[ANALISIS] BN bakal tumbang dalam PRU-14? (Updated)

KEMAS KINI:
Info terbaru dapat malam ni, Kedah cenderung ke biru muda!

Sentimen anti-Najib dan BN begitu kuat di kalangan orang muda.
Kalau ke mana-mana ni, orang selalu tanya macam mana dengan PRU-14? Apakah BN akan terus memerintah atau kali ini pembangkang dikepalai DAP dengan menggunakan logo PKR berjaya tumbangkan BN?

Ramai yang membayangkan BN tewas kali ini, berdasarkan sambutan yang diberikan setiap kali Dr Mahathir turun berkempen. Berdasarkan info-info yang aku terima, sambutan paling hebat diterima atok 98 tahun yang pernah jadi PM selama 22 tahun sebelum ini ialah di Kuantan dan Putrajaya. Begitu juga di tempat-tempat lain.

Sentimen kebencian terhadap Najib khususnya dan BN amnya oleh orang-orang muda begitu ketara. Tetapi itu berdasarkan respon-respon di media sosial. Malah mereka menghadiri ceramah-ceramah Dr. Mahathir kebanyakannya anak-anak muda, Pendek kata kalau kemenangan diukur daripada undi popular, memang PKR (DAP) sudah boleh dianggap menang.

Namun kalau kita melihat sejarah politik negara, UMNO/BN sudah beberapa kali pilihan raya diuji dengan cabaran hebat pembangkang terutama pada tahun 1999 semasa Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan pada 2008 serta 2013 lalu, apabila gerakan  tsunami Cina dikatakan berlaku. Namun BN masih mampu bertahan sehingga hari ini.

Benar, situasi pada hari ini amat berbeza berbanding 1999 kerana pada masa itu sokongan kaum Cina kepada BN masih kuat. Pengundi Cina pada masa itu bimbang dengan keadaan perpecahan orang Melayu ekoran pemecatan Anwar yang kemudian menggerakkan gerakan Reformasi sehingga ribuan umat  Melayu turun berdemonstrasi di jalanan.

Kebimbangan kaum Cina terhadap situasi politik negara pada masa itu menyebabkan pengundi Cina memberi sokongan padu kepada BN kerana bimbang kekalahan BN boleh menyebabkan orang Cina susah berniaga dan cari makan. Sebab itulah pada masa itu Lim Kit Sing dan Karpal Singh tumbang, dan BN membentuk kerajaan hasil sokongan padu pengundi Cina yang memberi undi sepenuhnya kepada BN berbanding DAP (Barisan Alternatif - DAP, PKR dan Pas), ketika sokongan kepada UMNO merosot menyebabkan Pas makin kukuh menguasai Kelantan di samping merampas Terengganu dan Kedah.

Tidak dinafikan aura dan pengaruh Mahathir begitu kuat tetapi masih belum mampu menumbangkan BN.
Berbeza pula dengan situasi pada 2008 lalu apabila DAP telah berjaya menanam suntikan bahawa orang Cina boleh menguasai politik negara, dengan syarat memberi sokongan kepada DAP, parti cauvanis Cina yang padu. Maka berduyun-duyun kaum Cina keluar mengundi dan hasilnya, DAP (Pakatan Rakyat -  DAP, PKR, Pas) menang besar sehingga berjaya merampas Selangor, Perak dan Pulau Pinang, walaupun gagal merampas Putrajaya.

Situasi sama berulang pada 2013, menyebabkan sokongan Cina terhadap parti-parti kaum tersebut dalam BN merosot teruk. BN membentuk kerajaan hasil kemenangan besar UMNO manakala MCA dan Gerakan gagal meraih sebarang kerusi.

Lalu apakah yang membezakan situasi 1999, 2008 dan 2013 dengan PRU-14 kali ini?

Bezanya tahun 1999, pembangkang diketuai Anwar menentang BN diketuai Dr. Mahathir manakala 2008 dan 2013, pembangkang diketuai Anwar menentang BN diketuai Najib tetapi kali ini pembangkang diketuai pula Dr. Mahathir menentang BN diketuai Najib.

Bezanya tahun 1999, 2008 dan 2013, Pas bergabung bersama DAP dan PKR sebagai pembangkang tetapi kali ini Pas bergerak sendiri manakala DAP, PKR, PPBM, PAN membentuk Pakatan Harapan, sekali gus mencetuskan pertembungan tiga penjuru di hampir semua 222 kerusi Parlimen (dengan tidak mengambil kira parti kecil dan calon Bebas di beberapa kerusi).

Bezanya media sosial belum wujud pada 1999 dan pengaruhnya belum besar semasa 2008 dan 2013 berbanding kali ini, di mana rakyat lebih terpengaruh dengan penyebaran maklumat di media sosial berbanding media konvensional dan arus perdana.

Lalu apakah isu-isu yang membelenggu Najib pada masa kini tidak mempengaruhi situasi PRU-14? Kalau dilihat setiap kali PRU, semua PM atau pemimpin yang mengetuai kerajaan mempunyai isu-isu yang boleh dijadikan bahan kempen pembangkang. Baik zaman Tun Razak sehinggalah ke zaman anaknya, Najib.

Seperti aku katakan di atas, bezanya pada masa itu pengaruh media sosial belum ada berbanding zaman Najib di mana kesan daripada media baharu ini amat besar sehingga boleh mengubah pemikiran rakyat, khususnya anak-anak muda. Sehinggakan isu membelengu Najib dilihat seolah-olah begitu besar kesannya sehingga mampu "merosakkan" negara, yang sebenarnya dicetuskan daripada persepsi yang diwujudkan oleh pihak pembangkang.

Aku percaya jika media sosial seperti hari ini sudah wujud semasa zaman Dr. Mahathir, aku yakin dan percaya beliau sendiri tidak mampu untuk bertahan sehingga 22 tahun sebagai PM. Banyak isu dan skandal ketika zaman Dr. Mahathir berjaya disapu di bawah karpet.

Berbalik kepada peluang BN untuk mempertahankan Putrajaya dengan situasi yang ramai melihat begitu tegang pada hari ini. Bagi aku, BN masih boleh mempertahankannya dengan kemenangan antara 130 hingga 140 kerusi, manakala di peringkat negeri pula akan berlaku kemerosotan. Kedah, Terengganu boleh digugatkan oleh Pas manakala Pulau Pinang kekal milik DAP. Selangor pula aku jangka masih menjadi milik PKR. Sementara negeri-negeri lain mengalami kemerosotan kerusi terutama di Johor.

Lalu ramai yang bertanya dari mana BN akan dapat 130 kerusi sedangkan kalau dilihat tsunami yang dibawa Mahathir cukup hebat? Jawapannya ialah Sabah! Selain Johor, Perak, Pahang dan lain-lain negeri.

Sebabnya, walaupun sokongan orang Sabah dilihat berpaling kepada Shafie Apdal di bawah parti Warisan, tetapi situasi ketara hanyalah di Semporna sedangkan di Sabah secara keseluruhan (negeri paling banyak kerusi Parlimen) masih lagi berpihak kepada BN. Ini ditambah dengan sikap "mesra" Najib dengan masalah orang Sabah menyebabkan BN aku jangka menang besar di negeri itu. Begitu juga di Sarawak, BN masih boleh mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi sebelum ini kerana tsunami di bawa Mahathir tidak begitu terkesan di kedua-dua negeri ini.

Di peringkat DUN, BN akan terus memerintah di Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Johor (dijangka BN hilang lebih banyak kerusi) dan Sabah manakala situasi 50:50 di Perak, Kedah dan Selangor sementara Pulau Pinang dan Kelantan, aku jangka sukar dirampas BN manakala Terengganu sekali lagi dikuasai Pas.

Kesimpulannya, biar apapun situasi yang dilihat sekarang sering kali tidak sama dengan situasi sebenar pada hari pengundian nanti. Segalanya boleh berubah sama ada 45 darjah, 180 darjah atau boleh sahaja 360 darjah. Yang pasti, keputusan sebenar siapa yang akan memerintah Malaysia untuk tempoh lima tahun lagi hanya dapat diputuskan selepas selesai pengiraan undi pada 9 Mei ini.

Cuma aku harap kita semua berpolitik secara matang. Yang kalah perlu terima kekalahan mereka dan tidak menyalahkan mana-mana pihak dan yang menang jangan terlalu ghairah sehingga lupa diri dan lupa kepada mereka yang mengundi mereka.

Jangkaan keputusan PRU-14 bagi negeri-negeri:
  • Perlis - BN
  • Pulau Pinang - PKR (DAP)
  • Kedah - PKR
  • Perak - BN/PKR
  • Selangor - BN/PKR
  • Negeri Sembilan - BN
  • Melaka - BN
  • Johor - BN
  • Pahang - BN
  • Terengganu - Pas
  • Kelantan - Pas
  • Sabah - BN
[ANALISIS] BN bakal tumbang dalam PRU-14? (Updated) [ANALISIS] BN bakal tumbang dalam PRU-14? (Updated) Reviewed by mesin taip buruk on 5/04/2018 09:34:00 AM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.