BN bubar, UMNO sertai Gagasan Sejahtera?


Apakah senario itu mungkin berlaku?

Tidak mustahil. BN yang kini ditinggalkan satu persatu bermula oleh parti-parti komponen dari Sabah, kemudian diikuti dari Sarawak dan ada kemungkinan disusuli oleh MCA, Gerakan dan MIC.

Jika keadaan itu berlaku, BN sudah pasti tidak lagi boleh membentuk satu parti gabungan yang kukuh jika yang tinggal hanyalah UMNO serta parti-parti kecil lain. Sudah tentu kedudukan BN juga begitu lemah untuk menjadi suara pembangkang dalam Parlimen.

Ini ditambah pula semakin ramai ahli UMNO termasuk mereka yang memenangi kerusi DUN dan Parlimen meninggalkan parti yang kini diterajui sementara oleh Zahid Hamidi selepas ditinggalkan oleh Najib, dan sementara pemilihan agung UMNO dilaksanakan tidak lama lagi dengan menyertai PPBM yang diterajui Mahathir.

Kedudukan UMNO itu belum mengambil kira usaha kerajaan PH yang mahu ROS "mengkaji" kedudukan parti itu ekoran kegagalan mengadakan mesyuarat agung dalam tempoh yang ditetapkan yang boleh menjurus pengharaman UMNO.

Jika keadaan sedemikian berlaku ke atas BN, UMNO mahu tidak mahu perlu mencari sekutu baru dan pakatan pembangkang yang paling ampuh pada masa kini ialah Gagasan Sejahtera (GS) yang diketuai Pas. Gandingan Pas+UMNO menerusi GS dijangka boleh mengimbangi suara kerajaan di dalam Dewan Rakyat.

Dalam hal ini kedua-dua parti perlulah melupakan perbezaan, sebaliknya mencari titik persamaan memandangkan kedua-dua parti UMNO dan Pas mempunyai kedudukan seimbang sebagai parti pembangkang. Kedua-dua parti itu perlu bersepakat bagi memastikan kedudukan orang Melayu dan agama Islam tidak diperkotak-katik oleh kerajaan PH yang notabenenya dikuasai oleh pemimpin bukan Melayu/Islam. GS gabungan Pas+UMNO perlu menjadi "penyemak dan pengimbang" kepada kerajaan PH.

Senario kedua yang mungkin berlaku ialah parti keramat yang ditubuhkan sejak sebelum merdeka tepatnya pada tahun 1946 itu terpaksa dibubarkan dan ahli-ahli UMNO pula diberi kebebasan untuk menganggotai mana-mana parti yang mereka mahukan.

Bagaimanapun senario ini agak mustahil memandangkan masih ramai kalangan pemimpin dan ahli UMNO yang begitu sayangkan parti tersebut, dan mereka akan berusaha membina semula parti itu untuk kembali menjadi parti yang lebih kuat dan dipercayai rakyat.

Justeru, Zahid selaku Presiden UMNO yang baharu dan Hadi Awang sebagai Presiden Pas perlu duduk semeja membincangkan perkara ini. UMNO dan Pas tidak boleh menjadi parti pembangkang secara bersendirian kerana ia tidak begitu padu berbanding jika kedua-duanya mempunyai ikatan sah menerusi GS.

Jika keadaan ini berlaku, aku percaya PRU-15 nanti GS mampu merampas semula Putrajaya daripada PH dengan syarat mereka perlu membuktikan kepada rakyat bahawa GS jauh lebih baik berbanding PH sepanjang 5 tahun menjadi pembangkang.

Siapa tahu??
BN bubar, UMNO sertai Gagasan Sejahtera? BN bubar, UMNO sertai Gagasan Sejahtera? Reviewed by mesin taip buruk on 5/13/2018 02:00:00 PM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.