Presiden UMNO... Antara Zahid, Tok Mat dan Ku Li


Zahid Hamidi mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti kali ini. Sehingga kini, belum ada calon lain yang menawarkan jawatan tertinggi tersebut.

Tok Mat Hasan yang diharap oleh akar umbi mengisi jawatan ditinggalkan Najib Razak selepas kekalahan BN dalam PRU-14 lalu nampaknya hanya 'berani' merebut jawatan Timbalan Presiden, yang berkemungkinan berdepan dengan Hishammuddin.

Manakala bagi kerusi no. 3, iaitu Naib Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin dan Tajuddin Rahman adalah dua pemimpin terawal yang mengumumkan untuk mengisi tiga kekosongan jawatan ini.

Menariknya, ramai yang melihat Zahid tidak mampu membawa kebangkitan UMNO terutama dalam usaha merampas semula pemerintahan negara daripada Pakatan Harapan. Zahid dikatakan dibayangi 'badi' Najib, kerana beliau antara pemimpin paling teguh mempertahankan bekas bosnya itu sebelum ini.

Ramai ahli-ahli UMNO akar umbi masih tidak boleh menerima kekalahan BN dalam PRU lepas dan Zahid dikatakan 'bersubahat' dengan kegagalan kepimpinan terdahulu dalam mempertahankan UMNO/BN, sehingga parti itu menjadi pembangkang selepas 60 tahun.

Tok Mat pula, walaupun mendapat sokongan padu akar umbi seluruh negara untuk menerajui UMNO, namun bekas MB Negeri Sembilan itu mengambil keputusan untuk merebut kerusi no. 2 dan akan membantu Presiden yang dipilih.

Walaupun ramai yang kecewa dengan keputusan Tok Mat yang dianggap begitu berkebolehan tetapi keputusan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden sudah memadai, dan siapa tahu pemilihan berikutnya Tok Mat bersedia mencalonkan diri sebagai Presiden parti.

Selepas 'gagal' menarik Tok Mat Hasan, nama lain yang disebut-sebut lebih layak untuk membawa perubahan dalam UMNO ialah Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang yang kini berusia 81 tahun.

Tengku Razaleigh atau Ku Li merupakan veteran UMNO dan pernah jatuh bangun bersama parti itu sebelum bertindak meninggalkan UMNO pada 1988 selepas tewas tipis kepada Dr. Mahathir dalam persaingan merebut jawatan Presiden. Beliau bersama Rais Yatim menubuhkan parti Semangat 46 yang turut disertai beberapa senior dalam UMNO termasuk Musa Hitam.

Biarpun Semangat 46 telah dibubarkan dan Ku Li telah kembali ke pangkuan UMNO pada 1996 namun nama Ku Li terus tenggelam baik di bawah pepimpinan Pak Lah mahupun Najib. Namun beliau masih mampu mempertahankan kerusi Gua Musang pada PRU-14 dan menjadi Ahli Parlimen UMNO paling lama mempertahankan kerusi dan paling lama menjadi Ahli Parlimen.

Ramai yang melihat pengasas Petronas ini mempunyai pengalaman luas dalam parti dan hanya beliau boleh menyaingi Dr Mahathir yang kini menerajui parti lawan, Pakatan Harapan di samping membawa perubahan kepada UMNO. Beliau juga berdarah bangsawan istana Kelantan yang dihormati kawan dan lawan selain bebas daripada 'badi' kepimpinan terdahulu.

Namun sehingga kini Ku Li belum membuat sebarang kenyataan sama ada sedia menyahut kehendak akar umbi atau sebaliknya.

Walaupun begitu masih terlalu awal untuk kita tentukan siapa yang bakal mengisi kerusi Presiden UMNO memandangkan pencalonan masih belum ditutup dan keputusan siapa yang layak bertanding hanya akan diputuskan dalam mesyuarat bahagian yang akan diakdakan selepas AIdilfitri nanti.

Cuma aku harap amalan 'politik wang' tidak lagi diamalkan dalam pemilihan UMNO kali ini. Aku harap para calon yang bertanding, bertandinglah secara jujur dan tidak mahu lagi melihat wang ringgit diperhabis untuk membeli undi, kerana punahnya parti kerana amalan tidak sihat ini.

Apabila pemimpin yang dipilih berdasarkan jumlah wang yang ditabur, sudah tentu keikhlasan perjuangan mereka diragui dan inilah yang menjadi salah punca UMNO ditolak oleh rakyat Malaysia pada PRU-14 lalu, iaitu kerana pemimpinnya.

Berikut senarai calon yang sah akan bertanding (setakat ini) :

  • Presiden - DS Ahmad Zahid Hamid
  • Timbalan Presiden - DS Mohamad Hasan
  • Naib Presiden:
    • DS Tajuddin Abdul Rahman
    • Khairy Jamaluddin
  • Ketua Pemuda:
    • Khairul Azwan Harun
    • DS Dr Asyraf Wajidi Dasuki


Nota:
Persaingan jawatan Ketua Pemuda dan siapa bakal pengganti Shahrizat Jalil ketuai Wanita.... tunggu ulasan aku berikutnya.
Presiden UMNO... Antara Zahid, Tok Mat dan Ku Li Presiden UMNO... Antara Zahid, Tok Mat dan Ku Li Reviewed by mesin taip buruk on 6/03/2018 09:00:00 AM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.