Sanggupkah Anwar tunggu 2 tahun lagi?


Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim selepas dua tahun menerajui negara. Itulah yang diwarwarkan beliau semasa kempen PRU-14 tempoh hari di hadapan penyokong-penyokong PKR. Maka bertempik terlolong keseronokanlah puak-puak PKR kegembiraan.

Kini Mahathir sudah ditabal menjadi PM. Usaha untuk membebaskan Anwar sedang dilakukan. Agong pun khabarnya sedia memberi pengampunan penuh. Gambar-gambar Anwar yang kini dirawat di Hospital Rehabilitasi nampak tersenyum tersengih menunggu hari pembebasan.

Namun persoalan yang menghantui aku ialah... sanggupkah Anwar menunggu dua tahun lagi untuk menduduki jawatan yang diidam-idamkan  sedangkan dia sendiri sudah menunggu lebih 20 tahun untuk mengejar impiannya itu. 20 tahun termasuk sebahagian besar waktunya di dalam penjara.

Dua tahun mungkin tidak lama bagi Mahathir tetapi bagi Anwar waktu itu cukup lama malah saban hari dia merenung jam seolah-olah begitu lama jarum jam di dinding itu bergerak.

Tidak, Anwar tidak sanggup lagi menunggu malah dua tahun cukup lama baginya. Apatah lagi Mahathir sendiri buat pusingan U menyatakan dia memerlukan masa lebih lama dari dua tahun untuk "pulihkan negara" daripada (konon) kemusnahan yang dibuat oleh Najib.

Maka aku percaya selepas Anwar dibebaskan dia akan menggerakkan usaha agar Mahathir melepaskan jawatan PM lebih cepat, secepat yang bolah. Anwar ini orangnya licik. Sebagaimana dia menggerakkan usaha untuk menjadi PM semasa dalam UMNO dahulu sehingga dia hampir-hampir berjaya sebelum dihumban oleh Mahathir ke dalam penjara, aku percaya dia juga akan menjalankan misi serupa, kali ini lebih pantas dan dengan gerakan berbeza.

Hal ini dipermudahkan lagi apabila kumpulan pemikirnya semasa menggerakkan misi dahulu seperti Kamaruddin Jaafar dan Azmin Ali masih berada di pihaknya. Tambah mudah apabila Kamaruddin kini Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Azmin pula sebagai MB Selangor, selain isterinya Wan Azizah yang diangkat sebagai TPM serta anaknya, Nurul Izzah.

Dan aku percaya situasi ini amat diketahui oleh Mahathir kerana kedua-duanya pernah berkawan dan bermusuh sebelum ini. Jadi masing-masing amat tahu dan faham kelebihan dan kekurangan mereka. Justeru, aku percaya tidak mustahil Mahathir akan berubah fikiran dan tidak akan membenarkan Anwar menaiki takhta sebagai PM sebaliknya menyerahkan kepada Muhyiddin atau anaknya sendiri, Mukhriz.

Usaha Mahathir menarik lebih ramai orang UMNO masuk PPBM merupakan antara langkah beliau untuk mengekang pengaruh Anwar selain DAP dalam PH memandangkan jumlah wakil PPBM di dalam pakatan itu jauh lebih kecil berbanding PKR. Apabila suara PPBM di dalam PH lebih besar, sudah tentu ia dapat membenam suara Anwar dan PKR.

Ingat, Mahathirlah yang menjadi punca kejatuhan Pak Lah sebagai PM (meletakkan jawatan) dan juga menumbangkan Najib. Adalah tidak mustahil Mahathir juga boleh membenam Anwar walaupun dia sendiri yang membebaskannya.

Anwar juga sudah tentu bersedia untuk "merampas" jawatan PM daripada Mahathir jika PM-7 itu enggan melepaskan kedudukannya selepas dua tahun, dengan  apa cara sekalipun, termasuk melancarkan gerakan Reformasi alaf baru.

Jadi, pembebasan Anwar nanti sebetulnya bukan memudahkan Mahathir menguruskan PH yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN yang masing-masing mempunyai matlamat perjuangan berbeza, sebaliknya ia lebih merumitkan. Bayangan kemelut dalam PH sepertinya sudah kelihatan.

Betul, Anwar sekarang boleh saja menjerit kepada seluruh dunia bahawa beliau (PKR) menyokong penuh kepimpinan Mahathir, tetapi jauh di lubuk hati dia mengharapkan Mahathir cepat-cepat "pergi" agar dia boleh menduduki kerusi PM dengan segera.

Aku? Cari popcorn sambil menanti  drama bermula...
Sanggupkah Anwar tunggu 2 tahun lagi? Sanggupkah Anwar tunggu 2 tahun lagi? Reviewed by mesin taip buruk on 5/14/2018 08:13:00 AM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.