02 March 2016

Melayu hilang "parti" untuk bergantung?

Melayu berparti...
SEKARANG ini paling lantang berkumandang di kalangan orang Melayu khususnya anak-anak muda ialah ketidakpercayaan mereka terhadap UMNO, parti yang selama berpuluh tahun menjadi tunjangan orang Melayu untuk berpaut di bumi sendiri.

Sebabnya mereka semakin hilang keyakinan dan kepercayaan kepada para pemimpin parti keramat. Satu demi satu sengketa dalaman UMNO angkara mempertahankan para pemimpin tertinggi, menyebabkan orang Melayu di dalam dan di luar parti semakin "membenci" UMNO.

Melayu juga tidak boleh lagi berharap kepada Pas. Sejak Nik Aziz meninggal dunia, Pas semakin terumbang-ambing. Ditolak mentah-mentah oleh parti sekutu DAP, kemudian perpecahan Pas yang membentuk parti serpihan PAN, menambahkan lagi ketidakyakinan Melayu terhadap parti Islam ini.

PKR walaupun para pemimpin utama mereka orang Melayu, tetapi perjuangan parti itu jelas untuk Anwar Ibrahim sahaja, dengan bertopengkan perjuangan rakyat. Semua orang Melayu tahu mengenai hal itu. Malah orang Pas sendiri tahu bahawa PKR tidak boleh diharap.

Lalu parti mana orang Melayu mahu memilih pada PRU-14 nanti jika semua parti Melayu dan Islam pada hari ini tidak boleh memberi jaminan kepada mereka sebagai sebuah parti yang mampu menjaga hak dan kepentingan mereka, mengatasi kepentingan individu atau pemimpin parti itu semata-mata?

TIADA!!!

Atas sebab itulah ramai orang Melayu berharap Perkasa didaftarkan sebagai sebuah parti politik agar pertubuhan itu menjadi parti tunjang umat Melayu pada masa kini dan akan datang. Sebabnya mereka melihat sehingga kini Perkasa sahaja yang berjuang untuk kepentingan Melayu, Islam dan Raja-raja Melayu.

Dan dengan pergolakan dalam parti-parti Melayu yang ada sekarang, aku percaya jika ada seorang pemimpin berpengaruh mewujudkan sebuah parti Melayu lain yang betul-betul bersih daripada segala sampah korupsi, penyelewengan, bodek-membodek, kipas-mengipas aku percaya parti itu akan menjadi pilihan orang Melayu.

Atas sebab itu aku melihat seandainya Muhyiddin keluar UMNO dan menubuhkan sebuah parti baru (seperti mana tertubuhkan Semangat 46 dan Keadilan yang merupakan parti serpihan UMNO yang ditubuh oleh mereka yang mereka terpinggir oleh parti) beliau mampu menarik ramai ahli, terutama umat Melayu yang semakin muak dengan politik UMNO dan Pas masa kini.

Apakah itu yang Muhyiddin akan umumkan esok? Entah...

Share this

0 Comment to "Melayu hilang "parti" untuk bergantung?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.