17 August 2015

Guling kerajaan atau guling Najib?

Berguling-guling aku baca amaran yang diberikan oleh Zahid yang baru naik pangkat jadi TPM konon wujudnya usaha untuk menggulingkan kerajaan yang ada sekarang. Dia yang juga menteri jaga KDN kata berdasar risikan ada kalangan pemimpin UMNO terlibat.

Aku tidak percaya ada pemimpin UMNO yang mahu menggulingkan kerajaan UMNO/BN ini. Kalau nak gulingkan Najib mungkin ya. Sebabnya sekarang ini mereka semakin muak dengan permainan Najib untuk melindungi diri dan isteri daripada pelbagai skandal mulai 1MDB sehingga wang derma RM2.6 billion.

Muhyiddin yang menegur secara baik dalam mesyuarat MT atau dalam pertemuan-pertemuan peribadi dengannya tidak diendahkan oleh Najib. Malah aku pernah diberitahu bahawa sepupunya, Hisham juga sudah berbuih mulut menasihati Najib supaya menjaga perilaku bininya, pun tidak dipedulikan.

Bila terbitnya skandal 1MDB dan dana politik dalam akaun peribadi, habis semua yang pernah menegurnya dicantas. Nasib baik Hisham tu sedara, kalau tidak mungkin alami nasib serupa Muhyiddin dan Shafie Apdal.

Maka tinggallah pak-pak menteri yang mengampunya siang dan malam bagi memastikan tidak mengalami nasib serupa atau kalau lebih beruntung dapat naik pangkat jadi menteri penuh atau yang belum ada jawatan dalam Kabinet boleh dilantik jadi timbalan menteri.

Isu nak gulingkan kerajaan seperti didakwa Zahid aku rasa satu tuduhan yang melampau. Tidak mungkin wujud usaha gulingkan kerajaan daripada pihak UMNO sendiri. Zahid yang aku kenal cukup hebat bercakap dan memperbesar-besarkan isu yang kecil. Jadi tidak hairan apabila hal ini juga diperbesarkan.

Misalnya isu pencerobohan Lahad Datu, Zahid yang masa itu Menteri Pertahanan dengan lantang mendakwa mengetahui dalang disebalik pencerobohan itu tetapi sehingga hari ini dalang yang dimaksudkan itu bukan sahaja tidak ditangkap dan didakwa, malah ceritanya lenyap begitu sahaja.

Begitu juga apabila kes sebuah kapal tangki yang dirampas lanun, dengan cepat dia mendakwa ada orang dalam terlibat. Sedangkan menurut Agensi Penguatkuasa Maritim, tidak wujud orang dalam. Kapal itu dirampas lanun dari Indonesia.

Zahid harus ingat, sebagai menteri dan kini Timbalan Perdana Menteri setiap patah yang diucapkan boleh memberi kesan kepada rakyat dan negara. Dia tidak boleh asal cakap untuk menunjukkan ketegasan atau kebijakannya. Ia perlu disertakan dengan bukti dan fakta yang sahih. Yang penting dia perlu berhati-hati apabila bercakap.

Bak kata pepatah kerana pulut santan binasa...

Share this

0 Comment to "Guling kerajaan atau guling Najib?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.