Projek perumahan berlimpah, pembeli tak ada... Salah siapa?

Pembinaan projek perumahan tanpa kawalan bukan sahaja menyebabkan rumah-rumah tidak terjual malahan turut memberi kesan kepada alam sekitar. - Gambar hiasan
Inilah fenomena yang berlaku dalam negara kita sekarang. Tak perlu nak kaji atau kira, tapi tengok dari pandangan mata pun kita dah tahu begitu banyaknya projek-projek perumahan yang tumbuh macam cendawan selepas hujan.

Tengoklah sekeliling di Lembah Klang ini, sampai di tepi laluan rel LRT, lereng bukit, atas bukit, celah-celah kilang. Pendek kata ada sekangkang tanah pun akan naiklah projek-projek perumahan sederhana mewah dan mewah khususnya kondominium. Itu belum masuk di Pulau Pinang, Johor dan lain-lain negeri.

Lama dah aku tertanya-tanya siapa yang beli rumah-rumah dan kondo yang harganya RM450,000 dan ke atas ini. Kaum mana yang banyak beli? Atau pembeli dari negara mana? Mana pemaju-pemaju ini begitu mudah dapat tanah?

Itulah persoalan yang selalu bermain dalam fikiran aku setiap kali melihat kondo-kondo mewah naik dicelah-celah rel LRT, di tepi lombong, di celah kilang-kilang lama di ibu kota.

Dan akhirnya persoalan-persoalan aku terjawab baru-baru ini apabila kajian mendapati begitu banyak rumah-rumah yang tidak terbeli sehingga kerajaan terpaksa membekukan projek-projek perumahan berharga RM1 juta dan ke atas.

Ya, memang patut pun perkara ini dikawal. Kalau tidak kawal inilah jadinya. Pemaju ghairah nak bina rumah-rumah mewah sedangkan pembelinya tidak ada. Kata ekonomi negara teruk di bawah Najib, dan ramai rakyat miskin kerana tanggung kenaikan harga barang akibat GST tapi pemaju tetap juga bina rumah-rumah mewah. Apa motif dan muslihat pemaju?

Ada sesetengah pemaju mensasarkan pembeli dari luar negara. Para ekspetriat atau pembeli dari negara jiran sama ada Singapore, Indonesia dan banyak juga dari negara-negara Arab. Aku dapat tahu begitu banyak kondo-kondo mewah di sekitar KLCC dimiliki oleh orang asing dan sebab itu pemaju tidak pernah berhenti untuk membina rumah kerana tau ada pembeli, walaupun kuota untuk bumiputera banyak yang tak terjual.

Sebab itu pemaju melalui REDHA berusaha untuk mengurangkan kuota bumiputera untuk pembelian rumah-rumah sebab walaupun 30 peratus tetapi masih tidak terjual. Sebab itu pemaju nak kurangkan atau kalau boleh dihapuskan terus kuota bumiputera dalam penjualan rumah supaya pemaju bebas jual unit-unit rumah kepada sesiapa sahaja, dan yang penting tiada diskaun 30 peratus harga kepada bumi.

Oleh sebab itulah aku menyambut baik langkah kerajaan membekukan projek-projek perumahan bernilai RM1 juta dan ke atas walaupun mendapat bantahan pemaju. Kalau pemaju dan bina rumah, binalah rumah kos sederhana yang sekarang ini sangat diperlukan. Nak harap rumah PR1MA entah dapat entah tidak.

Satu lagi, aku minta pihak-pihak PBT ni janganlah terlalu ghairah meluluskan projek perumahan di kawasan pentadbiran mereka. Sampaikan setiap inci tanah dibenar bina rumah. Bagilah ruang sikit untuk bernafas, bina kawasan hijau, tanam pokok. Jagalah alam sekitar. Aku taulah para pegawai di PBT banyak "makan" dari para pemaju untuk meluluskan projek mereka, tapi jangan lupa akhirnya nanti anak cucu sendiri semakin terpinggir dan tak dapat miliki rumah sebab para pemaju lebih ghairah membina rumah mewah yang kita boleh agak siapa yang akan membelinya.

Itu belum cerita pasal kawasan orang Melayu yang sedikit demi sedikit diambil dengan pembinaan projek perumahan mewah. Jadi, pegawai di PBT kena fikirkan juga kesan dari segi geopolitik bila nak luluskan projek.  Boleh ke?
Projek perumahan berlimpah, pembeli tak ada... Salah siapa? Projek perumahan berlimpah, pembeli tak ada... Salah siapa? Reviewed by mesin taip buruk on 11/22/2017 08:39:00 AM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.