09 December 2014

UMNO sibuk tambah ahli, DAP sibuk tambah pengundi

ADUN Senai daripada DAP turun ke kaki lima untuk bertemu rakyat dan yang penting mendaftar pengundi baharu.  
UMNO cukup berbangga apabila ahli parti itu kini mencecah 3.5 juta orang dan usaha menambah jumlah keahlian kini dipermudah dengan menggunakan kaedah online. Peremajaan parti katanya.

Kesian aku tengok cara orang UMNO berfikir, masih lagi berfikiran kuno sedangkan dunia sudah berada di era digital.  Sebabnya, orang UMNO masih lagi berfikir soal menambah ahli tanpa memikirkan kaedah menambah jumlah pengundi terutama dalam kalangan orang Melayu.

UMNO perlu sedar bahawa jumlah pengundi bukan Melayu kini meningkat mendadak berbanding pengundi Melayu terutama selepas 2008. Malah aku  terperanjat apabila diberitahu jumlah pengundi bukan Melayu di Selangor kini  lebih tinggi berbanding pengundi Melayu. Itu baru di Selangor. Belum lihat lagi di Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan atau Perak.

Bahkan pada PRU-13 lalu, beberapa kawasan majoriti bukan Melayu, calon parti pembangkang terutama DAP mencapai kemenangan sehingga 50,000 majoriti undi. Gila... dari  mana sahaja undi yang diperoleh?

Jawapannya ialah jumlah pengundi.

Kalau kita nak bandingkan UMNO dengan DAP daripada segi jumlah ahli memang bagai langit dengan bumi.  Walaupun DAP tak pernah umum jumlah ahli mereka tetapi aku yakin ia  jauh lebih kecil daripada UMNO.

Tetapi mereka tidak peduli tentang jumlah keahlian. Apa yang lebih penting adalah pengundi terutama dalam kalangan orang Cina. Sebab pengundilah yang menentukan kemenangan mereka dalam pilihan raya, bukannya ahli parti.

Atas sebab itulah DAP sejak sekian lama berusaha untuk menambah jumlah pengundi khususnya dalam kawasan-kawasan yang disasarkan. Sudah pasti pengundi yang datang mendaftar dengan mereka adalah bakal-bakal pengundi yang akan memberi undi kepadanya.

UMNO boleh mendabik dada mempunyai ahli sehingga 3.5 juta orang tetapi jumlah itu tidak bermakna jika mereka tidak mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana penentu kemenangan dalam pilihan raya ialah pengundi, bukan ahli parti.

Jadi UMNO kena bezakan antara ahli dan pengundi. Jangan fikir jika jadi ahli UMNO secara automatik mereka akan mengundi calon BN/UMNO. Ramai di luar sana yang mahu memberi undi kepada BN/UMNO tetapi tidak mahu menjadi ahli mana-mana parti.

Bagi mereka menyertai parti politik adalah buang masa tetapi mengundi adalah tanggungjawab. Ramai orang Melayu yang tidak peduli soal mengundi sebab bagi mereka "ah tak apa. Aku tak mengundi orang lain boleh undi" atau "BN boleh menang dah. Ahli UMNO dah cukup ramai untuk beri kemenangan kepada BN".

Ini antara pemikiran orang kita. Tetapi tidak bagi orang bukan Melayu. Mereka anggap peluang 5 tahun sekali untuk memilih kerajaan digunakan sebaik mungkin. Sebab itulah masa PRU-13, kita lihat jumlah pengundi bukan Melayu begitu tinggi bahkan peratusan keluar mengundi juga amat tinggi dalam sejarah pilihan raya.

Sebabnya? Jumlah pengundi bukan Melayu yang keluar secara beramai-ramai. Atas faktor itulah pembangkang memperoleh kemenangan besar dalam PRU-13, walaupun masih belum berjaya menumbang BN.

Perlu diingat DAP tidak berhenti setakat itu. Usaha mendaftar pengundi di negeri yang mereka sasarkan makin dipergiatkan. DAP dengan bantuan PKR dan Pas sedang berusaha untuk merampas Putrajaya pada PRU akan datang.

Kalau tidak PRU-14, mungkin ke-15, 16, 17 dan seterusnya.

Jika UMNO masih lagi tidak sedar aku percaya tempoh BN/UMNO menjadi pembangkang di Malaysia ini semakin cepat.



Psst... Ada pemimpin UMNO sibuk tambah kekayaan...

Share this

0 Comment to "UMNO sibuk tambah ahli, DAP sibuk tambah pengundi"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.