15 December 2014

Apabila Perkasa jinakkan ketua pendemo anti-Malaysia

Ketua Umum Laskar Merah Putih, Adek Erfil Manurung (kiri) makan semeja dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali di Kuala Lumpur dua hari lepas. 
SEMALAM aku terima kiriman gambar dari seorang sahabat menerusi WhatsApp. Gambar Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sedang makan dengan beberapa individu (gambar atas). Sungguh aku tidak mengenali mereka melainkan Tok Him yang bersongkok itu. Lalu aku tanyakan dengan si pengirim siapa gerangan mereka.

Sahabat aku kata abaikan dua lelaki yang di sebelah kiri Tok Him tetapi beri tumpuan kepada jejaka di sebelah kanan itu. Katanya, itulah Ketua Umum Laskar Merah Putih (LMP), Adek Erfil Manurung  yang bertanggungjawab membakar sentimen rakyat Indonesia agar membenci Malaysia setiap kali ada kes-kes membabitkan kedua-dua negara.

Bila dia menyebut Laskar Merah Putih pantas fikiran aku mengimbau peristiwa pembakaran bendera Jalur Gemilang dalam aksi demonstrasi di Jakarta, gerakan untuk menyerang Malaysia menggunakan buluh runcing dan peristiwa Kedutaan Malaysia di sana dilempar dengan najis. Kejadian-kejadian "kemarahan" rakyat Indonesia itu diketuai angkaran gerakan oleh Laskar Merah Putih.

Tapi bila aku tengok gambar ini, aku merasa kagum kerana pemimpin kedua-dua pertubuhan yang lantang dan keras dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara masing-masing duduk semeja. Mungkin sesetengah pihak memandang peristiwa ini sebagai kelemahan Perkasa yang tunduk dengan LMP. Tetapi bagi aku ia peristiwa paling bersejarah.

Langkah Perkasa menjalinkan hubungan mesra dengan pemimpin LMP satu tindakan yang bukan sahaja berani tetapi sangat tepat. Sekurang-kurangnya mereka boleh diberikan penjelasan berhubung perkara sebenar setiap kali kes-kes membabitkan hubungan Malaysia-Indonesia berbangkit.

Sahabat aku memberitahu, pertemuan kedua-dua pemimpin Perkasa dan LMP itu sebelum ini telah berlangsung di Jakarta ketika Perkasa bertandang ke negara itu. Tetapi inilah kali pertama Adek Erfil menjejakkan kaki di Malaysia.

Ini sudah bagus. Sekurang-kurangnya pemimpin LMP boleh melihat sendiri situasi di Malaysia, terutama layanan kita terhadap rakyat Indonesia yang bekerja di negara ini sekali gus menolak belakang pandangan mereka selama ini.

Jadi aku harap hasil pertemuan ini, sekurang-kurangnya LMP berfikir 110 kali sebelum melakukan aksi demonstrasi anti-Malaysia di Jakarta selepas ini kerana aku percaya selama ini mereka telah diberikan gambaran yang salah tentang Malaysia.

Tahniah Perkasa...

Share this

0 Comment to "Apabila Perkasa jinakkan ketua pendemo anti-Malaysia"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.