang dikatakan akan mengalami nasib berbeza pada Pemilihan UMNO 12 Oktober ini?
Khairy Jamaludin tidak berdepan masalah untuk mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO. Itu ramalan banyak pihak menjelang Pemilihan UMNO sayap parti itu pada 12 Oktober ini. Jangkaan itu berdasarkan empat lawan yang dihadapi ternyata bagai langit dengan bumi jika mahu dibandingkan dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Akhramsyah Sanusi walaupun dikatakan mampu memberi cabaran kepada KJ tetapi undi untuk beliau bagaimanapun dipecahkan oleh tiga calon lain iaitu Syed Rosli Syed Harman, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd. Karim Ali. Apatah lagi Karim juga merupakan calon dari Kedah.

Seperti yang pernah aku tulis sebelum ini, dalam pemilihan Ketua Pemuda sebetulnya pengundi boleh dibahagikan kepada dua kumpulan - penyokong KJ yang sedia menerima seorang pemimpin yang lebih terbuka, tidak terlalu totok Melayu dan juga kumpulan anti KJ kerana menilai Ahli Parlimen Rembau itu kurang Melayu dan kurang berjiwa UMNO.

Kumpulan mana yang lebih besar jumlahnya tidaklah boleh dianggarkan tetapi jika penyokong KJ tidak sebanyak mereka yang anti-KJ, kumpulan kedua terpaksa pula membuat pilihan antara empat calon iaitu Akhramsyah, Syed Rosli, Irwan Ambak dan Karim. Dan jika ini berlaku maka kemenangan sudah pasti berpihak kepada KJ yang menerima undian solid daripada penyokongnya.

Apakah pencalonan Syed Rosli, Irwan Ambak dan Karim adalah satu strategi untuk memecahkan undi Akhramsyah? Wallahuakhlam...

Selain itu kedudukan KJ sebagai menteri turut memberi kelebihan berbanding empat calon lain yang "tidak mempuyai apa-apa". Dengan jawatan menteri sudah pasti KJ dapat menjelajah ke seluruh negara (atas nama Menteri Belia dan Sukan)  untuk bertemu dengan pengundi-pengundinya ketika etika pemilihan yang begitu ketat termasuk larangan berkempen secara individu oleh calon-calon.

Bagi kerusi Ketua Wanita UMNO pula, kedudukan Shahrizat dikatakan goyang dan kemungkinan tumbang sama ada di tangan Maznah Mazlan atau Raihan Suleiman Palestin, dua calon yang bakal dihadapi penyandang kerusi tersebut.

Daripada kedua-dua pencabar Shahrizat, Maznah mempunyai lebih kekuatan selaku bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia dan "orang lama" dalam barisan Exco Wanita manakala Raihan pula hanyalah ahli biasa.

Maznah dikatakan "orang Rafidah" dan aura Rafidah di dalam Wanita UMNO dikatakan masih kuat terutama di peringkat akar umbi, walaupun sudah dua penggal wanita besi itu meninggalkan kerusi Ketua Wanita. Justeru, banyak ahli-ahli di peringkat bawah mahu melihat orang Rafidah naik menduduki kerusi no.1 sayap itu.

Raihan tidak banyak boleh diperkatakan. Mungkin sokongan daripada bekas-bekas ahli Puteri memberikan kelebihan kepadanya. Bagaimanapun, beliau dijangka tidak mampu menandingi Shahrizat mahupun Maznah.

Shahrizat pula banyak bergantung kepada undi simpati  dan rekod kejayaan beliau memimpin Wanita UMNO membantu membawa kemenangan besar UMNO pada PRU-13. Itulah jasa terbesar Shahrizat yang boleh dihandalkan beliau untuk mempertahankan kerusi tersebut. Rekod buruk Shahrizat -- tewas pada PRU-12 di tangan Nurul Izzah, kes NFC membabitkan suaminya dan kes pecah amanah melibatkan bekas Setiausaha Politiknya telah mencemarkan imej Shahrizat.

Itulah ramalan-ramalan berhubung nasib dua pemimpin sayap UMNO menjelang pemilihan parti pada 12 Oktober ini. Lalu teringat aku dengan lagu Warikh ....

"Yo.. yo.. kito monang kito monang... duo satu kecik bonar, ompet satu senyum lebar... yo!!"

Share this

0 Comment to "KJ kekal Ketua Pemuda... Shahrizat goyang? (Update... pembetulan fakta)"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.