27 April 2016

Kenanga Wholesale, gedung beg berjenama tiruan yang 'halal'

Para peniaga di Kenanga Wholesale bebas menjual beg-beg berjenama mewah tiruan tanpa rasa takut sebab kegiatan mereka seolah-olah sudah 'dihalalkan oleh pihak berkuasa.
SEMALAM aku dipaksa ikut isteri ke Kenangan Wholesale Plaza kat belakang balai bomba Jalan Hang Tuah. Dah lama ku tak ke sana. Terakhir rasanya tahun lepas masa bulan puasa. Itupun sebab nak cari baju raya anak-anak.

Tapi semalam aku betul-betul terkejut sebab Kenanga sekarang bukan sekadar menjual pakaian murah dari Vietnam dan China, tetapi sudah bertukar menjadi gedung jualan beg-beg berjenama terkenal tetapi tiruan.

Sebut sahaja jenama apa. Coach, LV, entah apa lagi. Isteri aku tunjuk beberapa jenama beg yang katanya harga yang tulin mencecah ratusan ribu tetapi di Kenangan hanya sekitar RM55. Ada juga beg-beg yang pernah aku nampak dipakai oleh isteri-isteri pembesar negara ada dijual di Kenanga.

Perghh... Gila ke apa?

Kalaulah syarikat-syarikat pengeluar beg ini tahu kalau beg-beg mereka dijual dengan harga serendah itu di Kenanga, dah tentu mereka akan meraung-raung kecewa. Patutlah Kuala Lumpur dinobat sebagai bandar raya syurga membeli belah oleh agensi pelancongan luar negara, rupanya kerana di sini begitu banyak pusat-pusat jualan barangan tiruan.

Lalu aku tertanya-tanya, di mana penguatkuasa KPDNKK? Apakah mereka sengaja membiarkan kegiatan seperti ini berlaku (selagi belum ada aduan daripada pengeluar asal produk berkenaan) agar Malaysia terus kekal sebagai destinasi membeli belah atau mereka 'ada main' dengan pihak-pihak terlibat?

Dan aku percaya jika soalan ini diajukan alasan yang bakal diberikan oleh KPDNKK (seperti biasalah), tak cukup kakitangan untuk membuat serbuan atau menjalankan penguatkuasaan lebih ketat.

Bila tengok keadaan ini teringat pasal Neelofa yang mahu buat serbuan di Vietnam kerana mengetahui negara ini sekarang giat menghasilkan tudung dan pakaian tiruan jenama Neelofar milik pelakon dan pengacara comel-loteh ni.

Dari mana agaknya kilang-kilang di Vietnam itu dapat rekaan Neelofar kalau bukan dibawa sendiri oleh peniaga dari Malaysia. Ya dak?

Jadi, jangan terkejut selepas ini para pemilik nama-nama besar dalam penghasilkan beg-beg berjenama mewah ini menyerbu Kuala Lumpur sebab dah tak tahan melihat hasil rekaan mereka dirompak dan Kenangan menjadi lokasi jualan produk hasil rompakan itu.

Dan dik kerana geram sebab tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa di Malaysia bagi menghalang kegiatan penjualan produk-produk tiruan dari jenama yang mereka hasilkan.

Ish... ish... ish...

Teks ucapan Ahmad Razif disabotaj?


PANAS panas El Nino panas lagi negeri keropok lekor. Gara-gara Sultan Mizan menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada Menteri Besar, Ahmad Razif, negeri Terengganu sekarang ni panas 'berdering-dering'.

Walaupun suasana kerajaan negeri itu nampak tenang, namun kita semua tahu jika keadaan pentadbiran Terengganu ini bergelora ekoran krisis antara MB dan sultan. Yelah, kalau pelantikan MB pun atas perkenan sultan, dah kalau sultan dah mula murka, baginda juga boleh menarik balik perkenan tersebut.

Aku dikhabarkan tindakan Sultan Mizan menarik balik semua darjah kebesaran yang diberikan kepada MB lantaran murka dengan ucapan Ahmad Razif dalam satu majlis yang turut dihadiri baginda.

Ada yang kata MB hanya membaca teks ucapan yang diberikan kepada beliau tetapi yang musykhil macam mana beliau hanya terus membaca setiap baris ucapan tanpa membuat penapisan kendiri?

Aku tidak pasti teks ucapan itu siapa sediakan. Penganjurkah? Para pegawai yang terdiri para cendekiawan Terengganukah atau Setiausaha Akhbar MB yang baru saja menduduki kerusi tersebut beberapa hari sebelum kejadian?

Jika benarlah kemurkaan sultan kerana ucapan MB yang dibacakan berdasarkan teks ucapan yang diberi, ada kemungkinan teks itu telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Aku tak mahu menuding jari terhadap sesiapa tetapi sebelum ini ada ADUN yang telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri dan gagal.

Atau mungkin kerana kesilapan Setiausaha Akhbar MB yang baru bertugas - yang khabarnya seorang anak muda berpengalaman beberapa tahun sebagai wartawan media arus perdana - yang menyebabkan kemurkaan baginda?

Malang amat malang. Itulah yang aku boleh simpulkan terhadap krisis di Terengganu ini. Memang benar kata seorang SB politik, menjadi seorang pemimpin negeri atau negara ini, baik macam mana pun akan tetap tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu. Bak kata lebih mudah, "buat baik pun salah, buat jahat lagilah salah".

Bagi aku Ahmad Razif menjadi mangsa. Mangsa pihak-pihak tertentu yang mahu melihat negeri Terengganu berkoncang. Mungkin ada kaitan dengan krisis politik dalam parti yang dinaungi oleh MB menyebabkan dia turut terpalit.

Dalam keadaan pentadbiran Terengganu yang rapuh kerana jumlah kerusi dalam DUN hampir seimbang, menyebabkan sedikit sahaja 'kesilapan' maka pentadbiran negeri boleh bertukar tangan.

Kini, seluruh rakyat Terengganu menanti penuh debar apa yang akan berlaku selepas ini. Apakah baginda sultan mahukan MB ditukar, atau apakah Najib mempunyai daya memujuk yang ampuh untuk memastikan Ahmad Razif kekal sebagai MB?

Namun dalam keadaan genting seperti ini, ada pihak-pihak di negeri itu sudah memukul canang beberapa nama yang bakal menggantikan Ahmad Razif sebagai MB. Haishhh....

Inilah politik!