27 April 2016

Teks ucapan Ahmad Razif disabotaj?


PANAS panas El Nino panas lagi negeri keropok lekor. Gara-gara Sultan Mizan menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Menteri Besar, Ahmad Razif, negeri Terengganu sekarang ni panas 'berdering-dering'.

Walaupun suasana kerajaan negeri itu nampak tenang, namun kita semua tahu jika keadaan pentadbiran Terengganu ini bergelora ekoran krisis antara MB dan sultan. Yelah, kalau pelantikan MB pun atas perkenan sultan, dah kalau sultan dah mula murka, baginda juga boleh menarik balik perkenan tersebut.

Aku dikhabarkan tindakan Sultan Mizan menarik balik semua darjah kebesaran yang diberikan kepada MB lantaran murka dengan ucapan Ahmad Razif dalam satu majlis yang turut dihadiri baginda.

Ada yang kata MB hanya membaca teks ucapan yang diberikan kepada beliau tetapi yang musykhil macam mana beliau hanya terus membaca setiap baris ucapan tanpa membuat penapisan kendiri?

Aku tidak pasti teks ucapan itu siapa sediakan. Penganjurkah? Para pegawai yang terdiri para cendekiawan Terengganukah atau Setiausaha Akhbar MB yang baru saja menduduki kerusi tersebut beberapa hari sebelum kejadian?

Jika benarlah kemurkaan sultan kerana ucapan MB yang dibacakan berdasarkan teks ucapan yang diberi, ada kemungkinan teks itu telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Aku tak mahu menuding jari terhadap sesiapa tetapi sebelum ini ada ADUN yang telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri dan gagal.

Atau mungkin kerana kesilapan Setiausaha Akhbar MB yang baru bertugas - yang khabarnya seorang anak muda berpengalaman beberapa tahun sebagai wartawan media arus perdana - yang menyebabkan kemurkaan baginda?

Malang amat malang. Itulah yang aku boleh simpulkan terhadap krisis di Terengganu ini. Memang benar kata seorang SB politik, menjadi seorang pemimpin negeri atau negara ini, baik macam mana pun akan tetap tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu. Bak kata lebih mudah, "buat baik pun salah, buat jahat lagilah salah".

Bagi aku Ahmad Razif menjadi mangsa. Mangsa pihak-pihak tertentu yang mahu melihat negeri Terengganu berkoncang. Mungkin ada kaitan dengan krisis politik dalam parti yang dinaungi oleh MB menyebabkan dia turut terpalit.

Dalam keadaan pentadbiran Terengganu yang rapuh kerana jumlah kerusi dalam DUN hampir seimbang, menyebabkan sedikit sahaja 'kesilapan' maka pentadbiran negeri boleh bertukar tangan.

Kini, seluruh rakyat Terengganu menanti penuh debar apa yang akan berlaku selepas ini. Apakah baginda sultan mahukan MB ditukar, atau apakah Najib mempunyai daya memujuk yang ampuh untuk memastikan Ahmad Razif kekal sebagai MB?

Namun dalam keadaan genting seperti ini, ada pihak-pihak di negeri itu sudah memukul canang beberapa nama yang bakal menggantikan Ahmad Razif sebagai MB. Haishhh....

Inilah politik!

Share this

0 Comment to "Teks ucapan Ahmad Razif disabotaj?"

Post a Comment

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.