06 October 2013

Ketua Puteri... Antara Jamie dan Emy

Antara Jamilah dan Ermieyati... Yang mana pilihan ahli Puteri?
Ramai yang tanyakan pandangan aku tentang dua calon Ketua Puteri UMNO yang kini sedang giat berkempen - Jamilah Hanim Othman a.k.a Jamie dan Mas Ermieyati Samsudin a.k.a Emy. Yang mana pilihan aku? Hemmm....

Sebetulnya pilihan aku tak penting sebab aku bukannya ahli Puteri UMNO jauh sekali untuk mengundi pada pemilihan UMNO nanti. Tapi apa yang penting ialah ahli-ahli Puteri yang layak mengundi perlulah membuat pilihan yang tepat.

Aku tidak mengenali Jamie tetapi aku ingat kami sama-sama pernah menyertai satu  perjumpaan peringkat antarabangsa  beberapa tahun lalu tetapi tidak pernah bertegur sapa. Malah aku tidak tahupun kalau dia merupakan salah seorang Exco Puteri sehinggalah wajahnya terpampang dalam media baru-baru ini apabila dia mengumumkan untuk merebut kerusi Ketua Puteri yang dikosongkan oleh Rosnah Abdul Rashid itu.

Ramai kawan-kawan aku yang sering menyebut-nyebut nama Jamie, tentang kecantikannya dan perwatakannya yang lemah lembut itu. Yup... Aku akui perkara itu memang ada pada Jamie.  Tetapi bagi aku kecantikan fizikal tidak memadai untuk menerajui sebuah organisasi politik besar seperti Puteri UMNO Malaysia yang ahlinya beratus-ratus ribu.

Puteri UMNO memerlukan seorang pemimpin yang tegas, agresif dan lantang. Beberapa ahli dan pemimpin akar umbi ada mengadu kepada aku bahawa mereka sangat mendambakan seorang pemimpin yang lantang, tegas dan agresif terutama dalam memperjuangkan nasib kaum wanita muda di seluruh negara.

Mereka menjadikan pengasas Puteri UMNO, Azalina Othman Said sebagai penanda aras "kejayaan dan kecemerlangan" pertubuhan itu yang dianggap "hilang" selepas Puteri dipimpin oleh Noraini Ahmad dan kemudiannya Rosnah.

Justeru aku melihat Emy mempunyai ciri-ciri yang didambakan oleh akar umbi Puteri. Selaku 'orang lama' dalam Puteri, Emy yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah  kelihatan lebih agresif, tegas dan lantang berbanding Jamie. Mungkin latar belakang beliau sebagai seorang peguam membuatkan Emy lebih "menyerlah" berbanding Jamie.

Malahan misi dan visi yang dibawa oleh Emy untuk Puteri UMNO lebih jelas dan meyakinkan, percakapan juga lebih lancar dan tenang malah beliau dilihat mempunyai "kecantikan" tersendiri untuk memimpin pertubuhan itu.

Aku percaya Emy banyak belajar daripada ketiga-tiga bekas Ketua Puteri sebelum ini memandangkan beliau menganggotai barisan Exco Puteri sejak zaman Azalina sehinggalah Rosnah. Maka pengalaman itu sudah cukup mematangkan Emy untuk memimpin Puteri.

Apa pun semuanya terserah kepada barisan perwakilan Puteri di peringkat akar umbi untuk membuat pilihan. Aku cuma sekadar memberi pandangan peribadi.

Share this

1 Response to "Ketua Puteri... Antara Jamie dan Emy"

  1. Mas Ermieyati Samsudin ini seorang yang angkuh dan sombong. Pengalaman saya ketika bertemu beliau di Parlimen, dia buat-buat sibuk dan langsung tidak bertegur sapa dengan para pemberita atau tetamu lain. Dibandingkan dengan beberapa orang mehterivdan timbalan menteri, mereka lebih mesra rakyat.

    ReplyDelete

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.