Tahniah Utusan... Anda lebih bermaruah, berprinsip


Tahniah Utusan kerana masih bermaruah dengan mengekalkan jatidiri sebagai akhbar yang mempertahankan agama Islam, umat Melayu dan Perlembagaan negara biarpun diasak dan dilanyak oleh mantan-mantan Ketua Pengarang Utusan terdahulu serta para pembencinya kiri kanan, belakang depan.

Aku tabik spring kat Utusan sebab masih kekal melaporkan soal kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu ketika seluruh negara seolah-olah sedang terpaku dengan drama Malaysia Baru yang diazankan oleh kerajaan pakatan sejak memenangi PRU-14 lalu. Malah media-media lain termasuk TV3 yang selama ini menjadi "tag team" Utusan membelasah Mahathir dan pakatan siang malam sebelum ini sanggup menjilat segala kahaknya sendiri dengan membuat pusingan 360 darjah dengan memuji-muji dan menyanjung tinggi Mahathir dan pakatan harapan.

Kalau media di bawah kerajaan - RTM, Bernama dan Bernama TV jangan ceritalah sampaikan sidang akhbar pemimpin tertinggi UMNO pun mereka dah tak layan sebab memberi fokus majlis-majlis dan program anjuran menteri dan kerajaan. Kalau adapun dihantar wartawan baru sahaja. Yelah, siapa UMNO sekarang berbanding sebelum ini.

Ketika seluruh media maintream memuji-muji langkah kerajaan mahu melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, Utusan sebaliknya bertolak belakang dengan mempersoalkan pelantikan tersebut kerana bimbang ia boleh menggugat agama Islam dan umat Melayu. Ya, akibatnya Utusan telah diasak kiri dan kanan dan dianggap ketinggalan zaman serta tidak mengikuti arus perubahan dalam iklim politik negara.

Serangan oleh Zainuddin Maidin dan Johan Jaafar terhadap Utusan itu sudah tentu bukan kebetulan, sebaliknya aku percaya ia adalah "arahan" daripada pihak tertentu yang tidak mahu dasar-dasar terbuka yang diamalkan sekarang digagalkan oleh media seperti Utusan, yang dikira cuba menghasut rakyat khususnya orang Melayu.

Dalam hal ini aku menyokong penuh dengan pandangan Utusan bahawa dalam perubahan iklim politik, perubahan kerajaan dan keterbukaan pada hari ini tidak menuntut kita mengorbankan kepentingan agama, bangsa dan Perlembagaan negara. Kita tidak mahu Melayu dikorbankan, agama Islam diperlekeh, raja-raja Melayu ditolak ke belakang atas nama "keterbukaan" dan Malaysia baharu.

Ini kerana tiga perkara itu adalah asas pembentukan Malaysia yang berasal dari Tanah Melayu dan dengan toleransi Melayu terhadap kaum Cina dan India. Benar kesemua kaum telah memainkan peranan mereka secara bersama membentuk kemajuan dan pembangunan negara, namun dalam hal-hal tertentu sudah tentu kepentingan tuan punya tanah perlu juga dihormati.

Nyata apa yang dibimbang oleh NGO-NGO Melayu selama ini (termasuk oleh Mahathir sendiri semasa beliau masih bersama UMNO) bahawa jika DAP diberi peluang memerintah negara, maka hal-hal berkaitan Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu akan diganggu gugat secara sedikit demi sedikit. Mereka akan berusaha untuk merobohkan "ketuanan Melayu" dan digantikan dengan ketuanan Malaysia atau dinamakan "Malaysian Malaysia", suatu dasar yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.

Lebih menyedihkan perjuangan merobohkan ketuanan Melayu ini bukannya dilakukan oleh kaum lain, sebaliknya oleh orang-orang Melayu sendiri yang sebahagian besar daripada mereka mencapai kedudukan yang baik dalam masyarakat, berpendidikan tinggi dan berjaya hasil daripada amalan ketuanan Melayu oleh kerajaan terdahulu.
Nyata mereka adalah kumpulan manusia yang "tidak sedar diri" dan "tidak sedar diuntung". Apa mereka mahu sebenarnya? Apakah kerana taksub kepada pemimpin negara hari ini, maka segala maruah yang dijunjung selama ini dibuang jauh-jauh dan diinjak-injak seenaknya?

Lalu, dalam keadaan ini pada hari ini aku bersyukur kerana masih ada pihak yang mengambil tanggungjawab menyedarkan masyarakat, menjadi pengkritik kepada kerajaan bahawa dalam keghairahan menjadi penguasa negara, jangan sampai terlupa dengan anak-anak dan cucu-cucu mereka yang akan ditinggalkan.

Terima kasih Utusan, terima kasih para pengarang akhbar tersebut yang masih berani menegak hak dan kepentingan Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu ketika hampir semua pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Perlembagaan negara dirantai kaki dan tangan.

Utusan... teruskan usaha anda. Aku percaya ramai pembaca di luar sana yang masih utuh menyokong perjuangan Utusan sejak dulu, kini dan selamanya!
Tahniah Utusan... Anda lebih bermaruah, berprinsip Tahniah Utusan... Anda lebih bermaruah, berprinsip Reviewed by mesin taip buruk on 6/07/2018 08:00:00 AM Rating: 5

No comments:

Sila berhati-hati ketika memberikan komen. Pihak admin tidak bertanggungjawab atas komen-komen yang disiarkan. Admin juga berhak memadam komen-komen yang dianggap keterlaluan.

Powered by Blogger.