30 December 2015

Banteras vape lebih mudah daripada bauksit (Updated!)

KEMAS KINI (1 Jan 2016):
Kabinet telah mengeluarkan arahan supaya kegiatan melombong bauksit dihentikan sementara berikutan kesannya terhadap pencemaran udara dan alam sekitar. Keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas.

Hemm.... Tak susah pun nak bertindak tapi kenapa ambil masa lama sangat untuk membuat keputusan sedemikian? Apa pun terima kasih kerajaan Pusat!

POS ASAL:


Aku pun tak tahulah siapa paling berkuasa di negeri Pahang ini sampaikan masalah bauksit yang telah menjejaskan penduduk dan alam sekitar terutama di Kuantan sehingga kini tidak dapat diselesaikan.

Bila tanya Menteri Besar, Tok Nan akan salahkan kontraktor atau lori pengangkut. Dia juga salahkan SPRM. Kenapa susah sangat nak hentikan kegiatan melombong bauksit ini yang difahamkan dah menjarah banyak kawasan kelapa sawit milik peneroka.

Apakah ada tangan-tangan ghaib yang begitu berkuasa sehinggakan seorang MB pun tidak boleh menghentikan kegiatan ini. Untung besar sangatkah hasil bauksit ini sehinggakan kerajaan negeri tidak mahu menghentikannya dan sanggup mengorbankan kesihatan rakyat dan ekosistem alam sekitar hanya semata-mata mengejar wang.

Apa yang pelik isu bauksit langsung tidak mendapat perhatian menteri berkaitan bahkan seorang Perdana Menteri. Jeritan suara rakyat Kuantan langsung tidak dipedulikan. Para pelombong seolah-olah kebal dengan undang-undang negara dan negeri. Jabatan Alam Sekitar memejamkan mata, memekakkan telinga. Pejabat Tanah dan Galian negeri pula tidak berani bertindak dan mendakwa bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Yang peliknya, isu Cameron Highland cepat pula mendapat respon daripada kerajaan Pusat dan pihak istana sehinggakan satu jawatankuasa khas ditubuhkan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri. Manakala Sultan Pahang pula beberapa kali melawat Cameron Highland dan mengeluarkan titah agar kegiatan tanah di kawasan tanah tinggi itu dihentikan.

Tapi isu bauksit bukan nun jauh di mata, sebaliknya hanya di Kuantan, ibu negeri Pahang. Susah sangatkah MB untuk menggunakan kuasanya agar menghentikan kegiatan melombong bauksit? Kenapa lesen melombong masih dikeluarkan?

Dalam hal ini aku respek kepada kerajaan Terengganu yang enggan mengeluarkan lesen bauksit. Aku percaya kalau lesen ini dikeluarkan oleh Ahmad Razif keadaan menjadi lebih buruk.

Beberapa hari lepas penduduk terkejut apabila sungai dan laut di Balok menjadi merah selepas hujan lebat. Kerajaan negeri kata akan menyiasat "fenomena" itu. Entah fenomena apa aku pun tak faham. Walhal satu dunia tahu bahawa ia berpunca daripada pencemarahan bauksit.

Oh Malaysia. Kenapa nak haramkan vape lebih mudah daripada bauksit? Kenapa menteri kesihatan tak umum haram bauksit sepertimana mereka umum pengharaman vape sedangkan kedua-duanya menjejaskan kesihatan.

Isu-isu ini menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Ini bukan lagi persepsi atau disebabkan sekadar membaca tajuk berita. Ini terbukti jelas didepan mata.

#SaveKuantan

Share this

0 Comment to "Banteras vape lebih mudah daripada bauksit (Updated!)"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.