Naib Presiden: Kedudukan Hisham belum selamat?

"Kami siap bertempur tuan...."
PAU 2017 baru saja labuhkan tirai. Dalam banyak-banyak usul yang dibawa dalam perhimpunan agung umat Melayu dari parti kebangsaan ini, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang menjadi topik hangat.

Biarpun alasan sokongan usul tersebut sebagai persiapan menghadapi PRU-14 yang dianggap bapa segala pilihan raya, namun di sebalik dua jawatan tertinggi sebetulnya sudah ada pihak yang mula mencongak kedudukan dalam parti keramat tersebut.

Dengan diluluskan usul tersebut maka kedudukan Najib dan Zahid sudah pun selamat. Najib akan dikekalkan sebagai Presiden UMNO manakala Zahid pula akan ditabal menjadi Timbalan Presiden, yang kini dipangkunya.

Di mana kedudukan Hishammuddin? Walaupun usul agar Hisham diberikan jawatan Naib Presiden paling kanan namun tidak ada klause dalam usul tersebut menyatakan tiga jawatan Naib Presiden tidak dipertandingkan. Ini bermakna kedudukan Hisham belum cukup selamat. Kut kut dalam pemilihan nanti silap-silap namanya tercicir.

Maklum pada pemilihan sebelum ini, kedudukannya hampir-hampir terkeluar di belakang Zahid, Mukhriz dan Shafie Apdal. Mujur berlaku "keajaiban" di saat akhir sehingga dia melonjak di tangga ketiga meninggalkan Mukhriz. Ini senario pemilihan sebelum ini. Walaupun Mukhriz dan Shafie sudah tidak berada dalam parti kerana telah dipecat, namun jangan lupa ramai lagi yang menunggu untuk mengisi kerusi Naib Presiden.

Antara yang aku nampak memasang kuda-kuda untuk ke jawatan Naib Presiden ialah KJ dan Ismail Sabri. Walaupun mereka tidak mengumumkan perkara itu, tetapi melihat pergerakannya nampaknya di situlah destinasi kedua-dua pemimpin ini. KJ sudah pun beberapa kali menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan kerusi Pemuda (yang sudah pasti akan diisi oleh Azwan Bro, jika tidak ada perlawanan).

Manakala pemimpin lain tidak begitu ketara untuk "berada" lebih tinggi. Mustapa Mohamed walaupun kuat bekerja untuk parti dan kerajaan, beliau tidak mempunyai cita-cita tinggi dalam karier politik. Begitu juga Noh Omar, yang dikatakan turut menolak jawatan MB jika Selangor berjaya dirampas oleh BN.

Pun jangan terperanjat jika ada pemimpin-pemimpin muda seperti Irmohizam atau Rahman Dahlan yang sama ada mencalonkan diri atau dicalonkan untuk mengisi salah satu kerusi Naib Presiden. Kedua-dua pemimpin ini dikatakan "panglima perang" Najib untuk berhadapan dengan pembangkang, terutama dalam menangkis isu-isu yang dikaitkan dengan Najib.

Seorang lagi panglima perang Najib ialah Salleh Said Keruak, tapi aku tak nampak beliau berminat untuk mengisi kerusi Naib Presiden.

Walaupun isu jawatan dalam parti tidak diminta dibincangkan namun bagi aku ia amat penting jika hal ini dapat dipersiapkan lebih awal. Bukan setakat Presiden dan Timbalan Presiden sebagai jeneral perang PRU-14, tetapi juga barisan panglima yang akan berada di belakang kedua-dua pemimpin ini. Ini termasuk pemimpin sayap-sayap parti.



Nota: Siapa yang wajar mengisi kerusi Naib Presiden... tunggu tulisan aku selanjutnya!
Naib Presiden: Kedudukan Hisham belum selamat? Naib Presiden: Kedudukan Hisham belum selamat? Reviewed by mesin taip buruk on 12/12/2017 12:44:00 PM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.