09 November 2015

Nasib Muhyiddin, Shafie, Mukhriz masih jadi tanda tanya


Nasib tiga pemimpin tertinggi UMNO iaitu timbalan presiden Muhyiddin Yassin, naib presiden Shafie Apdal dan ketua perhubungan Kedah, Mukhriz Mahathir masih menjadi tanda tanya menjelang PAU 2015 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Ketika masa berbaki kurang daripada sebulan menjelang perhimpunan parti itu, ketiga-tiga pemimpin berkenaan yang dikatakan antara ahli UMNO yang lantang menghentam Presiden parti, Najib Razak.

Muhyiddin dan Shafie telah menerima nasib dipecat daripada barisan Kabinet Najib selepas kedua-dua pemimpin itu membuat kritikan terbuka terhadap bos mereka manakala nasib Mukhriz yang terkena tempias lantaran "serangan" bertali arus bapanya, Tun Mahathir juga di hujung tanduk.

Seperti yang aku tulis sebelum ini, keahlian Muhyiddin dan Shafie dalam UMNO juga "sedang diteliti" dan berkemungkinan digugurkan sebagai ahli parti oleh Jawatankuasa Disiplin parti, terutama menjelang PAU 2015.

Manakala Mukhriz juga sudah menerima khabar angin tentang penggugurannya sebagai MB Kedah. Ini terbukti apabila Mukhriz dalam Utusan Malaysia hari ini dilaporkan sudah bersedia melepaskan jawatannya itu kepada mereka yang lebih layak. Persoalannya, siapa yang layak mentadbir Kedah dan memastikan BN mempertahankan kemenangan pada PRU-14 nanti?

Ini bagi menyelamatkan situasi yang tidak diingini dalam PAU 2015 nanti sementelah Muhyiddin dan Shafie mempunyai hak untuk berucap pada perhimpunan di hadapan lebih 3,000 perwakilan daripada seluruh negara serta ribuan pemerhati dan ratusan media tempatan dan asing.

Ibu pejabat UMNO membayangkan suasana PAU 2015 akan panas dan Najib juga bakal "panas telinga" jika kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu diberi peluang untuk berucap kerana mereka menjangkakan peluang itu diguna oleh kedua-duanya untuk mempersoal kredibiliti Najib sebagai Presiden UMNO dan PM ekoran skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 biliion.

Walaupun beberapa minggu lalu Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan membayangkan tujuh pemimpin parti itu sedang diteliti keahliannya kerana dikatakan menentang pucuk pimpinan parti dan Perdana Menteri, tetapi sehingga kini nama-nama tersebut masih belum didedahkan.

Dan pada ketika ini Najib dikatakan sedang "membeli jiwa" ketua-ketua perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian agar bersama dengan beliau walau apa juga perkara yang dilakukannya. Ini jelas dapat dilihat pada konvensyen UMNO Terengganu baru-baru ini yang mana Najib dikatakan mendapat sokongan padu semua bahagian di negeri itu.

Pun begitu kita masih ingat pada PRU 1999 lalu di mana Najib yang pada masa itu menerima laporan bahawa beliau bakal mendapat sokongan padu pengundi Pekan, hampir-hampir tewas di tangan calon Pas.

Pada PRU selepas pemecatan Anwar itu, Najib hanya menang dengan majoriti 241 undi dengan pengiraan undi entah berapa kali. Khabarnya kemenangan Najib pada masa itu dibantu oleh para pengundi dari peti undang kawasan Orang Asli.

Jadi, apabila Najib dikatakan masih mendapat sokongan pada pemimpin bahagian dan ahli UMNO, aku sedikit terfikir apakah Najib bakal tertipu lagi oleh laporan para pegawai dan penasihatnya sepertimana sejarah tahun 1999 lalu.

Entahlah...

Share this

0 Comment to "Nasib Muhyiddin, Shafie, Mukhriz masih jadi tanda tanya"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.