15 January 2016

Syarikat kosmetik makin kemarut taja pasukan bola

Wahh... Sejak Qu Puteh (Vida Beauty) menaja pasukan bola sepak Kelantan, khabarnya berduyun-duyun pula syarikat kosmetik lain nak menaja pasukan bola negeri dan kelab-kelab Liga Malaysia, baik Liga Super mahupun Liga Perdana.

Selepas Datuk Seri Vida taja RM20 juta untuk Kelantan, syarikat seperti D'Herbs (milik Datuk Aliff terlajak laris) dan NV (Nouvelles Visages)  pun khabarnya sedia mengeluarkan pembiayaan untuk pasukan bola. D'Herbs dikatakan berminat dengan Selangor manakala NV dikaitkan dengan JDT dan Pahang.

Dalam diam-diam sebuah lagi syarikat kosmetik iaitu Megah Perawan khabarnya telah mengadakan perbincangan untuk menaja pasukan PKNS FC. Betul ke tu?

Pemilik Megah Perawan telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan PKNS FC di Sungai Buloh baru-baru ini.
Alhamdulillah. Mujur ada Pamoga. Yelah, DS Vida telah mencelikkan mata pengusaha-pengusaha kosmetik untuk menaja pasukan bola. Yelah selama ini mereka ingat syarikat mereka cuma sesuai menaja artis kahwin saja, rupanya taja pasukan bola pun boleh memberi impak yang besar.

Maklum taja artis kahwin ni risiko tinggi. Dah berhabis berjuta-juta untuk majlis perkahwinan mereka tup-tup tak sampai setahun rumah tangga dah bergoncang. Tak kurang juga yang bercerai-berai. Artis yang ditaja pun semakin suam.

Alangkah lebih baik menaja pasukan bola. Bukan sahaja saingan liga berjalan setahun, tetapi dengan kehadiran penonton di stadium dan tayangan langsung di TV yang ditonton berjuta-juta umat sudah tentu memberi impak lebih besar kepada jualan produk mereka.

Tapi bak kata pemilik JDT, Tunku Ismail, jangan pula syarikat kosmetik ingat para pemain dan pasukan bola yang ditaja tu dijadikan model untuk memperaga produk mereka pula. Takut nanti seluruh stadium penuh dengan botol-botol produk kecantikan. Tolak ketepilah dengan syarat cat stadium dengan warna pink dan jersi pink.

Syarikat-syarikat yang menaja pasukan bola sepak kenalah profesional dan tidak melayan pemain seperti artis atau pelawak yang terpaksa memperaga produk mereka semata-mata tuntutan penaja. Atau jangan pula nanti sebab mereka penaja, maka ada pula makcik-makcik ni nak turun padang main bola sama. Mamposss....!!

Ingat gelanggang bola sepak  bukannya gelanggang Maharaja Lawak Mega atau Gegar Vaganza naaa...

Share this

0 Comment to "Syarikat kosmetik makin kemarut taja pasukan bola"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.