UMNO dan Pas bentuk kerajaan bersama selepas PRU-14... Kau rasa?


Aku yakin dan percaya Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz malah Anwar sendiri sebagai para pemimpin yang pernah memimpin dan berada dalam UMNO tahu bukan satu perkara yang mudah untuk tumbangkan UMNO dalam pilihan raya.

Mereka amat faham bahawa kekuatan UMNO kerana akar umbi yang kuat. Dengan keahlian 5 juta, UMNO menjadi parti terbesar. Kekuatan UMNO bukan terletak kepada pemimpinnya, pada pucuknya tetapi pada akar.

Pemimpin UMNO silih berganti mulai Dato Onn Jaafar selaku pengasas UMNO keluar parti dan membentuk parti baru sehinggalah Mahathir yang menjadi pengasas UMNO Baru meninggalkan parti dan menubuhkan parti lain tetapi kerana asas perjuangannya kuat, maka UMNO mampu berdiri teguh sehingga kini.

Pokok yang mempunyai akar yang kuat sudah tentu lebih teguh andai tiup badai dan taufan berbanding pokok-pokok yang tidak mempunyai akar yang kukuh, dan hanya berharap kepada pucuk yang mekar.

Berbeza dengan PKR di mana asas perjuangannya ialah untuk membela Anwar Ibrahim yang dipecat dan dipenjarakan oleh Mahathir pada 1998 dahulu. Jika UMNO ditubuh oleh gerakan Melayu menentang Malayan Union, PKR pula ditubuh oleh gerakan reformasi untuk menentang kekejaman Mahathir terhadap Anwar.

Dan begitu juga PPBM, asas perjuangannya pula ada untuk menjatuhkan Najib. PPBM ditubuhkan oleh beberapa kerat pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat (bukan dipenjarakan) oleh Najib daripada parti. Pendek kata PPBM ditubuh atas sebab dendam kesumat beberapa kerat pemimpin dan ahli UMNO.

Sementara Pas pula mempunyai asas perjuangan yang lebih suci dan murni iaitu untuk mengangkat negara ini sebagai sebuah negara Islam, mengamalkan undang-undang Islam sepenuhnya. Pas diasasakan oleh orang UMNO yang radikal dan mahukan perjuangan berlandaskan Islam, bukan kebangsaan. Akhirnya mereka keluar UMNO dan membentuk Pas.

PAN pula adalah parti serpihan Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpian liberal Islam dalam Pas yang tidak senang dengan kepimpinan ulama dalam parti. Mereka berusaha untuk meliberalkan parti dengan meletakkan para pemimpin seperti Mat Sabu, Khalid Samad, Husam Musa dan Kamarudin Jaafar dalam kepimpinan Pas. Bagaimanapun, kumpulan ulama dalam Pas mula menyedari penguasaan kumpulan terbabit yang akhirnya ditumbangkang pada Muktamar Pas (kalau tak salah) pada 2015 lalu.

Menyedari bahawa amat mustahil untuk menumbangkan UMNO, maka Mahathir yang mengepalai PPBM telah mengadakan kesepakatan dengan DAP dan PKR untuk memastikan UMNO tumbang pada PRU-14 kali ini dengan menubuhkan Pakatan Harapan. Beliau berusaha untuk mendapatkan Pas, tetapi parti Islam itu menolak menyertai PH kerana adanya DAP dalam pakatan tersebut.

PH bukan satu-satunya pakatan yang ditubuh untuk menumbangkan UMNO malah PRU 1999 sudah ada Barisan Alternatif (BA) yang disertai PKR, PSM, DAP dan Pas. Barisan pembangkang ini bertahan sehingga PRU 2004. Pada PRU 2008 dan PRU 2013 pula, barisan parti yang sama menamakan pula pakatan itu sebagai Pakatan Rakyat, juga disertai oleh PKR, DAP dan Pas. Berbanding BA yang didominasi oleh PKR (Anwar), PR pula kelihatannya didominasi oleh DAP.

Melihat kepada perjuangan parti-parti politik utama orang Melayu ini, jelaslah bahawa asas perjuangan UMNO lebih murni dan kukuh berbanding parti-parti lain, kecuali Pas.

Sebagai sebuah parti yang kuat, sudah tentu bukan mudah untuk menumbangkan mereka pada PRU-14. Tambahan pula parti itu menjadi tulang belakang kepada BN, yang telah terbukti sejak pilihan raya pertama pada tahun 1969.

Jika pada 2008 dan 2013, Pakatan Rakyat kelihatannya hampir berjaya menumbangkan UMNO/BN, aku lihat PRU-14 terjadi sebaliknya. Walaupun kehadiran PPBM yang diketuai Mahathir mampu menguatkan pakatan pembangkang, namun ketiadaan Pas ternyata menjejaskan PR terutama di peringkat akar umbi.

PH bergantung sepenuhnya kepada ahli-ahli UMNO yang berpaling tadah terhadap Najib, manakala PKR terus memainkan peranan sentimen terhadap Anwar dan mereka bergantung kepada DAP untuk menarik pengundi Cina.

Walaupun secara tersurat, PPBM dan PKR mendominasi PH tetapi secara tersirat sebenarnya DAP-lah parti paling dominan dalam PH. Hal ini dapat dilihat dalam pembahagian kerusi Parlimen PRU-14 mereka.

Apapun keadaannya, aku yakin dan percaya UMNO tetap utuh dan terus menjadi tonggak pemerintahan Malaysia selepas PRU-14 nanti. Cuma berbeza kali ini pemerintahan Malaysia kali ini bakal disertai oleh Pas. Dan sebenarnya itulah yang aku harapkan. UMNO dan Pas dapat membentuk kerajaan secara bersama.

Tak mustahil kan?
UMNO dan Pas bentuk kerajaan bersama selepas PRU-14... Kau rasa? UMNO dan Pas bentuk kerajaan bersama selepas PRU-14... Kau rasa? Reviewed by mesin taip buruk on 1/15/2018 12:11:00 PM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.